Giving up
something the heart adores is one of the hardest battles we ever have to fight.
Saya mempunyai
satu hobi yang boleh dikategorikan sebagai tidak senonoh. Saya gemar
menyelongkar laman muka buku sahabat-sahabat yang boleh dikatakan sudah
mencapai tahap super saiya dalam arena dakwah dan tarbiah. Semangat saya
berkobar-kobar melihat gelombang perubahan dalam diri mereka. Daripada menulis
status-status yang lagha dan kerepek, mereka mula menghapdate status-status
yang tarbawi gitu. Nak menangis pun ada. Saya yakin dan pasti, bukan mudah
untuk bermujahadah meninggalkan lorong gelap jahiliah yang hanyir dan berkulat
itu. Ianya tidak semudah merebus maggi tomyam.
Semua manusia
atas muka bumi ini punya kisah silam yang tersendiri. Hatta, Umar Al-Khatab,
manusia yang namanya harum semerbak kasturi juga punya cerita lampau. Bagaimana
sebelum di tarbiah, Umar Al-Khatab adalah seorang yang hina dan kehidupannya
terdampar di lorong gelap jahiliah, namun setelah di sapa makcik Hidayah,
lihatlah sejarah ulung Umar Al-Khatab. Malah, beliau adalah salah seorang
sahabat yang dijanjikan syurga. Walaweh!
Ok dah nak masuk
part sedih.
Saya cukup-cukup
memahami betapa getirnya ujian masa silam ini. Kerana saya turut pernah
mengalaminya. Malah saya tidak malu mengatakan saya masih lagi diuji dengan
ujian masa silam. Ia terlalu menyakitkan. Ia diibaratkan seperti anda sedang
bergelut dalam pusaran air yang menarik anda ke dasar laut. Anda berusaha untuk
keluar dari tarikan itu. Sesekali anda berjaya dan berpeluang merasai lazatnya
udara di atas permukaan air namun anda terus ditarik, ditarik dan ditarik.
Akhirnya anda kepenatan dan tertewas. Maka mencairlah tarbiah yang pernah
diterima. Runtuhlah iman yang sekian lama dibina. Hanya kerana masa silam.
Jika dahulunya
dia pernah bergelumang dengan lautan hanyir percintaan jahiliah. Berhubungan
antara teruna dan dara sesuka hati. Namun dengan kasih dan sayang-Nya, Allah
mempertemukannya dengan kelazatan tarbiah. Perlahan-lahan dia keluar dari bilik
kotor dan berdebu itu menuju ke satu dunia yang baru. Dunia di mana dia mula
mengenali apa itu ukhuwwah fillah. Namun jahiliah pantang mengalah. Sesekali
dia terseret juga ke bilik itu semula. Bagi yang pernah mengalaminya, kalian
pasti mengerti sesungguhnya ia tidak mudah.
Begitu juga
dengan para kipas susah mati bola ataupun gamer tegar. Jika anda sebahagian
daripada mereka sewaktu bersama-sama berseronokan
di dunia gelap, anda pasti tahu bagaimana bergayanya turning mereka setelah
mengenali tarbiah. Gamer tegar misalnya, sudah pasti menghadapi krisis yang
sangat-sangat dahsyat pada permulaan fasa tarbiahnya. Masakan tidak,
waktu-waktu yang dahulunya sering terisi dengan bergayanya dengan bermain game
kini perlu diisi dengan sesuatu yang tarbawi. Membaca Al-Quran. Membaca buku-buku
fikrah. Ia tidak mudah. Saya cukup percaya.
Tarikan-tarikan
untuk kembali semula ke masa silam yang kelam itu akan sentiasa ada. Bahkan ia
tidak pernah tiada. Dan tiada siapa pernah memberi jaminan bahawa jalan
mujahadah ini mudah. Sebab itu, dalam Al Quran, Allah secara terus-terang
menyatakan kebersamaan-Nya bersama orang-orang yang berjihad ini. Tanda cinta
Allah pada hamba-hamba yang bermujahadah mencari redha-Nya. Allahu Allah.
Terharu. Menangis.
Dan orang-orang yang berjihad untuk
(mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.
Dan sungguh, Allah berserta orang-orang yang berbuat baik.
(29 : 69)
Ikhwah dan akhawat sekalian,
Ketahuilah Allah tidak pernah
mempersiakan mujahadah kalian semua. Setiap titis air mata dan setiap keluhan
kata, Allah Maha Mengetahui, Allah Maha Melihat, Allah Maha Mendengar.
Terus-meneruslah berdoa agar suatu hari nanti Allah membebaskan kalian dari
belenggu masa silam yang benar-benar menghambat diri. Jangan lupa titipkan doa
buat saya sekali.
Sesungguhnya jalan menuju ke syurga itu
tidak pernah dihiasi dengan mawar-mawar merah dan pewangi-pewangi harum, tetapi
di jalan itu terbentangnya karpet mujahadah, yang menuntut peluh dan air mata.
Percayalah, syahadah yang benar tidak pernah mempersiakan setiap titisan peluh
dan linangan air mata di jalan Allah.
Titisan air mata menyubur cinta
Dan rindu pun berbunga
Mekar tidak pernah layu
Damainya hati yang dulu resah keliru
Cintaku tak kan pudar diuji dugaan
Menghantar harapan moga kan kesampaian
kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina
Duhai ikhwah dan akhawat,
“Dan kerana Tuhanmu, bersabarlah..”
![]() |





