Sunday, 7 April 2013

AKHI, IKHLASKAN HATIMU

Akhi, ku baca firman Tuhan,

Wahai anak cucu Adam, janganlah sampai kamu tertipu oleh syaitan sebagaimana halnya dia telah mengeluarkan ibu bapamu dari syurga dengan menanggalkan pakaian keduanya untuk memperlihatkan aurat keduanya. Sesungguhnya dia dan tenteranya dapat melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman

7 : 27

Lantas aku terfikir sesaat. Apakah barangkali ada di atara kita sudah pun tertipu dengan kelicikan syaitan-syaitan ini? Apakah ada di antara kita telah pun bernaungkan syaitan-syaitan ini? Apakah ada di antara kita yang namanya sudah pun tercatat sebagai pendamping kepada syaitan-syaitan ini? Apakah ada di antara kita wahai akhi sayang?

Sesungguhnya aku terlalu bimbang. Apakah nasib kita di sana nanti? Di manakah pengakhiran kita? Ke manakah akan kita tuju? Berpeluangkah kita untuk menatap wajah zat yang sering kita sebut nama-Nya dalam solat kita seharian? Hatiku gelisah saat membaca amaran yang sudah termaktub dalam kitab agung itu.

Dan kami tunjukkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu bagai debu yang berterbangan

25: 23

Akhi, sering aku mendengar akan hakikat ikhlas itu yang tidak bisa dilihat. Umpama semut hitam yang berjalan di atas batu hitam di tengah malam yang kelam. Lalu aku bertanya dengan diriku, apakah ikhlas itu sudah bertunas di hatiku? Dan aku juga ingin bertanya padamu wahai akhi sayang, apakah ikhlas sudah pun di hatimu?

Sesungguhnya akhi, pertanyaanku ini bukanlah bermaksud untuk meragui amal-amalmu. Bahkan aku berharap untuk beramal sepertimu. Namun aku tak mahu amal-amal kita seperti debu-debu yang berterbangan. Hangus terbakar dek hilangnya sebuah mutiara bernama keikhlasan. Dan sesungguhnya wahai akhi sayang, kerana sebuah cinta, aku ingin mengajakmu merenung kembali pesanan junjungan mulia dalam khutbahnya yang terkahir kalinya.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkanmu dalam perkara-perkara besar, maka bejaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil

Khutbah Wada'

Akhi sayang, sungguh solatmu terjaga. Fardhu dan sunat saling beriringan. Dakwah sebagai keutamaanmu di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sekalipun. Kesungguhanmu dalam menyebarkan risalah-Nya di atas muka bumi tidak perlu diragui lagi. Sesungguhnya aku juga mengerti perbatasan ikhtilatmu yang dipagar rapi dengan iman. Aku mengetahui ketegasanmu terhadap perkara-perkara jahiliyyah yang menyekat dirimu di arena ini.

Akan tetapi ketahuilah wahai akhi sayang. Kesemua itu termasuklah dalam perkara-perkara besar yang syaitan telahpun berputus asa terhadapnya. Masih ada lagi musuh dalam selimut yang berniat menjatuhkanmu. Yang bersedia untuk menyerangmu pada saat-saat kamu terleka. Yang menanti masa untuk merobek keteguhan benteng imanmu lantas menjerumuskan dirimu menjadi sehina-hina manusia. Itulah yang dinamakan takabbur, riya’, ujub dan sum’ah. Ketahuilah wahai akhi sayang kesemua ini adalah permainan syaitan. Pintaku agar kamu berhati-hati dalam setiap langkahmu wahai yang ku cintai kerana-Nya.

Sesungguhnya kerana sebuah janji wahai akhi sayang. Aku mahu mengingatkanmu akan janji-janji kita untuk bersenda gurau di taman-taman syurga. Untuk saling berpimpinan tangan menghirup udara bahagia di syurga. Untuk saling tersenyum riang menghayati saat-saat penuh cinta di syurga. Masihkah kau ingat wahai akhi yang ku cintai? Kerana aku ingin bersama-sama denganmu termasuk seperti yang difirmankan Tuhan dalam al quran yang mulia,

Mereka berada di atas dipan-dipan yang bertakhtakan emas dan permata. Mereka bersandar di atasnya berhadap-hadapan.

56 : 15-16

Lantas wahai akhi sayang, bagaimanakah kita bisa menjejakkan kaki ke syurga andai amal-amal kita hangus terbakar? Bagaimana? Mampukah kita menngapai syurga tatkala melihat amal-amal kita bagai debu-debu yang berterbangan di hadapan mata? Akan tertunaikah janji-janji itu andai kita di neraka? Bisakah? Jawablah akhi dengan sepenuh cinta di hatimu.

Akhi, sesungguhnya nasihat ini tiadalah yang lain melainkan untuk diriku. Untukmu jua wahai sang kekasih. Bantulah aku. Tariklah aku untuk ke syurga bersamamu. Aku butuh sokonganmu wahai akhi sayang.

Akhi, semoga istiqamah. Semoga barakah. Semoga khusnul khatimah.

Ukhuwwah fillah abadan abada
Dan diriku di sini masih lagi berjuang mencari secebis keikhlasan. Semoga sampai di sisi-Nya.

3 comments:

  1. "Dan kami tunjukkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu bagai debu yang berterbangan".......


    Allahu mustaan..

    ReplyDelete