Friday, 16 August 2013

ANTARA SEMALAM DAN HARI INI

Nak tulis ke tak? Hmm. Tulis jela.

Dilema. Entah. Kadang-kadang terfikir, berapa banyak perkataan yang dah diseru selama ini tidak dipraktikkan, hanya terpateri kaku di sebalik tulisan. Amal-amal yang dah dirancang bertebaran ditiup angin. Banyak plan-plan yang terbengkalai. Tapi saya cuba gagahi diri untuk sekurang-kurangnya menulis sesuatu. Setidak-tidaknya saya tidak statik di sini.

Antara semalam dan hari ini. Cereka dan ceritera yang berbeza. Mungkin sama di mata orang lain, tapi setidak-tidaknya berbeza di mata kita sendiri.


Sehingga ke hari ini, jujur saya akui saya masih lagi dalam proses transformasi diri sendiri. Masih lagi tercari-cari rentak untuk terus menapak di atas jalan ini. Kadang-kadang jatuh, kadang-kadang tumbang. Manusia. Cuma saya kira, saya pada hari ini lebih baik dari saya yang semalam. Tidak. Bukan untuk membangga diri apatah lagi untuk menunjuk-nunjuk. Malah saya sendiri tidak tahu atas asas apakah saya beranggapan seperti itu. Mungkin lebih kepada cara saya berfikir dan pandangan saya tentang kehidupan. Sekurang-kurangnya.

Mungkin ramai yang sudah merasainya, ada yang sedang merasainya, ada juga yang langsung tidak berpeluang untuk merasainya. Rasa apa ni? Rasa yang pandangan hidup kita dah berubah. Pandangan kita tentang hidup dah tak sama dengan orang lain. Rumit. Kompleks. Tak realistik. Katakan apa sahaja. Hanya yang memiliki pola pemikiran yang serupa bisa memahami apa yang kita cita-cita kan itu.

Antara semalam dan hari ini.

Aneh. Bahkan pelik. Kalau semalam kita lah yang terlebih concern  soal study. Siap ada jadual study harian yang ditampal di dinding bilik. Cita-cita kita tinggi melangit. Doktor, jurutera, akauntan, doktor falsafah, ahli uji kaji haiwan, sebutkan semuanya. Kita berimpian untuk mengaut kekayaan dunia sebanyak-banyaknya. Tetapi hari ini semua itu telah berubah. Study itu bukan lagi prioriti utama. Kontroversi bagi sesetengah orang. Tetapi tidak bagi kita. Study hanya alat untuk mencapai matlamat yang pada kita jauh lebih besar dari menjadi segala figura-figura di atas. Gagal exam, tak lepas cut-off point ke luar negara, tak capai minimum requirement nak sambung ke bidang perubatan, tak dapat jadi doktor, kita anggap itu semua ujian dan itu yang terbaik untuk dakwah. Eh dah gila ke apa?  

Lagi jika semalam ibu bapa kita yang menduduki ranking teratas dalam carta hati kita. Dekat asrama kalau boleh setiap hari nak call parents. Pesanan-pesanan ibu bapa kita tampal di meja study. Pencetus semangat. Pembangkit inspirasi. Tetapi hari ini, lain pula ceritanya. Allah dan Rasul menjadi cinta utama hati kita. Ibu bapa pula kita anggap sebagai ujian di jalan dakwah. Eh, nak jadi anak derhaka ke? Entah. Saya sendiri tak reti nak menjelaskan ini semua. Tetapi itu bukan bererti kita menolak ibu bapa ke tepi. Bahkan ada keinginan dalam hati untuk mengajak ibu bapa sekali ke jalan ini. Namun pertembungan prinsip-prinsip kehidupan yang berbeza seakan-akan menyukarkan impian ini. Buntu.

Jika semalam puasa dan raya sesuatu yang tidak bermakna apa-apa kepada kita. Jika ada sekalipun cuma sekadar bazar ramadhan, kuih raya, baju raya dan segala ketupat rendang.
Tak pernah terfikir pun bulan ramadhan bulan untuk menambah amalan. Tidak pernah terlintas di fikiran bahawa hari raya adalah hari untuk meraikan kemenangan. Tetapi hari ini skrip sudah berbeza. Aneh. Tiba-tiba je boleh keluar perkataan tarbiah ramadhan. Peh. Entah dari mana datang perkataan tarbiah itu. Tadabbur Al Quran. Jika dulu tadabbur kita lebih berkisar soal-soal yang remeh temeh, tetapi sekarang sudah berani menyentuh perihal ummah, perihal dakwah. Pelik.

Lagi semalam kita seorang yang tidak begitu mengambil tahu hal ehwal dunia luar. Selalu bersyukur Malaysia masih aman. Setakat tiga empat kes tembak apa lah sangat. Paling jauh kita ambil tahu pun sekadar isu Palestin. Itu pun sekadar isu kemanusiaan. Langsung tidak pernah terfikir tentang kebangkitan Islam. Aneh hari ini kita lantang membicarakan soal pembebasan ummah, soal kemenangan Islam, soal kehancuran taghut dan jahiliah. Kita bercita-cita mendirikan khilafah. Pelik. Bahkan tidak realistik di mata yang lain. Apakah kita sudah hilang akal?

Terlalu banyak jika mahu dibicarakan. Susunan Tuhan. Indah. Penuh rahsia. Tak tertaksir dek akal yang sempit.

“Dia mengeluarkan mereka (orang beriman) dari kegelapan dan kepada cahaya”
Al Baqarah : 257

Antara semalam dan hari ini.

Aku memilih hari ini, meski sebahagian dari diriku masih lagi yang semalam itu.

1 comment: