Tuesday, 24 December 2013

Sesuatu Yang Kita Lupakan

Kita selalu sahaja memilih dalam menerima nasihat…kadang-kadang…

Begitulah yang terlintas dalam hati saya…

Lalu saya memilih untuk kongsikan di sini. Apa yang bermain di benak fikiran saya, dicampur dengan serba sedikit pengalaman peribadi yang tidaklah sedalam mana, dan juga dengan seberkas kefahaman yang saya impikan untuk difahami oleh semua orang.

Semoga Allah redha…

Sememangnya fitrah seorang manusia untuk merasakan kebasahan dalam hati. Justeru dia akan tercari-cari kuot-kuot yang boleh memberi penangan “strike” ke dalam hatinya. Dia akan tertunggu-tunggu penulisan daripada figura-figura yang dikenali mampu membidik dengan tepat ke ulu hatinya.

Dan harus diakui betapa ramai di antara kita yang mendambakan ucapan yang menggugah jiwa, penyampaian yang semenggah yang mampu menumbuk dengan kuat dinding hati kita, dan juga kata nasihat yang mampu membuatkan hati menangis.

Saya juga begitu..dahulu..

Dan pabila kita tidak dapat seperti apa yang dimahukan, kita akan berasa kecewa. Terasa nasihat yang diberikan sesuatu yang sia-sia. Terasa usrah, liqa’ dan pertemuan yang dihadiri tidak memberi kesan dalam hati. Begitu juga dengan penulisan-penulisan yang kering, kita cenderung untuk beranggapan bahawa penulisan-penulisan seperti itu sesuatu yang kurang nilainya.  

Kerana itu fitrah. Kerana kebasahan adalah intipati yang sangat penting dalam tarbiah. Kerana yang mahu disentuh adalah hati. Dan hati merupakan raja yang akan menggerakkan semua anggota tubuh. Justeru, hati yang basah adalah sesuatu yang kita dambakan untuk menghasilkan semangat yang padu. Lantas dengan semangat itu, kita berharap kita mampu menatijahkan amal yang jitu.


Namun kali ini saya ingin mengajak kalian untuk bermuhasabah sebentar..

Yang sebenarnya dalam memburu kebasahan hati, ada sesuatu yang kita selalu lupakan..      

Itulah dia makhluk Tuhan yang bernama akal..

Dalam Al Quran, banyak kali Allah mengangkat orang-orang yang mensyukuri akalnya. Orang-orang yang mensyukuri akal ini adalah mereka yang mengutilisasikan nikmat akal yang Allah anugerahkan kepadanya seoptima mungkin.  Dalam bahasa arab, golongan ini digelar sebagai ulul albab.

“Sesungguhnya, dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal (ulul albab)”
(Ali Imran, 190)

Kebanyakan ahli-ahli tafsir berpandangan bahawa perkataan ulul albab yang dipelopori oleh Al Quran ini merujuk kepada golongan yang memiliki akal dan kefahaman yang matang sehingga mampu membuat penilaian yang tepat. Kemuncaknya mereka akan menemui hakikat kebenaran yang menyelamatkan kehidupan mereka di dunia dan akhirat.

Arakian di ruangan yang sempit ini, saya taknak ulas lebih-lebih tentang golongan ulul albab ini. Yang saya mahu ketengahkan adalah peri pentingnya untuk kita menjadi insan yang berfikir. Insan yang menggunakan sepenuhnya nikmat akal yang diberikan Allah kepada kita.

“(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, dan mereka MEMIKIRKAN tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia. “Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.”
(Ali Imran, 191)  

Akhi dan ukhti sekalian…

Dalam ayat di atas, Allah menunjukkan kepada kita tentang sunnah golongan ulul albab, iaitu BERFIKIR. Mereka tidak sewenang-wenangnya berbaring-baring di bawah langit malam sambil melihat gugusan bintang yang berkerlipan, lantas dalam sekelip mata hati mereka tersentuh.

Sekali-kali tidak!

Akan tetapi golongan ulul albab ini memerhatikan sekeliling mereka, lalu MEMIKIRKAN tentang keagungan ciptaan Allah. Natijahnya, keimanan mereka kepada Allah meningkat dari satu tahap kepada tahap yang lain. Dan bukankah iman itu letaknya dalam hati?

Justeru, saya mahu kita semua menjadi seperti ulul albab..

Kadang, nasihat yang diberikan kepada kita ataupun penulisan yang dihidangkan kepada kita itu mungkinlah tidak disusun dengan seindah-indah kata. Namun kita masih punya akal untuk menilai nasihat dan penulisan itu. Justeru dengan akal itu kita mengkoreksi diri sendiri supaya dengan izin Allah, hati kita juga bisa tersentuh.

Begitu juga dengan usrah. Tidak semua orang berpeluang untuk bermurabbikan insan yang gencar tutur katanya, yang hidup taujihatnya, yang salamnya sahaja sudah bisa menerbitkan degup dalam hati. Tapi akhi dan ukhti, kita masih punya akal untuk menghadam tiap bait kata si murabbi itu. Semoga dengan izin Allah, keimanan dalam hati mampu dilonjakkan melalui proses berfikir yang kita tekuni itu.

Sungguh, hati itu milik Allah…

Saya tidak bermaksud untuk menyeru kita semua menjadi hamba akal. Na’uzubillah. Bahkan saya tidak bermaksud untuk mengajak kita semua mengabaikan aspek hati. Saya cuma mahu kita semua sedar bahawasanya ada satu proses yang kita sering lupakan dalam misi mencari kebasahan hati. Itulah dia proses berfikir.

Boleh jadi..boleh jadi penulisan ini pun tidak mampu untuk membasahkan hati kalian. Justeru, mungkin sudah sampai masanya untuk kita activatekan kembali akal masing-masing..

Semoga dengan izin Allah, hati-hati kita turut akan tersentuh…

No comments:

Post a Comment