Friday, 28 June 2013

DARI MELBOURNE KE MESIR, ADA CINTA ANTARA KEDUANYA V

“Awak Hani Arina binti Abu Bakar?”, wanita separuh abad di hadapannya itu bertanya dengan nada lembut.

Hani telah diberitahu oleh kerani di Kedutaan Malaysia bahawa dia akan dibawa berjumpa dengan individu yang bertanggungjawab menguruskan kebajikan pelajar-pelajar Malaysia di Mesir, Ustazah Sharifah.

“Iya saya,” Hani membalas ringkas tetapi penuh bersemangat. Segaris senyuman terpancar dari wajah ayu anak gadis kampung itu.

Hani memerhatikan Ustazah Sharifah menulis sesuatu di atas sekeping kertas. Mungkin prosedur biasa bagi pelajar yang baru mendaftar seperti dia. Begitulah fikir Hani. Wanita itu masih lagi kelihatan anggun walaupun sudah berusia. Dan sekali sekala, terserlah sifat keibuannya melalui gaya interaksinya bersama pegawai-pegawai di Kedutaan Malaysia itu. Lantas Hani terkenangkan ibu tuanya di kampung.

“Hani, mak baru balik dari pejabat pos ni haa, permohonan kau nak sambung belajar ke Mesir diterima nak, Alhamdulillah!”

Mak Tam bergegas memanjat tangga rumahnya sambil melaungkan nama Hani. Sementara itu Hani hanya mendiamkan diri di dalam bilik. Bukannya dia tidak mendengar panggilan ibunya itu, namun sengaja dia memilih untuk mendiamkan diri. Semenjak peristiwa dia dirogol ketika berseorangan dirumah, Hani telah berubah menjadi seorang yang pendiam dan jarang keluar dari rumah. Semangatnya untuk menyambung pelajaran pun kian pudar. Dan peristiwa itu tidak diceritakan kepada sesiapa pun termasuk ibunya sendiri.

Ketika Mak Tam menjengah ke dalam bilik Hani, dilihatnya Hani sedang melipat baju-baju yang bertimbunan di atas katil.

“Kau ni kenapa Hani? Kau tak sihat ke nak?”

Mak Tam bertanya. Penuh kasih sayang. Bimbang juga dia melihat anak daranya itu seperti sudah kurang bercakap. Namun Mak Tam tidak mahu bersangka bukan-bukan. Dia menganggap Hani kesedihan setelah kematian ayahnya dan pemergian Imran ke Australia. Dahulu sebelum kematian Pak Abu, Mak Tam dan suaminya itu pernah merancang untuk mengahwinkan Hani dengan Imran walaupun ketika itu usia Hani dan Imran masih muda. Namun setelah kematian Pak Abu, rancangan itu hanya tinggal rancangan. Begitupun, Mak Tam masih menyimpan harapan agar suatu hari nanti impiannya ingin melihat Hani dan Imran bersatu tercapai.

“Tak de apa-apa la mak,” Hani menjawab bersahaja. Dia meneruskan kerja melipat pakaian tanpa menoleh ke arah ibunya.

“Hani…”

Mak Tam menghampiri Hani lalu duduk di atas katil bersebelahan dengan Hani. Hani memandang ibunya sekilas. Perlahan-lahan dia tersenyum.

“Mak nak sangat satu hari nanti Hani jadi isteri Imran, sebelum mak menutup mata,” Mak Tam berterus terang. Berharap Hani senang menerimanya.

Air muka Hani berubah. Dia menatap wajah Mak Tam sedalam-dalamnya. Air mata bergenang di kelopak matanya. Tidak sanggup rasanya untuk bersuamikan seorang perogol. Lelaki yang tergamak merogol anak perempuan kepada sepasang suami isteri yang telah banyak membantu hidupnya selama ini. Namun kata-kata Mak Tam yang syahdu seakan-akan tidak terlawan oleh Hani. Dia kepasrahan. Dan tanpa disedarinya air matanya mengalir membasahi pipi.

“Hani Arina…”

Panggilan Ustazah Sharifah itu mematikan lamunan Hani. Dia bingkas tersenyum. Berpura-pura tiada apa yang difikirkannya.

“Ustazah, boleh saya tahu saya akan tinggal di mana?”

Hani memberanikan diri bertanya kepada Ustaz Sharifah semasa mereka telahpun keluar dari bangunan Kedutaan Malaysia.

“Oh ya, terlupa pula ustazah nak beritahu, in sha Allah, Hani akan tinggal di Beit Syurahbil bersama 3 orang akhawat yang lain,” Ustazah Sharifah membalas sambil tersenyum.

“Akhawat?” Hani seakan-akan asing dengan istilah itu.

“Akhawat ni maknanya saudara perempuan. Ish, pelajar jurusan dinniyah macam Hani kena biasakan dengan istilah-istilah arab,” Ustazah Sharifah menerangkan panjang lebar.

“Sekarang ustazah nak bawak Hani berjumpa dengan kawan-kawan serumah Hani, mereka dah berjanji nak tunggu di Masjid Al-Azhar,” sambung Ustazah Sharifah lagi.

Hani hanya mengangguk. Dia sudah dapat merasakan keterujaan untuk memulakan hidup di bumi anbiya’ ini.

…………………………………………………………………………………………………………………............

Irfan memerhatikan keadaan sekeliling jalan raya di kota Melbourne itu. Dia mencari-cari bas awam untuk pulang ke rumahnya. Sebenarnya dengan status tinggi yang disandang oleh kedua ibu bapanya, Irfan mampu untuk memiliki sebuah kereta untuk digunakan di Melbourne. Namun sengaja Irfan memilih untuk hidup seperti seorang pelajar biasa di situ. Tambahan pula, rakan-rakannya di Melbourne terdiri daripada orang-orang kebanyakan. Maka, berperawakan seperti pelajar biasa adalah yang paling terbaik untuk memudahkan pergaulan dengan mereka. Begitulah yang difikirkan oleh Irfan.

Setelah menunggu lebih 10 minit di perhentian bas yang disediakan, Irfan mengambil keputusan untuk pulang menaiki teksi yang sememangnya banyak beroperasi disekitar kota Melbourne itu. Dalam perjalanan, pemuda tampan itu memanfaatkan masa yang ada untuk memperbaiki ayat hafazannya. Sesekali dia mencuri-curi tengok Al Quran zip yang sentiasa di bawanya ke mana-mana sahaja dia pergi semenjak berada di sekolah menengah.

Setibanya di rumah, Irfan tidak terus menuju ke bilik tidurnya, sebaliknya dia memasuki bilik Syaukat yang terletak di hadapan biliknya.

“Syaukat, boleh tak kalau aku nak pinjam computer kau?”

“Boleh je, gunalah, lagipun aku nak keluar ni, ada usrah kat Theme Park,” Syaukat membalas sambil menyikat rambut berikalnya itu.

“Alright, thanks Syaukat,” Irfan terus menuju ke meja computer milik Syaukat. Menghidupkan suis-suis yang diperlukan untuk membolehkan computer itu beroperasi.

Sepeninggalan Syaukat, Irfan membuka emailnya. Sudah menjadi kewajipan untuk Irfan untuk memeriksa emailnya seminggu dua kali kalau-kalau ada makluman terbaru yang disampaikan daripada persatuan-persatuan yang disertainya.

Namun kali ini cukup berbeza. Ibunya sendiri telah menelefonnya dari Malaysia memintanya untuk memeriksa email. Perlahan-lahan dia mengklik pada tab yang bertulis “ummi”. Irfan memerhatikan sekali lalu email yang dihantar ibunya itu. Terdapat gambar seorang muslimah bersama dengan seorang wanita berusia yang disertakan sekali.  

Assalamualaikum Irfan, ummi harap Irfan terus menerus berada dalam lembayung rahmatnya dan istiqamah dalam dunia tarbiah. Tujuan ummi menghantar email ini kepada Irfan sebenarnya untuk meminta Irfan pulang ke Malaysia bagi membincangkan sesuatu yang serius. Actually, we have discussed about this matter with our family member. Kami bersetuju untuk mempercepatkan perkahwinan Irfan dengan Aisyah yang sepatutnya diadakan pada tahun depan. Ummi faham mungkin Irfan akan sedikit terkejut dengan keputusan ini, tapi ummi nak Irfan tahu yang keputusan ini, in sha Allah yang terbaik untuk Dakwah dan Tarbiah, baik bagi diri Irfan mahupun Aisyah. Ummi tak mahu Irfan terburu-buru menyatakan pandangan Irfan. Ummi mohon Irfan pulang dahulu ke Malaysia, dan setelah itu barulah kita boleh berbincang secara panjang lebar. May Allah bless you.

Lots of love
Dr. Murshidah
Your Ummi

Irfan memerhatikan kalendar yang terletak di atas meja computer itu. Mencari-cari tarikh yang sesuai untuk pulang ke tanah air. Hatinya gundah gelana.

“Mengapa secara tiba-tiba..? Allah….”    


-[Part V]- Bersambung

Tuesday, 25 June 2013

DWELL UPON THE PAST

Giving up something the heart adores is one of the hardest battles we ever have to fight.

Saya mempunyai satu hobi yang boleh dikategorikan sebagai tidak senonoh. Saya gemar menyelongkar laman muka buku sahabat-sahabat yang boleh dikatakan sudah mencapai tahap super saiya dalam arena dakwah dan tarbiah. Semangat saya berkobar-kobar melihat gelombang perubahan dalam diri mereka. Daripada menulis status-status yang lagha dan kerepek, mereka mula menghapdate status-status yang tarbawi gitu. Nak menangis pun ada. Saya yakin dan pasti, bukan mudah untuk bermujahadah meninggalkan lorong gelap jahiliah yang hanyir dan berkulat itu. Ianya tidak semudah merebus maggi tomyam.

Semua manusia atas muka bumi ini punya kisah silam yang tersendiri. Hatta, Umar Al-Khatab, manusia yang namanya harum semerbak kasturi juga punya cerita lampau. Bagaimana sebelum di tarbiah, Umar Al-Khatab adalah seorang yang hina dan kehidupannya terdampar di lorong gelap jahiliah, namun setelah di sapa makcik Hidayah, lihatlah sejarah ulung Umar Al-Khatab. Malah, beliau adalah salah seorang sahabat yang dijanjikan syurga. Walaweh!

Ok dah nak masuk part sedih.

Saya cukup-cukup memahami betapa getirnya ujian masa silam ini. Kerana saya turut pernah mengalaminya. Malah saya tidak malu mengatakan saya masih lagi diuji dengan ujian masa silam. Ia terlalu menyakitkan. Ia diibaratkan seperti anda sedang bergelut dalam pusaran air yang menarik anda ke dasar laut. Anda berusaha untuk keluar dari tarikan itu. Sesekali anda berjaya dan berpeluang merasai lazatnya udara di atas permukaan air namun anda terus ditarik, ditarik dan ditarik. Akhirnya anda kepenatan dan tertewas. Maka mencairlah tarbiah yang pernah diterima. Runtuhlah iman yang sekian lama dibina. Hanya kerana masa silam.

Jika dahulunya dia pernah bergelumang dengan lautan hanyir percintaan jahiliah. Berhubungan antara teruna dan dara sesuka hati. Namun dengan kasih dan sayang-Nya, Allah mempertemukannya dengan kelazatan tarbiah. Perlahan-lahan dia keluar dari bilik kotor dan berdebu itu menuju ke satu dunia yang baru. Dunia di mana dia mula mengenali apa itu ukhuwwah fillah. Namun jahiliah pantang mengalah. Sesekali dia terseret juga ke bilik itu semula. Bagi yang pernah mengalaminya, kalian pasti mengerti sesungguhnya ia tidak mudah.

Begitu juga dengan para kipas susah mati bola ataupun gamer tegar. Jika anda sebahagian daripada mereka sewaktu bersama-sama  berseronokan di dunia gelap, anda pasti tahu bagaimana bergayanya turning mereka setelah mengenali tarbiah. Gamer tegar misalnya, sudah pasti menghadapi krisis yang sangat-sangat dahsyat pada permulaan fasa tarbiahnya. Masakan tidak, waktu-waktu yang dahulunya sering terisi dengan bergayanya dengan bermain game kini perlu diisi dengan sesuatu yang tarbawi. Membaca Al-Quran. Membaca buku-buku fikrah. Ia tidak mudah. Saya cukup percaya.

Tarikan-tarikan untuk kembali semula ke masa silam yang kelam itu akan sentiasa ada. Bahkan ia tidak pernah tiada. Dan tiada siapa pernah memberi jaminan bahawa jalan mujahadah ini mudah. Sebab itu, dalam Al Quran, Allah secara terus-terang menyatakan kebersamaan-Nya bersama orang-orang yang berjihad ini. Tanda cinta Allah pada hamba-hamba yang bermujahadah mencari redha-Nya. Allahu Allah. Terharu. Menangis.

Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah berserta orang-orang yang berbuat baik.
(29 : 69)

Ikhwah dan akhawat sekalian,

Ketahuilah Allah tidak pernah mempersiakan mujahadah kalian semua. Setiap titis air mata dan setiap keluhan kata, Allah Maha Mengetahui, Allah Maha Melihat, Allah Maha Mendengar. Terus-meneruslah berdoa agar suatu hari nanti Allah membebaskan kalian dari belenggu masa silam yang benar-benar menghambat diri. Jangan lupa titipkan doa buat saya sekali.

Sesungguhnya jalan menuju ke syurga itu tidak pernah dihiasi dengan mawar-mawar merah dan pewangi-pewangi harum, tetapi di jalan itu terbentangnya karpet mujahadah, yang menuntut peluh dan air mata. Percayalah, syahadah yang benar tidak pernah mempersiakan setiap titisan peluh dan linangan air mata di jalan Allah.

Titisan air mata menyubur cinta
Dan rindu pun berbunga
Mekar tidak pernah layu
Damainya hati yang dulu resah keliru
Cintaku tak kan pudar diuji dugaan
Menghantar harapan moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina

Duhai ikhwah dan akhawat,

“Dan kerana Tuhanmu, bersabarlah..”


Friday, 7 June 2013

DARI MELBOURNE KE MESIR, ADA CINTA ANTARA KEDUANYA IV

Dua tahun kemudian…

Imran memandang kawasan persekitaran dari balkoni rumah sewanya. Suasana pagi itu cukup indah. Berkabus dan mendinginkan. Menandakan musim sejuk bakal menjelang tidak lama lagi. Sudah lebih setahun dia berkelana di bumi kanggaru ini. Permusafiran yang diharapkan dapat mengangkat martabat keluarganya. Tanpa dia sedari, dirinya tersenyum sendirian. Mengimbau kenangan lampau.

“Amboi Im, senyum sorang-sorang nampak? Siapa gadis bertuah tu?”

Irfan berdiri di sisi Imran. Mengusik sahabat baiknya itu. Imran memandang wajah Irfan. Tersenyum lagi. Kali ini lebih manis dan berseri.

“Wanita itu bernama Khadijah binti Ismail,” Imran mengenyitkan mata. Irfan tergelak kecil.

“Beruntung ibu kau dapat anak macam kau Im,” Irfan meluahkan bicara.

Imran menghantar pandangannya jauh ke hadapan. Seakan-akan merindukan seseorang yang jauh. Jauh di tanah air. Dan ia benar-benar terpancar pada cahaya wajahnya.

“Aku rindu dengan dia Fan”

Suasana sunyi. Sepi tanpa bicara. Irfan mendiamkan diri. Membiarkan Imran melayani perasaannya buat seketika.

“Im, jom kita jogging pagi ni, nanti aku ajak Muaz, Syaukat and the gang sekali,” Irfan cuba menukar tajuk.

“Eh, jom lah, aku pun dah lama tak berjogging ni,” Imran membalas. Penuh keterujaan.

Dan mereka bersama-sama masuk ke dalam rumah. Mempersiapkan diri. Tanpa membuang masa, Irfan pantas mencapai telefon bimbitnya, menyebarkan plan terbaru itu kepada seramai mana sahabat-sahabat seperjuangan di bumi kanggaru.

“Kau ajak siapa lagi Fan?,” Imran bertanya. Mengharapkan ada lagi kenalan baru yang boleh ditemuinya.

Selama di Australia, hanya melalui Irfan sahajalah Imran dapat mengenali rakan-rakan dan sahabat-sahabat baru dari pelbagai universiti dan latar belakang. Dan sememangnya Imran seorang yang tidak begitu pandai bergaul. Tidak seperti Irfan yang semenjak dari kecil sudah dibiasakan untuk bergaul dengan orang ramai. Dan perwatakan Irfan itu betul-betul terserlah dengan kesibukannya menghadiri pelbagai program mahasiswa di Australia. Irfan merupakan anak kepada pasangan doktor di Malaysia, Dr. Dzulkarnain dan Dr. Murshidah yang sudah pun memiliki perniagaan berkaitan perubatan tersendiri seperti klinik dan farmasi. Dan keberadaan Irfan di Australia ini sebagai persiapan untuk menyambung legasi ibu dan ayahnya. Begitulah fikir Imran.

“Haaa, kali ini aku ajak member-member dari Sydney sekali, dah dua hari mereka di Melbourne, ada program,” Irfan membalas sambil menutup zip beg sandang yang selalu dibawanya ke mana sahaja dia pergi.

Imran hanya tersenyum. Dia sudah dapat merasakan dirinya tidak sabar untuk berjumpa dengan kenalan-kenalan baru. Di bumi Australia ini, tidak banyak individu yang boleh dianggap sebagai sahabat karib kepada Imran. Yang banyak adalah kenalan-kenalan biasa. Antara sahabat baiknya di sini termasuklah Irfan, Muaz dan Syaukat yang merupakan teman serumahnya.

“Syaukat, jangan lupa bawa tikar sekali eh, boleh picnic-picnic,” kata-kata Irfan mematikan lamunan Imran.

“Alright Fan,” Syaukat membalas sambil menunjukkan isyarat melalui ibu jarinya.

…………………………………………………………………………………………………………………

Aishah memerhati keadaan sekeliling. Cuba mencari kelibat sesorang. Keadaan di Khan Khalili waktu itu dipenuhi ramai pelancong yang datang dari seluruh semenanjung tanah arab. Agak sukar buat Aishah mengecam mana-mana individu yang dikenalinya.

Dan secara tiba-tiba satu suara menyapanya dari arah belakang.

“Haa cik Aishah kita ni, Assalamualaikum,” Faizah mencuit pinggang Aishah. Cuba mengusik.

“Ish awak ni, terkejut saya, Waalaikumussalam,” Aishah membalas sambil mencubit manja lengan Faizah. Faizah tergelak kecil.

“Lama dah awak tunggu saya?,” Faizah bertanya. Cuba memujuk.

“Saya dah sempat beranak satu tunggu awak tahu,” Aishah mencebikkan mukanya. Merajuk tapi manja.

“Amboi, gatai nuuuh, tak sabar nak beranak,” Faizah terus mengusik. Lucu melihat gelagat sahabat karibnya itu.

“Ish, ke situ pulak awak ni, jom kita pergi cepat,” Aishah menarik lengan Faizah mengikutinya. Faizah menurutkan sahaja namun masih lagi diiringi gelak tawa manja.

Mereka berdua bersama-sama menyoroti tapak Khan Khalili itu. Berjalan beriringan untuk pulang ke tempat kediaman. Semenjak dari pagi tadi, sudah agak lama mereka menghabiskan masa berjalan-jalan di sekitar Bandar Kaherah. Melawat Masjid Al Azhar, Masjid Saidina Hussain dan Muzeum Tahrir. Aishah dan Faizah merupakan pelajar jurusan perubatan di Mesir. Sudah dua tahun mereka berada di bumi Anbiya’ ini, berjauhan dengan keluarga tersayang di Malaysia demi segulung ijazah untuk mencapai cita-cita yang sama. Menjadi seorang doktor yang berjaya.

“Aishah, awak tahu tak, dengar khabarnya ada seorang pelajar dari Malaysia akan sampai ke Mesir beberapa hari lagi,” Faizah bertanya sambil membersihkan tempat duduk di perhentian teksi itu menggunakan beg sandangnya.

“Saya ada juga dengar berita itu dari Ustazah Sharifah minggu lepas, wah, pelajar jurusan diniyyah gitu, sementara rumah kita ada satu lagi kekosongan, bolehlah pelawa dia duduk dengan kita nanti,” Aishah membalas sambil tersenyum.

“Saya setuju sangat. Nanti tak ada lah awak asyik menggatal nak kahwin,” usik Faizah.

“Ish awak ni, tak habis-habis menyakat saya, eh awak, apa nama pelajar baru tu,” Aishah bertanya. Ingin tahu.

“Sekejap ye, saya check,” balas Faizah sambil mencari telefon bimbitnya dalam beg sandang yang dibawanya.


-[Part IV] - Bersambung

Thursday, 6 June 2013

DARI MELBOURNE KE MESIR, ADA CINTA ANTARA KEDUANYA III

Suasana di tanah perkuburan petang itu sungguh syahdu. Setiap lapisan udara seakan-akan diselaputi dengan molekul-molekul kesedihan. Ia terpancar pada setiap wajah insan-insan yang terpacak tegak di bawah sinaran matahari petang mendengar bacaan talqin yang dikumandangkan oleh sang imam. Kelihatan Imran dan beberapa orang pemuda sedang bertungkus-lumus mencedok tanah untuk meninggikan sebuah kubur yang masih lagi segar isinya. Kubur yang menjadi rumah kepada seseorang yang pernah berjasa semasa hidupnya. Lebih-lebih lagi kepada Imran.

Namun wajah Imran kekal tenang. Seakan-akan meredhai ketentuan ilahi. Sememangnya anak muda itu memiliki semangat yang kental. Persis ayahnya. Beransur-ansur, sedikit demi sedikit orang-orang kampung mula meninggalkan tanah perkuburan itu. Dan kini tinggal Imran keseorangan mencangkung di birai kubur, menggosok-gosok tanah dengan kedua-dua tapak tangannya, seakan-akan tidak mahu berpisah dengan jasad di dalam kubur itu.

Dan satu sentuhan lembut singgah di bahunya.

“Im, jom kita balik nak,” lembut suara Mak Jah menyapa. Cuba memujuk Im.

“Ibu baliklah dulu, Im nak bersendirian di sini,” Imran masih lagi mencangkung. Hanya kepalanya yang ditolehkan menghadap wajah ibunya.

Mak Jah akur. Orang tua itu longlai melangkah pergi meninggalkan tanah perkuburan itu. Meninggalkan Imran keseorangan di situ. Dan Imran terus hanyut dalam kenangannya.

…………………………………………………………………………………………

“Terima kasih semua sudi datang ke teratak saya ni..”

Mak Tam menghantar tetamunya yang hadir ke majlis tahlil pada malam itu hingga ke tangga rumah.

Para hadirin beransur-ansur pulang. Ada yang menghulurkan wang sedekah tanda simpati kepada Mak Tam. Usai bersalam-salaman dan berpeluk-pelukan bersama-sama dengan wanita-wanita yang turut hadir pada majlis itu, Mak Tam bingkas naik semula untuk masuk ke dalam rumahnya sambil diekori oleh Hani dan Mak Jah yang turut bersama dengan Mak Tam meraikan tetamu.

“Im harap Mak Tam tabah menerima dugaan ini, Im yakin roh Pak Abu akan ditempatkan dalam kalangan orang soleh dan beriman, Pak Abu dah banyak tolong keluarga Im”

Imran memulakan bicara. Mak Jah hanya diam memerhati. Seakan-akan memahami perasaan Mak Tam. Kehilangan suami sememangnya merupakan sesuatu yang berat untuk dihadapi. Lebih-lebih lagi bagi wanita kampung sperti mereka yang benar-benar bergantung kepada suami. Mak Jah juga mengakui akan hakikat besarnya jasa Pak Abu kepada keluarga mereka. Masih lagi dia ingat ketika peristiwa dia diserang penyakit jantung pada minggu lepas. Jika bukan kerana Pak Abu yang bergegas ke rumah mereka setelah terdengar jeritan Imran, lantas membawanya ke hospital dengan menggunakan kereta, mungkin dia sudah tiada di dunia ini lagi. Begitulah fikir Mak Jah.

“Terima kasih Im, Mak Tam berterima kasih sangat-sangat dengan sokongan Im, tak tahulah Mak Tam macam mana nak teruskan hidup lepas ni,” balas Mak Tam dengan wajah yang sugul.

Mendengar itu, Hani bingkas memeluk ibunya. Cuba menenangkan.

“In sha Allah mak, Hani kan ada,” Hani meletakkan kepalanya ke bahu ibunya. Imran hanya memerhati.

“Im…..”

Mak Tam memandang wajah Imran. Terdapat cahaya pengharapan pada bebola matanya. Imran membalas pandangan mata Mak Tam. Penuh dengan penantian.

“Dulu Pak Abu ada meluahkan hasrat dia pada Mak Tam…” Mak Tam berhenti sebentar. Menunggu reaksi Imran.

“Imran, tolong ibu ni, aduuhh,” kedengaran suara Mak Jah dari arah dapur.

“Eh, ibu kenapa?”

Imran bergegas menuju ke dapur diekori oleh Mak Tam dan Hani. Kelihatan Mak Jah sedang duduk sambil memicit-micit kakinya.

“Kaki ibu terlanggar lesung tadi, ya Allah sakitnya,” Mak Jah mengerang.

“Ish ibu ni, tu la, tak hati-hati,” Imran mengomel sendirian sambil mengurut kaki ibunya.

“Boleh ke jalan nak balik tu?,” Mak Tam menyampuk sambil mengerutkan dahinya.

“Boleh ni Tam, sakit sikit je,” Mak Jah cuba bangun.  Imran membantu.

Imran memapah ibunya menuju ke pintu. Mak Jah masih lagi berjalan terenjut-enjut.

“Im….”

Mak Tam cuba menahan Imran.

“Ya Mak Tam?,” Imran menoleh.

“Tak de apa lah, jangan lupa urut kaki ibu tu,” Mak Tam mematikan bicara.

Imran hanya tersenyum. Memapah ibunya untuk pulang ke rumah yang hanya bersebelahan sahaja dengan rumah Mak Tam.

……………………………………………………………………………………………………………………..

Sudah seminggu semenjak pemergian Pak Abu. Penduduk Kampung Murni meneruskan kerja-kerja mereka seperti biasa. Cakap-cakap mengenai peristiwa kematian Pak Abu yang misteri itu sudah berkurangan. Namun jasa dan kebaikan Pak Abu di Kampung Murni itu tetap tidak akan dilupakan buat selama-lamanya. Pak Abu meninggal dunia ketika tidur. Mengikut laporan bedah siasat, Pak Abu meninggal dunia akibat sesak nafas. Perkara ini langsung tidak disedari oleh Mak Tam yang tidur di sebelah Pak Abu malam itu.

“Mak nak pergi pekan sekejap ni, Hani tolong jaga rumah ye,” Mak Tam melaungkan suaranya di muka pintu.

“Ye mak,” Hani membalas dari dalam bilik.

Mak Tam bergegas menuju ke teksi yang menunggu di perkarangan rumah. Hani memerhatikan teksi itu meninggalkan perkarangan rumah dari tingkap yang terbuka.

Keseorangan di rumah petang itu, Hani membuat keputusan untuk mengemas rumah. Sebelum itu dia bercadang untuk mandi membersihkan diri terlebih dahulu. Tanpa dia sedari ada sepasang mata yang memerhatikan dirinya yang sedang mempersiapkan diri untuk mandi pada petang itu dengan penuh bernafsu. Perlahan-lahan sosok itu mendekati Hani yang ketika itu hanya ditutupi dengan sehelai kain batik. Tanpa disedari, pinggangnya dirangkul dari arah belakang.

Hani kaget dan terkejut. Dia cuba melepaskan diri namun dirinya sudah pun dipeluk dengan begitu kuat. Hani cuba untuk menjerit namun tangan lelaki tersebut pantas menutup mulutnya lalu menolaknya dengan kasar ke atas katil.

“Jangan sentuh aku!!,” Hani cuba melarikan diri dan keluar dari bilik itu namun tidak berjaya. Lelaki itu pantas menangkapnya dan menolaknya kembali ke katil.

Hani menangis. Tidak tahu apa yang harus diperbuat.

“Tolong!!!!!!!!” Hani menjerit. Berharap agar ada yang mendengar jeritannya.

Lelaki itu dengan pantas menerkam ke arah Hani. Hani cuba melawan namun tidak terdaya. Ternyata kekuatan lelaki tersebut menyebabkan dirinya terpaksa akur dia bakal menjadi mangsa. Hani hanya mampu menangis berharap agar ada yang datang membantu.

Lelaki itu pantas beredar setelah puas melempiaskan nafsunya terhadap Hani. Sementara itu Hani hanya mampu terbaring lesu di atas katil. Perlahan-lahan Hani bangun dan bersandar di tepian katil. Dia menutup muka dan menangis.

“Oh Tuhan!!!!!!!!!!!,”

Dan dia terus menangis. Kali ini tersedu-sedu.


-[Part III] – Bersambung

Part II   - DARI MELBOURNE KE MESIR ADA CINTA ANTARA KEDUANYA II                                                     

Tuesday, 4 June 2013

DARI MELBOURNE KE MESIR, ADA CINTA ANTARA KEDUANYA II

Imran menghayunkan sabit itu selaju mungkin. Menebas segala semak-samun yang ada. Sengaja dia menolong ibunya di kebun petang itu. Sekurang-kurangnya dapat menebus masa-masa ibunya keseorangan sepeninggalannya dari kampung itu.

Imran memerhatikan keadaan sekelililing kebun itu. Terlampau banyak peristiwa penting dalam hidupnya yang berlatarkan kebun tersebut. Kebun yang diusahakan dengan titik peluh dan keringat kedua-dua orang tuanya itu. Hasil dari kebun inilah yang menampung segala perbelanjaannya dari sekolah rendah hinggalah sekarang. Kebun ini jugalah yang menyaksikan bapanya, Pak Durani mati dipagut ular.

Dia terus leka bekerja di kebun itu. Menyabit, mancantas, meratakan lapisan tanah, mengumpulkan daun-daun kering, tanpa disedarinya ada sepasang mata yang memerhatikannya tidak jauh dari situ. Dan sosok tubuh itu terus mendekati Imran yang seakan-akan langsung tidak menyedari keberadaannya di situ.

“Imran”

Bahu Imran dicuit dari arah belakang.

“Pak Abu!”

“Uish, terkejut Im, ingat siapa tadi, macam mana Pak Abu tahu yang Im ada kat sini?”

Imran menyandarkan tajak yang sedang dipegangnya pada sebatang pokok yang ada di situ.
Dia mengesat peluhnya dengan tuala yang sengaja diletakkan di atas bahunya sambil matanya memberi perhatian kepada Pak Abu.

“Pak Abu pergi rumah kamu tadi, tapi tak de orang, tu yang Pak Abu cari kat sini, Hani bagitahu Pak Abu semalam yang kamu dah balik dari Kuala Lumpur”

Ada nada ceria pada suara Pak Abu. Rindu benar dia akan sosok yang sudah dianggapnya seperti anak kandung sendiri itu. Pak Abu bangga akan kejayaan Imran. Menjadi anak pertama kelahiran Kampung Murni yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Bangganya bukan kepalang.

“Oh patut la, semalam Hani ada datang rumah Im, saja menjenguk ibu Im katanya,” balas Im dengan nada bersahaja.

“Mak Tam kau yang suruh Hani tu tengok-tengokkan ibu kau, risau katanya, orang tua duduk rumah sorang-sorang,” kata Pak Abu sambil menepuk-menepuk pergelangan kaki seluarnya untuk menghilangkan kotoran tanah-tanah yang melekat pada seluarnya.

“Im terhutang budi dekat Pak Abu sekeluarga, tak taw macam mana nak balas budi baik Pak Abu, Mak Tam dan Hani,” balas Imran sambil merenung jauh ke hadapan.

Pak Abu dapat melihat keikhlasan pada bebola mata anak muda itu. Dia percaya Imran akan dapat pergi lebih jauh dalam kehidupan. Imran anak yang baik, hormat orang tua. Anak yang baik pasti berjaya.

“Tak banyak mana pun Im yang kami tolong, nanti bila Im dah berjaya, Im pula tolong keluarga Pak Abu,” balas Pak Abu sambil menepuk-nepuk bahu Imran.

Imran hanya tersenyum. Semenjak kematian ayahnya, Pak Abu sudah dianggap seperti bapa kandung sendiri. Pak Abu sekeluarga banyak membantu keluarganya. Bila ibunya kehabisan wang, Pak Abu sekeluarga mendahulukan wang mereka. Malah Pak Abu juga yang mengelurakan belanja untuk membeli kelengkapan hariannya sewaktu mula-mula dia mendaftar di kolej di Kuala Lumpur itu.

“Oh ya Pak Abu, Hani macam mana? Im maksudkan pelajaran dia, dia tak teringin nak sambung belajar ke mana-mana?,” Imran cuba mengubah suasana.

Pak Abu menghembuskan nafas panjang mendengar pertanyaan Imran itu. Dia merenung jauh ke hadapan. Sesekali dia tunduk memandang ke tanah.

Reaksi Pak Abu memberi seribu satu persoalan dalam diri Imran. Apakah yang ada di fikirannya sama seperti yang difikirkan Pak Abu? Imran sendiri tidak pasti. Yang pasti, hanya Pak Abu dapat memberikan jawapannya.

………………………………………………………………………………………………………….

“Im, mari sini kejap nak,” suara Mak Jah memanggil Imran. Ibu tua itu kelihatan tidak sihat.

“Ya ibu, ibu kenapa? Macam tak sihat je Im tengok, jom Im hantarkan ibu ke klinik,” Imran menghampiri ibunya. Wajahnya diselaputi kebimbangan.

“Tak payah lah Im, ibu dah tua, biasalah orang tua sakit-sakit, tak lama lagi dah nak tutup mata,” balas Mak Jah sambil diiringi batuk-batuk kecil.

“Ibu, ibu akan tengok Im berjaya, ibu akan tengok Im kahwin, ada anak, semua tu ibu akan tengok, percayalah bu,” Imran memicit-micit bahu ibunya.

Batuk-batuk Mak Jah semakin menjadi-jadi. Imran seperti tidak keruan. Risau melihat keadaan ibunya itu. Mak Jah mengurut-urut dadanya. Sekali-sekala disapunya minyak angin untuk melegakan batuk-batuknya.

“Im…..,” suara Mak Jah tersekat-sekat.

“Im bawak ibu masuk bilik tidur ya,” Mak Jah cuba bangun. Menggagahkan diri.

Belum sempat Imran mencapai bahu ibunya, Mak Jah terjelupuk jatuh sambil memegang dadanya.

“Ibu!!!!”

Sementelahan itu, hujan terus turun dengan lebatnya di luar sana.


-[Part II] – Bersambung

Monday, 3 June 2013

DARI MELBOURNE KE MESIR, ADA CINTA ANTARA KEDUANYA I



Imran menghempaskan dirinya ke atas katil usang itu. Penat. Keletihan mengharungi perjalanan sepanjang 4 jam itu benar-benar dirasainya. Kuala Lumpur ke Johor. Petang itu dia tidak mahu berfikir apa-apa lagi. Hanya mahu tidur. Dan akhirnya dia tertidur.

“Im, bangun nak, dah maghrib ni,"

Lembut suara Mak Jah menyapa-nyapa gegendang telinga Im. Im tersenyum melihat wajah ibu kesayangannya itu. Sudah semakin dimamah usia, namun masih menggagahkan dirinya bekerja untuk mencari sesuap nasi untuk keluarga.

Imran anak yatim. Bapanya meninggal ketika dia berusia tujuh tahun. Imran tak begitu ingat atas sebab apa bapanya meninggal dunia. Mengikut apa yang diceritakan ibunya, bapanya dipatuk ular ketika sedang membersihkan semak-samun di kebun di belakang rumah mereka. Ketika itu Imran sedang bersekolah darjah satu.

“Astagfirullah Ibu. Kenapa tak kejut Im awal-awal. Im tak solat asar lagi,” balas Imran. Ada sedikit nada cemas pada suaranya.

“Ibu tak perasan pun Im dah balik. Im pun tak cakap dengan ibu Im dah balik. Tahu-tahu je dah ada kat rumah,” balas ibunya sambil duduk di atas birai katil.

Imran diam. Kepenatan masih lagi menguasai dirinya. Aduh, ingatkan nak buat surprise kepada ibunya, tapi terlajak asar pula. Begitulah fikirnya.

“Im pergi mandi dulu, lepas tu solat maghrib, ibu sediakan makan malam kita ye,” balas Mak Jah sambil mengusap-usap kepala Imran. Cuba menenangkan satu-satunya anak yang dimilikinya itu.

Malam itu sungguh indah sekali. Imran rindu benar akan masakan ibunya. Lauk ikan jenahak masak cili api dicampur dengan sedikit belimbing beserta dengan sayur sawi goreng menjadi santapan mereka berdua. Sudah lebih tiga bulan dia tidak pulang ke rumah. Sibuk dengan segala assignment dan kerja kursus di kolej tempat dia menuntut sekarang. Imran kasihan melihat ibu tuanya itu. Keseorangan di rumah sepanjang peninggalannya. Tidak dapat dia bayangkan bagaimana keadaan ibunya sekiranya dia berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara tahun hadapan. Mujurlah ada Hani yang rajin menemani ibunya. Hani seorang gadis kampung, anak kepada jiran sebelah rumahnya Pak Abu dan Mak Tam. Entah mengapa baik benar gadis itu menemani ibunya.

“Ibu teringin juga nak ada anak macam Hani tu, sopan, lemah lembut, baik,” Mak Jah memecahkan sunyi suasana.

“Eh, Im tak cukup baik ke??,” balas Imran dengan nada bergurau.

“Ish, ke situ pulak Im ni, bukan apa, anak perempuan ni lain Im, lain jiwanya, lain hatinya,” balas Mak Jah sambil menguli-nguli nasi di atas pinggan berulang-ulang kali.

“In sha Allah ibu, selagi Im hidup, Im akan jaga ibu elok-elok,” kata Imran sambil tersenyum

“Kan bagus kalau Hani jadi menantu ibu,” balas Mak Jah sambil merenung biji mata Im.

“Uhuk”

Imran tersedak sebaik mendengar kata-kata dari ibunya yang langsung tak disangka-sangka itu. Bermenantukan Hani? Bermakna dia perlu menikahi Hani. Ah, langsung tidak pernah terlintas di kepalanya tentang perkara itu.

“Ish ibu ni, ke situ pulak, Im tak habis belajar lagi ibu, kalau Im kahwin siapa nak jaga ibu,” balas Im sebelum meneguk air kosong dalam gelas.

“Alah Im, Im tak kahwin lagi ni pun ibu dah duduk sorang-sorang,” Mak Jah bangun sambil mengutip sisa-sisa nasi di atas tikar mengkuang yang menjadi hamparan makan malam mereka malam itu.

Im menelan air liur mendengar kata-kata ibunya itu. Ada benarnya juga. Namun apakan daya. Kehidupan sebagai seorang pelajar menuntut pengorbananya. Demi sebuah masa depan yang gemilang. Itulah tekad Imran.

“Eh ibu, tak pe, takpe, biar Imran buat,” Imran pantas mengambil pinggan mangkuk kotor di tangan ibunya untuk dibasuh ke singki.

.........................

“Assalamualaikum”

Sayup-sayup kedengaran orang memberi salam di luar rumah.

“Waalaikumussalam,” Imran dan ibunya serentak menjawab.

“Siapa tu??,” suara-suara Mak Jah serak –serak basah mengajukan pertanyaan sambil menjengah ke luar tingkap.

“Hani, mak cik”

-[Part I]- Bersambung 

PRESS CONFERENCE

I guess there’s no point of being a mysterious writer anymore. So now, I will reveal my own identity. Ok tipu. Sila berasa kecewa sekarang. Haha.

Saya dah pun menyatakan sebab-sebab saya memilih untuk menjadi seorang penulis misteri dalam post yang bertajuk TIDAK SIGNIFICANT. Sementelahan itu, gaya penulisan dan hala tuju blog ini sudahpun diterangkan dalam post yang bertajuk Di Terminal Keberangkatan.

Menulis. Jujurnya saya bukanlah seorang peminat tegar bidang penulisan. Untuk rekod, saya tidak pernah mendapat markah tertinggi dalam mana-mana subjek penulisan sama ada di bangku sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi. Cewah.

Namun saya percaya kepada konsep, apa yang kita minat tidak semestinya apa yang kita mahir. Begitu juga dengan apa yang tidak kita minat. Tidak semestinya perkara itu yang paling kita lemah. So at this point, saya yakin inilah logam saya. Mungkin tidaklah setajam dan sekilau mana, tetapi at least saya boleh buat sesuatu untuk Islam.

Saya pernah mempunyai tiga blog. Satu daripadanya sudah tidak wujud. Satu lagi sudah lama berhabuk dan bersawang, dan paling menyedihkan saya sudah lupa kata kekunci untuk masuk ke blog tersebut. Pathetic. Kan? Dan satu lagi adalah yang sedang anda baca ketika ini. Semoga penulisan yang bertaraf karangan peringkat UPSR ini mampu memberi inspirasi kepada anda untuk terus menyusur di jalan cinta para pejuang ini. Cewah.

Sejarah penulisan blog saya bermula semenjak saya berada di tingkatan lima lagi. Waktu itu saya mengalami tekanan hidup yang cukup hebat dan mendesak, menyaksikan saya meluahkan apa yang terbuku di hati melalui penulisan di blog. Ok macam over je ni. Tetapi dalam masa setahun hanya satu entry sahaja yang saya update. Mungkin alasan yang paling valid ialah kesibukan setadi untuk SPM. Cewah. Arakian, setelah habis SPM, hati dan minda saya langsung tidak tergerak untuk menulis. Haha. Maka blog itu terus hilang ditelan arus kesesakan blog.

Setelah memasuki alam tarbiah, saya diperkenalkan dengan hadis logam. Terasa loser juga dah berbelas tahun hidup, baru first time jumpa hadis tu. Maka bertitik tolak daripada itu, saya pantas membuka lembaran baru dalam dunia penulisan. Lantas terhasillah blog marhaen ini. Pada mulanya, agak reluctant juga saya menulis di blog ini. Ada ke orang yang sudi membaca? Namun semakin lama, blog ini terus berkembang dengan pesatnya. Bilangan like yang diterima pada setiap post agak menggalakkan. Bilangan follower juga turut bertambah dari sehari ke sehari. Bila melihat itu, hati saya berbunga-bunga. Macam-macam bunga ada. Harap saya terus istiqamah dan yang paling penting ikhlas dalam menulis.

Sebenarnya saya memiliki pelan yang lebih besar untuk blog ini. Saya merancang untuk menubuhkan satu site atau kolumn yang lain di dalam blog ini untuk memaparkan gambar-gambar tarbawi yang diedit sementelahan saya juga memiliki sedikit pengetahuan dalam bidang photo editing. Selain daripada itu, saya juga merancang ingin membuka akaun di laman sesawang “TiubAnda” (YouTube) dan mengupload video-video kreatif yang dibikin oleh saya sendiri dan beberapa ikhwah lain ke akaun tersebut dan pada masa yang sama mempromosi blog ini. Arakian, saya tidak mahu terburu-buru ke arah usaha tersebut dan in sha Allah ia akan dapat direalisasikan sedikit masa lagi. Cewah.

Eh. Ini baru cerita pasal dua blog. Blog yang satu lagi? Yang itu biarlah rahsia. Eheh.

Setakat ini dahulu press conference saya pada kali ini. Terima kasih kepada para wartawan yang sudi menjemput saya ke press conference ini. Haha

Untuk makluman, penulisan ini tidak akan di post di laman mukabuku saya kerana level kepoyoannya sudah melepasi paras berjaga-jaga. Sekian.

Saya terfikir untuk menamakan blog ini blog kereta kebal. Haha

Sunday, 2 June 2013

TIMAH OH TIMAH

Kisah kali ini pasal si Timah. Nama penuh Fatimah. Dulu sebelum join tarbiah, orang panggil Fatty. Ala-ala Akademi Fantasia gitu. Lepas join tarbiah panggil Timah je. Baru nampak macam gadis Melayu terakhir. Oh Timah. Ok lagho. -_-‘

******

“Oi Timah, buat ape lagi tuu..meh ni haa tolong aku kemas bilik”

“Bersepah sangat dah bilik kita ni Timah oi”

“Timah, ko dengar tak aku panggil ni?”

Timah selamba. Kepalanya digoyang ke kiri kemudian ke kanan, dan ke kiri balik. Ewah! Najwa panas. Geram. Rasa terbakar. 

“Oi Timah!!!!!”

“Yo!!!”

Timah menjawab sambil buat muka terpinga-pinga. Barangkali banyak sangat angin dah masuk ke kepala.

“Eh, Najwa, yang ko terjerit-jerit ni pasal ape? Ko ingat aku pekak ke?”

>.<”  ß (Reaksi Najwa setelah mendengar kata-kata Timah. Saya tak reti diskeraip)

“Ni haa Timah, jom kemas bilik ni sama-sama, bersepah sangat dah ni, juling mata aku tengok”

“Bersepah apanya Najwa, ok la ni, ko ni perfectionist sangat la. Ish!”

“Amboi! Ok ko cakap. Tu haa. Baju atas katil tu susunlah dalam locker, buku2 atas meja tu susun elok2 sikit, lagi satu tu haa…..bla..bla..bla…

Ok cukup-cukup. Cerita-cerita dalam bilik anak dara orang ni tak boleh buka lebih-lebih sangat. Nanti rating pembaca blog ini merudum dengan mendadaknya. Wahaha.

*******

“Timah oh Timah, dah lama kan kita tak puasa sunat senin kamis sama-sama”

“Ha’ah la Najwa, biasa aku puasa hari senin, kau puasa hari kamis, tak pernah sama”

*******

“Najwa oh Najwa, bila last time kita baca Quran sama-sama?”

“Entahlah Timah, dah lama rasanya, biasa kita baca sendiri-sendiri je”

*******

“Timah, esok kita main bola tampar sama-sama ye”

“Boleh Najwa, boleh. Main ragbi pun boleh”

-_-“

*******

Kebersamaan. Ia akan terasa lebih indah jika berada dalam dunia tarbiah. Bersama-sama berkerja melangsaikan amanah yang ditanggung sehingga mati. Jatuh bangun, senang susah, jerih payah, semua diharungi bersama-sama. Hasilnya hati mula terhubung, ruh-ruh mula menyatu, melahirkan sesuatu yang dikenali sebagai ukhuwwah filah. Bila berjauhan mula terasa rindu.

Berilah harta sebanyak manapun. Provoklah seganas manapun. Nikmat kebersamaan dalam dunia tarbiah ini tak mungkin ditukar ganti. Kadang-kadang rasa pelik pun ada. Entah siapa-siapa yang ditemui. Tapi kerana hati memegang fikrah yang sama, hati terus bertaut, walau sebelumnya tidak pernah bersua mata.

Pelik tapi indah. Inilah kebersamaan dalam Dakwah dan Tarbiah.

“dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). 

"Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada di bumi nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka.." 

"..tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana“

Al Anfal : 63

Headphone Timah  -_-"