Tuesday, 24 June 2014

Iqra', Da'ie dan Tasawwur Imani

“Akhi..sepanjang bergelumang dengan Dakwah dan Tarbiyah ni, berapa banyak buku-buku ilmiah yang nta dah khatam?”
Soalan yang straightforward. Tanpa kiasan apatah lagi nak berpantun bagai.
“Ana tak cakap buku-buku fikrah eh. Sebab sepatutnya sebagai da’ie yang nak beramal dengan cara yang muntij, buku-buku fikrah tu sepatutnya dah jadi makanan nta...”
“Yang ana tanya ni pasal buku-buku ilmiah. Buku yang menambahkan ilmu pengetahuan nta secara umum..”
Phew. Krik krik krik.
Macam mana nta ni akhi..” 
“Akhi…akhi…”
 …………………...

Saya masih ingat lagi, sewaktu berada di tingkatan satu hinggalah ke tingkatan tiga, saya pernah digelar Raja Sejarah oleh rakan-rakan yang lain. Sebabnya hanyalah kerana saya selalu score markah tiptop dalam subjek sejarah. Bahkan ada beberapa ketika, sayalah yang paling top dalam keseluruhan batch. Fuh. Perasaan bangga tu tak payah nak diceritakan kot. Siapa je yang tak bangga bila dijadikan tempat rujukan dalam satu-satu subjek. Terasa macam jadi cikgu pulak. Heh.

Namun bila difikirkan semula, apalah yang boleh dibanggakan sangat dengan pencapaian zaman kanak-kanak itu. Soalan subjek sejarah PMR pada zaman saya pun setakat enam puluh soalan objektif sahaja. Dan pada kebiasaannya saya hanya membaca sekali lalu dan menghafal nota-nota yang dah dibuat sejak awal lagi. Maklumlah, saya memang kurang gemar membaca sejak zaman baby lagi. Muahaha.

Dan sikap kurang gemar membaca ini terbukti memakan diri saya ketika menginjak zaman menengah atas. Pada waktu itu, soalan sejarah lebih menjurus kepada soalan subjektif dan esei. Agak memeritkan jugaklah tatkala melihat gelaran Raja Sejarah itu bertukar tangan. Dan seperti biasalah, student-student yang memang terkenal dengan perangai ulat buku inilah yang selalunya menduduki tangga-tangga teratas untuk subjek sejarah.      

Dan saya?

Entah bagaimana, waktu itu saya mula membangunkan minat dalam subjek fizik dan matematik. Bahkan saya antara individu yang paling rapat dengan guru-guru kedua-dua subjek tersebut. Bergelumang dengan angka dan formula bererti semakin menjauhlah saya dari dunia huruf dan abjad.

Begitulah sedikit sebanyak ceritera yang digali semula dari zaman persekolahan dahulu.

Namun hari ini saya menyedari bahawa sayalah insan yang paling rugi sekali. Rugi kerana tidak memupuk minat untuk membaca sedari awal lagi. Rugi kerana tidak melatih diri bergelumang dengan dunia pembacaan semenjak dibangku sekolah lagi.

Kerana membaca ini pekerjaan yang murni sebenarnya.

Bahkan wahyu pertama yang diturunkan kepada baginda Rasulullah S.A.W sendiri adalah perintah membaca.

“Iqra’!”

“Bacalah!”


Hari ini ramai orang yang gemar membaca. Dari buku-buku falsafah, ekonomi, ketamadunan, sehinggalah ke buku-buku roman picisan. Namun sayang. Semua bahan-bahan bacaan mereka itu sedikitpun tidak menjadikan diri mereka dekat kepada Sang Pencipta. Bahkan lagi teruk, makin menjauh pula. Entah di mana silapnya.

Mungkin kerana tiadanya ‘tasawwur imani’ dalam proses membaca itu. Lihatlah pada wahyu pertama yang diturunkan ke bumi, di situ sudah jelas kelihatan tuntutan kepada ‘tasawwur imani’ dalam setiap apa yang kita kerjakan. Pemaknaan yang benar terhadap ‘tasawwur imani’ inilah yang akan membawa kita semakin dekat kepada Allah walaupun kita bukan dalam keadaan melakukan ibadah khusus kepada-Nya.

Tasawwur imani bererti pandangan dan pola fikir yang berasaskan iman yang besar dan luas. Ini bererti, semua gerak, urusan, dan langkah adalah dengan menyebut nama Al-Kholiq dan atas nama Al-Kholiq.  Dengan nama Allah, segala sesuatu dimulai dan berjalan. Dan kepada Allah jualah segala sesuatu menuju dan kembali.

Konsep tasawwur imani ini terpancar dengan jelas daripada ayat yang menjadi seruan pertama langit kepada bumi.

“Bacalah dengan  nama Tuhanmu yang menciptakan!”
(Al ‘Alaq , 1)

Di sini Allah S.W.T ingin menekankan kepada seluruh umat manusia bahawa Dia-lah yang telah menciptakan dan mengajarkan. Dari-Nya segala sesuatu dimulai dan diciptakan, dan dari-Nya jualah timbul pengajaran dan ilmu pengetahuan. Manusia-manusia seperti kita ini hanya mempelajari apa yang dipelajari, dan mengetahui apa yang diketahui. Sedangkan hakikatnya, sumber kepada semua ini adalah Allah yang telah menciptakan dan mengajarkan.

“Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”
(Al ‘Alaq, 5)

Ma sha Allah

Inilah hakikat Qur’aniah yang pertama yang diterima oleh Rasulullah pada saat-saat pertama.  

Inilah yang mengubah perasaan dan bicaranya setelah itu.

Inilah yang mengubah pengetahuan dan hala tujunya sesudah itu.

Inilah tasawwur imani.

Begitulah. Tuntutan Iqra’ itu bukanlah bererti tuntutan Iqra’ semata-mata. Al Quran menuntut kita untuk membaca, namun disertai dengan perasaan berTuhan. Yakni meyakini bahawa semua ilmu yang kita sedut sepanjang proses pembacaan itu semuanya dari Tuhan. Tujuannya untuk menanam benih-benih kehambaan jauh dalam sudut hati kita. Justeru menjadikan kita semakin kehausan dan akan terus menggali dan menggali lagi daratan ilmu Tuhan yang maha luas ini.

Dengan itu, barulah kita akan dapat memaknai dengan sebenar-benarnya bahawa kita semua sebenarnya miskin di sisi-Nya. 

Bagi para du’at, sudah semestinya tuntutan Iqra’ beserta tasawwur imani ini perlu kita ambil berat. Logiknya sudah sedia terbentang. Ayat pertama suratul ‘Alaq itu merupakan arahan pertama kepada Rasulullah S.A.W yang seperti kita semua sedia maklumi, akan menggalas tugas kekhalifahan yang berat.  

Inilah ayat pertama yang diterima oleh Rasulullah S.A.W pada kali pertama berhubungan dengan langit. Pada saat yang paling pertama dirinya menapaki jalan dakwah yang telah dipilih untuknya. Baginda diarahkan untuk membaca dengan menyebut nama Allah yang menciptakan.

Maka sewajarnya itulah yang sepatutnya dilakukan oleh kita yang mengaku mewarisi perjuangan Ar-Rasul yang mulia. Kita yang menggelar diri para du’at, maka layakkah kita mewarisi perjuangan ini kiranya kita culas dalam bacaan kita. Kita yang buat –buat pening lalat untuk menghadap bahan bacaan untuk meningkatkan kapasiti kita sebagai seorang da’ie. Kita yang malas-malas dalam men-topup diri kita dengan ilmu pengetahuan yang sepatutnya dimiliki oleh seorang da’ie melalui bacaan.

Maka layakkah kita?

Saudaraku..

Tidak rugi untuk rajin membaca. Bahkan tidak rugi untuk berusaha menjadi rajin membaca. Kerana dakwah dan tarbiyah ini memang berhajat kepada seorang jundi yang rajin membaca. Kerana betapa banyak makalah-makalah dakwah yang perlu difahami oleh seorang da’i untuk meningkatkan kapasiti dirinya dari semasa ke semasa. Begitu juga dengan segala ilmu pengetahuan am yang pastinya berguna kepada seorang da’ie itu.

Sesetengah orang menjadikan membaca sebagai tips yang terpenting sekali sebelum menulis. Sebagai seorang penulis yang masih lagi bertatih, hal ini tidak saya nafikan. Bahkan sayalah manusia yang terpaling menyetujuinya.

Namun membaca ini lebih besar maknanya dari sekadar ingin menjadi penulis.

Kerana sebagai seorang da’ie yang mahu berkontribusi di medan, berapa banyaklah masa yang kita habiskan dengan penulisan?

Hakikat seorang da’ie yang benar itu adalah ketika dia berkonfrontasi dengan manusia di alam realiti. Bukan ketika bertiraikan huruf dan perkataan. Saat dirinya berbicara secara langsung dengan para mad’unya. Saat dirinya menyantuni para mutarabbinya. Maka ketika itulah tabiat rajin membaca akan membuahkan hasilnya.

Orang yang luas bacaannya, bicaranya solid, padu dan mapan. Setiap butir kata-kata yang keluar dari getaran lidahnya umpama mutiara-mutiara berharga yang boleh menguntungkan orang yang menerimanya. Sejam bersama mereka umpama setahun lamanya. Bukan bermaksud bosan ataupun apa, tetapi untuk menunjukkan betapa baaaaanyaakkknya hikmah yang boleh kita sedut daripada mereka.

Jujur, saya sering mencemburui manusia-manusia seperti ini.

Formulanya sudah tersedia.

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan!”

Tetapi itulah. Antara mahu dan tidak mahu sahaja.

Akhir kata, marilah membaca dengan tasawwur imani yang sebenar-benarnya. Moga di suatu masa, butir-butir bicara kita menjadi air terjun hikmah yang nikmat ditadah dan dihirup oleh generasi seterusnya, seperti mana kita menikmatinya daripada generasi sebelum kita.

Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment