Saturday, 13 April 2013

BELUM TIBAKAH WAKTUNYA?

Post kali ini saya mahu serius. Tak ada unsur-unsur gelak tawa yang tak tarbawi, tak ada lawak-lawak yang entah jadi entah tidak, tak ada masa nak bermain-main, sampai bila kita nak main-main? Begitu juga dengan diri anda. Saya harap anda dapat membaca post ini dengan emosi yang serius. Semoga masa-masa yang kita sama-sama infakkan ini mendapat sebaik-baik balasan dari Allah dan sekaligus meraih redha-Nya.

Sebelum kita pergi lebih jauh, saya ingin mengajak diri saya dan anda semua, untuk kita sama-sama istighfar sepuluh kali. Nak lebih pun lagi bagus. Jom Istighfar. Kita sama-sama bermuhasabah diri kita, mengharapkan agar Allah mengampunkan dosa-dosa kita, dan dibukakan pintu hati kita supaya kita mampu meraih manfaat dari post ini. Saya dan anda. Penulis dan pembaca.

Baiklah. Bismillah.

Selalu juga saya berasa hairan dengan diri sendiri. Dah banyak pengisian-pengisian tarbawi, perkongsian-perkongsian ruhi dan majlis-majlis ilmu yang kita sertai. Sudah terlalu banyak input-input yang kita perolehi sepanjang berbelas atau berpuluh tahun kita hidup di muka bumi ini. Tetapi, kita masih lagi gagal untuk menjadi hamba yang baik, hamba yang beribadah sepanjang hari, hamba yang menjadikan setiap perbuatan sehariannya sebagai ibadah.

Tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini kita abaikan. Jika dilaksanakan sekalipun, penuh dengan ketidakseriusan. Seringkali saya bertanya diri saya sendiri, dan kali ini saya ingin bertanya kepada anda semua. Sepanjang kita hidup, dah berapa ramai orang yang kita tarik kepada Islam? Sepuluh? Seratus? Ke tak ada orang langsung? Sedangkan kita dah dapat berbagai-bagai ilmu pengetahuan. Jika nak dicomparekan dengan para sahabat terdahulu, Abu Bakar contohnya, Rasulullah hanya mengajar beliau syahadah, tetapi dah mampu mengislamkan ramai orang. Di mana kita?

Kita sering berbangga dengan gelaran da’ie yang terpacak di atas kepala kita. Pernah tak kita sedar itu adalah satu amanah? Kita akan di tanya kelak di hari akhirat tentang amanah itu. Sejauh mana kita bersungguh-sungguh menyampaikan Islam kepada orang-orang sekeliling kita? Setinggi mana usaha kita memastikan family kita, rakan-rakan kita memahami tujuan hidup mereka?

Di sebalik kesedaran tentang tanggungjawab dakwah ini, kita masih lagi membiarkan hari-hari dalam hidup kita diselubungi dosa. Jahiliyyah terus bermaharajalela dalam hati kita. Sampai satu tahap, kita dah tak rasa apa yang kita buat itu dosa.

Kita bergelar du’at, muharikun, hawariyyun, jundullah, ansarullah dan bermacam-macam gelaran lagi. Akan tetapi kita sendiri masih belum menghayati dengan sepenuhnya gelaran-gelaran tersebut. Gelaran yang sepatutnya menjadikan kita lebih agresif dalam arena dakwah, tetapi sebaliknya yang berlaku. Gelaran hanya tinggal gelaran.

Pernah tak kita terfikir, di saat kita menaip perkongsian-perkongsian ruhi, bercakap perkara-perkara tarbawi, bertazkirah dengan kisah-kisah nabi, adakah kita seorang da’ie, atau munafik yang menanti masa untuk dihumbankan ke dalam neraka?

Mana tidaknya.

Ikhtilat kita entah ke mana. Bertepuk tampar dengan lain-lain jantina sesuka hati. Mungkinlah kita perlu berkomunikasi dengan mereka lanataran urusan-urusan muamalat yang memerlukan keterlibatan kedua-dua pihak. Tetapi masih lagi ada batas-batas yang perlu kita jaga. Kita sendiri tahu sama ada kita dah cukup jaga batas-batas itu atau tidak. You know yourself better.

Pandangan mata kita juga dah bukan macam pandangan mata seorang da’ie. Kadang-kadang orang yang tak buat dakwah pun lebih soleh pandangan mata mereka nak dibandingkan dengan kita. Kita tak aplikasikan pun istilah menundukkan pandangan dalam kehidupan kita. Mata dibiarkan meliar sesuka hati. Patutlah kita susah sangat nak absorb apa yang kita belajar kan? Mungkin di sinilah titik puncanya.

Tak payah nak cerita solat jemaah. Solat kita yang sendiri-sendiri tu. On time tak? Cukup khusyuk tak? Kita rasa tak nikmat bersolat tu? Ke solat hanya sebagai rutin seharian kita? Sedangkan bagi para du’at, solat itulah waktu mereka berehat. Hati-hati mereka terhubung ke langit. Kita?

Al Quran kita ke mana? Dalam satu hari berapa page kita belek? Ke dah berhabuk Al Quran tu? Sedangkan diutuskan Ar Rasul beserta dengan ayat Al Quran yang merupakan wahyu yang menggerakkan. Ironi lah kalau kita yang mengaku sebagai penyambung tugas Ar Rasul yang mulia meletakkan Al Quran di tepi.

Allahu Allah.

Kita. Ya. Saya menggunakan kata ganti diri kita. Bererti pembakaran secara terbuka ini turut ditujukan buat diri saya. Muhasabah. Itu yang terbaik. Kita reflek diri kita. Setara mana kita dalam dakwah ini? Dah berapa jauh kita dah pergi? Setinggi mana amal kita? Seluhur mana ikhlas kita?

Saya rasa cukuplah sampai di sini dulu. Menulis, mencoret, menconteng sebanyak mana pun tetapi kalau tak disusuli dengan amal tak ada gunanya. Mari kita bersama-sama muhasabah diri kita. Sejauh mana kita dah amalkan apa-apa yang telah kita kongsikan? Perkara yang kita seru selama ini, apakah sudah diterjemah kepada amal? Jika belum tutuplah laptop. Beramallah. Saya dan anda.

Semoga post ini mencetus kalau tidak banyak pun, sedikit keinginan untuk diri kita untuk berubah. Saya, anda dan mereka. Semoga istiqamah, semoga barakah, semoga khusnul khatimah.

Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk secara khusyuk mengingati Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan kepada mereka dan janganlah mereka berlaku seperti orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang yang fasik.

(Al Hadid : 16)

Irdhana ya Allah. Aku dan mereka. Jadikan kami orang-orang yang beramal.

Imanan wahtisaban

1 comment: