Friday, 7 March 2014

Travelog Jalan Cinta Para Pejuang IV

Ia lumpuh di usia remajanya. Tapi mimpinya tak ikut lumpuh. Mimpi itu tetap menyala, bahkan kian berkobar. Duhai kekuatan apakah itu? Yang ada pada guru lumpuh itu? Itulah kekuatan jiwa. Begitu kukuhnya ia sehingga jasad yang rapuh itu bagaikan matahari, bersinar meledakkan. Bertahun-tahun dia dipenjara Israel sehingga manusiapun bertanya apakah bahayanya orang tua lumpuh ini?

Perkenalkan, namanya Sheikh Ahmad Yassin.


Bismillah..

Alhamdulillah. Sudah hampir dua minggu saya berada di tempat yang baru, suasana yang baru dan segalanya seakan-akan baru. Berada berjauhan, bahkan berseorangan daripada para ikhwah tercinta, yang suatu ketika dahulu kami pernah bersama-sama mengutip cinta dari langit lalu menebarkannya di bumi, kini terpisah oleh pelbagai jenis laut dan lautan.

Jujur, saya sendiri tidak pasti atas dasar apakah saya memilih untuk berada di tempat ini. Sama ada ia betul-betul kerana dakwah dan tarbiah ataupun sekadar dipengaruhi oleh keinginan dunia dan nafsu semata. Namun saya kira persoalan tentang itu tidak lagi relevan pada momen ini. Kerana saya sudahpun berada di tempat ini, ataupun lebih dramatik lagi, saya telahpun menjadi sebahagian daripada tempat ini.

Justeru, walau apapun kondisinya, betapa sulitpun situasinya, tanggungjawab syahadatul haq tetap, bahkan wajib untuk saya junjung. Dan itu yang sepatutnya tersemat dalam diri setiap individu yang merasakan dirinya pejuang di atas jalan cinta yang sumpah panjang ini. Kerana futur bukan satu pilihan, terutamanya bagi yang bercita-cita untuk mati di atas jalan dakwah.

Masih ingatkah kalian…

“Al Mautu fi sabilillah, asma’ amanina!”

Begitulah cita-cita yang tersemat sedari awal berada di atas jalan dakwah dan tarbiah..

Namun perjalanan masih panjang. Bahkan saya sendiri tidak tahu apa yang menanti saya di masa hadapan. Cabaran, dugaan, mehnah serta tribulasi pasti datang menyinggah. Persoalannya apakah saya bersedia untuk diuji dengan ujian yang lebih berat dari sebelum ini? Kerana itulah hakikat jalan dakwah.

Sifirnya mudah…

Barangsiapa yang merasakan jalan dakwah ini  jalan yang indah ditaburi bunga dan haruman, ketahuilah dia sedang bermimpi.

Oleh  itu, saya butuh doa kalian. Agar saya terus kuat dan dapat menguatkan orang lain. Agar saya dapat terus melangkah tanpa perlu berhenti kelelahan. Kerana setiap saat yang diperuntukkan untuk berehat hakikatnya telah memberi kelebihan besar kepada jahiliah.

Kerana realitinya, jahiliah bekerja tanpa henti, sedangkan du’at banyak pula rehatnya.

Aduhai….

Namun jujur saya katakan, setelah berbulan-bulan lamanya saya sekadar statik di titik yang sama, agak sulit untuk saya menemukan kembali kekuatan untuk mengactivatekan kembali gas turbo yang sekian lama terperap dalam diri. Itupun kalau layak digelar gas turbo..

Namun sirah Rasul kekal menjadi tauladan zaman berzaman..

Masih ingatkah kalian mengapa ar-Rasul yang mulia digelar al-Amin oleh penduduk Makkah?

Mari kita imbas kembali sirah Rasul tercinta..


Lima tahun sebelum kebangkitan Rasulullah S.A.W, banjir besar melanda Makkah dan airnya yang mengalir deras menuju ke Kaabah. Justeru, ia hampir merobohkan bangunan Kaabah itu. Disebabkan itu, orang Quraisy terpaksa memperbaharui bangunannya.

Pada awalnya mereka takut-takut untuk merobohkannya, gentar sekiranya tertimpa bala. Namun al-Walid bin al-Mughirah al-Mukhzumi dengan selambanya memulakan ketukan. Setelah melihat al-Walid tidak terkena sebarang bala, barulah orang-orang lain berani bertindak merobohkannya.

Setelah itu mereka memulakan pembinaan Kaabah.

Diringkaskan cerita, setelah bangunan selesai disiapkan ke peringkat “Hajar al-Aswad”, mereka terjadi berselisih antara satu sama lain. Perselisihannya berpokokkan siapa yang berhak mendapat keistimewaan untuk mengangkat dan meletakkan “Hajar al-Aswad” itu kembali ke tempatnya. Begitu epik dan dramatiknya perbalahan ini sehinggakan ianya berlanjutan sehingga ke malam ke empat atau ke lima, bahkan hampir-hampir membawa kepada pertumpahan darah.

Akhirnya, muncul seorang yang bernama Abu Umayyah bin al-Mughirah al-Makhzumi mengemukakan cadangan kepada mereka iaitu, barangsiapa menjadi orang yang pertama memasuki ke dalam masjid, melalui pintu besar, maka orang itu lah yang akan menjadi hakim.

Maka perancangan Allah berjalan mengikut apa yang diaturkan..

Ditakdirkan, Muhammad bin Abdullah menjadi orang pertama memasuki masjid melalui pintu itu.

Maka para quraisy lalu berteriak..

“Itu pun al-Amin!! Kami bersetuju dengan penyelesaian Muhammad!!”

Kemudian mereka justeru menceritakan apa yang terjadi kepada Rasulullah S.A.W…

Dengan penuh kebijaksanaan, baginda meminta sehelai kain, lalu diletakkannya Hajar al-Aswad ke atas hamparan kain tersebut. Lalu baginda meminta setiap taiko kabilah memegang hujung kain, seterusnya meminta mereka mengangkatnya sehingga sampai ke tempatnya. Setibanya di situ, baginda sendiri yang meletakkan dengan tangan baginda ke tempat asalnya.

Maka kesemua kabilah berpuas hati dengan penyelesaian yang diilhamkan oleh manusia bernama Muhammad bin Abdullah itu..

Bila membaca kisah ini, saya jadi terharu..

Cuba kalian fikir-fikirkan, bagaimana insan bernama Muhammad bin Abdullah ini berhasil memperoleh kepercayaan kaum Quraisy, lalu mereka semua bersetuju menerima penyelesaian yang dibawa oleh baginda.

Saya tidak fikir cadangan melantik orang yang pertama memasuki masjid sebagai hakim akan dipersetujui oleh mereka andainya orang yang pertama terjadi memasuki masjid pada hari tersebut adalah individu yang gampang sifatnya, perogol tegar ataupun perompak terkenal.

Bahkan saya pasti lagi percaya, reaksi pertama pihak Quraisy  setelah terlihat Rasulullah sebagai yang pertama di masjid pada hari itu dek kerana keperibadian mulia yang dimiliki oleh baginda sebelum itu lagi. Itulah yang dinamakan qudwah…

Peristiwa ini menjadi panduan yang justeru berguna buat para du’at hari ini..

“Qudwah qabla Dakwah” (Tauladan yang baik sebelum menyeru)

Inilah azimat yang perlu saya tanamkan sedalam-dalamnya dalam hati sebaik sahaja saya menjejakkan kaki ke tempat ini. Inilah blueprint yang perlu di”install”kan dalam memori saya sebaik sahaja saya mengangkat panji perjuangan di sini.

Namun, setelah dua minggu berlalu, saya masih lagi berjuang untuk menjaga qudwah diri. Terkadang terbabas juga solat subuh. Terkadang terketawa macam orang terkena histeria. Terkadang terlupa basuh pinggan sendiri lepas makan sampai kena tegur dengan housemate. Benarlah, menjaga qudwah tidak semudah mengorek telinga..

Namun apa yang penting…

Ikhlas dan istiqamah. Disertai dengan doa…

Saya sesekali tak akan berputus asa..

Moga Allah redha. Dari dunia sampai akhirat..

No comments:

Post a Comment