Saturday, 20 April 2013

Di Terminal Keberangkatan

Di terminal keberangkatan ini, saya memilih untuk mendefinisikan semula blog ini. Membina semula struktur dan komponen daripada blog ini yang kelihatan compang-campeng. Membetulkan semula kemudi blog ini yang sudah tersasar arah tujunya. Mencairkan semula udara cinta yang sekian lama membeku di setiap lapisan dinding blog ini. Semuanya disandarkan di atas kalimah semula. Demi sebuah barakah. Demi sebuah khusnul khatimah.

Blog ini terlalu kerdil untuk dibandingkan dengan blog-blog tarbawi dan ruhi yang pernah kalian jejaki. Hakikatnya blog ini sendiri ditulis oleh sang penulis yang cacat serba-serbinya. Seorang penulis yang masih lagi bertatih di atas jalan cinta para pejuang. Yang selamanya tidak akan sempurna. Yang masih lagi gagal untuk berdiri di atas kaki sendiri.   

Blog ini diwujudkan atas rasa ingin berkongsi. Untuk mencurahkan segala isi hati. Untuk memanifestasikan sebuah cinta. Untuk mengungkap sebuah rindu. Saya akui saya bukanlah terdiri dari kalangan “ahlul zikr” dalam kebanyakan perkara. Namun in sha Allah, apa yang saya nukilkan pada setiap bait-bait penulisan ini di sandarkan kepada sumber-sumber yang sahih. Saya berharap agar anda dapat menilai sendiri dengan menggunakan ilmu serta pemikiran anda sebelum menerima apa-apa sahaja yang saya tulis. Itulah hakikat yang perlu ada pada diri setiap muslim. Teliti. Tabayyun.

Saya juga memilih pendekatan penulisan yang ringkas. Teringin juga saya ingin mengulas tentang sesuatu perkara selumat-lumatnya. Mencincang setiap point-point perbahasan sehancur-hancurnya. Mendefinisikan setiap kalimah-kalimah sedalam-dalamnya. Namun perbatasan yang ada pada diri saya sebagai seorang hamba yang marhaen belum memungkinkan saya untuk berbuat demikian.

Lantas saya memilih untuk menjadikan ruh blog ini sebagai sumber inspirasi kepada setiap jiwa-jiwa yang membaca. Semoga blog ini mampu menyalakan bara kemahuan untuk terus menelaah kitab-kitab tafsir yang muktabar. Semoga blog ini mampu menghembuskan angin perubahan untuk terus berlari mencari mardhatillah. Semoga blog ini mencetuskan keinginan untuk terus membelek buku-buku fikrah. Semoga blog ini mampu memukul hati untuk terus tsabat di atas jalan dakwah.

Di terminal keberangkatan ini, saya memohon doa kalian supaya saya terus istiqamah menyanyikan lagu-lagu kebenaran, mendendangkan puisi-puisi keazaman dan menulis bait-bait kata yang membangkitkan. Semoga diri ini terus diselubungi keikhlasan dan bertemu dengan sebuah pengakhiran yang suci. Semoga dapat bertemu dengan bidadari yang telah sekian lama ternanti-nanti.

Di terminal keberangkatan ini, saya ingin mengucapkan selamat datang ke jalan cinta para pejuang. Semoga istiqamah. Semoga barakah. Semoga khusnul khatimah.


Istiqamah

2 comments:

  1. Subhanallah!

    Akhi, ana jujurnya tersangat-sangat kagum dengan kehebatan Sang Pencipta. Tidak habis2 hati ini di ketuk2, di tampar2 dari pelbagai penjuru yg ada, di tarbiah dari setiap pelusuk ruang walau sekecil-kecilnya.

    Semuga kesedaran dan kefahaman kurniaan nikmat dari Tuhan memberi kita kebangkitan.

    Semuga segala medium yg ada ditelusuri dngan hikmah dan penuh tawadhuk.

    Semuga ana, nta dan tentera-tenteraNya terus menerus berjuang tanpa kenal maksud lelah dan payah.

    In sha Allah.

    Allahuakbar!

    :)

    ReplyDelete