Monday, 31 December 2012

Manisnya Kurma Itu

Semua sedia maklum bahawasanya cuti sekolah bakal melabuhkan tirainya. Maka berpusu-pusu lah ibu bapa menyediakan keperluan sekolah anak-anak mereka. Tidak ketinggalan juga para guru yang sudah mula membuka buku-buku catatan serta buku persediaan mengajar bagi menyambut sesi persekolahan tahun 2013 ini.

Di ruangan laman maya, mukabuku  juga tidak ketinggalan para pelajar mencurahkan isi hati mereka di status melahirkan kesedihan mereka terhadap kezaliman cuti sekolah yang begitu pantas berlalu meninggalkan mereka tanpa mereka sedari. Laksana didera dan dibelasah dengan begitu hebat disertai dengan pukulan gelombang ka me ha me ha, para pelajar ini mengadu nasib mereka yang kini bagaikan telur ayam di hujung tanduk lembu di ruangan status muka buku dan ada juga yang meninggalkan nota kaki, “tak sabar nak tunggu cuti yang baru”.

Kelip mata. Geleng kepala tiga kali. Baiklah. Ini lah ulasan saya, Encik Musab sebagai seorang pemerhati ruangan newsfeed mukabuku.

Baiklah. Sebenarnya saya tak nak ulas pasal cereka-cereka alam zaman persekolahan mahupun alam-alam remaja yang penuh dengan cinta monyet. Tetiba. Apa yang saya nak cerita di sini mungkin lah ada perkaitannya sedikit dengan sekolah. Tapi bukan totally pasal sekolah. Heh.

Bila sebut pasal sekolah, semua orang tahu yang sekolah adalah tempat untuk kita menuntut ilmu. Kat sekolah lah kita belajar addmath, belajar fizik, belajar biologi. Paling best sekali belajar pendidikan sivik dan kewarganegaraan dengan matlamat untuk menjadi warganegara yang bersifat patriotik serta hensem. Eh! Selalunya waktu belajar sivik ni saya tidur. Ok. Pengakuan jujur berani mati di situ.

Begitu juga dengan mereka-mereka yang bersekolah agama. Di sekolah lah tempat kita belajar Pendidikan Quran dan As Sunah, Pendidikan Syariah Islamiyyah, Bahasa Arab Tinggi dan sebagainya. Dengar macam dah taraf ulama’ kan? Ulama’ ke? Heh. Ok, sebenarnya post kali ni nak cerita pasal faham agama dan tahu agama. Ye saya tahu. Intro memang tak masuk dengan isi penting. Sila abaikan intro di atas.

Bila sebut pasal faham agama, apa yang terlintas di kotak pemikiran anda? Ok. Saya bagi contoh situasi-situasi tertentu untuk sama-sama kita analisa.

Situasi 1
Ahmad Darmawan seorang yang pelajar sekolah agama. Dia selalu dapat A+ dalam subjek-subjek agama. Punyalah tinggi kefahaman dia terhadap subjek-subjek agama. Tapi pada masa yang sama, dia selalu berkaple dan berdating bersama kekasihnya. Pada hujung minggu pula dia biasanya lepak-lepak dengan member dia sambil hisap rokok tanpa filter.

Situasi 2
Nur Qurrata A’yun seorang wanita solehah yang cantik secantik namanya. Belajar pun tinggi. Dekat tingkat lima. Tinggi ke? Tinggi la jugak. Dia selalu pakai tudung labuh. Macam-macam fesyen tudung labuh dia ada. Bawal, Tenggiri, Haruan, Ikan Bilis, dan sebagainya. Dia ni kalau cakap dengan lelaki, siap bertepuk tampar sepak terajang lagi. Gelak pun boleh tahan jugak. Kalah sikit je dengan puntianak harum sundal subuh.

Situasi 3
Tajul Arema Wandang Silabulu seorang yang petah berkata-kata. Banyak dah kitab-kitab agama yang dia hafal. Nak debat dengan dia, kena fikir masak-masak pastu rebus balik pastu goreng dengan minyak cap Mak Aji dulu, bukan apa, nanti kalau kalah debat dengan dia, dah lah kalah, kena ejek, maki, sepak, terajang dengan dia. Pokoknya, ilmu dia punyalah tinggi. Muka dia memang susah nak nampak solat jemaah. Maklumlah sibuk mengapal kitab-kitab agama. Mana nyempat nak gi masjid.

Ok. Sila baca dan hadamkan sehadam-hadamnya ketiga-tiga situasi di atas. Baiklah. Dah? Kenyit mata.

Sekarang jom kita sama-sama analisa.

Antara ketiga-tiga situasi di atas, mana satu yang boleh dikategorikan sebagai faham agama?

Krik Krik Krik

Cuba kita perhalusi ketiga-tiga situasi di atas. Saya tahu, situasi yang pertama, kalau tak banyak, sikit pun mesti anda yang bersekolah agama terasa kan? Hoho.

Secara ringkasnya, tahu agama dan faham agama ni sangat berbeza. Ada orang dia boleh khatam kitab-kitab agama, exam boleh dapat hundred percent, tapi bila cerita bab amalan, semua ke laut cina selatan. Ada sikit ke laut merah. Pokok pangkalnya, memang tak de amalan lah. Hanya teori semata-mata.

Nak cerita kat sini, bila kita claim kita faham agama, benda tu akan selari dengan tindakan kita. Contoh paling mudah. Islam mewajibkan solat lima waktu. Orang yang tahu agama, bila keluar soklan exam, apa hukum solat lima waktu? Konpem-konpem dia boleh jawab. Sebab dia tahu. Tapi orang yang faham, dia akan buat solat lima waktu tu. Boleh nampak tak permainan di situ?

So, dekat sini timbul satu persoalan. Nak faham agama ni, kita kena ada banyak ilmu ke?

Ok. Untuk persoalan ni, cuba kita tengok Sumaiyyah dan Bilal bin Rabbah. Masa lepas masuk Islam, apa yang mereka tahu pasal Islam? Mereka cuma tahu mengucap je. Tapi mereka boleh tahan diseksa untuk pertahankan akidah mereka. Sebab apa? Sebabnya mereka cukup faham kalimah syahadah mereka tu. Kita yang dah tahu banyak ni, Darjah Khas dapat Pangkat Satu (untuk orang Johor), PAI dapat A+, agak-agak boleh jadi macam Sumaiyyah dengan Bilal tak?

Sebab tu orang cakap, faham agama dengan faham ilmu agama ni tak sama. Orang yang faham agama ni, amalan dia melangit. Saya ada seorang kawan. Dia ni sekolah biasa-biasa je. Bahasa Arab pun dia terkial-kial nak belajar, Tu pun setakat ana, anta, akhi. Tu je lah. Belajar pun sejak dah join usrah. Tapi semangat dia nak berdakwah tu mengalahkan lulusan sekolah agama. Amar Makruf Nahi Mungkar dia memang tip top ah. Tegas dengan jahiliyyah. Tinggi Izzah dan kebanggaan dia pada agama. Setiap ilmu agama yang dia dapat, dia peluk macam adik perempuan anda peluk patung teddy bear. Nak cerita yang dia hargai giller lah ilmu agama yang dia dapat. Saya sendiri pun malu dengan dia. So nampak tak beza orang tahu dengan orang faham?

Kalau tak nampak jugak, kita settle dekat komen kat bawah. Sekian. Wassalam.

“Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, Dia (Allah) memberikannya kefahaman dalam Ad-Din” (Bukhari & Muslim)

Saya memang minat UAI ni.

Friday, 28 December 2012

BINTANG DI SORGA

“Ayah, nak kereta Tamia tu,” rengek si anak sambil memegang paha ayahnya.

“Kan dah ada kat rumah,” balas si ayah

“Ala, yang kat rumah tu dah rosak,” rayu si anak. Penuh manja.

“Yela..,” si ayah mengalah

Cuma intro.

Dulu saya masih ingat lagi.

Masa saya 5 tahun, ayah hantar saya untuk mendaftar di sebuah tadika. Masa tu saya takut sangat. Dan saya hampir menangis. Sepanjang perjalanan saya diam. Tidak seperti perjalanan yang biasa di mana seorang kanak-kanak ribena terkinja-kinja di dalam kereta. Err.

Setelah sampai di tadika, saya pegang tangan ayah erat-erat. Entah mengapa. Saya seperti dapat menjangka sesuatu yang buruk akan berlaku. Naluri si anak yang masih suci mungkin.

Usai semua proses pendaftaran, maka ayah dengan penuh kasih dan sayang memimpin saya masuk ke kelas yang saya akan belajar. Dan bermulalah kehidupan saya sebagai seorang pelajar. Saya juga diperkenalkan dengan Ustazah Masyitah, guru kelas saya. Seorang wanita berkaca mata dan bertudung labuh.

Tangan ayah masih lagi saya genggam erat. Hati kecil saya berbisik. Saya tak nak berpisah dengan ayah. Tak nak..!!

Dengan penuh kasih sayang, Ustazah Masyitah memujuk saya. Persis kasih seorang ibu. Oh. Saya terlalu rindu dengan ustazah itu. Dia terlalu baik.

Ok buka cerita lama kejap.

Pernah sekali masa di tadika, saya telah ter….. erm erm, ter………..berak di dalam seluar. Haha. Ok. Sila muntah sekarang. Dan lebih best lagi, saya dengan penuh macho dan hensem telah mengangkat tangan dan mengaku dengan ustazah.

“Ustazah, saya dah terberak,”

Gelak berguling-guling. Setiap kali saya teringat, saya pasti ketawa. Betapa naif dan comel diri ini dulu. Hew Hew.

Tapi Ustazah Masyitah tak marah. Dia pimpin tangan saya ke dalam bilik air. Dia basuhkan seluar saya. Dia beri saya seluar lebih di Tadika itu. Baik kan?

Ok sambung cerita tadi.

Puas Ustazah Masyitah pujuk saya. Dan akhirnya saya mengalah. Saya perlahan-lahan melepaskan tangan ayah. Dan ayah perlahan-lahan berjalan pergi meninggalkan saya. Air mata saya bergenang-genang melihat kepergian ayah. Tapi aneh. Saya sedikit pun tidak berganjak dari tempat duduk saya. Mungkin saya dah selesa dan berasa selamat dilindungi Ustazah Masyitah.

Setelah beberapa ketika, saya terlihat kereta Toyota Biru berlalu pergi meninggalkan perkarangan Tadika. Tanpa berfikir panjang saya terus berlari. Mengejar kereta itu. Saya tak nak kehilangan ayah. Saya menjerit dan menangis sambil berlari.

Namun, larian saya disekat oleh seorang guru. Dia telah menangkap saya dengan penuh bergaya sambil menunggang motosikal. Bergaya kan? Ok. Masa tu saya kecil dan ringan.

Dan sepanjang hari saya di tadika itu, saya menangis tersedu-sedu. Dan saya sangat special pada hari itu. Pada ketika semua kanak-kanak yang lain duduk di atas kerusi, saya dengan penuh manja diriba oleh Ustazah Masyitah. Masa tu ustazah tengah bercerita. Bercerita kisah-kisah Nabi kot.

Macam nak buat entry pasal Ustazah Masyitah je kan. Tapi tak sebenarnya. Penulisan kali ini adalah curahan hati saya pada sang ayah.

Saya cukup tahu yang ayah bukan sengaja meninggalkan saya pada hari pertama saya di tadika. Tapi ayah nak saya jadi kanak-kanak yang berdikari. Ayah nak saya jadi berani. Saya akui saya seorang anak yang manja. Mungkin itu cara ayah nak mendidik saya.

Ayah saya bukan seorang yang sering one-to-one atau pillow-talk dengan anak-anak

Ayah saya bukan seorang yang pandai menukilkan curahan hati dia macam apa yang saya buat


Ayah saya bukan seorang yang tahu mengekspresi kan perasaan sayang dia pada anak-anak


Tapi saya yakin dan pasti. Ayah sangat sayang dan ambil berat pasal anak-anak dia. Jika tidak, saya tak akan berada di tahap sekarang. Begitu besar jasa dan pengorbanan sang ayah. Tak mampu dan tak akan mampu untuk saya balas.

Saya masih ingat lagi. Masa tu saya tingkatan satu. Saya duduk asrama. Tapi sekolah saya sedaerah dengan rumah saya. Kira dekat lah. Pada setiap hari khamis petang ayah akan datang untuk mengambil baju-baju kotor saya untuk dibawa pulang ke rumah dan dicuci. Saya tahu ayah faham kehidupan di asrama. Sibuk. Ayah tak nak masa study saya terganggu dek kena membasuh baju dan sebagainya. Baik kan ayah? Semua kawan-kawan jeles dengan saya. Haha.

Masa di tingkatan empat, saya telah mengalami satu konflik dalaman. Maklumlah baru nak membesar. Masa tu saya dah tak duduk asrama. Tapi secara tiba setelah terjadi satu peristiwa hitam, saya bertekad ingin kembali semula ke asrama. Suka hati je kan? Macam asrama tu atuk saya punya. Ayah dengan penuh kesabaran mengurus urusan masuk ke asrama. Segala bayaran di selesaikan. Saya tahu dia sibuk untuk melayan kerenah saya tu. Apa lagi sewaktu saya meluahkan hasrat saya tu, berbagai-bagai konflik dah melanda keluarga saya dan ia pasti menambahkan kerut di dahi ayah.

Dan ditakdirkan ALLAH, hayat saya di asrama tidak lama. Atas sebab-sebab tertentu yang tak boleh diceritakan di sini, saya telah dinasihatkan untuk keluar dari asrama. Tapi saya bersyukur sebab dalam rekod, saya tak di senaraikan sebagai pelajar yang di buang asrama. Kalau tak, saya tak akan berada di kolej tempat saya belajar sekarang. Saya tak akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Tapi anda boleh bayangkan kan perasaan ayah saya. Dalam perjalanan pulang ke rumah, dia diam. Tak berkata sepatah pun. Satu ayat je yang keluar dari mulutnya.

“Jangan beritahu mak..”

Bila saya ingat balik saya rasa nak nangis. Betapa teruk dan jahat saya dulu. Dan betapa sabar dan tabah ayah.

Itu belum dikira masa zaman jahiliyyah dulu. Tiap kali ayah ingin kejut saya untuk solat subuh, saya pasti melenting dan melawan. Entah berapa kali kaki saya terkena muka ayah. Jahat kan? Tapi ayah tak pernah berputus asa kejut saya. Sebab ayah tahu seksaan bagi orang yang meninggalkan solat. Ayah tak nak saya masuk neraka.

Sebab itu lah saya bertekad untuk menjadi anak yang soleh. Sebab anak yang soleh boleh tolong kedua-dua ibu bapa dia di alam sana. Saya nak jadi anak yang baik. Saya nak doakan kedua-dua ibu bapa saya bahagia dunia dan akhirat. Saya nak mati syahid. Sebab orang yang mati syahid boleh beri syafaat kepada ahli keluarganya.

Inilah antara cara yang saya boleh lakukan untuk balas jasa kedua-dua orang tua saya. Dan sememangnya saya tak akan mampu untuk balas jasa keduanya. Cukuplah dengan ibu melahirkan dan ayah membesarkan saya. Dua itu sahaja tidak mampu saya balas.

Ya Allah, rahmatilah kedua-dua ibu bapaku. Masukkanlah mereka ke dalam sorga-Mu.

Dan kepada ayah,

Saya harap kita dapat bersama-sama di sorga nanti. Bersama menatap bintang. Bintang di Sorga.

Saya sayang ayah saya. Anda…?      

Saaayaannggg ayah...!!

Thursday, 27 December 2012

MASIH ADA CAHAYA

Terkadang aku terfikir. Dengan diri yang dihimpit dosa, dengan jiwa yang diselubungi noda, dalam hari yang berawankan jahiliyyah, dalam dunia fantasi ciptaan nafsu yang menggila.Mampukah aku untuk mencapai Jannah?

Terkadang aku jatuh. Pada setiap kali kejatuhan, pasti aku cuba bangkit dan kembali berlari.

Dan di saat aku di sini. Ya. Di hadapan skrin empat segi yang bercahaya ini. Aku tidak pasti adakah coretan ini ikhlas dari hati. Atau sekadar percubaanku bermain dengan kata, atau hanya menari dengan madah?

Ikhlas. Ikhlas itu umpama semut hitam yang berjalan di atas batu hitam pada malam yang kelam. Tidak bisa dilihat. Tetapi ia ada di situ.

Persoalannya. Apakah aku benar-benar ikhlas?

Entah. Terkadang aku sendiri tidak pasti. Apa arah tujuku. Kenapa harus ku lakukan begini dan begitu?

Begitu banyak persoalan yang menerjah ke minda.

Dan terkadang tidak aku sedar. Ku terus menyelami lautan jahiliyyah itu. Menyelam dengan sepenuh hati dan perasaan. Tanpa memikirkan air hanyir lautan jahiliyyah yang menyesakkan hidung-hidung mereka yang tajarrud.

Persoalannya. Mengapa tidak aku tajarrud?

Sering kali ku laungkan, “AKU MAHU SORGA..!!”

Tapi, mengapa amalku bagai menempah neraka..?

ALLAH, aku berlindung pada-Mu daripada azab neraka-Mu.

ALLAH, kasihanilah kami. Aku dan mereka.

Ku baca firmannya.

“Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi perintah-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran. (2 : 186)

Aku tersenyum. Aku berasa lega. Kerna ku tahu Tuhan itu dekat padaku.

Tetapi…

“....Hendaklah mereka itu memenuhi perintah-Ku....”

Aku termenung. Apakah aku sudah cukup menjadi hamba? Apakah aku sudah menjalankan tugas khalifah?

ALLAH. Ampunkan dosa-dosa hamba-Mu.

Dan lagi….

“…dan beriman padaku...”

Aku terduduk. Lantas ku teringat kalam-Nya yang agung.

“Wahai orang-orang yang beriman..! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu” (2 : 208)

Berimankah aku..??

Aku hampir-hampir berputus asa. Ah! syurga...jauh...terlalu jauh...

Tiba-tiba, satu suara menyapa.

“Masih ada cahaya. Masih ada harapan. Hanya gerhana. Belum terbenam sang suria”

“Katakanlah, “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH. Sesungguhnya ALLAH mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah yang Maha Pengampun , Maha Penyayang” (39 : 53)

Dan suara itu menyapa lagi..

“Akhi sayang, jom ke sorga dengan redha-Nya”


Syurga.. :)

*Doakan diri terus tsabat menulis hanya kerana-Nya. Moga menjadi penolong di sana. Bidznillah. InsyaALLAH

Like page Encik Musab untuk follow update terbaru dari blog ini dan berukhuwah di lama maya. Moga ALLAH redha. Senyum.

Sunday, 23 December 2012

MUSLIMAH SEJATI

"Perempuan sombong!"
Begitulah ungkapanmu,
Melukai hatiku,
Tak bisa mengubahku,
Aku tetap aku.

"Perempuan sombong!"
Biar apa katamu,
Biar apa tohmahanmu,
Kubalas doa sejernih salju,
Moga diampuni Yang Satu.

"Perempuan sombong!"
Itu yang terzahir,
Pengertiannya tak lahir,
Kau pasti takkan mengerti,
Sombongku kerana Ilahi.

Mengertilah..
Sombongku bererti sayang,
Sayang yang kumaksudkan,
Bukan sepertimana takrif kebanyakan,
Sayangku berpijak di landasan Tuhan.

Mengertilah..
Aku mahu kaubangkit berdiri,
Menjadi lelaki berkeperibadian tinggi,
Tidak tertipu dengan tipuan duniawi,
Apatah lagi fitmah wanita yang meracuni.

Mengertilah..
Sombongku bukti sayangku,
Pada lelaki bernama Adam,
Agar kaubangkit dari kelalaian itu,
Agar perjuanganmu tidak padam.

Mengertilah..
Aku tidak mahu kau terus tertipu,
Dengan gejolak cinta dan nafsu,
Pada seorang wanita sepertiku,
Hingga kau lupa amanah beratmu

Mengertilah..
Izinkan aku terus begini,
Menjaga maruah peribadi,
Agar bukan aku fitnah lelaki,
Agar kau tak lalai lagi,
Itulah bukti sayangku pada lelaki.

-Fatimah Syarha, Seindah Mawar Berduri-

Puisi ini saya tiru bulat-bulat dari buku Seindah Mawar Berduri karya Ustazah Fatimah Syarha. Moga kebaikan yang banyak dilimpahkan ke atas beliau atas usaha murni menukilkan satu puisi yang saya kira cukup indah dan boleh dijadikan panduan untuk kita.

Subhanallah.

Terlalu banyak ibrah dan pengajaran jika puisi ini kita hayati dan kita tadabburi dengan niat mencari keredhaan-Nya jua.  

Justeru itu, terpulanglah kepada kita dari angle mana kita nak merefleksi diri kita apabila kita hayati puisi yang cukup indah ini.



Jadilah Muslimah sejati

InsyaALLAH, jika diizinkan-Nya, saya bercadang untuk menulis cerpen pertama saya, cerpen yang bertemakan chenta, chenta fillah abadan abada. Mohon semua doakan yang terbaik dan dipermudahkan segala-galanya. Bidznillah, InsyaALLAH. Dan jangan lupa like page Encik Musab untuk membaca update2 terbaru dari blog ini. Jazakumullah. Senyum.

Saturday, 22 December 2012

SURAT CINTA BUAT BAKAL IMAMKU

Wahai bakal Imam ku,
Sampai bila ummah ini perlu terus derita,
Lantaran dirimu yang terus hanyut diburu nafsu,
Di saat kau leka mengejar arus kehidupan dunia,
Di saat kau hanyut di lambung ombak dosa.

Wahai bakal Imam ku, 
Kenapa perlu lesu di buru cinta nafsu,
Sedang kau laksana seekor singa di rimba,
Yang garang menyerang jahiliyyah,
Yang tegas memimpin ummah,
Bersama berpimpinan tangan menugu ke sorga.

Wahai bakal Imam ku,
Apakah engkau masih buta?
Atau sengaja membutakan mata?
Tidakkah engkau sedar, di mana Islam tika ini?
Bangunlah wahai Imam ku,
Sedarlah dari mimpi lena,
Jadilah kesateria,
Mari menjadi hamba
Bersama laksanakan tugas khalifah.

********************************************************************************

Apa persepsi anda ketika kali pertama membaca tajuk di atas? Meremangkah bulu roma anda? Berombakkah jiwa romantis anda? Gelak jahat. Wahai. Sebenarnya surat ataupun sajak ini saya nukilkan dan sengaja saya memilih untuk menujukan sajak ini buat sang Imam. Siapakah sang Imam itu? Teng Teng Teng Teng (music saspen).

Ketahuilah sesungguhnya Imam tersebut adalah kita. Imam di sini boleh lah di definisikan sebagai orang yang paling terkedepan dalam perjuangan meninggikan agama ini. Dan istilah “bakal”  juga saya kira relevan untuk digunakan lantaran diri kita yang masih lagi belum melaksanakan tanggungjawab kita. Sudah pasti kita mahu berada di saff-saff yang paling hadapan kan? Atau anda sekadar mahu menjadi tukang pembancuh minuman di tepi jalan? Mata terbeliak besar. Wahai. Kita adalah rijal-rijal agama. Rijal-rijal agama ini tidak kira lelaki atau wanita seharusnya bangkit membela agama terchenta. Masakan tidak, kita semua dah pun diberikan tanggungjawab khalifah. Apa fungsi khalifah ni? Jawapan paling common dan paling skema serta konpem boleh dapat full mark ialah memakmurkan bumi ALLAH ini. Wahai. Tiadalah makmur bumi ini andai Islam di tepi. Tak kan indah nya bumi ALLAH ini andai Islam di bawah. Islam seharusnya berada di tempat yang tertinggi kerana itulah tempat yang paling layak baginya. Justeru itu, menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha meletakkan Islam di tempat yang sepatutnya.

Makanya, untuk siapakah surat di atas ini? Jawapannya adalah untuk kita. Ya. Untuk anda abang yang pakai baju warna hitam tu. Dan untuk anda juga kakak yang sedang minum air teh tu. Senyum.

Oh ya. Satu perkara yang lagi. Mungkin bagi wanita, anda akan tertanya-tanya. Relevankah gelaran Imam tu untuk anda? Wahai. Sila baca surat ini dengan perspektif yang berbeza. Jika anda seorang wanita, boleh sahaja nak anggap hadek-hadek usrah anda yang menulisnya, ataupun anak-anak anda yang masih kecil lagi comel itu. Bukankah ini tanggungjawab bersama?

Jadinya, dengan ini, saya mencabar anda semua yang membaca, supaya anda mengarang satu surat sebagai balasan kepada surat ini tidak kira dalam bentuk apa sekalipun. Sajak ke, puisi ke, lirik lagu ke, novel ke. Err. Anda berani menyahut cabaran..? Ya sudah pasti..! Maka jom kita gegarkan alam maya dengan surat-surat chenta..!

Sila postkan surat anda ke page Facebook saya Encik Musab

“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa”
(3 : 133)

Senyum.  

Surat Chenta..!!

Thursday, 20 December 2012

Makan Sorang

Ali berjalan-jalan di koridor asramanya. Keletihan menyiapkan segala assignment yang menggunung setinggi Gunung Everest. Dia berjalan menuju ke tandas untuk ‘mendapatkan ketenangan’ (bahasa kasar = buang air besar). Ketika melintasi bilik G146A dia terdengar bunyi sudu dan garpu seakan-akan sedang berkungfu. Rancak seolah-olah sebuah peperangan antara kerajaan Maharaja sudu dan kerajaan Sultan garpu sedang bertarung di medan peperangan. Ok. Agak over sikit di situ. Tanpa berlengah masa, Ali segera memulas tombol pintu bilik dan satu kejadian yang menakjubkan telah disaksikannya. 
,
,
,
,
,
,
,
,
,
Ahmad sedang makan Nasi Goreng Pattaya. 
,
,
,
,
Ok. Tak menakjubkan langsung. Kan?

Ali        : Ahmad, sedap makan.
Ahmad : Baru beli kat kafe tadi.
Ali        : Oh, berapa hinggit?
Ahmad : 3 hinggit setengah je.
Ali        : Ok. Aku pergi dulu.
Ahmad : Ok.

Ok. Kali ni saya bukan hendak bercerita perihal tamak, semangat kekitaan, hubungan persahabatan mahupun kelazatan Nasi Goreng Pattaya yang memang lazat tu. Anda pernah makan sorang? Saya nampak akak berbaju biru angkat tangan tadi. Gelak jahat.

Baiklah. Apa yang saya cuba sampaikan di sini adalah gejala makan sorang yang rancak melanda sebahagian ahli Ibadah. Sila jangan salah faham. Saya tidak mengatakan tidak perlu beribadah malahan saya menyeru diri saya sendiri dan sidang pembaca sekalian untuk kita bersama-sama mempertingkatkan ibadah kita seharian.

Sebenarnya, gejala makan sorang yang saya maksudkan di sini boleh juga dikenali sebagai gejala nak jadi baik sorang-sorang. Dalam erti kata selfish la. Orang yang dihinggapi gejala ini pada kebiasaannya tidak mempedulikan orang-orang di sekitarnya. Tak kisah lah sama ada rakan setuisyennya penghisap rokok tegar tanpa filter, guru tadikanya mempunyai ijazah dalam bidang rompakan professional, ataupun jiran sebelah rumahnya seorang mat rempit yang kacak lagi bergaya, semua ini tidak mendatangkan kesan kepada dirinya kerana asalkan dia baik dah cukuplah.

Wahai. Adakah anda merasakan amalan-amalan anda sudah menjamin tempat di syurga abadi? Adakah anda merasakan di mahsyar nanti perjalanan hisab anda akan berjalan dengan licin tanpa sekatan? Nah. Silakan terasa dengan ayat ini.

Ya, aku pemaksiat, tapi aku tahu Dia si penerima taubat.

Dan kau, kau kata kau ahli ibadat, tapi saban hari kau memencilkan diri, tidak pernah mengajak kami menjadi taat..??

Masih lagi belum terasa?

Ok. Cuba try ini pulak.

“Teman-teman lain pada hari itu saling bermusuhan satu sama lain kecuali mereka yang bertakwa”
(43 : 67)

Sekarang anda sudah terasa? Lihatlah. Di sana nanti, setiap orang akan saling menyalahkan antara satu sama lain. Semua mahu melarikan diri dari azab neraka. Nah. Anda pasti anda akan terselamat dengan sikap makan sorang anda itu?

Ingin saya tegaskan di sini, gejala makan sorang ini adalah satu gejala yang tidak sihat serta telah diwartakan sebagai satu gejala yang negatif oleh Kementerian Bersekutu Negara-Negara Dunia. Makanya, hendaklah kita bersama-sama meninggalkan gejala ini demi kemaslahatan ummah dan kebaikan Islam itu sendiri. Jom kita amalkan kata-kata ini.

“Islah nafsak, wad’u ghairak”

Perbaikilah dirimu dan serulah orang lain.

Dan satu lagi, anda yang tengah membaca tu. Kalau anda tak share pun anda boleh dikategorikan sebagai makan sorang. Maka silalah sebar-sebarkan. Senyum sorang-sorang (yang ni bulih).

Peh..!! Makan sorang..!

NUR KASIH

Nur Kasih mu mendamai di kalbu
Jernih setulus tadahan doa ku
Rahmati daku dan permintaan ku
Untuk bertemu di dalam restu

Amir berbaring di atas katil bujangnya. Begitu asyik sekali dia melayan lagu Nur Kasih dari kumpulan In Team itu. Lagu itu membawa maksud yang begitu mendalam sekali dalam hidupnya. Nalurinya sebagai seorang lelaki sering kali menghadirkan ombak dalam lautan hatinya. Naluri ingin mencintai. Naluri ingin dicintai. Rencah remaja yang baru menginjak usia pemuda.

Memori lama menerjah fikiran Amir. Tidak dapat dinafikan bahawa dulu dia pernah bergelumang dengan aktiviti percintaan remaja. Teringat pada zaman waktu dirinya masih menuntut di sekolah menengah,  kisah bercinta dan putus cinta merupakan antara sebahagian yang pernah tercatit dalam catatan kamus hidupnya. Entah berapa ramai gadis-gadis Melayu yang pernah dikecewakan lantaran tidak menepati standard piawaian yang ditetapkan oleh SIRIM.

Tetapi itu semua dahulu. Ketika dirinya masih lagi belum mengerti apa itu Jahiliyyah. Kini Amir bukan seperti Amir yang dulu. Sejak menyertai usrah, kehidupan serta pemikiran Amir telah banyak berubah. Dia kini lebih memahami apakah yang dikatakan Islam sebagai Ad Deen iaitu Islam sebagai cara hidup. Amir mula mempraktikkan nilai-nilai Islam dalam kehidupannya. Solat berjemaahnya di jaga walaupun kadang-kadang terlepas juga dek kesibukan bergelar pelajar Universiti. Namun, tetap diusahakannya untuk bersolat jemaah di masjid.

Perubahan Amir bermula sejak kali pertama dia melangkah masuk ke universiti. Teringat dia akan detik-detik pertemuan dengan Abang Talhah. Abang Talhah merupakan seorang fasilitator semasa Amir mengikuti program orientasi  bagi pelajar baharu di universiti tempat dia belajar. Amir dapat merasakan keikhlasan Abang Talhah melayaninya persis adik sendiri.

“Kat universiti dah tak sama macam sekolah dulu, kat sini kita kena pandai berdikari,” pesan Abang Talhah.

Melalui Abang Talhah juga lah Amir mula mengikuti usrah. Terasa begitu bahagia saat kali pertama dia mengikuti usrah yang dikendalikan oleh Abang Talhah sendiri. Setiap bait-bait kata yang keluar dari mulut Abang Talhah menggugah jiwa serta menimbulkan kesan di hati Amir. Dan paling membuatnya terkesan adalah saat Abang Talhah berbicara soal cinta.

“Cinta yang sejati mestilah bertunjangkan cinta pada ALLAH, kalau tidak bukanlah dinamakan cinta,”

Amir begitu bersyukur dengan nikmat hidayah ini. Terasa Tuhan begitu menyayanginya. Lihat sahaja kehidupan gelap yang pernah dilaluinya. Dan setiap kali terkenang akan perkara itu, hatinya sebak dan firman Tuhan terbayang di fikirannya.

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali ALLAH dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat ALLAH pada mu ketika kamu dahulu bermusuhan, lalu ALLAH mempersatukan hatimu sehingga dengan kurnia-Nya kamu menjadi bersaudara sedangkan ketika itu kamu berada di tepi jurang neraka lalu ALLAH menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah ALLAH menerangkan ayat-ayat-Nya kepada mu agar kamu mendapat petunjuk.
(3 : 103)

Amir tersenyum sendirian. Dia menekan button stop pada telefon bimbitnya dan serta-merta lagu Nur Kasih yang dimainkan tadi tidak kedengaran lagi. Dia beristighfar di dalam hatinya memohon ALLAH menguatkan hatinya. Hampir-hampir sahaja dia tenggelam dalam lautan rindu yang berombakkan khayalan.

“Cinta itu suatu fitrah. Tetapi cinta yang didasari dengan nafsu akan menjadi fitnah”

Kata-kata Abang Talhah terngiang-ngiang di telinganya. Amir menyedari pentingnya untuk dia menjaga hati. Pentingnya untuk dia bermujahadah menutup segala lubang-lubang di hatinya yang boleh menjadi sasaran syaitan yang tidak henti-henti berusaha menyesatkan anak-anak Adam.

“Sesungguhnya syaitan sudah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara2 besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara2 kecil”

Azimat inilah yang ditanam dalam hati Amir. Dengan Tarbiyyah yang diterimanya, Amir tak mahu perkara-perkara sekecil ini memesongkan hatinya. Apatah lagi sejak bergelar budak usrah, dia tak mahu perkara-perkara seperti ini merosakkan imej usrah itu sendiri. Padahal budak usrah pun manusia.

Amir percaya ALLAH tidak akan pernah mempersia-siakan hamba-hamba-Nya yang ikhlas berserah pada-Nya. Lalu dia bergegas ke bilik air untuk membasahkan diri dengan wudhuk. Dia mahu bersolat witir, satu amalan sunat yang sentiasa dijaganya. Dia yakin bahawa amalan-amalan yang mendekatkan diri pada ALLAH inilah yang dapat menguatkan hatinya. Inilah Nur Kasih yang sebenar.


Nur Kasih yang dicari
Pada jiwa-jiwa yang berkasih
Pada hati-hati yang merintih
Pastinya akan di temui,
Jika pada Tuhan di ajukan segala kasih
Kerana ALLAH itu Maha Pengasih


Nur Kasih