Saturday, 30 November 2013

Lelaki Nan Bercinta

Im main pen biru itu dengan jari-jemarinya. Mula-mula pen itu di celah-celah jari telunjuk dan jari tengah. Kemudian entah macam mana pen itu beralih pula di antara jari tengah dan jari manis. Kemudian pen itu  beralih lagi di antara jari manis dan jari kelingkir. Alih-alih pen biru tu dah ada semula di antara jari telunjuk dan jari tengah.  

“Sif…salah ke…kalau..kalau..kita suka kat seseorang..?” Tiba-tiba.

Serentak dengan itu pen biru itu terjatuh dari celah-celah jari jemari Im. Drama.

Jari-jemari Hasif yang sejak dari tadi menghentak papan kekunci laptop turut terhenti.

“Hmm..kau maksudkan suka kat akhawat..?”  Hasif cuba meneka.

Hasif dan Im budak usrah. Budak usrah ni orang expect baik-baik je. Padahal budak usrah pun manusia jugak. Ada banyak drama dalam diri. Kadang-kadang terlajak jugak. Sebab tu lah join usrah. Nak control diri sendiri.

“Tak kisah la akhawat ke tak..salah ke kalau ada perasaan yang…you know what I mean right?”

Im pandang wajah Hasif. Mengharapkan jawapan.

“Boleh..tak salah.. tapi…..” Hasif menghentikan bicara.

Dia perlahan-lahan menurunkan kepala laptopnya.  Lalu dia menuju ke katil yang terletak bersebelahan dengan meja study Im. Dah pukul 12.30 tengah malam. Masa yang paling perfect nak borak-borak bantal.

“Tapi kau pasti yang itu betul-betul cinta..?”

Hasif cuba menimbulkan persoalan. Im termenung. Hasif dapat agak yang Im sebenarnya tengah fikirkan sesuatu yang lain. Sesuatu yang bukan sekadar terjatuh cinta. Tapi…

“Kau rasa..?”  Im menyoal kembali. Fokusnya pada tutorial math dah hilang entah ke mana.

Hasif memeluk bantalnya lalu bersandar di balik dinding bilik. Masih lagi di atas katil.

“Jatuh cinta tak salah Im. Fitrah manusia. Tapi macam mana kita ekspresikan perasaan cinta tu yang tentukan salah betulnya..”

Im ambil port sebelah Hasif. Hasif ni kira macam Dokter Cinta kat kolej mereka belajar. Entah dari mana dia menuntut ilmu cinta Im pun tak tahu.

“Cinta ni misteri. Misteri sangat Im. Kadang-kadang kita je rasa benda tu cinta. Tapi sebenarnya bukan cinta pun. Entah-entah nafsu..entah-entah benda lain..entah-entah hormon kita je..”

Hasif cuba berfalsafah. Im diam. Cuba hadamkan kata-kata tu.

“Pada aku senang je nak tahu benda tu cinta atau tak. Apa-apa je yang membawa kita ke syurga, cinta lah tu. Kalau tak membawa ke syurga, bukan cinta namanya..”

Im telan air liur. Cinta? Syurga? Hmm..

********

“Im…ask your heart. Tak kan..tak kan..Im sanggup buat macam ni…”

“Ika.....”

“Tell me Im. Apa salah Ika? Apa Ika dah buat kat Im..?

“Ika..it’s not about you….”

“Then? Sebab Im dah ada perempuan lain?”

“Ika..never ok!

“Habis tu sebab apa?!”

Tegang. Semakin tegang. Im tutup pintu biliknya. Bimbang didengari oleh parents dan adik beradik yang lain.

“Sebab…sebab…apa yang kita buat ni salah…”

“Tapi kenapa baru sekarang Im?? Why after almost two years?? Dari form 4 Im…”

“Ika..I’m sorry…”

“Sorry???? You know how much I love you??”

Im matikan talian. Dia tak mahu tewas lagi. Cukup dan cukup. Dia dah nekad.

Im baring perlahan-lahan di atas katilnya. Dia lelapkan mata. Lalu tertidur.

Pagi itu Im bangun awal dari biasa. Mencari kekuatan dari Yang Memberi Kekuatan. 

Usai solat sunat dua rakaat, dia mencapai telefon bimbitnya.

30 missed call. Hmm..

Dan..

One message received

Im buka mesej itu..

“Im..Ika faham apa yang Im maksudkan. But…Im…it’s not easy for me to accept it. Two years..two years Im..for all the memories..for all that we have gone through..together..it’s not easy Im. And..and..your decision..it’s..tiba-tiba je Im..sebelum ni kita takde masalah pun..”

“Im..what if kita tak payah break. Kita cuma limitkan hubungan kita je. Kita still boleh jaga diri masing-masing kan? Pleaseee Im. I need you..”

Im menghela nafas sedalam-dalamnya.

“Ika..ika tak faham. Dan Ika takkan faham..”

“Mungkin..mungkin satu hari nanti Ika akan faham. 

Tapi bukan Im yang akan fahamkan Ika..”

“I am too fragile..”

Im batalkan hasratnya untuk reply mesej itu. Biarlah. Biarlah semuanya berakhir seperti itu. Hatinya dah bertitik noktah. Cukuplah..

**********

 Semasa bersiar-siar bersama geng-geng usrahnya ke Terengganu..

“Abang Kim..abang….abang pernah bercinta tak..?” Teragak-agak Im bertanya.

Abang Kim yang tengah drive waktu tu senyum je. Biasa la cabaran untuk orang-orang yang masih mentah dalam tarbiah macam Im. Nak fight benda-benda yang macam tu.

“Pernah. And still bercinta..” abang Kim kenyitkan matanya pada Im.

“Haaa..?” Im terkejut beruk. Biar betul. Abang Kim murabbi agung kot.

“Mestilah! Pernah bercinta dengan Allah and still bercinta dengan Allah..” abang Kim kenyitkan mata sekali lagi.

Satu yang Im perasan pasal abang Kim ni, dia suka kenyit mata. Heh.

“Ala…bukan yang tu la abang Kim. Ni yang macam kapel semua tu..” Im cuba mencungkil.

Yang best bila bersiar-siar dengan geng-geng usrah ni, waktu dalam kereta tak pernah borak-borak pasal benda-benda yang lagha. Semua perbualan mengajak kepada mengingati Allah, muhasabah diri, taaruf. Im rasa dia dah jatuh cinta dengan usrah. Dah jatuh cinta dengan tarbiah.

“Emm. Pernah. Sejak tingkatan dua, sampailah first year kat London, tak pernah sekali pun abang tak bercinta..” abang Kim terus terang. Kali ni tak kenyit mata.

“Uishh..kira abang Kim ni dulu playboy jugak la. Hehe.” Kim cuba bergurau.

“Playboy jugak la. Haha. Cuma…” abang Kim pandang Im. Kenyit mata..

“Cuma..??” Im tiba-tiba je berminat. 

Ikhwah-ikhwah lain yang duduk kat seat belakang semua dah ketiduran. Kepenatan beraktiviti agaknya. Yela. Berjalan sana. Berjalan sini. 

“Cuma bila kita dah tekad nak tinggalkan benda tu..kita kena betul-betul all out…” abang Kim nyalakan signal kanan tanda nak memotong.

“Maksud abang Kim?” Im kurang faham.

“Maksudnya bukan just break macam tu je..”

“Kena unfriend facebook..”

Abang Kim berhenti sekejap. Dia fokus untuk memotong kereta di hadapan. Setelah misi memintas kenderaan di hadapan selamat dilaksanakan, baru dia menyambung semula..

“Kena unfollow twitter..”

“Kena delete phone number..”

“Kena buang semua surat-surat kalau ada..”

“Hadiah-hadiah pun kena buang jugak..”

Abang Kim pandang Im. Dia macam faham apa yang Im tengah fikirkan. Macam..

“Uishh..macam kejam sangat je tu abang Kim..” Im macam tak berapa setuju.

“For our own sake Im..” abang Kim melajukan kenderaan.

“Sebab..nanti waktu kita jauh dari ikhwah, waktu kita down dengan tarbiah, waktu kita jauh dari Allah, syaitan akan hembus kenangan-kenangan lama pada kita…”

Im terdiam...

Dan kini...dia merasakan ada benarnya kata-kata abang Kim itu.


Friday, 29 November 2013

Syahadatul Haq #4 : Umat Pertengahan


Sebelum kita membahaskan tentang umat pertengahan, saya berasa agak hensem juga sekiranya kita revise semula perbincangan-perbincangan kita tentang syahadah sebelum ini.

Yang pertama adalah tentang tuntutan asas syahadah (klik sini)

Yang kedua adalah tentang peranan kita sebagai seorang SAKSI (klik sini)

Yang ketiga adalah tentang tugas seorang SAKSI itu sendiri (klik sini)

Maka setakat ini, di paras manakah kefahaman anda? Saya berasa terpanggil untuk menekankan di sini bahawa betapa pentingnya untuk anda memahami apa yang kita bincangkan mengikut turutan. Dan oh ya, sekiranya ada apa-apa persoalan yang mengganggu kitaran tidur anda, mohon ajukan kepada saya secepat yang mungkin. In sha Allah, saya cuba menjawab apa yang saya tahu. Kalau saya tak tahu, saya akan utarakan persoalan anda itu kepada sheikh-sheikh yang lebih besar. Hoho. Pokoknya in sha Allah, semua persoalan akan ada jawapannya.

Sebenarnya, setelah saya timbang-tarakan beberapa perkara, saya berasa ada eloknya jika saya kembali menyantaikan siri penulisan Syahadatul Haq ini. Sebabnya, yang terpenting sekali adalah kefahaman. Serius je memanjang tapi tak faham tak guna jugak. Oleh itu, in sha Allah, kita santai tetapi kita serius. Camtuhaa.

Berbalik kepada tajuk asal post ini.

Umat pertengahan. Pada siri yang ketiga, saya telahpun menunjukkan secara flowchartnya, kenapa kita digelar sebagai umat pertengahan. Dan saya juga telah menegaskan tentang tugas umat pertengahan, iaitu menjadi SAKSI ke atas umat manusia. Dan saya juga telah mengkonklusikan bahawa SAKSI ini bertugas untuk menyampaikan kebenaran deenul Islam dan menyeru umat manusia untuk menyembah Allah sepertimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W

Dan sekarang, kita akan membahaskan tentang umat pertengahan ini.


Dalam Tafsir Fi Zilalil Quran, Sayyid Qutb menggariskan bahawa umat Islam sebagai umat pertengahan yang merangkumi semua pengertian wasath itu sendiri. Baik wasath yang berasal dari perkataan wisaathah yang bererti bagus dan utama ataupun dari perkataan wasath yang bererti adil dan seimbang. Juga perkataan wasath dalam kerangka material indrawi.  

Secara ringkasnya, berdasarkan apa yang saya kaji dari tafsir ayat ini, terdapat enam ciri yang digariskan berkenaan dengan umat pertengahan ini. Fuh. Agak sukar untuk menganalisanya satu persatu. Tapi takpe. Mari kita lihat dan teliti. Mohon betulkan jika saya ada tersilap di mana-mana.

Yang pertama, umat Islam ini dikatakan pertengahan dalam konteks kepercayaan dan manifestasi kehidupan. Ini bererti kita seimbang di antara aktiviti kerohanian yang ekstrim dan gaya hidup materialistik yang berlebih-lebihan. Maksudnya di sini, kita bukanlah umat yang hanya berlonggok di suatu tempat dan beribadah sepanjang-panjang waktu, tetapi kita juga menjalankan aktiviti-aktiviti keduniaan seperti berniaga, berkeluarga dan bercucuk tanam, membela kucing dan sebagainya. Aktiviti spiritual dan materialistik ini dijalani dengan penuh tertib dan seimbang.

Yang kedua, umat Islam mengambil tempat sebagai umat pertengahan dalam erti kata tidak rigid dan dogmatik. Kita bukan umat yang rigid dan dogmatik terhadap sesuatu pandangan yang kita pegang. Kita juga bukan umat yang meletakkan batu besar untuk menghalang kajian-kajian ilmiah yang mungkin boleh mengubah pandangan kita. Selain itu, kita umat islam ini juga bukan pengtaklid buta. Bukan duk dengar cakap tok guru membabi buta. Akan tetapi kita adalah umat yang berpegang dengan pada pandangan hidup, manhaj dan prinsip-prinsip Islam itu sendiri. Dari situ, kita melihat, memperhatikan dan meneliti setiap apa yang mendatangi kita.

Yang ketiga, umat Islam menjadi pertengahan dalam kerangka peraturan dan sistem kehidupan. Kita adalah umat yang mengangkat martabat manusia dengan aturan dari Allah S.W.T beserta dengan arahan dan pengajaran. Penting untuk difahami, Islam tidak membenarkan sistem kehidupan ditentukan oleh pemimpin atau penguasa. Ianya juga tidak dilakukan secara langsung oleh wahyu. Akan tetapi sistem kehidupan adalah campuran dari keduanya, yakni sistem ini berasal dari wahyu dan dilaksanakan oleh pemimpin atau penguasa.

Yang keempat, umat Islam adalah umat pertengahan dalam hubungan manusiawi. Kita ni bukannya umat yang tenggelam dengan individualistik lantas melupakan peranan dan tanggungjawab dalam masyarakat. Namun kita juga bukan umat yang serakah dalam aktiviti kemasyarakatannya. Bahkan kita adalah umat yang kelihatan daripadanya sinergi antara individu, masyarakat dan negara. Balance. Seimbang.    

Yang kelima, umat Islam adalah umat pertengahan berdasarkan tempat. Suatu tempat di atas muka bumi di mana Islam bermula dari situ. Suatu tempat di mana umat Islam ada di seluruh pelosoknya baik di barat, utara, timur mahupun selatan. Dengan posisi sedemikian, sewajarnya umat Islam menjadi saksi ke atas manusia lainnya.

Yang terakhir, umat Islam adalah umat pertengahan dalam zaman. Ini bererti kita adalah umat yang muncul di tengah-tengah khalayak untuk mengikis segala kepercayaan yang berasaskan khurafat, warisan nenek moyang, pagan dan yang seumpama dengannya. Hal ini bertepatan dengan munculnya Islam pada zaman yang boleh dikatakan permulaan kepada kematangan dalam pemikiran manusia.

Inilah posisi kita. Sebagai umat pertengahan.

Sayang seribu kali sayang, pada waktu ini, kebanyakan umat Islam sudah lupa akan posisi mereka sebagai umat pertengahan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah. Ada yang tidak seimbang aspek duniawi dan ukhrawinya. Ada yang  begitu jumud dan kasar dalam pegangan hidupnya lantas menyalahkan semua yang berbeza pandangan dengannya. Ada yang jadi pemimpin yang memimpin tidak berasaskan kepada wahyu. Ada yang begitu tenggelam dengan kehidupannya sendiri, ibadahnya sendiri, dan semuanya sendiri. Dan ada juga yang menjadi perintis kepada amalan khurafat seperti menjampi serapah minyak petrol dan sebagainya.

Justeru, tatkala posisi sebagai umat pertengahan kian dilupakan, tak ada maknanya untuk mengingati tugas sebagai SAKSI ke atas umat manusia apatah lagi menjunjung tinggi tugas tersebut.

Justeru kehinaan yang menimpa umat ini seperti ditindas di serata tempat dan terfitnah di mana-mana adalah kerana lupanya kita akan tugas mulia yang telah diamanahkan oleh Tuhan yang Maha Pemurah kepada kita.   

Itulah dia umat pertengahan yang menjalankan tugas SAKSI.

Itulah dia SAKSI yang menyampaikan kebenaran Deenul Islam ke seluruh ceruk bumi.

Maka kita wajib menggosok kembali watikah perlantikan ini yang satu ketika dulu kita konyok-konyok dan pijak-pijakkan.

Maka kita wajib menampal kembali watikah perlantikan ini yang satu ketika dulu kita koyak-koyak dan cerai-ceraikan.

Maka kita wajib menjaga dan memelihara watikah perlantikan ini yang satu ketika dulu kita tidak pernah tahu dan tidak pernah diberitahu tentangnya.

Kita WAJIB!

Tuesday, 26 November 2013

Syahadatul Haq #3 : Tugas Seorang Saksi


Alhamdulillah. Diberi kekuatan oleh Allah untuk kembali menyambung siri penulisan Syahadatul Haq ini. Jujur saya katakan, untuk menulis sesuatu yang seserius ini, ia bukan sesuatu yang mudah. Banyak yang perlu dipertimbangkan sebelum menulis.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa saya mengambil keputusan untuk set mode serius dalam penulisan ini. Jujur…jujur saya cakap. Sebolehnya saya juga mahu menyantaikan penulisan ini. Namun ada sebab kenapa saya lebih cenderung untuk memacakkan bendera keseriusan sebagai panji kepada siri penulisan Syahadatul Haq ini.

Yang pertamanya, sememangnya agenda Syahdatul Haq adalah sesuatu yang serius. Definisinya serius. Pelaksanaannya juga serius. Pengabaiannya juga mengakibatkan sesuatu yang serius. Kesemuanya serius.

Yang keduanya, ini adalah inisiatif saya untuk menggali lebih dalam lagi khazanah risalah Syahadatul Haq melangkaui apa yang telah disampaikan oleh murabbi saya. Justeru, boleh jadi..boleh jadi  penilaian dan konklusi yang saya ambil tersilap. Maka dengan meletakkan mode serius untuk tulisan ini, saya berharap ada orang yang jauh lebih pakar yang membacanya. Justeru, memungkinkan untuk berlakunya diskusi dan perbincangan dari dimensi yang berbeza. Itulah harapan saya.

Sebab itulah pada siri yang pertama lagi saya telah meminta jasa baik anda semua untuk menyebarkan tulisan ini sejauh yang anda boleh. Lebih jauh tersebar, lebih ramai yang membaca, lebih ramai yang akan menilai, lebih ramai yang boleh membetulkan jika ada tersilap di mana-mana.  In sha Allah.

Baiklah.

Pada siri yang lepas (klik sini), anda telahpun diberitahu  bahawasanya kita yakni umat Islam adalah umat pertengahan. Tugas umat pertengahan ini adalah untuk menjadi SAKSI ke atas umat manusia. Kenapa dia jadi pertengahan? Jom refer balik surah Al Baqarah ayat ke 143.

“Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) ‘umat pertengahan’, agar kamu menjadi SAKSI atas manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi SAKSI atas kamu.”
(Al Baqarah : 143)

Secara flowchart nya, ayat di atas boleh difahami sebagai berikut..

Rasulullah à Umat Islam (Kita) à Umat Manusia

Maka nampak tak di sini kenapa kita diangkat menjadi umat pertengahan? Kita berada di antara Rasulullah dan umat manusia seluruhnya. Sebelum kita pergi lebih jauh, suka untuk saya mengingatkan kembali, Al Quran ini sesuai untuk setiap waktu dan zaman. Bukan bermakna umat Islam yang dimaksudkan pada ayat di atas hanya tertakluk kepada umat Islam yang hidup di zaman Rasulullah sahaja. Bahkan ia adalah umat Islam secara umumnya, zaman-berzaman, sehingga hari kiamat.

Persoalannya di sini. Apakah tugas seorang SAKSI?

Mari kita analisa. Dalam ayat di atas, jelas dapat dilihat bahawasanya Rasulullah telah diangkat untuk menjadi saksi ke atas kita. Manakala kita pula diangkat untuk menjadi saksi ke atas seluruh umat manusia. Secara mudahnya saya dapat menyimpulkan, tugas yang diamanahkan kepada kita adalah sama dengan tugas yang telah diletakkan di atas bahu Rasulullah.

Penting untuk difahami bahawasanya Rasulullah tidak diutuskan di atas muka bumi untuk menjadi duta pakaian. Bukan juga untuk menjadi pakar nutrisi yang mempromosikan makanan sihat. Bahkan Rasulullah diutus oleh Allah kepada umat manusia untuk menyebarkan risalah yang besar. Risalah kebenaran yang mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya.

Itulah dia deenul Islam.

Maka sewajarnya setelah Rasulullah wafat, para sahabat meneruskan perjuangan menyebarkan Islam. Kerana kefahaman mereka akan tugas ini. Justeru amanah yang sama tergalas di bahu kita. Maka sewajibnya kita menyempurnakan amanah ini meskipun dibatasi dengan kekurangan-kekurangan yang beribu bahkan berjuta.

Untuk tidak dilihat sebagai seorang yang terlalu cepat terjun ke dalam konklusi, saya juga telah mengambil inisiatif merujuk tafsir kepada ayat ini. Juga agar tidak mahu dituduh sebagai memanipulasikan tafsir Al Quran, saya memilih untuk menampal bulat-bulat ayat yang digunakan oleh Sayyid Qutb dalam Tafsir Fi Zilalil Quran..

“Dengan demikian umat Islam menjadi saksi atas manusia kerana mereka sebagai pemegang hukum yang adil di antara mereka. Sementara mereka menjadi saksi atas manusia maka Rasul menjadi saksi atas umat Islam untuk menetapkan timbangan-timbangan dan tata nilainya. Serta menentukan hukum atas amalan-amalan dan tradisi mereka, menimbang apapun yang bersumber dari mereka, dan menyampaikan kata putus mengenai semua itu. Maka dibatasilah tugas umat Islam ini, supaya mereka mengetahui dan merasakan kebesarannya. Dengan demikian mereka mendapatkan penghormatan yang sebenarnya dan mendapatkan kebahagiaan yang memang layak diperolehnya.”
(Fi Zilalil Quran, Sayyid Qutb)

Maka di sini sudah jelas dan terpateri. Kita harus mendakwahi umat manusia sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah. Cara Rasulullah berdakwah ini boleh dihurai dengan panjang lebar, tetapi saya tidak mahu menyentuh tentang hal itu di sini. Apa yang saya mahu tekankan di sini adalah tentang kewajipan kita untuk menyambung tugas Rasulullah, yakni menyeru manusia kembali menyembah Allah dan hidup dibawah petunjuk Al Quran yang meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang.

Kerana kita adalah SAKSI kepada keesaan Allah dan kerasulan Muhammad sepertimana yang kita seru dalam syahadah yang disebut sembilan kali sehari itu. Kita adalah SAKSI kepada kebenaran deenul Islam.

Kita adalah umat pertengahan yang wajib menjalankan tugas seorang SAKSI.

Persoalan di sini. Mengapa umat pertengahan?

Saya akan huraikan dalam siri penulisan Syahadatul Haq yang seterusnya.

Sunday, 24 November 2013

Lompang-Lompang Kecelakaan


Kita tangguhkan usrah kita dengan tasbih kafarah dan suratul asr..

Usrah malam itu ditamatkan lebih awal. Tidak seperti minggu-minggu sebelumnya. Kim menjeling jam tangannya. Baru pukul sebelas setengah malam. Ikhwah-ikhwah yang ada mula mengemas peralatan masing-masing untuk dimasukkan ke dalam beg.

Abang Adam pula bergegas ke dapur. Mengambil kudapan ringan yang telah disediakan oleh zaujahnya barangkali. Terkedek-kedek Uwais, anak kecil Abang Adam membontoti abinya ke dapur.

Kim senyum sendirian. Geram dengan kecomelan Uwais. Nak aja dia cium pipi Uwais yang sumpah gebu itu. Dulu pernah juga dia try buat. Habis melalak budak kecik tu.

Abang Adam kembali dengan dulang berisi semangkuk cekodok panas beserta sos cili. Juga sebuah jag berisi air teh.

“Susah-susah je akhi..” Shuib menghulurkan tangan menyambut dulang itu.

“Eh takpe..standard la tuan rumah kena sediakan makanan..”

Air teh dituang kedalam gelas kosong. Tujuh gelas kesemuanya.

“Eh Kim, cepatlah makan. Nanti boleh enta balik cepat..” gelas berisi teh dihulur.

“Amboi akhi. Macam nak halau ana je..” Kim menghirup teh itu sedikit demi sedikit. Panas.

Abang Adam tergelak dengar Kim jawab macam tu.

“Mana ada akhi. Kan enta cakap dulu parents enta tak berapa suka enta balik lambat sangat..”

Kim diam beberapa jenak. Hmm..

“Entah lah akhi..sebenarnya…”

“Sebenarnya?” Abang Adam cuba menduga.

“Eh enta jadi kan sambung belajar nanti?” Kim cuba tukar topik.

“In sha Allah jadi. Bulan dua nanti..”

Abang Adam seolah memahami. Kim baru lagi. Mungkin begitulah fikirnya. Kim pula yang malu sendirian.

Cekodok yang asalnya penuh sepinggan itu beransur-ansur ghaib dari pandangan. Tinggal tiga ketul sahaja. Biasa kalau kes macam ni, Aliff la yang akan dipertanggungjawabkan untuk menghabiskan sisa-sisa yang ada. Jag air teh pun menerima nasib yang sama malah lebih teruk. Kering kontang. Ikhwah..

Jam menunjukkan pukul dua belas setengah malam. Sesi cipiki-cipika yang menjadi rutin usrah diadakan di perkarangan rumah. Bunyi motor-motor ikhwah membelah suasana.

“Kim, senang-senang datang la rumah kiteorang..” Jat mempelawa sebelum berlalu pergi.

"In sha Allah..” Kim sempat menjawab.

Kini hanya tinggal Kim dan Abang Adam. Berdua sendirian.

“So camne akhi plan enta nak terjun ke medan amal tu?” Abang Adam memecah hening suasana.

“Ana tunggu ikhwah oz/nz balik dulu..baru boleh plan semua tu..” Kim menjawab. Again. Alasan.

“Haih. Kalau tunggu, memang tak start la akhi. Enta kena start dulu. Diorang tinggal join je..”

Suara Abang Adam sedikit tegas. Kim telan air liur. Kim oh Kim. Tapi ayat Abang Adam sumpah menusuk kalbu. Always. Nobody wanna be a starter. Walhal, ganjaran untuk starter lah yang paling grand.

“Eh enta tak nak balik ke?” Abang Adam tengok jam di telefon pintarnya.

“Lambat sikit takpe akhi. Ana bawak kunci rumah..”  Kim memeluk tubuh sendiri. Tiba-tiba rasa sejuk.

“Parents tak marah?” Abang Adam cuba bangkitkan topik parents. Topik yang Kim paling tak suka.

“ Tak kottt..” Kim jawab bersahaja. Sambil tu dia cuba fikir topik lain. Aduh. Menyesal tak gerak balik sekali dengan ikhwah-ikhwah lain tadi.

“Parents enta sebenarnya ok ke tak enta join usrah?” Abang Adam cuba mencucuk. Wah. Ini serius!

“Diorang ok dengan usrah. Tapi tak ok dengan ana..” Kim pilih untuk terus terang.

“Aik. Kenapa pulak?" Abang Adam mula pelik. Banyak drama Kim ni.

“Hmm..camne ek..ana tak tunjuk qudwah kat rumah..” Kim telan air liur. Rasa tawar.

Abang Adam mengangguk. Tapi muka dia serius. Takut Kim nak pandang. Sebenarnya Abang Adam dah masak sangat dengan kes macam Kim ni. Asal balik cuti kat rumah je jadi raksasa gorgon.

“Mutabaah amal enta macam mana so far?” Abang Adam cuba mencungkil lagi. Banyak masalah anak usrah dia sorang ni.

“Solat jemaah tak full. Tilawah pun tak tentu. Hafazan ana dah ke laut. Puasa pun dah jarang. Qiam tak pernah lagi sepanjang cuti ni.”

Kim luahkan semua. Biarlah Abang Adam nak fikir apa pun. Kim pun dah rasa give up. Rasa nak menyerahkan diri kepada kefuturan sampailah dia kembali semula ke alam study. Memang betul orang cakap “Rumahku Syurgaku”. Rumah memang macam syurga bagi Kim. Bersenang lenang. Makan, tidur, makan, tidur. Sekali sekala terbuat jahiliah besar. Astaghfirullah..

Abang Adam menghembus nafas dalam. Kim tiba-tiba cuak. Dia pun tak berapa nak kenal sangat dengan Abang Adam ni. Kim anak usrah tumpangan je. Untuk sementara waktu. Dia faham macam tu la. Tapi for sure la Abang Adam tak anggap macam tu. Kalau tak takkanlah Abang Adam boleh melayan dia sampai lewat malam camni.

“Camni la akhi..” Abang Adam mulakan bicara.

“Ana faham kondisi waktu cuti ni memang mencabar. Sebab tu ana galakkan enta cari lubuk-lubuk kosong untuk beramal. Tapi ana tak expect tinggi sangat dengan enta. Sebab enta pun takde support, pastu tempat enta tu pun tak berapa nak subur. Perlukan rijal yang betul-betul tinggi hamasah dan pengorbanan nak jadi starter. Kalau enta boleh buktikan enta lah rijal tu, why not?”

“Tapi ana tak mengharap sangat. Kalau enta boleh istiqamah join usrah ana, lepas tu maintain mutabaah amal, itu pun dah cukup untuk enta bertahan pada fasa statik ni. Tapi enta akan vulnerable jugak akhi. Nak tunggu seminggu untuk next sitting lama tu.”

“Pasal parents enta tu, ana pun faham. Tapi tak boleh salahkan diorang jugak akhi. Logik la kalau diorang nak suspicious dengan usrah yang kita join kalau akhlak kita kat rumah tak melambangkan orang ikut usrah. Ayah kita sibuk bersiap nak gi solat maghrib berjemaah kat masjid, kita sibuk lagi scroll fesbuk nak update status tarbawi. Kalau anak ana macam tu pun ana pelik jugak. Join usrah ajaran sesat mana la ni.”

Kim rasa macam peluru selaju lima belas ribu kilometer per saat menembusi ulu jantung dia. Pedas sangat. Abang Adam ni macam tahu tahu je perangai dia macam tu kat rumah.

“Kita selalu ingat parents kita tu penghalang dijalan dakwah. Mindset ni silap akhi. Instead, parents kita should be mad’u kita yang pertama sekali. Sebab Allah sendiri perintahkan kita selamatkan diri kita, and then family kita dari azab api neraka. Masa berkualiti kita bersama parents sepatutnya dihabiskan untuk DF diorang. Walaupun diorang tak turut bersama kita di jalan dakwah, at least diorang menyokong dan merestui sepenuhnya perjuangan kita ni.”

Kim rasa nak nangis. Tapi dia tahan. Big boys don’t cry. Falsafah jahiliah mana entah dia pegang ni.

“Boleh eh akhi? Cuba slow slow dulu. Yang penting solat jemaah tu jaga dulu. Solat settle, in sha Allah yang lain settle. Enta kena mujahadah sikit akhi. Tak kan enta nak tarbiah setahun yang enta dapat kat kolej dulu cair macam tu je.”

Ok. Kali ni Kim betul-betul nangis. Tapi bukan depan Abang Adam. Bukan dalam kereta.

Tapi dalam hati..

Friday, 22 November 2013

Syahadatul Haq #2 : Kita Seorang Saksi

Bismillah. Moga Allah redha..

Alhamdulillah, pada post yang lepas, kita telahpun selamat membedah kalimah syahadah untuk menyedut ruh di sebalik kalimah agung itu. Yang mahir dihafaz. Yang mahir dituturkan.  

Namun..

Seperti yang saya katakan sebelum ini, kalimah syahadah ini bukan sekadar kalimah hafazan mahupun kalimah tuturan, bahkan ia mempunyai tuntutan yang sewajibnya dilaksanakan.

Dalam post sebelum ini (klik sini deh), saya kira kita seharusnya sudahpun memahami bahawasanya ada dua tuntutan yang paling asas untuk dilaksanakan bagi setiap penutur dan penghafaz kalimah syahadah :-

1) Memastikan akidah bersih daripada sebarang unsur-unsur syirik

2) Memastikan kehidupan benar-benar dijalani berasaskan ajaran Muhammad S.A.W

Itu yang paling asas. Kini, dalam post kali ini, saya ingin membawa kalian melangkah ke dimensi yang lebih jauh lagi, namun masih lagi dalam kerangka untuk mengenalpasti dan seterusnya melaksanakan tuntutan syahadah yang selalu kita ungkapkan itu.

Dalam kalimah syahadah, kita melafazkan kalimah, “Asyhadu..” yang bererti “Sahaja aku naik saksi..” ataupun “Sahaja aku bersaksi..”

Maka secara automatiknya kita adalah seorang SAKSI. Eh. Boleh faham ke?

Adakah sama seperti saksi di mahkamah?
Takpe. Teruskan dulu..

Sebenarnya, perlantikan kita sebagai seorang SAKSI ini sudahpun terpahat kukuh dalam Al Quran. Kalau tak percaya, cuba bukak Al Quran, surah Al Baqarah, ayat ke seratus empat puluh tiga, muka surat dua puluh dua..

“Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) ‘umat pertengahan’, agar kamu menjadi SAKSI atas manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi SAKSI atas kamu.”

“Kami tidak menjadikan kiblat yang (dahulu) kamu (berkiblat) kepadanya melainkan agar Kami mengetahui siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang  berbalik ke belakang.”

“Sungguh, (pemindahan kiblat) itu sangat berat, kecuali bagi orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah. Dan Allah tidak akan menyiakan imanmu.”

“Sungguh, Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang kepada manusia.”

(Al  Baqarah : 143)

Sebelum itu, izinkan saya untuk menceritakan sedikit sebanyak tentang latar belakang ayat ini, sedikit sebanyak apa yang telah saya baca dan perhalusi berkenaan tafsir ayat ini.

Secara ringkasnya, ayat di atas berkisar tentang perihal penukaran arah kiblat daripada Baitul Maqdis kepada Kaabah di Mekah kira-kira enam belas atau tujuh belas bulan selepas ketibaan Rasulullah S.A.W ke Madinah.

Sebenarnya, sebelum hijrah Rasulullah ke Madinah, kaum Muslimin sememangnya menghadap ke arah kaabah tika mana diwajibkan solat ke atas mereka. Namun, sesampainya di Madinah, atas perintah daripada Allah yang disampaikan kepada Rasulullah, mereka menghadap pula ke Baitul Maqdis.

Kemudian, datang pula ayat ke seratus empat puluh empat surah Al Baqarah yang memerintahkan umat Islam memalingkan muka ke arah Masjidil Haram (Kaabah), sekaligus menasakhkan perintah sebelum itu. Begitulah kronologinya.


Isu yang paling popular berkenaan arah kiblat kaum muslimin ini adalah propaganda yang dilancarkan oleh orang-orang yahudi di Madinah. Orang yahudi berbangga tatkala umat Islam menghadap ke arah Baitul Maqdis yang merupakan kiblat utama mereka, justeru mendabik dada mengatakan agama yahudi lah agama yang benar.   

Kekusutan ini ditambah lagi dengan sebahagian dari umat Islam yang berasal dari tanah arab yang masih lagi diselaputi oleh adat jahiliah dan mengagungkan masjidil haram. Mereka berharap agar masjidil haram itulah kiblat untuk umat Islam. Justeru, saat mendengar propaganda yahudi itu, menambah lagi kekusutan mereka.

Arakian, setelah turunnya ayat ke 144 yang memerintahkan umat Islam menghadap Masjidil Haram, orang yahudi meneruskan lagi propaganda mereka. Kali ini lebih hebat lagi. Mereka menuduh solat umat Islam sepanjang-panjang mereka menghadap Baitul Maqdis tidak berpahala. Aduh! Ini parah! Kalau saya ada masa tu, mungkin..mungkin iman saya juga akan tergoyang.

Namun Al Quran telah menjawab dengan begitu cantik sekali tohmahan kaum yahudi ini. Arakian saya tidak mahu menghuraikan lebih lanjut tentang benda ni, kerana fokus kita sekarang adalah ayat ke 143 di atas.

Kita adalah SAKSI ke atas umat manusia.

Justeru apa perkaitan menjadi SAKSI dengan penukaran arah kiblat?

Ceritanya begini..

Orang-orang arab ketika itu sangat mengagumi Masjidil Haram. Anda boleh cari dan baca sendiri sejarahnya. Namun, kekaguman ini berasas kepada sisa-sisa jahiliah. Mereka seolah-olah terjangkit penyakit memuliakan kaum sendiri.

Dan Islam datang umpama hero untuk memusnahkan sisa-sisa jahiliah yang bertunjangkan kepada fanatisme kaum, asobiah dan yang sama waktu dengannya lantas membawa manusia untuk hanya memuliakan dan mengagungkan Allah.

Justeru, arahan untuk menghadap Baitul Maqdis buat setempoh waktu semasa di Madinah, dapat difahami untuk mencabut akar kebanggaan dan fanatisme terhadap Masjidil Haram. Bahawa kononnya Masjidil Haram tempat istimewa buat bangsa arab. Ianya sebuah proses pendidikan buat kaum muslimin ketika itu untuk bebas sepenuhnya  daripada sisa-sisa jahiliah perkauman yang pernah membelenggu mereka sebelum Islam.

Dan dapat difahami juga, arahan untuk menghadap Baitul Maqdis dijadikan indikator untuk check siapa yang benar-benar mengikuti Rasulullah kerana redha pada Islam ataupun ada agenda-agenda lain.

Dan ternyata arahan untuk menghadap Baitul Maqdis dirasakan terlalu berat untuk dihadam dan difahami oleh umat Islam yang hatinya masih terselaput jahiliah perkauman kecuali bagi mereka yang telah diberi petunjuk oleh Allah.

Dan tersangat-sangat penting buat anda, saya, pakcik, makcik untuk memahami, bahawasanya Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail itu sememangnya adalah warisan untuk umat Islam. Di kaabah itu tempat nabi Ibrahim berdoa agar keturunannya dijadikan sebagai nabi.

Maka logiklah di sini tatkala arahan baru untuk menghadap ke Masjidil Haram, kerana ia sememangnya warisan untuk umat Islam. Namun setelah sisa-sisa jahiliah fantisme kaum dibersihkan terlebih dahulu.

Proses pendidikan ini tidak lain dan tidak bukan untuk mempersiapkan umat Islam sebagai umat pertengahan yang menjadi SAKSI ke atas umat manusia kerana tugas menjadi SAKSI ke atas umat manusia ini bukan sesuatu yang mudah.

Persoalannya di sini..

Mengapa SAKSI?

Apa tugas seorang SAKSI?

Apa perkaitan umat pertengahan dan SAKSI?

Saya simpan dulu jawapan-jawapan untuk semua persoalan di atas dalam siri penulisan Syahadatul Haq yang seterusnya. Jadi, pastikan anda terus mengikuti siri penulisan ini dengan istiqamah. Yang paling penting di sini, faham dulu betul-betul apa yang telah saya bebelkan di atas.

Setakat di sini dulu. Alhamdulillah. Semoga Allah redha.

Wednesday, 20 November 2013

Syahadatul Haq #1 : Sebuah Pengenalan

Sahaja aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan sahaja aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.

Mengikut percaturan matematik saya, sekurang-kurangnya sembilan kali kita mengungkapkan kalimah ini dalam sehari bagi yang lengkap solat fardu lima waktunya. Bagi yang tak lengkap, silalah bertaubat sebelum ajal mendekat. Pesanan penaja hari ini.

Sembilan kali..

Sembilan kali ye. Banyak tu. Itu belum lagi termasuk yang istiqamah melaksanakan solat sunat rawatib, solat sunat taubat dan beraneka jenis solat-solat sunat yang ada di pasaran ibadah. Tidak ketinggalan juga solat sunat istikharah bila nak kawen. Banyak..Banyak kali kita lafazkan kalimah syahadah ini.

Dulu masa saya sekolah pun ada seorang ustaz yang ingatkan kami untuk selalu bersyahadah pada setiap kali free-time. Habis study, bersyahadah. Lepas main bola petang-petang, bersyahadah. Nak verify iman katanya. Betullah tu. Pointnya kat sini, baaanyak yang terlalu kita bersyahadah dalam sehari. Boleh jadi seratus, boleh jadi seribu bahkan berjuta. Ok. Hiperbola sedikit di situ.

Arakian…

Apakah pengertian sebenar syahadah yang kita ungkapkan itu? Adakah ianya hanya sekadar alat untuk verify iman? Ataupun hanya sekadar pra-syarat untuk mendapatkan cop “sah” solat?

Sekian lama persoalan-persoalan ini dibiarkan tanpa jawapan. Maka hari ini, saya memaksa diri saya untuk merungkai fakta demi fakta, dengan niat untuk menghentikan sebarang polemik lantas menatijahkan sebuah kefahaman berasaskan syahadah yang hakiki.

Demi redha Allah..

Hamboi ayat..

Begini ceritanya. Setelah muncul dengan siri penulisan Kembara Tarbiah, kini saya mengembangkan lagi sayap penulisan blog ini dengan meng’initiate’kan siri penulisan Syahadatul Haq. Siri penulisan Syahadatul Haq ini bolehlah dikatakan sebagai sambungan dan rentetan daripada siri penulisan Kembara Tarbiah sebelum ini.   

Bagi anda yang tidak berkesempatan untuk mengikuti Kembara Tarbiah dek kesibukan study ke, kerja ke, jahit baju ke, pihak penaja sangat menggalakkan anda untuk membaca dahulu siri-siri penulisan Kembara Tarbiah secara berturutan sebelum anda mengikuti siri penulisan Syahadatul Haq ini. Kesemua link untuk siri-siri penulisan Kembara Tarbiah sudahpun selamat ditampal dibahagian kanan blog ini.  

Sebenarnya saya pun pening juga memikirkan bagaimana nak memulakan siri penulisan Syahadatul Haq ini. Fikir-punya fikir, maka saya pun berijtihdad, adalah molek dan anggun sekali jika saya memulakan dengan pembedahan kalimah syahadah.

Maka mari kita membedah kalimah agung ini bahagian demi bahagian..

Saya membahagikan kalimah syahadah kepada dua bahagian..

Bahagian pertama ialah kesaksian bahawasanya Allah itu Tuhan yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, dan bahawasanya hanya Dia sahaja yang layak disembah.

Bahagian kedua pula kesaksian bahawasanya Muhammad itu adalah utusan Allah, diutuskan oleh-Nya untuk menyebarkan Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam.

Baiklah.. 

Jadi apa korelasinya antara kedua-dua pembahagian syahadah dengan kehidupan kita?

Relax sebentar dengan teh kurang manis..

Ok sambung balik..

Begini. Kalimah syahadah terdiri daripada kedua-dua kesaksian ini. Tidak boleh beriman dengan salah satu sahaja bahkan wajib untuk kita mengimani kedua-duanya.

Percaya kepada Allah tetapi tidak Rasulullah menyebabkan kita akan tersesak nafas lantas tenggelam dalam lautan kehidupan. Percaya kepada Rasulullah tetapi tidak Allah itu berat nanang yang tersangat.

Dalam kesaksian yang pertama, kita mengimani keesaan Allah. Perhatikan. Di sini kaedah penafian dan kemudiannya penetapan digunakan.

La ilaaha (TIADA sembahan) : Penafian. Menafikan adanya sembahan.

Illallah (SELAIN Allah) : Penetapan. Menetapkan bahawasanya HANYA Allah yang layak                                                          disembah.

Justeru, saat melafazkan kesaksian yang pertama ini, kita sudahpun seharusnya membersihkan hati dan perlakuan kita daripada sebarang unsur-unsur syirik dan mempersekutukan Allah.

Dalam kesaksian yang kedua pula, ianya mengandungi elemen perakuan. Ala-ala akuan bersumpah gitu. Kita memperakui bahawasanya Muhammad S.A.W adalah utusan Allah.

Kesaksian yang kedua ini bersangkut paut dengan kesaksian yang pertama. Justeru, pada saat kita memperakui keesaan Allah, dan memperakui kerasulan Muhammad S.A.W, lantas sewajarnya bahkan sewajibnya kita mengikuti apa yang diajari Muhammad S.A.W tanpa menambah apatah lagi mengurangkan walau sedikitpun.

Justeru,  dapat disimpulkan…

Syahadah yang pertama lawan kepada SYIRIK (mempersekutukan Allah)

Syahadah yang kedua lawan kepada BIDAAH (tokok tambah dalam agama)

Inilah dia makna disebalik kalimah syahadah yang kita ungkapkan sekurang-kurangnya sembilan kali sehari semalam itu. Lantas selepas ini sewajarnya kita menghayati serta memahami tuntutan di sebalik syahadah ini.

Untuk siri penulisan yang pertama ini, dapat saya simpulkan tuntutan yang menjadi prioriti di sini adalah untuk kita memperkasakan akidah kita dalam mentauhidkan Allah. Kemudian untuk check semula amalan-amalan kita sama ada ianya disandarkan kepada Rasulullah atau hanya sekadar tokok tambah yang diwarisi secara turun-temurun.

Begitulah tuntutan syahadah.

Sebenarnya ada banyak lagi tuntutan di sebalik syahadah yang begitu mudah dihafaz dan dituturkan ini. Justeru, pastikan anda tidak ketinggalan untuk mengikuti siri penulisan Syahadatul Haq ini. Jangan lupa ajak sekali jiran-jiran berdekatan.

Sehingga bertemu lagi. Moga Allah redha..