Friday, 7 June 2013

DARI MELBOURNE KE MESIR, ADA CINTA ANTARA KEDUANYA IV

Dua tahun kemudian…

Imran memandang kawasan persekitaran dari balkoni rumah sewanya. Suasana pagi itu cukup indah. Berkabus dan mendinginkan. Menandakan musim sejuk bakal menjelang tidak lama lagi. Sudah lebih setahun dia berkelana di bumi kanggaru ini. Permusafiran yang diharapkan dapat mengangkat martabat keluarganya. Tanpa dia sedari, dirinya tersenyum sendirian. Mengimbau kenangan lampau.

“Amboi Im, senyum sorang-sorang nampak? Siapa gadis bertuah tu?”

Irfan berdiri di sisi Imran. Mengusik sahabat baiknya itu. Imran memandang wajah Irfan. Tersenyum lagi. Kali ini lebih manis dan berseri.

“Wanita itu bernama Khadijah binti Ismail,” Imran mengenyitkan mata. Irfan tergelak kecil.

“Beruntung ibu kau dapat anak macam kau Im,” Irfan meluahkan bicara.

Imran menghantar pandangannya jauh ke hadapan. Seakan-akan merindukan seseorang yang jauh. Jauh di tanah air. Dan ia benar-benar terpancar pada cahaya wajahnya.

“Aku rindu dengan dia Fan”

Suasana sunyi. Sepi tanpa bicara. Irfan mendiamkan diri. Membiarkan Imran melayani perasaannya buat seketika.

“Im, jom kita jogging pagi ni, nanti aku ajak Muaz, Syaukat and the gang sekali,” Irfan cuba menukar tajuk.

“Eh, jom lah, aku pun dah lama tak berjogging ni,” Imran membalas. Penuh keterujaan.

Dan mereka bersama-sama masuk ke dalam rumah. Mempersiapkan diri. Tanpa membuang masa, Irfan pantas mencapai telefon bimbitnya, menyebarkan plan terbaru itu kepada seramai mana sahabat-sahabat seperjuangan di bumi kanggaru.

“Kau ajak siapa lagi Fan?,” Imran bertanya. Mengharapkan ada lagi kenalan baru yang boleh ditemuinya.

Selama di Australia, hanya melalui Irfan sahajalah Imran dapat mengenali rakan-rakan dan sahabat-sahabat baru dari pelbagai universiti dan latar belakang. Dan sememangnya Imran seorang yang tidak begitu pandai bergaul. Tidak seperti Irfan yang semenjak dari kecil sudah dibiasakan untuk bergaul dengan orang ramai. Dan perwatakan Irfan itu betul-betul terserlah dengan kesibukannya menghadiri pelbagai program mahasiswa di Australia. Irfan merupakan anak kepada pasangan doktor di Malaysia, Dr. Dzulkarnain dan Dr. Murshidah yang sudah pun memiliki perniagaan berkaitan perubatan tersendiri seperti klinik dan farmasi. Dan keberadaan Irfan di Australia ini sebagai persiapan untuk menyambung legasi ibu dan ayahnya. Begitulah fikir Imran.

“Haaa, kali ini aku ajak member-member dari Sydney sekali, dah dua hari mereka di Melbourne, ada program,” Irfan membalas sambil menutup zip beg sandang yang selalu dibawanya ke mana sahaja dia pergi.

Imran hanya tersenyum. Dia sudah dapat merasakan dirinya tidak sabar untuk berjumpa dengan kenalan-kenalan baru. Di bumi Australia ini, tidak banyak individu yang boleh dianggap sebagai sahabat karib kepada Imran. Yang banyak adalah kenalan-kenalan biasa. Antara sahabat baiknya di sini termasuklah Irfan, Muaz dan Syaukat yang merupakan teman serumahnya.

“Syaukat, jangan lupa bawa tikar sekali eh, boleh picnic-picnic,” kata-kata Irfan mematikan lamunan Imran.

“Alright Fan,” Syaukat membalas sambil menunjukkan isyarat melalui ibu jarinya.

…………………………………………………………………………………………………………………

Aishah memerhati keadaan sekeliling. Cuba mencari kelibat sesorang. Keadaan di Khan Khalili waktu itu dipenuhi ramai pelancong yang datang dari seluruh semenanjung tanah arab. Agak sukar buat Aishah mengecam mana-mana individu yang dikenalinya.

Dan secara tiba-tiba satu suara menyapanya dari arah belakang.

“Haa cik Aishah kita ni, Assalamualaikum,” Faizah mencuit pinggang Aishah. Cuba mengusik.

“Ish awak ni, terkejut saya, Waalaikumussalam,” Aishah membalas sambil mencubit manja lengan Faizah. Faizah tergelak kecil.

“Lama dah awak tunggu saya?,” Faizah bertanya. Cuba memujuk.

“Saya dah sempat beranak satu tunggu awak tahu,” Aishah mencebikkan mukanya. Merajuk tapi manja.

“Amboi, gatai nuuuh, tak sabar nak beranak,” Faizah terus mengusik. Lucu melihat gelagat sahabat karibnya itu.

“Ish, ke situ pulak awak ni, jom kita pergi cepat,” Aishah menarik lengan Faizah mengikutinya. Faizah menurutkan sahaja namun masih lagi diiringi gelak tawa manja.

Mereka berdua bersama-sama menyoroti tapak Khan Khalili itu. Berjalan beriringan untuk pulang ke tempat kediaman. Semenjak dari pagi tadi, sudah agak lama mereka menghabiskan masa berjalan-jalan di sekitar Bandar Kaherah. Melawat Masjid Al Azhar, Masjid Saidina Hussain dan Muzeum Tahrir. Aishah dan Faizah merupakan pelajar jurusan perubatan di Mesir. Sudah dua tahun mereka berada di bumi Anbiya’ ini, berjauhan dengan keluarga tersayang di Malaysia demi segulung ijazah untuk mencapai cita-cita yang sama. Menjadi seorang doktor yang berjaya.

“Aishah, awak tahu tak, dengar khabarnya ada seorang pelajar dari Malaysia akan sampai ke Mesir beberapa hari lagi,” Faizah bertanya sambil membersihkan tempat duduk di perhentian teksi itu menggunakan beg sandangnya.

“Saya ada juga dengar berita itu dari Ustazah Sharifah minggu lepas, wah, pelajar jurusan diniyyah gitu, sementara rumah kita ada satu lagi kekosongan, bolehlah pelawa dia duduk dengan kita nanti,” Aishah membalas sambil tersenyum.

“Saya setuju sangat. Nanti tak ada lah awak asyik menggatal nak kahwin,” usik Faizah.

“Ish awak ni, tak habis-habis menyakat saya, eh awak, apa nama pelajar baru tu,” Aishah bertanya. Ingin tahu.

“Sekejap ye, saya check,” balas Faizah sambil mencari telefon bimbitnya dalam beg sandang yang dibawanya.


-[Part IV] - Bersambung

8 comments:

  1. Jzkk, teruskan mengikuti cerita ini

    ReplyDelete
  2. ni.... terbaik. *thumbs up*

    ReplyDelete
  3. bile nak smbung yang seterusnye?? x sabar nk bace lagi.. nice..

    ReplyDelete
  4. Teruskan lagi. Saya mengkikuti cerita ni. Best (y)

    ReplyDelete
  5. bila nak sambung lagi?

    ReplyDelete
    Replies
    1. ENCIK MUSAB ,bila nak sambung lagi?please la sambung ASAP.

      Delete