Monday, 21 April 2014

IRKAM MA'ANA!!

Hampir-hampir bersawang blog ini. Hembusan udaranya pun sudah tidak sekerap dahulu. Andainya hembusan itu datang sekali sekala, saya sendiri tidak pasti apakah udaranya benar-benar nyaman dan melegakan buat yang sudi bertandang. Cewah.

Haih..  

Tidak mampu untuk saya ceritakan di sini mengapakah laman ini sudah berubah menjadi sebuah lembah yang sunyi. Umpama gurun pasir yang tandus. Hanya sekali sekala hembusan udara datang menyinggah. Namun mungkin inilah momen terbaik untuk saya berpindah ke daerah muhasabah. Mencuba dengan segenap daya dan upaya untuk mengintrospeksi diri, apakah pengisian-pengisian lampau sudah diterjemahkan kepada amal?

Begitulah….


Saya cuba mengimbau kembali penulisan-penulisan yang pernah digarap di hari yang sudah, satu kesimpulan yang dapat saya buat. Betapa penulisan yang berintikan dakwah dan tarbiah amat kurang benar sambutannya. Baik dari segi yang menge’like’, mahupun dari segi jumlah kiraan ‘page viewed’.  

Justeru, ia memberikan suatu indikasi bahawa, majoriti daripada kalian yang selalu bertandang ke laman ini adalah dalam kalangan mereka-mereka yang belum lagi berpeluang untuk merasai nikmat dan manisnya jalan dakwah dan tarbiah. Betapa indahnya kehidupan apabila telah jelas matlamat dan tujuan hidup.

Rugi! Rugi! Rugi!

Saudara-saudaraku…

Saya tidak akan pernah berasa jemu dan bosan untuk mengajak anda bergabung dengan dakwah dan tarbiah yang saya imani sekarang. Bahkan, ianya merupakan satu kewajipan buat diri saya untuk memperomosi dakwah dan tarbiah ini kepada kalian. Kerana dakwah dan tarbiah inilah yang memberi makna kepada kehidupan seorang insan.

Sekiranya mahu disenaraikan satu persatu, tidak cukup dengan satu post sahaja untuk menceritakan betapa besarnya jasa dakwah dan tarbiah dalam kehidupan seorang saya…

Namun yang paling besar dan paling signifikan adalah…

Dakwah dan Tarbiah telah mengajar saya bagaimana untuk menjadi seorang manusia.

Kerana menjadi seorang manusia itu tidak mudah. Dengan keterbatasannya, dengan kelemahannya, dan dengan segala kebongkakan dan keangkuhannya, disuruh menjadi khalifah yang memakmurkan bumi. Duhai ujian apakah itu?

Namun Tuhan Maha Tahu.

Tuhan tak pernah tersilap.

“Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”
(Al Baqarah, 30)

Itulah dia jawapan yang menuntut sebuah ketaatan yang jitu. Yang menuntut manusia untuk bermujahadah mencari erti dan makna bagi kehidupannya.

Dan dakwah dan tarbiah telah menawarkan makna kehidupan yang indah kepada saya.

Iaitu kehidupan menuntut kita menjadi seorang manusia yang ihsan. Iaitu yang merasakan dirinya senantiasa diperhatikan oleh sang Rabbul ‘Alamin. Dengan kesedaran itulah, manusia berjalan di atas garis masa yang telah disetkan untuk dirinya dengan penuh rasa taqwa, yakni berhati-hati sehinggalah bertemu dengan pengakhirannya yang mulia.

Begitulah dakwah dan tarbiah telah mengajar saya.

Iaitu bagaimana untuk menjadi seorang manusia.


Duhai saudaraku,

Seperkara lagi yang cukup penting untuk saya ceritakan disini, betapa besarnya jasa dakwah dan tarbiyah kepada saya adalah ianya mengajarkan saya untuk mengenali jahiliah, untuk mengenali Al Bathil.

Kerana Islam dan jahiliah selamanya tidak akan bersatu.

Kerana Al Haq dan Al Bathil selamanya tidak akan bertemu jodoh.

Sesuai dengan firman-Nya yang agung.

“Dan janganlah kamu campuradukkan Al Haq (kebenaran) dengan Al Bathil (kebatilan)…”
(Al Baqarah, 42)

Saya tidak bermaksud untuk menghuraikan persoalan tentang Al Haq vs Al Bathil ataupun Islam vs Jahiliah di dalam post ini. Kerana jika saya menghuraikannya, post ini akan mencatat rekod blogpost paling panjang seantero nusantara. Bahkan jika saya menggarapnya dengan sebaik-baik tulisan sekalipun, nescaya ianya tidak akan mencukupi.

Kerana saya hanya mengenali apa itu Al Haq dan apa itu Al Bathil setelah saya menjerumuskan diri ke dalam dakapan dakwah dan tarbiyah. Justeru, saya percaya perkara yang serupa perlu kalian lakukan untuk membedakan antara keduanya. Kerana percayalah, malapetaka yang besar akan berlaku sekiranya kita gagal untuk mengenalpasti jahiliah dan konco-konconya.  

“Sesungguhnya,  ikatan Islam itu akan terurai satu persatu, sekiranya seseorang yang lahirnya dalam keluarga Islam, namun ia tidak mengenal jahiliah”
(Umar Al Khattab)

Justeru saudaraku….

Irkam ma’ana! 

Layarilah bahtera dakwah dan tarbiyah ini bersama kami!

Saya sudahi post ini dengan sambungan ayat ke 42, surah Al Baqarah di atas. Kerana bagi saya, ayat ini cukup untuk menyimpulkan kenapa saya perlu bersungguh-sungguh untuk mempromosikan dakwah ini sehingga khusnul khatimah.

“…dan (janganlah) kamu sembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahuinya.”
(Al Baqarah, 42)

No comments:

Post a Comment