Tuesday, 21 January 2014

Ruh vs System


Saya kira bagi kalian yang tekun mengikuti perkembangan semasa tanah air kita yang masih aman ini, pasti kalian sedia maklum dengan beberapa isu hangat yang dibangkitkan di portal-portal berita utama termasuk fesbuk. Antara yang mencuri perhatian adalah isu seorang guru muslimah yang diminta membuka tudungnya sekiranya ingin mengajar di sebuah sekolah jenis kebangsaan cina. Kemudian tidak ketinggalan juga isu kangkung the series yang membanjiri laman fesbuk untuk beberapa hari lamanya.

Dan seperti yang dijangka, respons yang pelbagai dipertontonkan oleh rakyat Malaysia terhadap isu-isu yang dibangkitkan itu. Kalau yang kes tudung tu, ada yang melenting tak tentu pasal, kemain sibuk tanya mana tindakan PAS, mana UMNO. Kat mana diri sendiri tak nak tanya ke bang? Kalau betul nak membela muslimah tu, bukan setakat pongpang kat fesbuk je. Lagi satu, gaya cakap macam nak isytihar perang je dengan not-yet muslim tu. Dah jumpa ke bang orang tu, dakwah kat dia, terang pasal Islam sebagai rahmatan lil a’lamin kat dia. Dah buat? Haih. Eh, tiba-tiba emosi pulak. Kemudian, yang isu kangkung tu pulak, memang layak untuk memenangi anugerah lawak antarabangsa kalau ada. Dengan lagu parodinya, memang berurat-urat perut saya menahan gelak.

Namun di platform ini, saya nak melontarkan sepotong dua nasihat. Ada benarnya juga bila ada pihak yang mendakwa bahawa umat Islam di Malaysia kini ibarat sudah hilang prioritinya. Buktinya antara dua isu yang disebut di atas, ternyata isu kangkung yang lebih menjadi perhatian. Saya tak katakan kita patut ketepikan isu bebanan yang ditanggung rakyat lantas memfokuskan hanya pada isu akidah, tapi saya melihat dengan meng’viral’kan benda kangkung ni, ia tak akan dapat menyelesaikan isu sebenar, yakni isu pembaziran dalam pengurusan negara, isu ketirisan dan beberapa isu yang lain. Yang pasti, dah berapa banyak dosa kering kita dapat dek isu kangkung ni. Tak percaya? Cuba tengok page-page politik yang sembang pasal kangkung ni, kemudian cuba listkan kata-kata carutan dan makian yang kalian jumpa.

Sebenarnya saya tak nak ulas panjang-panjang perihal kangkung dan tudung ini. Kerana ada satu lagi isu yang menjentik pandangan mata saya. Iaitu isu sepasang suami isteri yang dipenjarakan di Sweden kerana merotan anaknya yang tidak bersolat.

“Haaaa? What the fish?? Celaka orang kafir!! Merotan anak tu suruhan nabi kot..”

Heh. Rilex dulu. Ini la masalah orang kita. Mudah sangat melenting. Mungkin sudah sampai masanya untuk kita serius mempelajari erti sabar dan rasional seperti yang diajari dalam Al Quran. Saya serius ni. Kepada para murabbi dan murabbiah, sila tekankan dua sifat ini dalam usrah masing-masing. Begitu juga dengan para asatizah, dalam ceramah atau kelas yang kalian anjurkan, mohon sentuh tentang dua sifat ini.  

Berbalik kepada topik sebenar..

Saya merasakan isu ini mungkinlah tidak se”glamour” isu kangkung ataupun isu tudung lantaran ianya berlaku nun jauh di Sweden sana. Dan post saya kali ini bukanlah nak mengulas panjang berkenaan isu ini seperti siapa benar dan siapa salah ataupun apa tindakan susulan yang sepatutnya dilakukan. Kerana jujurnya saya sendiri masih lagi kelabu-kelabu asap dengan isu ini, masih lagi tidak jelas dengan hujung pangkalnya. Oleh itu, tindakan mengulas dalam keadaan seperti ini hanya mengundang untuk berlaku zalim kepada pihak-pihak yang terlibat.

Justeru hari ini saya hanya memilih untuk menulis secara umum..

Yakni satu lagi kefahaman yang saya impikan untuk difahami oleh semua orang…

Begini kisahnya...

Murabbi saya pernah berpesan..

“Enta bila dah ada anak nanti, didik anak enta untuk faham ruh dahulu, baru sistem..”

Justeru, soal mendidik anak. Antara ruh dan sistem..


Secara mudahnya, ruh ini bererti kefahaman kita terhadap sesuatu perkara itu. Contohnya kenapa kita perlu melakukan sesuatu itu? Apa keistimewaan dan keuntungan yang kita peroleh bila kita melakukannya? Dan apa kerugian yang terpaksa ditanggung sekiranya kita culas melaksanakannya? Itulah fungsi ruh. Membina asas kefahaman dalam diri kita supaya sesuatu yang kita laksanakan itu tidak menjadi sekadar ritual dan kebiasaan.

Sedangkan sistem pula bererti tatacara ataupun bagaimana kita melakukan sesuatu itu. Sebagai contoh, syarat-syarat pelaksanaannya, larangan-larangan dalam proses untuk melaksanakannya dan juga panduan pelaksanaannya itu sendiri. Fungsi sistem ini pula supaya kita dapat melaksanakan sesuatu itu dengan sempurna dan betul.

Untuk lebih realistik lagi, mari kita ambil solat sebagai case-study..

Saya kira ramai ibu bapa yang terlalu gelojoh dalam mengajar anak untuk bersolat. Maksud terlalu gelojoh di sini ialah mereka hanya menumpukan kepada aspek sistem pelaksanaan solat itu sahaja. Bagi mereka, cukup sekadar anak mereka tahu bersolat. Untuk aspek penghayatan ruh solat, anak itu sekadar diberitahu bahawa meninggalkan solat itu satu perbuatan yang berdosa.

Maka, apabila aspek penghayatan ruh solat tidak dititikberatkan, tidak boleh untuk kita menyalahkan anak itu pabila mereka meninggalkan solat, apatah lagi merotannya. Kerana mereka sendiri tidak tahu kenapa mereka harus bersolat. Yang mereka tahu, mereka akan mendapat dosa sekiranya tidak bersolat. Hanya sekadar itu..

Yang sepatutnya ibu bapa lakukan adalah memahamkan dahulu anak mereka tentang ruh solat itu sendiri. Terangkan kepada anak itu kenapa mereka wajib bersolat. Beritahu anak itu apa sebenarnya yang sedang mereka lakukan ketika bersolat. Terangkan sehabis-habis dan sebaik-baiknya. Bilang sama itu anak yang mereka sedang menyembah Allah Rabbul Jalil dalam solat mereka. Kalau anak itu belum mengenal Allah, kenalkan mereka dengan Allah Tuhan semesta alam. Bisikkan kepada anak itu bahawa solat adalah momen percintaan seorang hamba dengan Tuhannya.

Nak lagi cun, kaitkan solat itu dengan Al Quran. Supaya jiwa anak-anak dekat dengan Al Quran..

Beritahu mereka tentang ayat ke 45 dalam surah Al Baqarah yang bermaksud..

“Dan mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Dan itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk”
(Al Baqarah, 45)

Juga khabarkan kepada anak itu ayat ke 153 surah Al Baqarah..

“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar”
(Al Baqarah, 153)

Ruh wahai saudaraku. Itulah pentingnya ruh. Kerana ruh itulah yang mencorakkan kefahaman kita. Dan dengan kefahaman itu, kita akan melaksanakan sesuatu itu walau apa pun kondisinya. Meskipun dalam penat. Walaupun dalam malas. Kerana adanya kefahaman.

Tapi..

Macam terlalu berat je untuk kanak-kanak faham aspek penghayatan solat ni..

Heh. Saya pernah jumpa di laman sosial seorang kanak-kanak berusia 10 tahun menulis tentang politik dalam blognya. Politik bhaii. Ya, mungkinlah kanak-kanak seperti itu sangat rare dan jarang boleh ditemui. Dan saya tidaklah bermaksud supaya semuanya perlu diberitahu hanya dalam satu sesi.

Mungkin boleh diterangkan sedikit demi sedikit kepada anak itu tentang ruh solat yang mereka laksanakan. Contohnya lepas solat zohor, beritahu sedikit. Lepas solat asar, beritahu sedikit lagi. Lepas solat maghrib, beritahu lagi sikit-sikit. Macam tu la. Yang penting istiqamah dan konsisten dalam mendidik.

Untuk kaedah merotan pula, saya akui, merotan dibenarkan dalam Islam asalkan mematuhi tatacaranya. Namun saya lebih cenderung untuk berpendapat merotan adalah langkah yang paling terakhir dalam mendidik anak. Bukan yang pertama, bukan yang kedua dan bukan yang ketiga. Tapi yang terakhir. Kenapa? In sha Allah, saya akan terangkan dalam post yang seterusnya..

Namun yang penting disini, buat kalian yang dah punyai anak, ataupun on the way untuk dapat anak, ataupun yang still berangan nak ada anak, didiklah anak-anak kalian untuk memahami ruh sesuatu itu terlebih dahulu. Kemudian barulah diajar tentang sistem pelaksanaannya. Ataupun nak ajar serentak pun boleh juga sebenarnya. Yang penting, aspek ruh dan penghayatan itu perlu dititikberatkan.

Ini bukan teraplikasi untuk solat sahaja, bahkan ibadah yang lain juga..

Justeru, mari kita amalkan *tapi saya kena kahwin dulu. Heh

No comments:

Post a Comment