Tuesday, 18 March 2014

One Message Received

Ahli zuhud yang baru di dalam zuhudnya lari dari makhluk. Tetapi ahli zuhud yang sempurna zuhudnya tidak lari dari manusia, bahkan mencari-cari mereka kerana dia telah mengenali Allah S.W.T. Sesiapa yang mengenali Allah tidak akan lari dari sesuatu dan dia tidak takut kepada sesiapapun kecuali Allah.
                            
Siapa yang telah sempurna mengenal Allah S.W.T, ia akan menjadi penunjuk manusia kepada-Nya. Dia menjadi jala untuk menangkap manusia dari lautan dunia. Dia diberi kekuatan hingga mampu mengalahkan iblis dan tenteranya. Dia merampas manusia dari genggaman syaitan-syaitan itu.

-Muntalaq (Bab 5), Ahli Ibadat Yang Bermain-main-


Pada suatu malam yang cemerlang, saya telah berkesempatan untuk menghadiri sebuah talk ataupun dalam bahasa klasiknya, ceramah di sebuah bandar minyak di Malaysia yang sejahtera ini. Sebenarnya talk itu adalah anjuran Islamic Society Club kepada sebuah universiti yang terdapat di bandar tersebut, yang ditakdirkan oleh Allah menjadi universiti tempat saya menuntut ilmu.

Bagaimanapun, disebabkan jumlah muslim di universiti itu boleh dibilang dengan jari, maka pihak penganjur pun membuka penyertaan kepada penduduk muslim di sekitar bandar tersebut.

Melihatkan kepada tajuk ceramah yang menggoda, iaitu “Gen Y vs Gen Sahabah”, selain daripada speaker yang dijemput juga agak berwibawa dan terkenal, dan perlu dinyatakan juga, individu-individu yang mempelawa saya ke talk tersebut sopan-santun orangnya dan in sha Allah calon suami soleh, maka saya pun pergilah ke ceramah itu bersama beberapa orang teman yang lain.

Ok, tak nak tulis intro panjang-panjang, sebab saya rasa apa yang saya nak membebel kat bawah nanti pun agak panjang jugak. Dan, in sha Allah, apa yang bakal saya nukilkan dibawah ini adalah sipi-sipi kaitannya dengan petikan daripada buku Muntalaq di atas. Kalau tak nampak juga kaitannya, boleh tinggalkan persoalan di ruangan komentar.

Oh ye, isi-isi tulisan ini sebenarnya saya sedut daripada ceramah itu.

Alhamdulillah, a very beneficial talk I can say. 

Ok. Bismillah…

Dalam kehidupan seharian seorang akh, dan ukht juga, adalah menjadi suatu kemestian untuk menyampaikan mesej tentang Islam dengan apa cara sekalipun, sama ada secara terang-terangan seperti tazkirah dan ceramah, ataupun secara halus seperti ketika tengah bersembang pasal bola, ataupun secara indirectly seperti menunjukkan contoh tauladan yang baik.

Ini penting kerana, dakwah yang mahu kita jalankan bukan terhad ketika sesi liqa’ mingguan sahaja, bahkan dakwah itu perlu terpancar dari segenap perlakuan dan perkataan kita seharian. Bunyinya seperti berat kan? Bukan seperti lagi, dah memang berat pun. Saya nak tulis ni pun takut takut juga sebenarnya. Takut tak teramal. Tapi kita cuba-cuba lah ye, in sha Allah, moga Allah bantu..

Dan yang paling penting antara yang terpenting adalah, benda ini perlu dilakukan secara istiqamah. Inilah yang menjadi cabaran paling getir buat para du’at Islam. Kita perlu konsisten dalam menyebarkan mesej dakwah ini. Tak boleh bermusim, tak boleh ikut mood.

Maka nak dijadikan cerita, salah seorang peserta ceramah bertanya kepada ustaz..

“Ya Ustaz, bagaimana mahu istiqamah dalam menyebarkan kebaikan?”

Saya tertarik dengan jawapan ustaz ini. Jawapan yang agak rare dan jarang-jarang boleh ditemui..

Ustaz ini menjawab..

“Ingat mati!”

Fuh. Semudah itu kan? Omongnya nampak mudah, praktikalnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tetapi saya berjaya menemukan relevan untuk jawapan ini. Logiknya mudah, kita semua mahukan pengakhiran yang baik kan?. Semua nak masuk syurga. Dan kita semua tak nak mati saat iman kita tengah down, ataupun lebih parah lagi, mati dalam keadaan futur dari jalan dakwah, na’uzubillah. Oleh itu, dengan mengingati mati, kita mampu recharge semula iman kita sebenarnya. Ataupun sekurang-kurangnya, elemen muhasabah mampu diterbitkan tatkala kita mengingati mati.

Cuba bayangkan, saat kita futur untuk buat kerja-kerja dakwah, saat kita malas untuk hadir ke program-program tarbiah, saat itu juga Allah tarik nyawa kita. Bagaimana pengakhiran kita waktu itu? Di mana destinasi kita setelah itu? Mungkin, mungkin pada pandangan mata orang lain, kelihatannya kita mati sebagai seorang akh atau ukht yang telah bersaksi dengan syahadahnya. Akan tetapi, Allah tahu, Allah tahu kondisi sebenar iman kita waktu itu. Allah tahu yang kita pada waktu itu tengah rasa malas, tengah futur, tengah down. Dan kita taknak kondisi seperti itu menjadi penutup kepada perjuangan yang telah kita selusuri ini.


 Ya benar, rasa nak futur itu fitrah, yakni sesuatu yang kita tak boleh nak elak. Kerana kita bukan geng malaikat yang statik iman mereka. Kita hanyalah geng-geng manusia jalanan yang dikutip entah dari mana, lalu ditarbiah oleh para murabbi yang ikhlas, lalu dengan izin Allah, menjadilah kita seperti kita yang hari ini. Justeru skrin hidup kita dihiasi dengan graf iman yang kadang-kala menurun hingga hampir-hampir mencecah bumi, kadang-kala pula memuncak tinggi hingga hampir menyentuh langit di atas sana.

Namun ada sesuatu yang membezakan antara mukmin yang benar dengan yang lain..

Sikap kita tatkala roda iman itu mula berputar ke bawah.,

Adakah kita berusaha dengan daya kekuatan yang bersisa untuk melawan putaran itu?

Ataupun kita hanya diam sekadar terpana?

Ataupun lebih teruk lagi adakah kita bahagia dengan putaran seperti itu? Na’uzubillah.

Justeru ikhwah dan akhawat sekalian…

Mohonlah kepada Tuhan pemilik hati agar ditetapkan hati kita di atas jalan dakwah dan tarbiah ini. Kerana kefuturan itu bukan satu pilihan. Bahkan cukup jika saya katakan, hanya satu sahaja pilihan yang ada, iaitu istiqamah di atas jalan ini.

“Dan barangsiapa mencari agama selain Islam, dia tidak akan diterima, dan di akhirat, dia termasuk orang yang rugi”
(Ali Imran, 85)

Kerana Islam ini tidak akan lengkap tanpa dakwah dan tarbiah.

No comments:

Post a Comment