Ukhuwwah. Ia
persoalan yang begitu sukar untuk digarap juga dipanjang-panjangkan. Ia bukan
sekadar hadir di kala kita bergembira ria. Tapi ia juga turut hadir di kala
berduka nestapa lara. Orang kata ukhuwwah itu manis rasanya, tapi adakah ia
akan semanis gula? Kemanisan gula yang menarik semut-semut untuk
menggeremuninya. Adakah sifir yang sama teraplikasi untuk ukhuwwah? Jika ianya
sama, siapakah semut-semut yang akan menggeremuni ukhuwwah?
Begitulah dan
seterusnya. Bila kita berbicara tentang kemanisan ukhuwwah, kemanisan itu
dilihat dari sudut pandang yang mana? Ramai orang yang beranggapan ukhuwwah itu
manis jika atmosfera yang mengelilinginya di hiasi dengan gelak dan tawa. Namun
jika tangis dan sendu menjadi perhiasannya, adakah kemanisan yang serupa turut
akan dirasa? Jika kemanisannya berbeza, kemanisan yang bagaimana?
Mungkin ramai
yang menyangka persoalan demi persoalan ini sekadar memeningkan kepala. Namun
realitinya ramai yang kecundang. Kecewa dalam harapan. Hanyut dengan impian.
Kesemuanya kerana salah faham tentang ukhuwwah. Ukhuwwah itu sifirnya tidak
akan selalu gembira, tidak akan selalu ketawa. Adakala kita akan sengsara dalam
berukhuwwah. Kerana nilai sebenar ukhuwwah itu menuntut harga pengorbanan yang
cukup tinggi. Dan pengorbanan itu tidak pernah mudah.
Penat
sebenarnya. Kecewa dalam harapan. Aku silap kerana memikirkan dirimu sempurna.
Bahkan aku pun jauh tidak
Saya melihat ramai
orang yang kecundang dalam ukhuwwah ini berputus asa dengan angan-angan sendiri.
Semuanya gara-gara meletakkan harapan yang terlalu tinggi dalam ukhuwwah. Sedangkan
ukhuwwah itu tidak pernah menjanjikan keseronokan dan kegembiraan. Mungkin saja
saya yang terlalu extreme dalam menilai ukhuwwah. Tapi yang saya pasti ia bukan
sekadar tentang gembira. Ia bukan sekadar tentang ceria.
Saat kita
berpegangan tangan berjalan bersama, kita katakan itu ukhuwwah.
Saat kita bahagia makan berdulangan, kita katakan
itu ukhuwwah.
Saat kita
bernyanyi lagu dengan nada yang sama, kita katakan itu ukhuwwah.
Tetapi ukhuwwah
itu turut wujud tika kita saling bertegang urat. Ukhuwwah itu ada saat kita
berselisih pendapat. Ukhuwwah ada di sana bila kita saling menjauh hati.
Bagaimana? Sebab di saat seseorang itu telah berjanji untuk mencintai
saudaranya kerana Tuhan, bukankah Tuhan itu sentiasa ada? Itulah yang dinamakan
ukhuwah fillah. Cukup cantik disambung dengan abadan abada.
Ukhuwwah yang
dibina atas dasar iman akan sentiasa terpaut pada iman. Saat iman mula merapuh,
ukhuwwah mula roboh. Persoalan di sini, jika iman itu turun naik, adakah
ukhuwwah juga seperti ombak lagaknya? Saya memilih untuk menjawab “iya”. Orang
yang ikhlas dalam berukhuwwah, akan sentiasa menjaga imannya. Iman kepada Allah
yang mendasari ukhuwaah, maka ukhuwwah itu akan manis dalam tawar, rindu dalam
benci.
Aku penat tidak
dipeduli, lantas aku memilih untuk tidak mempeduli
Sebab itu bila
dikatakan ukhuwwah itu seperti madu sifatnya, saya cukup berjaga-jaga. Ramai
sudah menjadi mangsa. Datang dengan harapan, pulang dengan kekecewaan. Siapa
lagi yang mahu kecewa?
Saya sendiri
belum jelas akan hakikat sebenar ukhuwwah. Ianya terlalu misteri. Sukar untuk
diertikan. Saya belum memegang mana-mana definisi untuk ukhuwwah. Apatah lagi
ukhuwwah fillah. Mata ini belum pernah melihat bagaimana rupa orang-orang yang
mendasari ukhuwwah dengan iman.
Yang pasti ia
bukan hanya sekadar bergelak tawa, bermanis manja. Saya tidak mahu kecewa.
![]() |
| Ukhuwwah |





