Bumi mana yang tak pernah di timpa hujan? Laut mana yang tidak ada pasang surutnya? Langit mana yang tidak pernah gelap? Lautan mana yang tidak pernah bergelora? Setiap yang berlaku itu adalah satu sunnatullah, sesuatu yang telah ditetapkan oleh Tuhan pemilik bumi ini.
Setiap orang punyai titik lemah masing-masing. Setiap orang
ada jalan berlumpur yang mesti dilalui. Setiap orang ada lautan bergelora yang
mesti diredah. Setiap orang ada ujian mereka yang tersendiri.
Ada orang diuji dengan keputusan peperiksaan yang teruk. Ada
orang diuji dengan kehilangan orang yang disayangi dan tempat bergantung. Ada
orang diuji dengan kehilangan harta benda. Ada yang diuji menerusi penderaan
emosi dan mental yang berterusan. Ada juga yang diuji dengan penderaan fizikal
yang menyakitkan.
Penderitaan, kesedihan, ujian dan dugaan ini kadang-kadang
menggoncang iman kita. Kita merasakan kitalah manusia yang paling malang sekali
di dunia ini. Kita merasakan kitalah yang paling teruk diuji. Hatta, sampai
suatu tahap kita seakan-akan meragui keadilan Tuhan yang Maha Adil.
Tetapi, pernahkah kita terfikir bahawa hidup kita ini memang
untuk diuji?
Di dalam surat chenta-Nya yang agung, Allah telah
menyatakan,
Yang menciptakan mati dan hidup, untuk MENGUJI kamu, siapa
di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.
(Al Mulk : 2)
Yakinlah ujian adalah satu manifestasi chenta dan kasih
sayang Tuhan terhadap hamba-hamba-Nya. Ketika Allah merindukan hamba-Nya, Dia
mengirimkan sebuah hadiah istimewa melalui malaikat Jibril di mana isinya
berupakan ujian. Mana mungkin Tuhan itu zalim andai ujian yang ditimpakan
bertujuan menghapuskan dosa-dosa hamba-hamba-Nya. Ditimpakan-Nya ujian dan
dugaan ke atas hamba-hamba-Nya sebagai peringatan, renungan dan medan refleksi,
untuk kita kembali ke kandang ibadah, untuk kita kembali melaksanakan tugas
khalifah.
Di dalam sebuah Hadis Qudsi ada disebutkan,
Di dalam sebuah Hadis Qudsi ada disebutkan,
Pergilah kepada hamba-Ku, lalu timpakanlah berbagai ujian
padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya.
(Hadis Riwayat Thabrani dan Abu Umamah)
Begitu baik dan kasihnya Allah pada kita, namun, kita pula
selalu tersalah sangka pada Dia.
Ujian akan menjadi sebuah tarbiyyah andai kita selesa
memandangya sebagai sebuah tarbiyyah. Ujian akan menjadi sebuah rahmat andai
kita sudi menerimanya sebagai sebuah rahmat. Dan ujian itu adalah cinta andai
kita cinta kepada sang permberi ujian.
Renungilah, hayatilah hadis qudsi ini,
Allah S.W.T berfirman, Aku adalah sepertimana sangkaan Hamba-Ku
terhadap-Ku dan Aku bersamanya ketika dia berzikir mengingati-Ku. Maka jika dia
mengingati-Ku dalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku, dan jika dia
mengingati-Ku dalam jemaah manusia, Aku akan mengingatinya dalam dalam jemaah yang
lebih baik dari mereka, dan jika dia mendekati kepada-Ku sejengkal, Aku akan
mendekati kepadanya sehasta, dan jika dia mendekati kepada-Ku sehasta, Aku akan
mendekati kepadanya sedepa, dan jika dia mendekati kepada-Ku sambil berjalan,
Aku akan mendekati kepadanya sambil berlari
(Riwayat Bukhari)
Akhi sayang...
Sedang Muhammad manusia pilihan itu turut diuji. Apatah lagi
kita manusia biasa. Manusia yang penuh dosa dan noda. Dan pabila Allah menguji
kita, untuk menawarkan keampunan yang tidak berbelah bagi andai kita redha dan
sabar terhadap ujian itu, ironinya kita menyombongkan diri. Medan muhasabah seakan-akan
terlalu jauh buat kita. Kita seolah-olah kemarau linangan air mata keinsafan.
Entah mengapa hati kita.
Sabda Ar Rasul S.A.W yang mulia,
Tiadalah seorang mukmin yang ditimpa musibah tertusuk duri
atau lebih teruk daripada itu melainkan dengannya Allah akan menghapuskan
sebahagian daripada dosa-dosanya
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Akhi sayang...
Semalam telah menjadi sejarah. Tetapi hari esok adalah
harapan. Selalu ada harapan untuk mereka yang berusaha. Selalu ada impian untuk
mereka yang berdoa. Kita tidak pernah tahu apa yang dirancang untuk kita oleh sebaik-baik
Perancang. Tetapi pastinya apa yang telah ditetapkan untuk kita itulah yang
terbaik buat diri kita. Walau kita tidak menyukainya. Meski hati membencinya.
..boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik
bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu.
Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.
(Al Baqarah : 216)
Hidup ini hanya sebuah perjalanan untuk pulang ke kampung
halaman. Tetapi, ramai manusia yang tersesat dalam perjalanan. Kerana lupa
dunia ini hanya pinjaman. Sedang akhirat itu yang berkekalan.
Tersenyumlah akhi..


No comments:
Post a Comment