![]() |
| Seronoknya naik tangga..!! |
Straight to the point, tangga yang anda lihat ini juga
dikenali sebagai maratib amal. Ia bermula dengan anak tangga yang pertama iaitu
Individu Muslim dan di puncaknya adalah Ustadziatul Alam. Secara asasnya,
maratib amal ini merupakan satu metodologi yang diperkenalkan oleh Imam Hassan
Al Banna untuk menaikkan semula Islam di tempat yang tertinggi seperti mana
kedudukannya dahulu. Anda tidak dapat bersetuju lebih jika saya katakan Islam
berada di tempat yang cukup hina pada hari ini kan? Nah. Inilah kaedah yang
perlu dihayati dan ditadabburi serta dilaksanakan bagi mengembalikan martabat
Islam di tempat yang sepatutnya. Sebenarnya, kaedah ini juga telah lama
digunakan oleh baginda Rasul S.A.W semasa awal-awal baginda menyebarkan Islam.
Setelah zaman berzaman, Islam mengalami turun naiknya sehinggalah pada hari ini
anda melihat sendiri jatuhnya Islam, hadirnya Al Banna memulakan semula kaedah
ini.
Kita lihat pada anak tangga yang pertama. Individu Muslim.
Anak tangga ini merupakan pondasi yang paling penting dalam maratib amal ini.
Manakan tidak, apakah maknanya sebuah negara Islam yang menjalankan serba serbi
hukum syariat tetapi tiada individu-individu muslim untuk menyokong syariat
yang diimplementasikan. Anda semua pasti tidak dapat menyangkal betapa peri
pentingnya pengaruh rakyat dalam sebuah negara yang merdeka. Justeru itu,
disitulah pentingnya pembinaan individu-individu muslim yang sejati bagi mendukung
Islam di sesebuah negara. Nah. Individu-individu Muslim itu perlu dibina. Maka,
adalah menjadi tanggungjawab kita yang mengakui akan realiti ummah pada hari
ini, yang mengimani sunah Rasul S.A.W, yang mendakwa diri memahami Islam untuk
membina individu-individu muslim yang boleh serta berkeupayaan membina
individu-individu muslim yang lain dalam usaha merealisasikan hasrat dan cita-cita
kita mengembalikan semula Islam ke tempat yang sepatutnya (tertinggi ).
Seterusnya, jom kita beralih ke anak tangga yang kedua. Ok.
Saya pasti anda semua berasa teruja dan tahap gegaran di dada anda sudah
meningkat seakan-akan baru dilanda gempa bumi 9.8 skala ritcher. Sudah
merembeskah peluh-peluh keterujaan dan keriangan anda itu? Gelak jahat. Ya.
Inilah fasa Baitul Muslim. Fasa di mana seorang suami mencium tangan isterinya
ala-ala filem Hollywood, fasa di mana sepasang suami isteri bersama-sama
membaca Yassin di malam Jumaat, fasa di mana, sepasang suami isteri berpegangan
tangan sambil bersiar-siar dalam suasana yang penuh romantis persis filem ombak
rindu. Sila tanam kepala anda dalam pasir jika itu yang terbayang dalam fikiran
anda. Sebenarnya, Baitul Muslim merupakan rumah tangga yang terbina dek bersatunya
dua individu muslim menjadi satu. Cheeewaaaaahhhh. Ok. Agak excited di
situ. Baitul Muslim merupakan fasa yang tidak kurang pentingnya dalam maratib
amal yang kita imani ini. Ini kerana melalui Baitul Muslim lah akan terhasilnya
individu-individu Muslim yang sejati. Jika Baitul Muslim yang didirikan hanya
melahirkan seorang perompak profesional yang boleh merompak di mana-mana
sahaja, seorang penghisap rokok tegar tanpa filter dan juga seorang lelaki
bermisai garang yang duduk di celah-celah kesibukan bandar metropolitan sambil
meneguk minuman keras, maka tidak tercapailah tujuan Baitul Muslim itu. Saya
tahu agak extreme contoh yang diberikan. Tetapi itulah realitinya.
Di anak tangga yang ketiga pula, adalah kesan daripada
lambakan, banjiran dan taburan Baitul – Baitul Muslim yang sejati sehingga munculnya
kumpulan masyarakat muslim yang menghidupkan syiar-syiar Islam dalam kehidupan
seharian mereka. Kumpulan ini saling menghormati antara satu sama lain,
mempraktikkan amalan sunah Rasul S.A.W serta menjadi qudwah yang hebat baik
dalam kalangan saudara seagama mahupun penganut agama lain tidak terkecuali
mereka yang tidak beragama. Kumpulan-kumpulan inilah yang menjadikan Dakwah
sebagai core-business mereka, malah aktiviti menyiram pokok bunga juga dilihat
sebagai dakwah pada pandangan mata mereka. Nah. Inilah kumpulan masyarakat yang
mempunyai pondasi yang cukup utuh dan kukuh. Siapakah pondasi-pondasi tersebut
jika bukan individu-individu muslim yang telah ditarbiyyah dengan begitu pekat
dan likat.
Di anak tangga seterusnya, berdirilah Kerajaan Islam. Anda
tahu apa yang dimaksudkan dengan Kerajaan Islam? Itulah kerajaan yang
mengimplementasikan segala syariat yang terkandung dalam Al Quran dan As Sunah yang
menjadikan kedua-dua sumber itu sebagai dustur (perlembagaan) negara.
Kerajaan-kerajaan Islam yang bersatu di bawah naungan seorang Khalifah, maka itulah
yang dinamakan Daulah Islamiyyah. Inilah yang dicontohkan melalui Bani Umayyah,
Abbasiyyah dan juga Turki Uthmaniyyah. Anak tangga yang seterusnya adalah
Empayar Islam. Fasa ini hanya dapat dilalui di saat Daulah Islam yang telah
didirikan dihormati di segenap penjuru bumi, di mana Islam di sanjungi serta
mempunyai kekuatan yang tersendiri. Dan apabila Daulah Islamiyyah itu menjadi
qudwah baik dari segi ekonomi, sosial, akhlak, pemerintahan, perundangan,
mahupun teknologi, maka berdirilah Islam di puncak tertinggi iaitu Ustadziatul
Alam. Itulah saat di mana Islam dipandang tinggi, umat Islam menjadi contoh teladan
yang baik, hatta wanita-wanita bukan Islam juga mencemburui wanita-wanita Islam
dek penghormatan yang tinggi diterima oleh wanita-wanita Islam ini.
Jadi, tanya diri anda sendiri. Nah. Formula sudah diberikan.
Marilah kita bersama-sama merelakan diri kita dibina untuk membina
manusia-manusia lain. Bagaimanakah caranya. Maka tidak dapat tidak saya
mengesyorkan kepada anda, bulatan gembira (baca = usrah) adalah jalan yang
terbaik untuk menjadi kilang pemprosesan individu-individu muslim ini. Mungkin
ada di antara anda yang mengatakan, “Ah..! Lambatlah cara ni. Sampai bila Islam
nak naik macam ni. Tak sudah-sudah membina.” Wahai. Inilah sunnah perjuangan
baginda Rasul S.A.W. Baginda menghabiskan 13 tahun di kota Makkah hanya dengan
membina individu-individu Muslim yang hebat lagi osem seperti Saidina Abu
Bakar. Maka apakah alasan kita untuk bersikap gopoh. Renungilah kata-kata
syakib arsalan,
"Apalah gunanya mengadakan muktamar yang
menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan tersendiri dan
tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apa faedahnya berbuat
demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka kosong?"
Nah. Adakah kita mahu mengumpulkan angka-angka kosong?
Nah. Adakah kita mahu mengumpulkan angka-angka kosong?

No comments:
Post a Comment