Sunday, 8 September 2013

DIA AL-AKH YANG BENAR #1

Pada masa dan waktu seperti ini, laman mukabuku ku dibanjiri dengan gambar-gambar dan post-post mereka yang sudahpun terbang merentasi lautan meninggalkan negara Malaysia yang aman ini. Termasuk juga beberapa ikhwah-ikhwah kesayanganku. Sedih? Rindu? Ah. Persetankan. Aku tidak selembik itu untuk menangisi sebuah perpisahan. Apatah lagi perpisahan yang sementara. Bukankah kita akan bertemu kembali di syurga sana? Syurga. Layakkah aku?


Kisah dari timeline.

Hari ini aku menelaah timeline mukabuku ku. Satu demi satu status dan gambar ditatap. Semuanya bernada riang. Maklum sahaja bakal menggapai awan, merentas lautan dan mendarat di tanah orang. Memulakan sebuah perjalanan baharu. Melupakan kisah-kisah tragis yang pernah berlaku. Aku turut gembira. Terutamanya untuk mereka-mereka yang pernah menjadi sebahagian dari diriku. Pernah? Apakah kini tidak lagi? Entahlah. Aku tidak selincah dahulu. Persoalannya lincahkah aku dahulu?

Ditakdirkan aku terhenti dalam proses telaahanku. Sebuah status beserta gambar daripada ayah kepada seseorang yang aku sangat kagumi di atas jalan-Nya. Aku tatap dalam-dalam. Aku fikir diam-diam.

“Eveyone can fly..but this night, a special flight for him..”    

Begitulah bunyinya.

“A special flight for him..”

Indeed. Kerana bagiku tiada syak lagi dia adalah seorang yang sangat special. Dan aku pasti itu adalah anugerah untuknya. Peluang bagi dirinya untuk melebarkan sayap dakwah di sana. Di bumi Ireland. Seperti mana yang dia lakukan di kolej kami.

Mengimbau semula kenangan semasa kami masih menuntut di sana.

Tika itu aku dalam perjalanan untuk pulang semula ke kelas. Ditakdirkan aku bertemu dengannya dalam perjalanan. Betul-betul di hadapan tangga. Aku kira dia baru keluar dari perpustakaan. Seperti biasa dia menegur ikhwah dengan lafaz salamnya yang bersahaja. Dan kami berjalan beriringan mendaki anak tangga.

Di tengah-tengah pendakian, kami terserempak dengan seorang pelajar perempuan. Cantik di mataku. Ah pedulikan. Mataku terkadang perlu disebat, ditambat. Ceritanya bermula di sini. Ada sesuatu yang ku lihat yang menambahkan kekagumanku kepada akh tersebut. Ku lihat perempuan itu yang pada awalnya menyinsing lengan bajunya mula menurunkannya tatkala terserempak dengan kami.

Aku kagum. Qudwah setinggi apakah ini? Tundukan matanya seolah-olah memberi teguran secara senyap-senyap kepada pelajar perempuan itu. Dari situ aku mula mengagumi dirinya. Dari situ aku mula mencintainya. Cinta seorang akh.

Terlalu banyak jika mahu diceritakan semuanya. Pengorbanan, komitmen dan kesungguhannya dalam arena dakwah dan tarbiah. Tidak dapat aku bayangkan sekiranya aku berada ditempatnya. Mungkin aku akan berputus-asa, malah meninggalkan terus kerja-kerja dakwah dan tarbiah yang tergalas di pundak kami.

Suatu malam aku lihat dia terbaring keletihan dengan baju melayu dan kain pelikatnya masih tersarung di badan. Waktu itu kami baru habis meeting berkenaan agenda gerak kerja kami. Aku tahu kerjanya masih menimbun. Dan dia pula seorang yang tidak mampu berjaga terlalu lama lewat malam. Namun dakwah dan tarbiah tetap priorotinya. Tidak pernah dia menyusahkan kami untuk bermusyawarah lewat malam setelah semua kerjanya selesai. Musyawarah tetap dijalankan pada ketika semua ikhwah masih segar, tidak mengantuk. Kerana dakwah dan tarbiah tetap yang paling utama.

Aku bertambah kagum.

Bilik kami bersebelahan. Masih ku ingat pada setiap pagi dia yang mengejutkan aku dengan lembut untuk bangun menggagahkan diri ke surau. Dan ada ketika dia terlewat untuk subuh di surau, perkara itu memberi kesan yang besar kepada dia. Down. Dan itu menjadikan diriku bertambah kagum.

Kerana dia adalah seorang al-akh yang benar.   

No comments:

Post a Comment