Tuesday, 24 June 2014

Iqra', Da'ie dan Tasawwur Imani

“Akhi..sepanjang bergelumang dengan Dakwah dan Tarbiyah ni, berapa banyak buku-buku ilmiah yang nta dah khatam?”
Soalan yang straightforward. Tanpa kiasan apatah lagi nak berpantun bagai.
“Ana tak cakap buku-buku fikrah eh. Sebab sepatutnya sebagai da’ie yang nak beramal dengan cara yang muntij, buku-buku fikrah tu sepatutnya dah jadi makanan nta...”
“Yang ana tanya ni pasal buku-buku ilmiah. Buku yang menambahkan ilmu pengetahuan nta secara umum..”
Phew. Krik krik krik.
Macam mana nta ni akhi..” 
“Akhi…akhi…”
 …………………...

Saya masih ingat lagi, sewaktu berada di tingkatan satu hinggalah ke tingkatan tiga, saya pernah digelar Raja Sejarah oleh rakan-rakan yang lain. Sebabnya hanyalah kerana saya selalu score markah tiptop dalam subjek sejarah. Bahkan ada beberapa ketika, sayalah yang paling top dalam keseluruhan batch. Fuh. Perasaan bangga tu tak payah nak diceritakan kot. Siapa je yang tak bangga bila dijadikan tempat rujukan dalam satu-satu subjek. Terasa macam jadi cikgu pulak. Heh.

Namun bila difikirkan semula, apalah yang boleh dibanggakan sangat dengan pencapaian zaman kanak-kanak itu. Soalan subjek sejarah PMR pada zaman saya pun setakat enam puluh soalan objektif sahaja. Dan pada kebiasaannya saya hanya membaca sekali lalu dan menghafal nota-nota yang dah dibuat sejak awal lagi. Maklumlah, saya memang kurang gemar membaca sejak zaman baby lagi. Muahaha.

Dan sikap kurang gemar membaca ini terbukti memakan diri saya ketika menginjak zaman menengah atas. Pada waktu itu, soalan sejarah lebih menjurus kepada soalan subjektif dan esei. Agak memeritkan jugaklah tatkala melihat gelaran Raja Sejarah itu bertukar tangan. Dan seperti biasalah, student-student yang memang terkenal dengan perangai ulat buku inilah yang selalunya menduduki tangga-tangga teratas untuk subjek sejarah.      

Dan saya?

Entah bagaimana, waktu itu saya mula membangunkan minat dalam subjek fizik dan matematik. Bahkan saya antara individu yang paling rapat dengan guru-guru kedua-dua subjek tersebut. Bergelumang dengan angka dan formula bererti semakin menjauhlah saya dari dunia huruf dan abjad.

Begitulah sedikit sebanyak ceritera yang digali semula dari zaman persekolahan dahulu.

Namun hari ini saya menyedari bahawa sayalah insan yang paling rugi sekali. Rugi kerana tidak memupuk minat untuk membaca sedari awal lagi. Rugi kerana tidak melatih diri bergelumang dengan dunia pembacaan semenjak dibangku sekolah lagi.

Kerana membaca ini pekerjaan yang murni sebenarnya.

Bahkan wahyu pertama yang diturunkan kepada baginda Rasulullah S.A.W sendiri adalah perintah membaca.

“Iqra’!”

“Bacalah!”


Hari ini ramai orang yang gemar membaca. Dari buku-buku falsafah, ekonomi, ketamadunan, sehinggalah ke buku-buku roman picisan. Namun sayang. Semua bahan-bahan bacaan mereka itu sedikitpun tidak menjadikan diri mereka dekat kepada Sang Pencipta. Bahkan lagi teruk, makin menjauh pula. Entah di mana silapnya.

Mungkin kerana tiadanya ‘tasawwur imani’ dalam proses membaca itu. Lihatlah pada wahyu pertama yang diturunkan ke bumi, di situ sudah jelas kelihatan tuntutan kepada ‘tasawwur imani’ dalam setiap apa yang kita kerjakan. Pemaknaan yang benar terhadap ‘tasawwur imani’ inilah yang akan membawa kita semakin dekat kepada Allah walaupun kita bukan dalam keadaan melakukan ibadah khusus kepada-Nya.

Tasawwur imani bererti pandangan dan pola fikir yang berasaskan iman yang besar dan luas. Ini bererti, semua gerak, urusan, dan langkah adalah dengan menyebut nama Al-Kholiq dan atas nama Al-Kholiq.  Dengan nama Allah, segala sesuatu dimulai dan berjalan. Dan kepada Allah jualah segala sesuatu menuju dan kembali.

Konsep tasawwur imani ini terpancar dengan jelas daripada ayat yang menjadi seruan pertama langit kepada bumi.

“Bacalah dengan  nama Tuhanmu yang menciptakan!”
(Al ‘Alaq , 1)

Di sini Allah S.W.T ingin menekankan kepada seluruh umat manusia bahawa Dia-lah yang telah menciptakan dan mengajarkan. Dari-Nya segala sesuatu dimulai dan diciptakan, dan dari-Nya jualah timbul pengajaran dan ilmu pengetahuan. Manusia-manusia seperti kita ini hanya mempelajari apa yang dipelajari, dan mengetahui apa yang diketahui. Sedangkan hakikatnya, sumber kepada semua ini adalah Allah yang telah menciptakan dan mengajarkan.

“Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”
(Al ‘Alaq, 5)

Ma sha Allah

Inilah hakikat Qur’aniah yang pertama yang diterima oleh Rasulullah pada saat-saat pertama.  

Inilah yang mengubah perasaan dan bicaranya setelah itu.

Inilah yang mengubah pengetahuan dan hala tujunya sesudah itu.

Inilah tasawwur imani.

Begitulah. Tuntutan Iqra’ itu bukanlah bererti tuntutan Iqra’ semata-mata. Al Quran menuntut kita untuk membaca, namun disertai dengan perasaan berTuhan. Yakni meyakini bahawa semua ilmu yang kita sedut sepanjang proses pembacaan itu semuanya dari Tuhan. Tujuannya untuk menanam benih-benih kehambaan jauh dalam sudut hati kita. Justeru menjadikan kita semakin kehausan dan akan terus menggali dan menggali lagi daratan ilmu Tuhan yang maha luas ini.

Dengan itu, barulah kita akan dapat memaknai dengan sebenar-benarnya bahawa kita semua sebenarnya miskin di sisi-Nya. 

Bagi para du’at, sudah semestinya tuntutan Iqra’ beserta tasawwur imani ini perlu kita ambil berat. Logiknya sudah sedia terbentang. Ayat pertama suratul ‘Alaq itu merupakan arahan pertama kepada Rasulullah S.A.W yang seperti kita semua sedia maklumi, akan menggalas tugas kekhalifahan yang berat.  

Inilah ayat pertama yang diterima oleh Rasulullah S.A.W pada kali pertama berhubungan dengan langit. Pada saat yang paling pertama dirinya menapaki jalan dakwah yang telah dipilih untuknya. Baginda diarahkan untuk membaca dengan menyebut nama Allah yang menciptakan.

Maka sewajarnya itulah yang sepatutnya dilakukan oleh kita yang mengaku mewarisi perjuangan Ar-Rasul yang mulia. Kita yang menggelar diri para du’at, maka layakkah kita mewarisi perjuangan ini kiranya kita culas dalam bacaan kita. Kita yang buat –buat pening lalat untuk menghadap bahan bacaan untuk meningkatkan kapasiti kita sebagai seorang da’ie. Kita yang malas-malas dalam men-topup diri kita dengan ilmu pengetahuan yang sepatutnya dimiliki oleh seorang da’ie melalui bacaan.

Maka layakkah kita?

Saudaraku..

Tidak rugi untuk rajin membaca. Bahkan tidak rugi untuk berusaha menjadi rajin membaca. Kerana dakwah dan tarbiyah ini memang berhajat kepada seorang jundi yang rajin membaca. Kerana betapa banyak makalah-makalah dakwah yang perlu difahami oleh seorang da’i untuk meningkatkan kapasiti dirinya dari semasa ke semasa. Begitu juga dengan segala ilmu pengetahuan am yang pastinya berguna kepada seorang da’ie itu.

Sesetengah orang menjadikan membaca sebagai tips yang terpenting sekali sebelum menulis. Sebagai seorang penulis yang masih lagi bertatih, hal ini tidak saya nafikan. Bahkan sayalah manusia yang terpaling menyetujuinya.

Namun membaca ini lebih besar maknanya dari sekadar ingin menjadi penulis.

Kerana sebagai seorang da’ie yang mahu berkontribusi di medan, berapa banyaklah masa yang kita habiskan dengan penulisan?

Hakikat seorang da’ie yang benar itu adalah ketika dia berkonfrontasi dengan manusia di alam realiti. Bukan ketika bertiraikan huruf dan perkataan. Saat dirinya berbicara secara langsung dengan para mad’unya. Saat dirinya menyantuni para mutarabbinya. Maka ketika itulah tabiat rajin membaca akan membuahkan hasilnya.

Orang yang luas bacaannya, bicaranya solid, padu dan mapan. Setiap butir kata-kata yang keluar dari getaran lidahnya umpama mutiara-mutiara berharga yang boleh menguntungkan orang yang menerimanya. Sejam bersama mereka umpama setahun lamanya. Bukan bermaksud bosan ataupun apa, tetapi untuk menunjukkan betapa baaaaanyaakkknya hikmah yang boleh kita sedut daripada mereka.

Jujur, saya sering mencemburui manusia-manusia seperti ini.

Formulanya sudah tersedia.

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan!”

Tetapi itulah. Antara mahu dan tidak mahu sahaja.

Akhir kata, marilah membaca dengan tasawwur imani yang sebenar-benarnya. Moga di suatu masa, butir-butir bicara kita menjadi air terjun hikmah yang nikmat ditadah dan dihirup oleh generasi seterusnya, seperti mana kita menikmatinya daripada generasi sebelum kita.

Wallahua'lam

Saturday, 7 June 2014

Jangan Segan-Segan Untuk Solat Subuh Berjemaah

Akhi,
Jangan segan-segan untuk solat subuh berjemaah,,
Jangan engkau layankan rasa lemah,,
Sungguh, itu hanya bisikan iblis yang mahu mendatangkan fitnah,,
Justeru, marilah,
Marilah kita imarahkan rumah Allah itu di subuh yang indah,,

Akhi,,
Jangan berat-berat,,
Nanti engkau tidak tsabat,,
Pernahkah engkau mendengar sabda sang nabi yang hebat??

“Sesungguhnya solat yang paling berat bagi mereka yang munafik adalah solat isyak dan solat SUBUH. Kalaulah mereka tahu kelebihan kedua-duanya, nescaya mereka akan datang melaksanakannya meskipun dalam keadaan merangkak”
(HR : Bukhari dan Muslim)

Ohh,,jangan akhi,,sekali-kali jangan,,
Jangan kita termasuk dalam kalangan sang munafik,,,,jangan,,
Aduh,,berat akhi,,,berat,,
Siksanya berat,,

“Khabarkanlah kepada orang-orang munafik, bahawa mereka akan mendapat siksa yang pedih”
(An-Nisa’ 138)

Akhi,,
Jangan segan-segan untuk solat subuh berjemaah,,
Ianya mahir mengubati luka mehnah,,
Ianya ibarat penawar bagi jiwa yang resah,,
Ianya adalah simbolik kepada kekuatan ummah,,
Ianya menggentarkan musuh-musuh yang semakin gelabah,,

Akhi,,
Jangan segan-segan untuk solat subuh berjemaah,,
Kerana Sang Rasul bersabda sudah,,,

“Barangsiapa yang solat isyak secara berjemaah, seumpama bangun mengerjakan qiam separuh malam, dan barangsiapa mengerjakan solat subuh secara berjemaah, seumpama dia solat keseluruhan malam”
(HR : Muslim)

Akhi,,
Ini,,,ini,,,sungguh anugerah yang terindah,,,
Ini,,,ini,,,sungguh hadiah dari Allah Yang Maha Pemurah,,,

Maka akhi,,,apa lagi yang kau lengah?

Nafsu yang serakah? Persetankanlah!
Tompokan dosa yang membarah? Persucikanlah!
Penat yang tiada bersudah? Lawanlah!

Akhi,,jangan segan-segan untuk solat subuh berjemaah,,,
Marilah..

-Encik Musab, 7/6/14-

Wednesday, 4 June 2014

Sabar dan Dakwah, Berpisah Tiada!


Umpama nasi ayam dengan ayam. Begitulah saya mengumpamakan sabar dan dakwah.

Hari ini kita kembali membicarakan tentang kesabaran.  

Kali ini, pembicaraan kita akan berkisar seputar ayat 153 surah Al Baqarah:

“Hai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sungguh! Allah beserta orang-orang yang sabar.”
 (Al Baqarah, 153)

Ikhwah…

Dakwah yang kita cintai ini telah, sedang, dan akan menuntut kesabaran yang tinggi daripada kita. Setinggi pandangan mata tika mendongak ke langit, bahkan terkadang lebih tinggi lagi.

Sayyid Qutb dalam tafsirnya menyebutkan..

“Begitu juga dalam berdakwah di jalan Allah di muka bumi akan menghadapi pergolakan-pergolakan dan hukuman-hukuman, yang bisa menyebabkan tekanan jiwa sehingga memerlukan kesabaran lahir dan batin.”

Kita ini mungkinlah menghadapi siri-siri mehnah dan fitnah yang tidaklah sehebat Sayyid Qutb and the geng di Mesir. Maklumlah, dakwah kita pun masih dalam kerangka Islam yang comel-comel. Masih seputar isu ukhuwah, study vs dakwah, dan nak buat daurah sehari atau dua hari. Pokoknya, masih belum menggila seperti dakwah para Rasul dan generasi terdahulu. Namun, jika dilihat dari sisi pandang yang lain, elemen kesabaran lahir dan batin itu masih tetap diperlukan.

Antaranya sabar dengan mad’u sendiri. Dalam usaha nak menjerat mad’u untuk masuk ke dalam gerabak dakwah dan tarbiyah, akan ada masa-masa di mana seruan kita akan ditolak. Bahkan mungkin, ada ketikanya mad’u itu menunjukkan simptom-simptom tak suka dan alergik jika kita mendekati mereka. Aduhai!

Pengalaman saya yang tidaklah lama mana, baru-baru ini juga, dalam merencana amal dakwah di tempat baru ini turut menghadapi situasi yang membutuhkan kesabaran terhadap mad’u yang disasar. Lepas dah plan dan dah bersetuju pun untuk berjalan-jalan makan angin sama-sama setelah tamatnya exam, tiba-tiba beberapa hari kemudian mad’u itu memberitahu akan ketidakbolehannya untuk menyertai aktiviti jalan-jalan tersebut. Alasannya, hanya nak dapatkan tiket kapal terbang murah untuk pulang ke kampung yang hanya boleh didapati pada hari sebelum tarikh aktiviti jalan-jalan kami.

Ya. Di situlah kesabaran diperlukan. Adakah saya akan terus meninggalkannya dan mencari mad’u yang lain? Jika saya berbuat demikian, menjadilah saya golongan yang tidak sabar. Maka, akan hancurlah dakwah ditempat itu.

“Oh, Tuhan, masukkanlah aku dalam kalangan orang-orang yang sabar”

Ikhwah,

Ringan-ringankanlah mulut dan hati kita untuk mengungkapkan doa ini dalam setiap sujud kita, selepas setiap solat fardhu kita, dan yang paling terutama iaitu ketika kita berkaca di mihrab saat sepertiga malam yang sunyi.   

Di saat Tuhan memulai firman-Nya dengan seruan yang penuh kasih…

“Hai orang-orang yang beriman…”

Di sini Allah menggelar kita dengan gelaran orang-orang yang beriman. Ini adalah gelaran yang agung. Sebuah pengiktirafan daripada Tuhan. Beriman dengan ke-Esa-an-Nya, dengan kekuasaan-Nya. Allah tahu yang kita benar-benar beriman dengan kewajipan dakwah ini. Dia tahu yang kita benar-benar mencintai dakwah ini dengan segenap sudut jiwa dan raga kita.

Lalu Dia menyambung..

“Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat..”

Indah. Bahkan nyaman sekali intonasinya. Seolah-olah Allah telahpun mengetahui akan kelemahan dan keterbatasan yang ada pada para rijal agama-Nya. Dan sememangnya  Dia mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, apa yang kita nyatakan atau sembunyikan. Allah tahu akan beratnya dakwah dan tugas kekhalifahan dari sisi pandang kita. Allah mengetahui betapa hina dan lemahnya diri kita untuk menjunjung amanah dakwah ini.

Maka dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih, Dia menawarkan pertolongannya kepada kita melalui dua sumber, yakni sabar dan sembahyang. Justeru, saat kelelahan datang menyapa, bersolatlah sepertimana solat itu menjadi kerehatan kepada Rasul dan sahabatnya. Kemudian, pohonlah kesabaran daripada yang mengurniakan kekuatan. Lantas, beriltizamlah dengan kesabaran itu untuk terus menapaki jalan yang masih tidak kelihatan penghujungnya ini. 

Justeru, bersabarlah ikhwah, 

Bersabar dalam sebuah ketaatan. Bersabar dalam usaha untuk mengikis jahiliah dan maksiat. Bersabar dalam menunggu saat tibanya pertolongan Allah. Bersabar saat diuji. Bersabar saat kebatilan seakan-akan mengatasi kebenaran.  

Lalu Dia mengakhiri firman-Nya dengan ayat yang memberikan kita harapan, yang seolah-olah memberikan kita ruang udara yang segar untuk bernafas.

“Sungguh, Allah berserta orang-orang yang sabar”

Masakan tidak ikhwah. Bagi al-akh yang sudah jelas matlamat hidupnya, yang telahpun komited untuk menjual kehidupan dunia bagi membeli syurga Allah nan mahal, tidak ada apa-apa lagi di dunia ini yang diinginkannya kecuali Allah menyertai setiap langkahan dan hayunan kaki.

Itulah sebenar-benar nikmat. Kerana langkahan yang disertai oleh Allah pasti akan menuju ke syurga yang abadi. Tiada keraguan lagi.

Sungguh! Betapa indahnya sebuah kehidupan tatkala meyakini Allah sentiasa bersama-sama kita. Tatkala menyedari Allah selalu mengawasi, menguatkan malah meneguhkan hayunan langkah kita di jalan dakwah ini. Tatkala mempercayai bahawa Allah takkan pernah sesekali meninggalkan kita dalam keterbatasan dan kelemahan yang ada pada diri setiap kita.   

Selalu disebut dek kebanyakan orang…

Sabar itu ada batasnya.

Namun, hari ini, saya memberanikan diri untuk menyanggah pernyataan ini. Dan saya mulai untuk membina sebuah kefahaman yang baru. Satu lagi kefahaman yang saya impikan untuk difahami oleh semua orang.

Sesungguhnya, sabar itu tidak ada batasnya.

Moga Allah redha. Sehingga khusnul khatimah.

Sunday, 1 June 2014

6:125

Bismillah…

Akhi..
Aku telah melihat kalian pergi..
Kalian pergi demi menggapai cita-cita..
Cita-cita dunia jua cita-cita akhirat..

Aku dapat melihat gembira kalian..
Kalian berukhuwah riang gembira..
Kalian berkongsi gembira itu di medan sosial..

Aku turut dapat merasakan gembira itu..
Kerana aku tahu gembira itu bukan sekadar gembira..
Ada hasil yang akan kalian bawa pulang..
Nanti di suatu masa..

Namun akhi..
Aku di sini masih lagi seperti dahulu..
Keseorangan walau dikelilingi manusia..
Iblis dan syaitan menggerumuniku bak serigala lapar…

Lalu kadang timbul satu perasaan jahat..
Aku terkadang ingin lari meninggalkan medan..
Aku mahu menanggalkan pakaian taqwa ini..
Namun ku tahan jua..

Aku mencuba untuk bertahan..
Dengan segala-galanya yang aku ada..
Dengan segala yang aku pelajari dari kalian…

Kerana aku ada tanggungjawab besar di sini..
Aku perlu membina manusia..
Membina manusia menjadi pahlawan..
Membina manusia menjadi harapan..
Membina dan terus membina..

Sehinggalah sampai waktu bila kalian pulang..
Kalian pun terpesona dengan manusia-manusia ini..
Dan kalian lalu  bertanya..

“Dari mana datang semua ini?’

Lalu aku menjawab..

“6:125” 

Encik Musab, 1/6/14