Thursday, 2 January 2014

Kebaikan Dunia Akhirat

“…Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia, dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami dari azab neraka”
(Al Baqarah, 201)

Dulu seorang akh pernah berkongsi dengan saya…

“Antara perbezaan yang aku dapat rasakan dalam diri aku sebelum dan selepas join tarbiah, apa yang aku mintak dalam doa aku sehari-hari….”

Dan sejujurnya, saya turut merasakan yang sedemikian. Dan saya bersyukur dengan perubahan itu. Alhamdulillah. Segalanya berlaku dengan izin dari-Nya. Moga dengan ridha-Nya jua..

Dulu, di waktu dunialah segala-galanya…

Doa di atas hanya saya tuturkan di hujung-hujung doa. Setelah puas diulang-ulang supaya diberikan kecemerlangan dalam hekzem. Setelah berbuih air liur meminta supaya dipertemukan jodoh dengan isteri yang solehah *koff. Hanya setelah lenguh otot-otot lidah memohon supaya diberi kejayaan pada masa depan, dapat kerja yang best-best, dapat jadi orang kaya dan at the end of the day dapat masuk syurga..

Hanya selepas puas memohon untuk diperkenankan hasrat di hati. Hanya setelah itu..

Tak salah..

Tetapi ia menggambarkan apa yang ada dalam hati kita. Sekuat mana kita berdoa memohon sesuatu, sekuat itulah hati kita tertaut kepadanya. Contohnya, tika mana kita kuat berdoa untuk kecemerlangan hekzem duniawi, itu menggambarkan betapa besarnya kerisauan dan perhatian yang kita berikan kepada hekzem itu.   

Kerana doa adalah manifestasi cinta kita terhadap sesuatu ataupun seseorang..

Dan bagi saya, ayat ke 201 dalam surah Al Baqarah yang saya nukilkan di atas itu adalah manifestasi cinta terbesar seorang hamba kepada Tuhannya. Ia merupakan contoh penyerahan tahap mega seorang hamba kepada Allah S.W.T dalam menentukan perjalanan hidupnya di dunia dan akhirat. Kata orang, tawakal.

Dan pabila saya menyelami ayat itu, saya dapat merasakan keindahannya. Betapa ianya mengajar kita bahawa setiap apa yang Allah tentukan buat diri kita di dunia ini merupakan yang terbaik untuk diri kita. Result hekzem yang Allah tetapkan untuk kita setelah kita berusaha pada kadar yang sepatutnya kita berusaha itu sebenarnya adalah yang terbaik untuk kita.

Begitu juga dengan perkara-perkara keduniaan yang lain. Kahwin dengan siapa, dapat kerja apa, anak ada berapa orang, semua itu adalah pemberian daripada Allah, dan pemberian daripada Allah semestinya adalah yang terbaik untuk makhluk-Nya. Hanya setelah makhluk-Nya itu menjalankan kewajipan untuk berusaha pada kadar yang sepatutnya.

Ah..kalian..sukar benar untuk saya menulis tentang ini..entah mengapa…

Maka izinkan saya untuk menukilkan sedikit kisah peribadi…   


Bila berbicara tentang dunia, secara sukarela tanpa paksa kepala saya akan membayangkan seputar perihal akademik. Mungkin tidak kalian. Tetapi itulah hakikat seorang saya. Mungkin kerana kedudukan saya sendiri yang masih lagi berada dalam dunia akademik. Mungkin juga kerana keluarga saya yang berlatarbelakangkan mereka-mereka yang mementingkan pencapaian akademik..

Dan pada peringkat awal, tidak ada masalah untuk saya hidup dengan definisi itu. Yakni kejayaan hidup diukur dengan ketinggian pencapaian akademik. Bahkan saya berjaya hidup dalam definisi yang telah disetkan itu dengan penuh kegemilangan. Sehinggalah Allah S.W.T menjatuhkan saya buat pertama kalinya dalam hidup ditempat pertama saya menerima tarbiah..

Meskipun kejatuhan itu tidaklah mengubah perjalanan hidup saya secara keseluruhannya, tetapi ia sedikit sebanyak mengubah apa yang telah dirancang untuk saya sedari mula lagi. Dan yang paling penting antara yang terpenting, sejak detik itu, saya mula memandang dunia dengan kaca mata yang berbeza. Saya mula berdoa dengan ayat-ayat yang berbeza…

Dan saya mula hidup dengan definisi yang baru. Yakni berlandaskan ayat ke 201, surah Al Baqarah itu. Bukan hanya sekadar penyedap di hati. Tetapi hidup dengan ayat itu…

Sebab itulah tatkala adik-adik kesayangan mengadu perihal study mereka yang bermasalah, saya tidak mampu untuk memberikan mereka jawapan yang muluk-muluk. Saya tidak mampu untuk menjaminkan mereka dengan result hekzem yang gilang-gemilang jika mereka betul-betul serius dalam dakwah sepertimana yang telah dijanjikan oleh generasi terdahulu di tempat itu kepada saya...

Justeru saya hanya mampu mengatakan…

“Berusahalah dengan kadar yang sepatutnya kalian berusaha, dan mintalah kebaikan untuk kalian di dunia ini daripada Tuhan pemilik dunia..”

Sungguh. Allah S.W.T hanya akan memberikan apa yang terbaik sahaja untuk kita. Hiduplah dengan kalimat ini. Bukan hanya sekadar pemanis di mulut dan penyedap di hati.

Ya. Allah S.WT pasti akan membantu kalian sekiranya kalian benar-benar membantu agama-Nya. Tetapi ingat! Bantuan Allah tidak semestinya perlu selari dengan definisi yang telah diset oleh manusia kebanyakan. Bererti tidak semestinya bantuan itu berupakan kecemerlangan kalian dalam study. Bahkan boleh jadi bantuan itu berbentuk kefahaman kalian dengan lebih mendalam lagi tentang selok belok kehidupan. Boleh jadi yang lain. Siapa tahu?  

Kerana Tuhan bukan sahaja menjanjikan bantuan-Nya kepada sesiapa yang membantu agama-Nya. Tetapi Tuhan juga menjamin untuk meneguhkan kedudukan buat para pembantu agama ini. Meneguhkan kedudukan? Ah terlalu dekat frasa itu dengan ujian. Benarlah! Jalan ini penuh dengan duri, peluh dan darah.

Justeru adik-adikku..

Hiduplah dengan janji Tuhan…

“Dan di antara mereka ada yang berdoa, “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami dari azab neraka”
(Al Baqarah, 201)

“Mereka itulah yang memperoleh bagian dari apa yang telah mereka kerjakan, dan Allah Maha cepat hitungan-Nya..”
(Al Baqarah, 202)

Hiduplah! Bukan sekadar manis di bibir, sedap di mulut. Tetapi..hiduplah!

Untuk para ikhwah dan akhawat, kalian pastinya lebih mengerti…

Kerna ini yang sepatutnya menjadi definisi kita..

Wednesday, 1 January 2014

Istimewa 2014 : Kenapa Saya Menulis?


Tajuknya seakan-akan berbaur peribadi..

Dan sepatutnya ianya ditulis ketika pertama kali saya berblog..

Tetapi tidak mengapalah. Insan hanya merancang. Allah juga merancang. Dan pada akhirnya, Allah jualah yang menentukan. Cewah..

Jadi kenapa saya menulis blog?

Sebenarnya saya sering tertanya-tanya, dalam banyak-banyak ikhwah yang saya kenali, siapakah gerangannya yang sudi membaca tulisan marhaen bertaraf karangan budak PMR di blog ini? Heh. Ini bukan percubaan untuk test market ye. Cuma sekadar ingin tahu..

Kerana saya bukanlah seorang figura yang menjadi qudwah di arena dakwah ini. Bahkan saya hanyalah seorang insan kerdil yang masih lagi berusaha untuk tidak goyah dengan mehnah permainan dunia. Hanyalah seorang akh yang sentiasa mengharapkan doa dari akhnya yang lain supaya dirinya tetap tsabat di atas jalan para anbiya’ ini.  

Justeru, saya tidak mengharapkan adanya manusia-manusia yang ternanti-nanti setiap post saya yang terbaru. Kerana saya tidak boleh menjamin setiap bait-bait ayat dalam blog ini mampu menjadi penawar resah gelisah kalian. Saya juga tidak pasti sejauh mana penulisan saya berupaya menginspirasi kalian untuk menjadi baik dan membaikkan orang lain. Bahkan, jujur saya katakan, blog ini bukanlah medium yang sebenar untuk kalian memahami apa itu dakwah dan apa itu tarbiah secara lebih serius.

Jika adapun..itu adalah kerana Dia. Sungguh, hidayah itu milik Dia. Hanya Dia..  

Jadi mengapa saya menulis?

Jawapannya adalah kerana saya perlu untuk menulis. Tidaklah sampai kepada tahap wajib. Tetapi perlu kerana saya merasakan urgensinya. Kerana betapa terlalu banyak perkara yang perlu saya nukilkan sebelum saya dipanggil pulang. Kerana betapa kepinginnya saya untuk memperbanyakkan lagi pahala-generator dengan izin-Nya sebelum saya berangkat ke dunia sana.

Menulis…

Bagi saya, menulis adalah seni yang cukup indah. Sungguh ajaib tatkala memikirkan bagaimana aksara-aksara yang satu itu digabungkan untuk membentuk kalimah-kalimah yang akhirnya membangkitkan semangat. Dan bagaimana aksara-aksara yang pada mulanya tiada nilai dan tidak ada apa-apa makna  itu mampu menggerakkan seseorang untuk beramal setelah ianya digabungkan menjadi perkataan-perkataan yang berapi-api. Dan gabungan aksara-aksara yang itu jugalah yang terkadang boleh menitiskan air mata seseorang.

Sungguh ajaib. Sebuah fenomena…

Namun pada akhirnya, semua itu dengan izin dari-Nya jua..


Terus terang saya katakan, pada mulanya saya berasa teragak-agak juga untuk menulis. Kerana jujurnya tidak banyak penulisan-penulisan di luar sana yang mampu menyentuh hati saya. Mungkin dek kerana kegagalan saya untuk mensyukuri nikmat akal yang Allah kurniakan buat diri saya seperti yang pernah saya nukilkan di post ini. Lantas hal itu menyebabkan saya mempersoalkan kemampuan diri saya untuk menyentuh orang lain melalui penulisan..

Namun semakin banyak saya menulis, semakin saya jelas akan hakikat dan tujuan sebenar saya menulis. Bahawa saya menulis sebenarnya adalah untuk diri saya sendiri. Mungkin tiada manusia yang akan tersentuh dengan penulisan saya. But that doesn’t even matter. Kerana yang mustahaknya adalah diri saya sendiri. Sejauh mana saya memandu diri saya untuk sentiasa selari dengan apa yang saya seru selama ini.

Kerana kejayaan terbesar seorang penulis adalah dirinya sendiri mengamalkan apa yang telah dia seru. Dia sendiri gencar dengan amal sepertimana gencarnya penulisannya dengan seruan amal. Dan menjadi keaiban seorang penulis itu untuk tidak beramal dengan seruannya sendiri, sedangkan begitu ramai manusia yang menyahut seruannya.            

Kerana di saat Tuhan berfirman..

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka….”
At Tahrim : 6

Allah S.W.T memerintahkan kita untuk menyelamatkan diri sendiri dahulu sebelum yang lain. Maka sewajarnya penulisan-penulisan kita ditujukan kepada diri sendiri terlebih dahulu. Adapun sekiranya penulisan itu menyentuh jiwa manusia-manusia yang lain, ianya merupakan anugerah daripada Allah S.W.T sebenarnya.

Sungguh, saya bukan seorang penulis besar. Saya juga bukan seorang penulis yang hebat.

Saya hanyalah....

Seorang penulis yang sedang berusaha untuk beramal dengan penulisannya sendiri.

Justeru, semoga Allah menerima amal ciput ini. Semoga amal ini tidak menjadi debu yang berterbangan di mahsyar nanti. Semoga amal ini tidak hangus dibakar riya’, ujub dan sum’ah. Sungguh, insan hanya mampu berusaha, natijahnya ditentukan oleh Allah. Maka, hanya kepada Allah kita berserah.

Juga saya mendoakan agar lebih ramai lagi penulis-penulis yang akan muncul untuk menukilkan kata-kata Al Haq. Menulislah akhi, meskipun sekadar di status mukabuku. Menulislah wahai ukhti, walaupun penulisanmu sekadar habuk di angin lalu. Kerana percayalah, tulisanmu itu masih lagi bermanfaat untuk dirimu, selagi mana kamu ikhlas kerana-Nya..

Dan yang paling penting..

Mari menulis manusia. Kerana manusia itu agen perubahan.. 

Saturday, 28 December 2013

Proses Taaruf Baitul.....

Yang pasti bukan Baitul Muslim..Hehe.

Begini ceritanya..

Alhamdulillah, dengan izin Allah, pada malam semalam saya berpeluang untuk menyertai sekumpulan manusia hebat, bersama-sama berhimpun dalam sebuah taman syurga nan indah ataupun lebih mesra disebut sebagai mabit. Dalam bahasa yang lebih canggihnya, mabit ni dikenali juga sebagai “Malam Bina Iman & Taqwa”. Namun ada juga pendapat yang mengatakan mabit adalah ringkasan kepada “Malam Bersama Ikhwah Tercinta”. So nampak tak ada khilaf di situ?

Heh..

Ikutlah nak sebut apa pun. Yang penting ruhnya tetap sama. Iaitu, kita berhimpun beramai-ramai, bersama-sama teman seperjuangan membasahkan ruhiyah(dalaman) kita. Caranya terpulanglah. Nak bagi tazkirah ringkas boleh, nak mentadabbur Al Quran secara berjemaah pun boleh, ataupun apa-apa sahaja yang boleh meningkatkan iman dan taqwa. Cewah..

Nak cerita pasal mabit ni, boleh buat satu entry khas sebenarnya. In sha Allah, di lain masa..


Cuma kali ini, saya ingin berkongsi serba sedikit peristiwa yang saya kira membuka minda saya. Peristiwa yang menyedarkan saya bahawasanya masih ada elemen tarbiah yang masih belum saya bumikan sepenuhnya dalam diri saya.

Sebelum itu, mari kita soroti peristiwa itu secara kronologi. Suspen dan thrill gitu. Hehe.

Tirai malam itu dibuka dengan adegan ikhwah-ikhwah berselerakan di segenap penjuru masijid. Ada yang main smartphone. Ada yang baca Al Quran. Ada yang mengambil peluang untuk bersolat sunat. Saya pula melepak di tepian masjid bersembang dengan ikhwah-ikhwah yang saya kenali.

Oh ya. Terlupa nak beritahu. Program Mabit ni anjuran ikhwah-ikhwah yang menuntut di universiti yang namanya terpaksa dirahsiakan. Saya menyibuk je kat situ malam tu. Heh.

Ok. Bersambung semula..

Kemudian tanpa berlengah lagi, person-in-charge (PIC) untuk program mabit malam itu mula beraksi. Kesemua ikhwah berjaya dikumpulkan dalam masa kurang dari seminit. Macam biasa, kalau takde ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis, macam tak lengkap sesuatu program itu. Maka, pengerusi majlis pun mengambil tempatnya. Hadaf (matlamat) dan tentatif program diterangkan dengan begitu bergaya sekali.

Setelah itu, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil. Tugasan pertama yang perlu kami settlekan malam tu sebelum acara tidur berjemaah mengambil tempat adalah membaca dan mentadabbur surah Al Muzammil.

Pada ketika inilah, peristiwa itu berlaku…cewah..

Selesai bertilawah seorang tiga ayat, seorang akh yang merangkap ketua kumpulan memulakan tugasnya..  

“Ada sesiapa yang nak tadabbur..?”

Krik krik krik.

Part yang ni best. Semua pandang bawah, pandang quran, buat-buat macam tengah cari ayat. Ada jugak yang tepuk-tepuk bahu kawan sebelah, kawan yang ditepuk bahu tu pulak tiba-tiba jadi tergedik-gedik. Heh.

Untuk mengelakkan lebih banyak lagi cengkerik yang akan membiak, maka akh yang merangkap ketua kumpulan itu pun mengambil inisiatif untuk bertadabbur terlebih dahulu.

Diringkaskan cerita, saya tertarik dengan beberapa patah kata-kata beliau..

“Antum nak tahu kenapa semua orang segan-segan nak tadabbur?”

“Sebab tadabbur ni rasa hati kita..”

“Dan kita tak akan sebarang meluahkan rasa pada orang yang kita tak kenal..”

Kata-kata akh ini telah saya sunting, namun maksud asalnya tetap sama.

Ya benar. Kami ketika itu masih belum cukup mengenali antara satu sama lain. Bahkan ada dalam kalangan ahli kumpulan itu yang baru kali pertama bersua muka. Bayangkan, bagaimana kita mampu untuk meluahkan rasa hati kita kepada seseorang yang nama penuhnya pun kita tak tahu.

Kerana itulah tarbiah mengajar kita untuk senantiasa bertaaruf pada permulaan setiap apa yang kita lakukan. Bahkan Imam Hassan Al Banna meletakkan taaruf, yakni berkenal-kenalan sebagai rukun pertama usrah. Rukun usrah ni boleh dikatakan sama macam rukun solat. Maksudnya kalau tak cukup satu, tak sah usrah kita. Sampai begitu sekali.

Dan ramai orang salah faham tentang taaruf. Ramai yang menyangka taaruf ini hanya proses nak tahu biodata seseorang. Contohnya, nama orang tu, umur dia, hobi dia, alamat dia, benda-benda macam tu. Di sini saya nak menegaskan bahawa sangkaan seperti ini perlu diperangi habis-habisan. Cewah, emosi terlebih.

Eh saya serius ni.

Taaruf ni bukan sekadar untuk kita tahu basic information seseorang. Lebih-lebih lagi dalam sistem usrah yang butuh kebersamaan yang erat. Maka proses taaruf harus gencar sehingga ke tahap kita sanggup berkorban untuk dia. Kerana logiknya, kita hanya sanggup berkorban untuk orang yang kita betul-betul dah kenal.

Justeru, taaruf yang sebenarnya adalah taaruf yang tidak pernah berhenti. Hatta, walaupun kalian sudah bersama dengan seseorang itu selama berpuluh-puluh tahun, kalian dan orang itu masih butuh taaruf sebenarnya. Kerana, hanya dengan taaruf yang benar-benar hebat, dua rukun usrah yang seterusnya mampu dicapai, iaitu tafahum dan takaful.

Oleh itu, bertaaruflah saudaraku dengan taaruf yang sebenar-benarnya..

“Sesungguhnya, orang-orang mu’min itu bersaudara..”
(Al Hujurat, 10)

P/S : Sesiapa nak bertaaruf dengan saya, sila PM inbox saya. Ikhwah atau lelaki sahaja. Heh

Friday, 27 December 2013

Sebuah Pertemuan


Orang kata…

Kita belum benar-benar menghargai sesuatu itu, sehinggalah kita kehilangannya..

Kata-kata ini, menggambarkan apa yang sedang saya alami sekarang..

Untuk berada dalam fasa yang statik adalah sesuatu yang sangat memeritkan. Umpama seperti kita berada di dalam sebuah kereta yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang teruk. Kesannya, kaki jadi kejang, hati jadi tak senang, jiwa kita melayang.

Saya tahu, tidak wujud istilah statik bagi seorang da’ie yang benar. Tamparan buat diri saya juga sebenarnya. Namun begitulah yang berlaku. Benarlah kata falsafah, bila kita gagal untuk merancang, bererti kita merancang untuk gagal. Di saat medan amal terbentang depan mata, dan hanya memerlukan sedikit keberanian dan kebesaran jiwa, kegagalan untuk merancang dengan baik menyebabkan peluang itu hilang begitu sahaja.

Dan kemuncaknya, saya menjadi seorang yang statik. Dari sehari ke sehari, kepala menjadi besar kerana hanya sekadar membaca dan membaca, namun gagal untuk diterjemahkan kepada amal. Jika ditakdirkan saya dipanggil Tuhan ketika ini, entah bekal apa yang boleh dibawa ke sana. Allahu…

Mengenangkan keadaan ini menyebabkan saya jadi rindu kepada suasana dulu. Saya rindu untuk membina dan dibina. Saya rindu untuk menghadiri liqa’ setiap minggu. Saya rindu untuk bersama-sama ikhwah menunggu kehadiran murabbi saban minggu. Saya rindu untuk berjalan beramai-ramai bersama ikhwah ke perhentian bas untuk menghadiri daurah yang diadakan setiap bulan.

Juga saya rindu untuk menghantar mesej kepada murabbi bertanyakan hal-hal dakwah. Saya rindu untuk membaca mesej daripada ikhwah dan murabbi yang mengingatkan untuk membaca Al Kahfi pada setiap hari jumaat. Saya rindu untuk menghantar mesej kepada adik-adik usrah memberitahu tentang tempat dan masa untuk diadakan liqa’. Saya rindu…

Rindu akan sebuah pertemuan. Pertemuan yang melonjakkan iman. Pertemuan yang membasahkan hati. Pertemuan yang didalamnya berisi barakah dan rahmat Allah. Dek kerana ahli-ahlinya saling mencintai kerana Allah. Hanya kerana ahli-ahlinya bertemu untuk urusan dakwah.

Dan kerinduan ini menjadikan saya begitu menghargai setiap pertemuan yang diaturkan pada fasa ini. Saya berasa bahagia setiap kali dapat menghadiri liqa’ yang diadakan walaupun bukan setiap minggu seperti dulu. Sungguh hati melonjak gembira tatkala mengetahui tentang kedatangan ikhwah dari kejauhan yang datang untuk menziarahi diri ini.

Nikmat sebuah rindu…

Andai dapat ku ulangi putaran dunia..

Untuk aku menikmati momen-momen itu..

Untuk aku menghargai saat-saat itu….

Alhamdulillah. Sungguh saya bersyukur dicampakkan ke atas jalan ini. Yang di atasnya saya belajar erti sebuah kerinduan. Kerinduan yang menambahkan iman. Ajaib. Nikmat  di jalan ini. Bagi yang sedang menikmati saat-saat indah itu, hargailah sebelum ia hilang darimu. Meskipun hanya kehilangan yang sementara.  

“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu ingin dustakan..”
(Ar Rahman, 13)

Alhamdulillah, malam ini akan menghadiri mabit bersama ikhwah tercinta. Semoga Allah memberkati pertemuan ini. Supaya kelak bila dikenang pada masa-masa akan datang, kenangan ini bisa menjadi kerinduan yang menambahkan iman...

Tuesday, 24 December 2013

Sesuatu Yang Kita Lupakan

Kita selalu sahaja memilih dalam menerima nasihat…kadang-kadang…

Begitulah yang terlintas dalam hati saya…

Lalu saya memilih untuk kongsikan di sini. Apa yang bermain di benak fikiran saya, dicampur dengan serba sedikit pengalaman peribadi yang tidaklah sedalam mana, dan juga dengan seberkas kefahaman yang saya impikan untuk difahami oleh semua orang.

Semoga Allah redha…

Sememangnya fitrah seorang manusia untuk merasakan kebasahan dalam hati. Justeru dia akan tercari-cari kuot-kuot yang boleh memberi penangan “strike” ke dalam hatinya. Dia akan tertunggu-tunggu penulisan daripada figura-figura yang dikenali mampu membidik dengan tepat ke ulu hatinya.

Dan harus diakui betapa ramai di antara kita yang mendambakan ucapan yang menggugah jiwa, penyampaian yang semenggah yang mampu menumbuk dengan kuat dinding hati kita, dan juga kata nasihat yang mampu membuatkan hati menangis.

Saya juga begitu..dahulu..

Dan pabila kita tidak dapat seperti apa yang dimahukan, kita akan berasa kecewa. Terasa nasihat yang diberikan sesuatu yang sia-sia. Terasa usrah, liqa’ dan pertemuan yang dihadiri tidak memberi kesan dalam hati. Begitu juga dengan penulisan-penulisan yang kering, kita cenderung untuk beranggapan bahawa penulisan-penulisan seperti itu sesuatu yang kurang nilainya.  

Kerana itu fitrah. Kerana kebasahan adalah intipati yang sangat penting dalam tarbiah. Kerana yang mahu disentuh adalah hati. Dan hati merupakan raja yang akan menggerakkan semua anggota tubuh. Justeru, hati yang basah adalah sesuatu yang kita dambakan untuk menghasilkan semangat yang padu. Lantas dengan semangat itu, kita berharap kita mampu menatijahkan amal yang jitu.


Namun kali ini saya ingin mengajak kalian untuk bermuhasabah sebentar..

Yang sebenarnya dalam memburu kebasahan hati, ada sesuatu yang kita selalu lupakan..      

Itulah dia makhluk Tuhan yang bernama akal..

Dalam Al Quran, banyak kali Allah mengangkat orang-orang yang mensyukuri akalnya. Orang-orang yang mensyukuri akal ini adalah mereka yang mengutilisasikan nikmat akal yang Allah anugerahkan kepadanya seoptima mungkin.  Dalam bahasa arab, golongan ini digelar sebagai ulul albab.

“Sesungguhnya, dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal (ulul albab)”
(Ali Imran, 190)

Kebanyakan ahli-ahli tafsir berpandangan bahawa perkataan ulul albab yang dipelopori oleh Al Quran ini merujuk kepada golongan yang memiliki akal dan kefahaman yang matang sehingga mampu membuat penilaian yang tepat. Kemuncaknya mereka akan menemui hakikat kebenaran yang menyelamatkan kehidupan mereka di dunia dan akhirat.

Arakian di ruangan yang sempit ini, saya taknak ulas lebih-lebih tentang golongan ulul albab ini. Yang saya mahu ketengahkan adalah peri pentingnya untuk kita menjadi insan yang berfikir. Insan yang menggunakan sepenuhnya nikmat akal yang diberikan Allah kepada kita.

“(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, dan mereka MEMIKIRKAN tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia. “Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.”
(Ali Imran, 191)  

Akhi dan ukhti sekalian…

Dalam ayat di atas, Allah menunjukkan kepada kita tentang sunnah golongan ulul albab, iaitu BERFIKIR. Mereka tidak sewenang-wenangnya berbaring-baring di bawah langit malam sambil melihat gugusan bintang yang berkerlipan, lantas dalam sekelip mata hati mereka tersentuh.

Sekali-kali tidak!

Akan tetapi golongan ulul albab ini memerhatikan sekeliling mereka, lalu MEMIKIRKAN tentang keagungan ciptaan Allah. Natijahnya, keimanan mereka kepada Allah meningkat dari satu tahap kepada tahap yang lain. Dan bukankah iman itu letaknya dalam hati?

Justeru, saya mahu kita semua menjadi seperti ulul albab..

Kadang, nasihat yang diberikan kepada kita ataupun penulisan yang dihidangkan kepada kita itu mungkinlah tidak disusun dengan seindah-indah kata. Namun kita masih punya akal untuk menilai nasihat dan penulisan itu. Justeru dengan akal itu kita mengkoreksi diri sendiri supaya dengan izin Allah, hati kita juga bisa tersentuh.

Begitu juga dengan usrah. Tidak semua orang berpeluang untuk bermurabbikan insan yang gencar tutur katanya, yang hidup taujihatnya, yang salamnya sahaja sudah bisa menerbitkan degup dalam hati. Tapi akhi dan ukhti, kita masih punya akal untuk menghadam tiap bait kata si murabbi itu. Semoga dengan izin Allah, keimanan dalam hati mampu dilonjakkan melalui proses berfikir yang kita tekuni itu.

Sungguh, hati itu milik Allah…

Saya tidak bermaksud untuk menyeru kita semua menjadi hamba akal. Na’uzubillah. Bahkan saya tidak bermaksud untuk mengajak kita semua mengabaikan aspek hati. Saya cuma mahu kita semua sedar bahawasanya ada satu proses yang kita sering lupakan dalam misi mencari kebasahan hati. Itulah dia proses berfikir.

Boleh jadi..boleh jadi penulisan ini pun tidak mampu untuk membasahkan hati kalian. Justeru, mungkin sudah sampai masanya untuk kita activatekan kembali akal masing-masing..

Semoga dengan izin Allah, hati-hati kita turut akan tersentuh…

Saturday, 21 December 2013

Ajarkan Aku Untuk Mencintai Bidadari


Ajarkan aku untuk mencintai bidadari..
Agar dunia tidak ku cintai, jauh dalam hati..
Dunia yang penuh, penuh dengan tipu daya yang keji..
Yang memenatkan aku dalam kembara spiritual menuju ilahi..
Yang menghauskan nafasku, yang mengoyak ketenangan dalam sanubari..
Yang membunuh hatiku, hingga mati…

Ajarkan aku untuk mencintai bidadari..
Agar mataku cerah lihat ke sana..
Supaya aku rindu untuk menatap indahnya sungai syurga..
Agar telingaku jelas dengar ke sana..
Supaya aku jatuh hati dengan kicauan burung syurga..
Agar hidungku tajam hidu ke sana..
Supaya aku ghairah dengan nikmatnya hembusan angin syurga..

Ajarkan aku untuk mencintai bidadari..
Agar aku tak terbuai dengan keakhawatan seorang ukhti..
Yang cantiknya, bisa mencairkan hati..
Yang lembutnya, bisa menggoncang sanubari..
Yang zahirnya, layak dijadikan suri..
Namun semua itu menenggelamkan aku, ke dalam lautan nafsu sendiri..
Ah..maafkan aku duhai ukhti..
Tiada ku bermaksud merendahkan yang empunya diri..
Sama-samalah kita menjaga diri..

Ajarkan aku untuk mencintai bidadari..
Agar aku bisa menjadi seperti Musa
Gigih berdakwah,  meski dibatasi kekurangan yang mega..
Supaya aku bisa meneladani Muhammad habibullah…
Tak kenal putus asa menyebar risalah, walau dihambat berjuta mehnah…
Kerna aku insan yang lemah, sering berputus asa..

Ajarkan aku untuk mencintai bidadari..
Agar aku hayati tiap bait istighfarku, moga terampun dosa-dosaku..
Agar aku ikhlas dalam ratib zikirku, moga dilembutkan hati nuraniku..
Agar aku tegar di sepertiga malamku, moga Tuhan dengar rintihan batinku..
Ajari aku supaya aku tahu, dan supaya aku mahu..

Ajarkan aku untuk mencintai bidadari..
Agar hilang sedih resah hatiku..
Agar sembuh luka pilu sanubariku..
Agar terubat hampa kecewa sukmaku...
Juga supaya aku tahu, yang bidadariku tak pernah jemu..
Menanti dengan sepenuh cinta, hadirnya aku..

Ajarkan aku untuk mencintai bidadari…
Sehingga redha Allah ku jamah..
Sehingga khusnul khatimah menjadi anugerah..

Musab, 21/12/13

Friday, 20 December 2013

Cerita Hati


Jika disingkap tirai hati ini..
Entahkan sudah bernanah..
Entahkan sudah membarah..
Sarat dengan amarah..
Dibanjiri dengan nafsu serakah..
Berselerakan dek angin fitnah…

Jika disingkap tirai hati ini..
Entahkan sudah berlendir..
Entahkan sudah busuk berair..
Sendat dengan jahiliah yang berbintil-bintil..
Menggerutu dek hasad yang berlapis-lapis..
Hitam legam dengan dosa-dosa yang digiring..

Betapa ku tahu sedari dahulu..
Sang hati itulah si penghulu..
Yang memerintah dengan seru..
Yang seruannya memahat tindakan tanpa jemu..
Kerna dia juga sang guru..

Justeru tidak hairanlah..tidak hairanlah..
Andai amalku diam membisu seribu bahasa..
Andai suaraku umpama pekikan si gila..
Kerna ia dari bisikan hati yang durjana..
Yang telah mereput dek indahnya dunia..

Puas ku pujuk..puas ku rayu..
Namun hati itu tetap yang itu..
Mungkin jirusan istighfarku masih belum sayu..
Mungkin tembakan zikirku masih belum padu..
Atau mungkin aku yang perlu dipalu..

Dari tanah ke tanah jua..
Itulah hakikat dunia..
Dan aku si hamba hina..
Akan terus meminta..
Agar diberi hati yang bercahaya..
Kerna hatiku ini, sudah tidak punya nyawa..

Akhirnya..
Untuk redha-Nya jua..
Untuk pulang ke sana..
Mendakap bidadari anugerah dari-Nya..

Musab, 20/12/13