Thursday, 20 December 2012

NUR KASIH

Nur Kasih mu mendamai di kalbu
Jernih setulus tadahan doa ku
Rahmati daku dan permintaan ku
Untuk bertemu di dalam restu

Amir berbaring di atas katil bujangnya. Begitu asyik sekali dia melayan lagu Nur Kasih dari kumpulan In Team itu. Lagu itu membawa maksud yang begitu mendalam sekali dalam hidupnya. Nalurinya sebagai seorang lelaki sering kali menghadirkan ombak dalam lautan hatinya. Naluri ingin mencintai. Naluri ingin dicintai. Rencah remaja yang baru menginjak usia pemuda.

Memori lama menerjah fikiran Amir. Tidak dapat dinafikan bahawa dulu dia pernah bergelumang dengan aktiviti percintaan remaja. Teringat pada zaman waktu dirinya masih menuntut di sekolah menengah,  kisah bercinta dan putus cinta merupakan antara sebahagian yang pernah tercatit dalam catatan kamus hidupnya. Entah berapa ramai gadis-gadis Melayu yang pernah dikecewakan lantaran tidak menepati standard piawaian yang ditetapkan oleh SIRIM.

Tetapi itu semua dahulu. Ketika dirinya masih lagi belum mengerti apa itu Jahiliyyah. Kini Amir bukan seperti Amir yang dulu. Sejak menyertai usrah, kehidupan serta pemikiran Amir telah banyak berubah. Dia kini lebih memahami apakah yang dikatakan Islam sebagai Ad Deen iaitu Islam sebagai cara hidup. Amir mula mempraktikkan nilai-nilai Islam dalam kehidupannya. Solat berjemaahnya di jaga walaupun kadang-kadang terlepas juga dek kesibukan bergelar pelajar Universiti. Namun, tetap diusahakannya untuk bersolat jemaah di masjid.

Perubahan Amir bermula sejak kali pertama dia melangkah masuk ke universiti. Teringat dia akan detik-detik pertemuan dengan Abang Talhah. Abang Talhah merupakan seorang fasilitator semasa Amir mengikuti program orientasi  bagi pelajar baharu di universiti tempat dia belajar. Amir dapat merasakan keikhlasan Abang Talhah melayaninya persis adik sendiri.

“Kat universiti dah tak sama macam sekolah dulu, kat sini kita kena pandai berdikari,” pesan Abang Talhah.

Melalui Abang Talhah juga lah Amir mula mengikuti usrah. Terasa begitu bahagia saat kali pertama dia mengikuti usrah yang dikendalikan oleh Abang Talhah sendiri. Setiap bait-bait kata yang keluar dari mulut Abang Talhah menggugah jiwa serta menimbulkan kesan di hati Amir. Dan paling membuatnya terkesan adalah saat Abang Talhah berbicara soal cinta.

“Cinta yang sejati mestilah bertunjangkan cinta pada ALLAH, kalau tidak bukanlah dinamakan cinta,”

Amir begitu bersyukur dengan nikmat hidayah ini. Terasa Tuhan begitu menyayanginya. Lihat sahaja kehidupan gelap yang pernah dilaluinya. Dan setiap kali terkenang akan perkara itu, hatinya sebak dan firman Tuhan terbayang di fikirannya.

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali ALLAH dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat ALLAH pada mu ketika kamu dahulu bermusuhan, lalu ALLAH mempersatukan hatimu sehingga dengan kurnia-Nya kamu menjadi bersaudara sedangkan ketika itu kamu berada di tepi jurang neraka lalu ALLAH menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah ALLAH menerangkan ayat-ayat-Nya kepada mu agar kamu mendapat petunjuk.
(3 : 103)

Amir tersenyum sendirian. Dia menekan button stop pada telefon bimbitnya dan serta-merta lagu Nur Kasih yang dimainkan tadi tidak kedengaran lagi. Dia beristighfar di dalam hatinya memohon ALLAH menguatkan hatinya. Hampir-hampir sahaja dia tenggelam dalam lautan rindu yang berombakkan khayalan.

“Cinta itu suatu fitrah. Tetapi cinta yang didasari dengan nafsu akan menjadi fitnah”

Kata-kata Abang Talhah terngiang-ngiang di telinganya. Amir menyedari pentingnya untuk dia menjaga hati. Pentingnya untuk dia bermujahadah menutup segala lubang-lubang di hatinya yang boleh menjadi sasaran syaitan yang tidak henti-henti berusaha menyesatkan anak-anak Adam.

“Sesungguhnya syaitan sudah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara2 besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara2 kecil”

Azimat inilah yang ditanam dalam hati Amir. Dengan Tarbiyyah yang diterimanya, Amir tak mahu perkara-perkara sekecil ini memesongkan hatinya. Apatah lagi sejak bergelar budak usrah, dia tak mahu perkara-perkara seperti ini merosakkan imej usrah itu sendiri. Padahal budak usrah pun manusia.

Amir percaya ALLAH tidak akan pernah mempersia-siakan hamba-hamba-Nya yang ikhlas berserah pada-Nya. Lalu dia bergegas ke bilik air untuk membasahkan diri dengan wudhuk. Dia mahu bersolat witir, satu amalan sunat yang sentiasa dijaganya. Dia yakin bahawa amalan-amalan yang mendekatkan diri pada ALLAH inilah yang dapat menguatkan hatinya. Inilah Nur Kasih yang sebenar.


Nur Kasih yang dicari
Pada jiwa-jiwa yang berkasih
Pada hati-hati yang merintih
Pastinya akan di temui,
Jika pada Tuhan di ajukan segala kasih
Kerana ALLAH itu Maha Pengasih


Nur Kasih

No comments:

Post a Comment