Saturday, 1 June 2013

BIARKAN UKHUWWAH BERBICARA

Ukhuwwah. Ia persoalan yang begitu sukar untuk digarap juga dipanjang-panjangkan. Ia bukan sekadar hadir di kala kita bergembira ria. Tapi ia juga turut hadir di kala berduka nestapa lara. Orang kata ukhuwwah itu manis rasanya, tapi adakah ia akan semanis gula? Kemanisan gula yang menarik semut-semut untuk menggeremuninya. Adakah sifir yang sama teraplikasi untuk ukhuwwah? Jika ianya sama, siapakah semut-semut yang akan menggeremuni ukhuwwah?

Begitulah dan seterusnya. Bila kita berbicara tentang kemanisan ukhuwwah, kemanisan itu dilihat dari sudut pandang yang mana? Ramai orang yang beranggapan ukhuwwah itu manis jika atmosfera yang mengelilinginya di hiasi dengan gelak dan tawa. Namun jika tangis dan sendu menjadi perhiasannya, adakah kemanisan yang serupa turut akan dirasa? Jika kemanisannya berbeza, kemanisan yang bagaimana?

Mungkin ramai yang menyangka persoalan demi persoalan ini sekadar memeningkan kepala. Namun realitinya ramai yang kecundang. Kecewa dalam harapan. Hanyut dengan impian. Kesemuanya kerana salah faham tentang ukhuwwah. Ukhuwwah itu sifirnya tidak akan selalu gembira, tidak akan selalu ketawa. Adakala kita akan sengsara dalam berukhuwwah. Kerana nilai sebenar ukhuwwah itu menuntut harga pengorbanan yang cukup tinggi. Dan pengorbanan itu tidak pernah mudah.

Penat sebenarnya. Kecewa dalam harapan. Aku silap kerana memikirkan dirimu sempurna. Bahkan aku pun jauh tidak

Saya melihat ramai orang yang kecundang dalam ukhuwwah ini berputus asa dengan angan-angan sendiri. Semuanya gara-gara meletakkan harapan yang terlalu tinggi dalam ukhuwwah. Sedangkan ukhuwwah itu tidak pernah menjanjikan keseronokan dan kegembiraan. Mungkin saja saya yang terlalu extreme dalam menilai ukhuwwah. Tapi yang saya pasti ia bukan sekadar tentang gembira. Ia bukan sekadar tentang ceria.

Saat kita berpegangan tangan berjalan bersama, kita katakan itu ukhuwwah.

Saat kita bahagia makan berdulangan, kita katakan itu ukhuwwah.

Saat kita bernyanyi lagu dengan nada yang sama, kita katakan itu ukhuwwah.

Tetapi ukhuwwah itu turut wujud tika kita saling bertegang urat. Ukhuwwah itu ada saat kita berselisih pendapat. Ukhuwwah ada di sana bila kita saling menjauh hati. Bagaimana? Sebab di saat seseorang itu telah berjanji untuk mencintai saudaranya kerana Tuhan, bukankah Tuhan itu sentiasa ada? Itulah yang dinamakan ukhuwah fillah. Cukup cantik disambung dengan abadan abada.

Ukhuwwah yang dibina atas dasar iman akan sentiasa terpaut pada iman. Saat iman mula merapuh, ukhuwwah mula roboh. Persoalan di sini, jika iman itu turun naik, adakah ukhuwwah juga seperti ombak lagaknya? Saya memilih untuk menjawab “iya”. Orang yang ikhlas dalam berukhuwwah, akan sentiasa menjaga imannya. Iman kepada Allah yang mendasari ukhuwaah, maka ukhuwwah itu akan manis dalam tawar, rindu dalam benci.

Aku penat tidak dipeduli, lantas aku memilih untuk tidak mempeduli

Sebab itu bila dikatakan ukhuwwah itu seperti madu sifatnya, saya cukup berjaga-jaga. Ramai sudah menjadi mangsa. Datang dengan harapan, pulang dengan kekecewaan. Siapa lagi yang mahu kecewa?

Saya sendiri belum jelas akan hakikat sebenar ukhuwwah. Ianya terlalu misteri. Sukar untuk diertikan. Saya belum memegang mana-mana definisi untuk ukhuwwah. Apatah lagi ukhuwwah fillah. Mata ini belum pernah melihat bagaimana rupa orang-orang yang mendasari ukhuwwah dengan iman.

Yang pasti ia bukan hanya sekadar bergelak tawa, bermanis manja. Saya tidak mahu kecewa.

Ukhuwwah

No comments:

Post a Comment