Sunday, 27 April 2014

Apa Yang Kamu Tahu Tentang Dakwah?


Hidup di bawah bayangan Al Quran adalah suatu kenikmatan yang tidak dapat diketahui melainkan hanya oleh mereka yang mengecapinya sahaja. Ia adalah kenikmatan yang meluhur, memberkati, dan membersihkan usia seseorang.

Aku telah hidup di bawah bayangan Al Quran dan di sana aku melihat jahiliah berkecamuk di muka bumi dan aku melihat cita-cita penduduk-penduduk dunia ini amat kerdil dan kecil.
                    
Aku melihat pemuja-pemuja jahiliah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak, sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan kanak-kanak, dan keteloran lidah kanak-kanak.

Aku merasa kaget dan hairan mengapa manusia jadi begini, mengapa mereka jatuh ke dalam lumpur yang kotor dan penuh penyakit ini? Mengapa mereka tidak mendengar seruan Allah yang Maha Tinggi, iaitu seruan yang dapat meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang.

-Fi Zilal Al Quran, Sayyid Qutb-

Ayat-ayat di atas saya petik daripada mukaddimah Fi Zilal Al Quran (Di Bawah Bayangan Al Quran) yang ditulis oleh Sayyid Qutb, sebuah tafsir haraki yang bisa menggugah jiwa sekiranya dibaca dengan penuh penghayatan.

Epik dan legend.

Begitulah yang dapat saya simpulkan tatkala membaca bait-bait kalimah ini.

……..

Murabbi saya pernah menceritakan bahawa beliau pernah ditanya oleh seorang akh…

“Akhi…bagaimana mahu jatuh cinta dengan dakwah dan tarbiyah?”

Ya. Soalan yang dah ada skema jawapannya. Saya fikir, sekiranya soalan yang sama ditanya kepada saya, dah seronok sakan saya menggorengnya. Bahkan jika soalan ini keluar dalam subjek pendidikan Islam yang menawarkan 10 markah, ramai pelajar yang boleh skor fullmark. Even pelajar tu tak pernah join dakwah dan tarbiyah pun.

Namun murabbi saya tersentak dengan statement akh tersebut sejurus soalan tadi ditanyakan.

“Ana dah tanya ramai ikhwah, tapi ana belum jumpa lagi jawapan yang boleh puaskan hati ana..”

Bermakna, segala apa yang telah digoreng telahpun hangit. Hmm..

Alhamdulillah, dengan izin Allah, murabbi saya telah memberikan jawapan yang saya rasa telah menyentak kembali hati akh tersebut, bahkan telah menyentak hati saya, dan hati usrahmates yang lain.

A simple, yet powerful statement.

“Akhi…”

“Kalau nta nak jatuh cinta dengan dakwah….”

“Nta kena tukar mindset nta terhadap dakwah dulu….”

Mindset. Apa yang ada pada mindset? Ceh!

………………

Tafsir Fi Zilalil Quran merupakan sebuah tafsir Al Quran yang begitu dekat di hati para mujahid dan para du’at ilallah zaman-berzaman. Bahkan, dalam sistem usrah sekalipun, boleh dikatakan tafsir inilah yang selalu digunakan oleh para murabbi untuk menaikkan hamasah dan himmah para mutarabbinya.

Saya rasa satu sebab untuk menjustifikasi mengapa tafsir ini menjadi pilihan para mujahid adalah kerana tafsir ini juga ditulis oleh seorang mujahid dengan tinta derita dan sengsara. Sayyid Qutb menulis Fi Zilalil Quran di era pemerintahan kuku besi Jamal Abdul Nasir, presiden Mesir ketika itu, di mana pada zamannya, begitu ramai para mujahid Ikhwan ditangkap dan dipenjarakan termasuklah Sayyid Qutb sendiri.

Yang menariknya tentang  tafsir ini adalah ianya ditulis sebanyak dua kali. Kali pertama adalah dengan tinta seorang ‘alim, kali kedua pula adalah dengan tinta seorang syuhada’. Allahu..

“Aku telah hidup di bawah bayangan Al Quran…”

Saya yakin lagi percaya, sesungguhnya kenikmatan yang benar-benar hakiki itu adalah bila mana seorang insan itu hidup dibawah lembayung Al Quran. Yakni mengikut prinsip-prinsip Al Quran dalam kehidupannya, berakhlak dengan akhlak-akhlak Al Quran, dan beriltizam dengan kebenarannya. Bahkan ianya lebih nikmat daripada nikmat memandu kereta McLaren MP4-12C, lebih nikmat daripada nikmat beristerikan Puan Cinderella yang ayu dan jelita itu. Lebih nikmat daripada segala-galanya.

“..di sana aku melihat jahiliah berkecamuk di muka bumi..”

“..dan aku melihat cita-cita penduduk dunia ini amat kerdil dan kecil..”

Nah! Lihat di sini bagaimana mindset beliau terhadap dunia ini telah berubah setelah hidup di bawah bayangan Al Quran. Di situlah letaknya peranan Al Quran. Ini bukanlah seperti proses indoktrinisasi yang sering diperkatakan itu. Bahkan ini adalah sebuah pencerahan yang tidak tertanding gemilangnya. Kerana Al Quran itu diturunkan bukan sekadar untuk ditilawahkan, apatah lagi untuk ditarannumkan, Tetapi Al Quran diturunkan untuk suatu yang bernama kehidupan.      

Saudaraku, dakwah adalah kehidupan.

Dan Al Quran diturunkan kepada Muhammad bin Abdullah.

Yang tugasnya menyampaikan dakwah keseluruh pelosok buana.

Lantas, jika mahu cinta sama dakwah ini, cintalah pada Al Quran itu dahulu..

Iqra!

1 comment:

  1. boleh jelaskan lagi kenyataan ni - "Yang menariknya tentang tafsir ini adalah ianya ditulis sebanyak dua kali. Kali pertama adalah dengan tinta seorang ‘alim, kali kedua pula adalah dengan tinta seorang syuhada’."

    ReplyDelete