Monday, 15 July 2013

SULIT, MUDAH, REDHANYA


Ridha Allah tak terletak pada sulit atau mudahnya
Berat atau ringannya, bahagia atau deritanya
Senyum atau lukanya, tawa atau tangisnya

Ridha Allah terletak pada
Apakah kita mentaati-Nya dalam menghadapi semua itu
Apakah kita berjalan dengan menjaga perintah dan larang-Nya
Dalam semua keadaan dan ikhtiar yang kita lakukan

Maka selama di situ engkau berjalan
Bersemangatlah kawan!

-Salim A Fillah-

Beberapa hari yang lalu, saya mendengar video ceramah Dr. MAZA. Keindahan bayu pagi yang nyaman diselang-seli dengan bunyi motosikal dan kereta yang lalu lalang menyebabkan saya jatuh cinta dengan tokoh agama ini. Antara isi ceramah beliau yang masih saya ingati ialah stigma masyarakat kita pada hari ini yang menganggap amalan pergi haji ke Mekah adalah untuk mencari Tuhan. Saya kira jikalau benar Tuhan itu hanya boleh ditemui di Mekah, maka kasihanlah sama orang-orang fakir dan miskin yang tidak berpeluang langsung untuk ke Mekah. Dan kesan daripada stigma ini adalah ada dalam kalangan masyarakat kita yang ketagih untuk ke Mekah. Baginya hanya Mekah sahaja yang boleh memberinya ketenangan. Sudahnya. Seolah-olah Mekah pula yang disembah. Sedangkan amalan haji itu dikerjakan kerana ianya jalan untuk mendapatkan keberkatan dan sebagai salah satu ibadah. Walhal, untuk mencari Tuhan, tidak perlu pun jauh merantau hingga ke Mekah.

Sebab apa? Sebab Allah S.W.T itu lebih dekat dengan kita dari urat leher kita. Malah di saat kita menadah tangan dan menyebut “Ya Rabb..”, hati kita sudahpun terhubung dengan Allah. Saidina Ali pernah ditanya jauh mana langit dan bumi? Beliau menjawab, sedekat doa yang mustajab. Hanya kalimah “subhanallah..” mampu saya tuturkan tatkala mendengar jawapan dari Saidina Ali ini. Begitu dekat Allah dengan kita, namun kita yang selalu memilih untuk menjauh. Maka, jom kita insaf secara berjemaah. Meriah gitu. Lagi-lagi bulan ramadhan ni kan? 

The longest intro so far -_-

Namun saya yakin apa yang bakal saya tulis dibawah ini ada kaitannya dengan intro di atas. Jika tidak bulat, sipi-sipi. In Sha Allah.

Bila kita mendengar atau bercakap tentang ujian, apa benda first yang kita fikir? Tarbiah? Musibah? Nikmat? Atau apa? Bagi saya, saya memegang prinsip ujian itu tarbiah dari Allah. I know it sounds so cliché. Tapi yang benar akan sentiasa kedengaran cliché. Yeke? Entahlah. Tapi yang pasti ujian itu memang tarbiah dari Allah. Tapi ia bergantung juga dari sisi mana kita menanggapi ujian itu. Kalau baru diuji sekali dah terjun ke Lautan Antartika, maka tak ke mana la proses tarbiah tu.

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan “Kami telah beriman” dan mereka tidak diuji?”
Al Ankabut : 2

Saya kira yang sepatutnya paling terkesan dengan ayat ini tentulah para du’at, orang yang bercita-cita mengembalikan Islam ke tempat yang tertinggi. Ini kerana para du’at sepatutnya memandang ayat ini dengan perspektif dakwah yang pastinya cukup-cukup berbeza dengan pandangan orang biasa. Frasa “amanna” atau “telah beriman” itu difahami bukan sekadar solat lima waktu, puasa bulan ramadhan atau ibadah-ibadah lain. Bahkan frasa “amanna” itu juga merangkumi tugas khalifah, bererti menyampaikan risalah Allah ke seluruh pelosok bumi. Ataupun sekurang-kurangnya di lokaliti masing-masing. Dan Allah menyambung lagi di ayat yang seterusnya.

“Dan sungguh kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta”
Al Ankabut : 3

Ayat ini sekaligus membuktikan bahawasanya para du’at, orang-orang yang mengaku membawa risalah Allah ini pasti akan diuji. Tiada keraguan lagi. Tujuannya untuk menguji, siapa yang benar dan siapa yang dusta. Dalam erti yang lain, betulkah kita du’at yang sebenar-benarnya atau hanya berdakwah tika waktu senang? Bila tiba ujian dan kesusahan, kita tinggalkan medan-medan dakwah. Terus lari dari usrah. Muka tak nampak lagi di daurah.

Dan saya kira orang-orang yang paling banyak dan paling berat diuji adalah para du’at itu sendiri. Buktinya? Lihat sahaja sirah Rasulullah. Baginda pernah dicerca, dimaki dan dikeji. Pernah juga disakiti, didarahi bahkan ada percubaan untuk membunuh baginda. Lihat pula para mujahid. Ada yang mengakhiri hayat mereka di tali gantung. Ada yang ditangkap, dikurung dan diseksa. Kerana apa? Hanya kerana mereka mahu mengangkat tinggi kalimah Allah, membantai taghut dan jahiliah dengan sepenuh kekuatan yang ada pada mereka. Mungkin dalam kalangan para pembaca blog ini, saya meyakini kita sebenarnya berada dalam satu level yang sama. Jauh lagi untuk kita meletakkan diri kita setaraf dengan para Rasul dan para mujahid zaman berzaman. Mendengar ujian yang ditimpakan ke atas mereka sahaja kita sudah berasa terlalu extreme. Terasa lemah. Terasa tidak mampu.

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”
Al Baqarah : 286

Dengan level keimanan kita yang entah level ke berapa, saya kira memang sesuailah Allah uji kita dengan ujian seberat sayap nyamuk, ujian-ujian keduniaan. Bagi para du’at yang bergelar student, selalu diuji dengan keputusan exam yang tak memberangsangkan. Kadang-kadang boleh menjadi fitnah sehingga hilang qudwah di mata mad’u dan mutarabbi mereka. Bertambah kritikal, ibu bapa dan guru menyalahkan aktivitas-aktivitas dakwah seperti usrah dan daurah sebagai punca kemerosotan prestasi study. Maka dengan penuh kesakitan, kita tekan butang berhenti, bayar caj tambang dan keluar, lantas jadilah diri kita golongan yang tertapis.

Begitu juga dengan para du’at yang sudah bekerja. Ada yang diuji dengan kerenah majikan dan rakan sekerja yang seperti platypus di malam hari. Ada juga yang diuji dengan gaji yang tidak setimpal dengan beban kerja yang mereka tanggung, lantas menyebabkan gerak kerja dakwah terbantut. Bagi yang sudah berbaitul muslim, ada yang terfitnah dek perlakuan anak sendiri yang tidak menggambarkan ciri-ciri anak aktivis dakwah. Lantas ditohmah tidak pandai mendidik anak. Sedangkan iman itu sifatnya tidak dapat diwarisi.

Begitulah antara ujian-ujian yang popular di medan dakwah.

Dengan level ujian seperti ini yang ditimpakan ke atas kita, seolah-olah Allah ingin menyedarkan kita bahawa masih jauh lagi untuk kita mendabik dada selaku pembawa risalah agung-Nya, masih jauh lagi untuk kita berdiri sama tinggi dengan para Rasul yang pernah diutuskan-Nya.

Walaubagaimanapun ikhwah dan akhawat sekalian,

Hakikatnya dunia ini memang tempat kita diuji. Ujian yang berbeza-beza. Lepas satu, satu lagi akan menyusul. Dan akan ada yang menanti.

“Aku tidak bimbang apa-apa musibah yang terkena kepadaku kerana aku telah membina satu kaedah bahawa dunia sebagai tempat sedih, ujian dan kejahatan. Antara hukumnya ialah aku perlu berdepan dengan apa-apa yang aku benci. Kalupun datang kesenangan, ia merupakan kurniaan Allah S.W.T tetapi yang asalnya adalah yang pertama”

-Al-Junaid al-Baghdadi-

Kerana tujuan kita adalah syurga, untuk bertemu dengan Kekasih teragung, menatap wajah Kekasih yang tercinta, maka bersabarlah.

"Dan Allah membuat perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, isteri Firaun ketika dia berkata, "Ya Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu di syurga..."
At Tahrim : 11

Saturday, 13 July 2013

PERJUANGAN


Aku sampai pada keadaan ku yang sekarang adalah dengan perjuangan
Dan selama nafas ini masih terus berhembus, selama itu pula aku dan
semua manusia akan terus berjuang
Berjuang dan terus berjuang
Kehidupan di dunia adalah sebuah perjuangan tanpa henti
Sejak lahir hingga akhir hayat, semua dari kita berjuang
Tengok saja,       
Seorang bayi berjuang untuk mulai membiasakan diri dengan lingkungan asing
yang belum pernah dia kenal sebelumnya
Seorang ibu berjuang untuk mendidik anak-anaknya menjadi generasi yang tangguh
Seorang ayah berjuang mati-matian untuk menafkahi keluarganya
Seorang pelajar berjuang untuk meraih ilmu
Yang miskin berjuang untuk bisa mendapatkan kehidupan yang layak
Yang sedang jatuh cinta berjuang untuk menahan rindu
Yang baru bertudung berjuang untuk tidak tergoda dan membuka tudungnya
Suami isteri berjuang mengharungi bahtera rumahtangga
Yang terkena musibah atau yang ditinggal oleh orang yang dikasihi
Berjuang dengan sabar dan tabah mengharungi kehidupannya
Yang berselisih berjuang untuk berdamai
Dan setiap hamba Allah berjuang untuk kembali kepada Allah
serta memiliki tugas untuk memperjuangkan agama Allah
menyebarkan kebaikan dan kasih sayang kepada seluruh makhluk bumi

...............
Sedang merindukan seseorang. Tertunggu-tunggu kemunculannya di mukabuku, sejak hari pertama Ramadhan hingga saat ini. Hatiku kuat mengatakan dia sedang sibuk berpesta ibadah lalu meninggalkan sebentar laman mukabukunya. Moga Allah hantarkan kerinduan ini kepadanya.

Thursday, 11 July 2013

BUAT YANG TERSAYANG

Perutusan tulus ikhlas buat semua ikhwah yang disayangi. Juga secara senyap-senyap ditujukan buat hadek-hadek yang dicintai ikhlas kerana Allah. Dimanakah mereka? Biarlah rahsia. 


Selayaknya, bagi jiwa-jiwa yang menajamkan dirinya di jalan ini, menjadikan dakwah sebagai laku utama, dialah visi, dialah misi, dialah obsesi, dialah yang menggelayuti di setiap hela nafas, dialah yang akan mengantarkan jiwa-jiwa ini kepada ridho dan maghfirah Tuhannya kelak

Detik demi detik berlalu. Jarum jam terus bergerak tanpa henti. Pabila terhenti, diganti dengan batteri baru dan terus bergerak kembali. Bulatan sfera bumi juga terus berputar di atas orbit, seakan-akan mencintai titah Tuhannya. Matahari terus-menerus membakar diri, mengeluarkan radiasi cahaya dan haba yang memanaskan permukaan bumi, juga kerana titah perintah Tuhannya. Begitulah setiap dari diri kita. Tetaplah thabat atas jalan para anbiya’ ini, walau duri dan kerikil melukakan kaki, walau keringat dan darah tumpah, kerana ia adalah titah dan perintah dari Tuhan sekalian alam.

Heh. Awal-awal lagi dah mode sedih.

Sedar tak sedar, hampir setahun lebih kita bersama. Entah bagaimana kita yang dahulunya punya latar belakang yang cukup-cukup berbeza, daripada yang lahir dari generasi pemimpin yang hebat sehingga kepada anak-anak orang miskin di kampung, boleh disatukan dengan pemikiran yang sama, kepercayaan yang sama, kita tidur di atas karpet nipis yang sama, berjalan jauh menunggu bas yang sama, menaiki komuter yang sama. Segala-galanya sama.

Kita menyanyikan lagu nasyid yang sama, kadang-kadang bernyanyi beramai-ramai dalam perjalanan, bersama-sama berpimpinan tangan. Tiap kali hujung minggu, kita bersama-sama lesap dari kolej, meninggalkan berhala-berhala yang selalu memalingkan kita dari Tuhan, berpergian ke destinasi yang sama, mencari redha dan keampunan Tuhan. Dan kita bahagia dengan apa yang kita percaya itu. Meskipun ramai yang tidak menyenanginya, meski ada yang tak merestuinya.

Dan kita juga pernah sama-sama berjaga malam, bergilir-gilir waktu tidur. Pernah juga meeting hingga larut malam. Pada waktu orang lain sedang enak dibuai mimpi, malah ada yang hanyut dengan keseronokan dunia, kita bersama-sama berbicara tentang sesuatu yang tidak ada dalam buku-buku yang kita pelajari di kelas, sesuatu yang mengundang kepelikan bagi yang tidak pernah memahaminya.

Dan kini..

Sudah tiba masanya semua itu dilupakan. Selepas ini, kesemua dari kita akan bertebaran ke seluruh pelosok bumi menabur benih-benih dakwah di lapangan masing-masing. Entah mengapa sayu rasanya hati ini. Betapa sungguh, sahabat yang baik itu adalah sahabat yang mengingatkan kita kepada Allah. Dan sungguh, kalian semua sahabat terbaik yang pernah muncul dalam catatan hidupku.

Truth. It is hard to swallow. But the truth remains. Because it is a truth. Suatu hakikat yang perlu kita terima. Setiap pertemuan pasti akan disusuli dengan perpisahan. Kerana kita tidak hidup untuk diri kita. Kita hidup berbakti untuk ummah. Kita hidup berbakti kerana Allah.

Namun..

Aku mengharap, biarlah selamanya kita bersahabat, persis hari-hari semalam. Bersahabat selamanya hingga ke syurga sana. Hari ini, esok, lusa dan seterusnya. Mungkin setelah ini kita tak berpeluang untuk menatap mata ke mata seperti hari-hari yang lepas, tetapi biarlah hati-hati kita terhubung dengan doa. Doa yang indah seindah doa rabitah.

Ya Allah, sesungguhnya Engkau tahu
Bahawa hati-hati ini telah berpadu
Berhimpun dalam naungan cinta-Mu
Bertemu dalam ketaatan
Besatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Kuatkanlah ikatannya
Kekalkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya
Terangilah dengan cahayamu
Yang tiada pernah padam
Ya Rabbi, bimbinglah kami

Lapangkanlah dada kami dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal pada-Mu
Hidupkan dengan ma’rifat-Mu
Matikan dalam syahid di jalan-Mu
Engkaulah pelindung dan pembela

Dan aku berdoa agar kita bersama-sama termasuk dalam janji Tuhan. Agar janji-Nya benar. Justeru benar sekali.

“Dimanakah orang-orang yang berkasih-sayang kerana kemuliaan-Ku pada hari ini, Aku perlindungi mereka di bawah naungan-Ku pada hari yang tiada lagi naungan kecuali naungan-Ku”

(HR : Muslim)

ADA APA DENGAN CINTA?


“Sebenarnya..saya dah start suka kat abang sejak kita kat kolej lagi”

“Owh yeke..patutlah abang selalu perasan awak curi-curi tengok kat abang, kat library la, depan kelas la”

*Pentas digelapkan. Traffik lalu lintas blog ditutup serta merta. Perintah berkurung dikenakan kepada setiap pengunjung blog ini. Maaf atas sebarang kesulitan. Blog ini disyaki telah dihijack oleh agen-agen upahan diktator manakala penulis blog ini telah diculik dan dipenjarakan di tempat yang tidak diketahui. Menurut laporan perisik kerajaan, penulis blog ini dijangka akan dibunuh dengan kejam oleh agen-agen tersebut.

…………………………

Drama dah berakhir. Ya. Saya ulangi. Ayat-ayat di atas cuma drama semata-mata. Kelihatan seperti sedang dilanda bahana kefuturan. Eerrrkk. Astagfirullah.

…………………………

“Akhi, ana susah la nak lupakan dia, ana dah berusaha sedaya upaya ana, tak dapat juga”

“MashaAllah akhi, enta jangan macam tu akhi, hubungan enta dengan dia HARAM. Berdosa!”

“Enta cakap senang la akhi. Ana yang mengalaminya. Jiwa ana banyak terseksa la akhi”

“Allah, akhi..banyakkan baca Al Quran, in sha Allah hati enta tenteram”

“Ana dah try akhi. Tapi bayangan wajah dia menari-nari di atas huruf-huruf dalam Quran tu”

“Erk, awat teruk bebeno hang ni?”

……………………………

“Kanda..kanda..dinda ada hadiah untuk kanda”

“Eh..apa dia dinda?”

“Kanda tutuplah mata dulu. Baru surprise”

“Amboi dinda. Dah pandai main surprise2 sekarang. Ok. Kanda tutup mata”

“Taaarraaa..tengok ni kanda”

“Eh..kertas apa ni dinda?”

“Kertas hutang dinda. Kanda tolong bayarkan bulih? Teehee”

“Amboi dinda. Nak gurau-gurau control ayu pun agak-agak ler. Kanda ni spender pun mak belikan dinda”

……………………………

Cukup-cukuplah drama untuk hari ini. Lain hari kita bersketsa pulak ye? Muehehe

Cinta. Ada apa dengan cinta? Cewah. Saya memahami di usia-usia seperti kita ni memang topik cinta bagai ubi keledek panas berempah. Ececece..akak yang pakai tudung cokelat tu, tak payah nak geli-geleman sangat la ye. Oh ya. Untuk meneruskan pembacaan terhadap apa yang bakal saya kerepekkan di bawah, anda dinasihati untuk memasang music beralunan sentimental. Yang patriotik juga boleh dipertimbangkan.

Saya kira perasaan ingin mencintai dan dicintai ini merupakan fitrah setiap insan, tak kira sama ada budak usrah, budak gangster kaki lima, para penglipur lara mahupun orang-orang kebanyakan sama ada di pantai timur, pantai barat, pantai utara mahupun pantai selatan.

Namun begitulah. Acap kali manusia tertipu dengan cinta. Cinta yang dipuja bersifat sementara. Sedangkan cinta yang abadi hanya didepan mata.

Wahai akhi, wahai ukhti, wahai kanda, wahai dinda, cuba renungi maksud ayat dibawah ini,

“Love, when not established through Him, becomes an object of worship itself. And when you have competing objects of worship in your heart, it can only lead to much harm. Love outside of The Source”
-Omar Ead-

Justeru, apa mahu diharap lagi dengan cinta penuh sementara itu? Cinta yang menyakitkan itu? Sedangkan cinta sejati itu sifatnya menyembuhkan. Cewah. Macam dokter cinta gitu.

Bukan nak cakap harus seperti sami dan paderi. Harus menyiksa diri tidak berkahwin dan beribadat tanpa henti. Namun diri harus tahu soal prioriti. Di mana ranking Dia dan kekasih-Nya dalam hati? Di ranking pertamakah andai yang pertama diingati setelah bangkit dari tidur adalah kekasih sebilik darjah? Di ranking tertinggikah jika yang selalu terbayang dimata adalah akhawat yang dah dicop sejak hari pertama join usrah?

Ada seorang kekasih. Cintanya telah bersemi beribu tahun dahulu. Bahkan kekal hidup sehingga ke hari ini. Di mana hingga ke akhir hayatnya masih lagi mengingati umatnya. Di mana di hari pembalasan nanti dia akan berada di bawah arasy Allah S.W.T untuk terus memohon keampunan buat umatnya, bahkan dia akan berdiri di Telaga Kauthar, untuk memberi minum kepada umatnya yang kehausan. Dia juga yang berada di hujung titian sirat untuk berdoa kepada Allah agar memudahkan perjalanan umatnya. Dan dia juga yang berada ditepi pintu neraka untuk berdoa kepada Allah agar diampunkan umatnya dan tidak dimasukkan ke dalam neraka.

Di mana mahu dicari cinta seperti ini? Dan kalian masih mencari cinta yang lain?

Dan bukankah mencintai Rasulullah itu bererti mencintai Allah?

Wednesday, 10 July 2013

SEBELAH SAYAP : DUA DIMENSI


Video arahan dan lakonan Matluthfi ini tak pernah fail untuk mencipta satu sesi muhasabah diri sebentar dalam diri saya. Lakonan mantap dan padu, ditambah dengan teknik cinematography yang sumpah setail, diserikan lagi dengan kehenseman semulajadi matluthfi..err..video ni memang layak untuk dinobatkan sebagai video terbaik Anugerah Filem Pendek Terbaik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sekiranya ada.

Namun demikian, saya tidak berminat untuk menulis sebuah huraian ringkas yang menerangkumi setiap sisi daripada video ini kerana saya percaya, beribu-ribu pengusaha industri blog sama ada yang kecil-kecilan mahupun yang besar-besaran telahpun berbuat demikian. Salah seorang daripadanya adalah Inche Hilal Asyraf. Anda boleh baca huraian beliau di sini.

Cuma, saya tertarik dengan satu isu yang diketengahkan oleh Matluthfi iaitu ketagihan, addiction atau apa-apa sahaja yang sama waktu dengannya. Pada ketika anda sedang menikmati kesegaran semburan pewangi Uber Men, Indulge Power Advanced, Deodarant Body Spray, ada orang sedang ketagihan menikmati haruman dan keindahan molekul-molekul udara yang disusun cantik berselang-seli dengan molekul-molekul asap rokok. Di saat mata anda terpukau menyaksikan pukulan ombak yang menghempas bebatu di pinggiran pantai, ada mata yang ketagihan menyaksikan adegan-adegan yang boleh menaikkan level produksi hormone testosterone dan yang berkaitan dengannya.

Saya bersetuju dengan matluthfi pabila dia mengatakan bahawa masalah ketagihan ini tidak semata-mata berkaitan dengan spiritual, namun demikian saya cukup yakin dan percaya, spiritual yang kuat mampu membendung perkara ini, atau setidak-tidaknya menghalangnya dari merebak ke level yang lebih kritikal. Sebabnya perkara ini tidak lain dan tidak bukan berpunca dari nafsu yang tidak dapat terbendung. Nafsu makan, nafsu minum, nafsu seks dan berbagai-bagai lagi aneka nafsu yang wujud di pasaran gelap mahupun terang. Dan menarik untuk diperkatakan bahawa musuh ketat kepada nafsu adalah iman. Maka secara matematiknya dapat dirumuskan bahawa hubungan antara nafsu dan iman adalah inversely proportional. Maksudnya, jika iman menaik, akan melemahlah nafsu dan vice versa.

Dari Abu Muhammad Abdullah bin Amru bin Al-‘Ash RA, katanya : “Telah bersabda Rasulullah S.A.W : Tidak benar-benar beriman seseorang daripada kamu sehingga hawa nafsunya menuruti apa yang aku bawa. “ (Hadis ini hadis Hassan sahih yang kami riwayatkannya dari kitab Al Hujjah dengan sanad sahih)

Sebenarnya fenomena ketagihan ini sudahpun membarah dalam kalangan anak-anak muda kita pada hari ini. Bila sebut pasal anak-anak muda, dah tentulah saya dan anda yang sedang membaca tu yang dimaksudkan. Agak tersipu-sipu malu jugalah saya sekiranya ada pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang membaca blog marhaen ni. Mesti kena reject dan di blacklist dari senarai menantu pilihan. Haha.

Ok. Berbalik semula kepada perbincangan. Saya kira fenomena ketagihan ini merangkumi skop yang tersangat luas. Antara bentuk ketagihan yang menduduki ranking teratas adalah ketagihan merokok, ketagihan permainan video atau game, ketagihan menonton video lucah, ketagihan onani dan lebih teruk lagi ketagihan seks. Kesemua bentuk ketagihan ini sekiranya tidak dirawat dengan segera, ia akan menular dan merebak menjadi lebih parah dan kritikal.

Sebenarnya saya juga pernah terjebak dalam penyakit ketagihan ini.

Teng teng teng teng.

Saspen tak?

Sebenarnya saya pernah ketagih Facebook. Haha. Rasa macam nak masukkan kepala dalam lubang tandas tak? Ya saya serius. Saya pernah tak keruan hidup kalau tak tengok facebook. Tapi saya kira agak menyeksa diri andai saya terus menyekat diri saya dari dunia facebook. Maka saya pun mencipta pelbagai alternatif lain untuk mengekang penyakit ini. Antaranya saya berteman tapi mesra dengan dunia blog dan saya juga membuka laman peminat saya di mukabuku, cewah, iaitu Encik Musab. Sekurang-kurangnya masa di mukabuku saya terisi dengan amal-amal dakwi dan agak berfaedah juga nak dibandingkan dengan meng”refresh” newsfeed macam takde tujuan hidup kan? Kof3

Jadi itulah antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk merawat penyakit ketagihan ini. Point utamanya adalah mencari sesuatu yang lain untuk menggantikan aktiviti ketagihan itu. Gantikan, gantikan dan gantikan dengan yang lain. Yang ketagih menghisap rokok mungkin boleh digantikan dengan menghisap lollipop. Yang ketagihan onani mungkin boleh digantikan dengan aktif bersukan. Yang ketagihan permainan video mungkin boleh digantikan dengan membaca buku. Yes. It is easier said than done. Tapi sekurang-kurangnya kita mencuba kan?

Dan saya kira cukup cantik tulisan ini ditulis ketika bulan ramadhan. Gunakanlah bulan tarbiah ini untuk mencuba sehabis baik membebaskan diri kita dari penjajahan dan penaklukan sebarang aktiviti yang telah menjerumuskan diri kita ke lembah ketagihan. Gunakan momentum iman dan amal yang telah dibina untuk mengalahkan hawa nafsu kerana nafsulah yang telah memimpin kita hingga terjatuh ke lubang ketagihan itu.


Ada satu ketagihan yang baik. Nak tahu apa?

Ketagih berdakwah. Walaweh!

Tuesday, 9 July 2013

DALAM DEKAPAN RAMADHAN

Hidupkan malam-malam Ramadhan
Malam ini sungguh luar biasa. Suasana terasa begitu indah. Bintang-bintang berkelipan penuh cemerlang. Unggas-unggas malam mula pulang ke kampung untuk menyambut ramadhan bersama keluarga masing-masing. Begitu juga dengan berudu-berudu di parit, nyamuk-nyamuk di celah-celah pokok getah, semuanya bergembira meraikan kehadiran ramadhan. Jika diikutkan hati, mahu sahaja saya memanjangkan lagi intro ini, untuk menggambarkan keindahan malam pertama ramadhan ini. Namun, cukuplah dulu sampai sini.

Saya kira pada malam yang cukup indah ini, adalah teramat rugi andai saya tidak mengambil ruh dan kesyahduan malam ini untuk menghadirkan sebuah tulisan yang boleh menjadi tatapan untuk hari-hari yang mendatang. Sekurang-kurangnya untuk diri saya sendiri. Sekurang-kurangnya untuk membakar semula hati yang baranya kian hari kian suram. Aiceh, sastera gitu.

Malam ini malam pertama buat ramadhan. Malam yang dibuka indah dengan solat isya’ dan tarawikh berjemaah di masjid. Ditakdirkan Allah, saya berpeluang untuk solat tarawikh berjemaah di salah sebuah masjid di Bandar Maharani ini. Sesampai di masjid, terasa malu dengan diri sendiri bila melihat atuk-atuk, pakcik-pakcik, abang-abang, bahkan adik-adik berpakaian indah ke masjid. Ada yang berpakaian jubbah ala-ala Ulama’ Al Azhar, ada yang berbaju melayu dengan kain pelikat, ada yang berbaju melayu full. Saya pula boleh dikatakan agak sempoi dan setail dengan baju t-shirt palestin dan seluar tracksuit. Ah, takpe la. Yang penting sah dan bersih untuk solat kan.

Selesai sahaja bilal melaungkan iqamah, saya pantas menyelusup masuk di celah-celah Jemaah yang ada. Akhirnya berhasil juga saya untuk mendapatkan tempat yang agak strategik, hanya seorang pakcik yang memisahkan saya dari bilal yang duduk di belakang imam. Sewaktu saya berdiri di atas saff, ruang untuk imam itu masih lagi kosong. Niat di hati, ingin sekali ke situ dan menjadi imam dengan penuh setail dan bergaya sekali. Tapi, takpe lah. Mungkin lain kali.

Ramadhan.

Apa ada pada Ramadhan? Nak flashback semula kehidupan saya sebelum ini, saya sendiri kurang pasti pada ramadhan yang manakah saya benar-benar menghayati ibadah puasa sebagai seorang da’ie. Selalunya pada awal ramadhan, semangat yang ada membuak-buak mengalahkan membuak-buaknya kari yang direbus, namun pada akhirnya hanyut juga. Hanyut dengan juadah berbuka yang menggiurkan. Pada fasa-fasa akhir ramadhan, hanyut dengan keghairahan menyambut hari raya. Begitulah yang berlaku.

Namun apalah yang boleh dikenang dari hari-hari yang lepas.

Syukur. Itulah yang sepatutnya kita ungkapkan tatkala Allah sampaikan lagi kita ke ramadhan tahun ini. Bukan kebetulan. Bukan saja-saja. Ada sesuatu yang Allah nak kita cari dalam ramadhan kali ini. Siapa tahu, ramadhan kali ini menemukan kita dengan hidayah Allah yang mengetuk pintu hati. Siapa tahu ramadhan kali ini menemukan kita dengan hikmah atas ujian yang pernah Allah timpakan atas kita suatu ketika dulu. Siapa tahu ramadhan kali ini menjadi turning point untuk kita lebih menghayati Islam, lebih mencintai Allah dan Rasul melebihi segalanya. Siapa tahu?

“Ada dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa, kegembiraan saat berbuka dan kegembiraan tatkala bertemu dengan Allah”

HR : Bukhari dan Muslim

“Barangsiapa yang berpuasa kerana keimanan dan semata-mata mengharap pahala, niscaya diampuni dosanya yang telah lalu”

HR : Bukhari dan Muslim

Ramadhan. Ia bukan sekadar bulan. Bahkan ia adalah moment yang sangat special yang tidak seharusnya dipersiakan begitu sahaja. Siapa boleh menjamin kita akan bertemu ramadhan tahun hadapan? Siapa boleh menjamin kita sempat menghabisi ramadhan kali ini. Allahu Allah.

Begitulah dan begitulah.

Kata dan nasihat semudah dilontar. Yang bermujahadah adalah hati sendiri. Tak mahu tewas lagi? Tak mahu kalah lagi? Tak mahu ramadhan kali ini tanpa makna? Tak mahu ramadhan berlalu begitu sahaja? Maka bermujahadahlah.

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh Allah beserta orang-orang yang berbuat baik”

(29 : 69)

Pada saat kelekatu-kelakatu hitam sedang girang bermain di bawah sinaran lampu pendarflour yang setia menjalankan tujuan hidupnya, tulisan ini sudahpun tamat. Moga Allah mengiranya sebagai antara amal-amal saya. Moga ramadhan kali ini menjadi ramadhan yang paling manis dalam catatan hidup seorang abid dan khalifah seperti kita. Saya, anda dan mereka. 

Monday, 8 July 2013

TRAVELOG JALAN CINTA PARA PEJUANG III


Ramai orang yang tersalah sangka maksud kebahagiaan yang sebenar. Ada orang menyangka dengan memperoleh kekayaan itulah yang paling membahagiakan, tetapi lihatlah, betapa ramai orang kaya yang tidak tenang hidupnya, bahkan orang yang miskin lebih lena tidur mereka, bahagia di samping keluarga tercinta.

Ramai orang menyangka, apabila telah kehilangan sesuatu, seolah mereka kehilangan segalanya, tetapi cuba ingat semula suatu ketika dahulu waktu kita diuji, dan kita menyangka tiada jalan keluar dari masalah itu, dan sekarang kita masih lagi hidup, menikmati setiap kurniaan Tuhan.

Benarlah kata orang, kita boleh beli tilam yang empuk, tetapi kita tak boleh beli tidur yang lena, kita boleh beli makanan yang enak-enak, tetapi kita tak boleh beli nikmatnya kekenyangan. Banyak lagi contoh yang boleh diberi, tetapi hanya satu pengajarannya, semua yang ada milik Allah. Lihatlah bagaimana Allah membahagi-bahagikan nikmatnya.

Intro yang tak pernah fail untuk buat saya berhenti sejenak. Redefine maksud kebahagiaan sebenar. Merenung sejenak jauh ke hadapan. Bahagiakah diri ini?

Allah takkan menguji kamu melainkan sesuai dengan kesanggupanmu. (Al Quran)

Well, to be honest, sometimes we are strong enough to face the hardships and troubles, but not people around us. People will have lots of expectations on us and we can't help that.

Maka jangan hanya meminta kesabaran untuk dirimu, tetapi juga kesabaran kepada orang lain atas ujian untukmu. Sebab Kadang-kadang kita dah boleh terima sesuatu dan bersabar dengannya tapi tidak orang lain, terutamanya orang yang terdekat dengan kita.

Ayat di atas ialah status seorang sahabat yang saya kopipes bulat-bulat ke dalam post ini. Bila baca status ini, saya sendiri tidak boleh deskeraip apa yang saya rasa. Entahlah. Hati sudah mula tekad, redha Allah itulah yang paling utama. Namun tubuh yang tidak bersenjata acap kali diserang dari pelbagai arah. Pada saat rongga di hati mula terbuka, syaitan dan bala tenteranya mengerah kudrat dan tenaga, membisikkan perihal dunia, menambah wahan dalam hati. Dan kadang-kadang saya tewas juga.

Well, to be honest, sometimes we are strong enough to face the hardships and troubles, but not people around us.

Ibu dan ayah, kalaulah kalian berdua boleh membaca tulisan ini. Kalaulah kalian boleh membaca apa yang ada dalam hati ini.

People will have lots of expectations on us and we can’t help that.

Perjalanan anakmu kini sudah berbeza. Dan anakmu kini bukan lagi anak yang kau kenal dulu. Anakmu kini tidak lagi mengejar anugerah-anugerah sementara yang menjadi tatapan buat figura-figura di luar sana. Jalan yang anakmu pilih ini bukanlah jalan yang dihiasi bunga-bunga mawar dan pewangi-pewangi harum. Bahkan anakmu kini sudah menjangka beribu mehnah lagi bakal menanti setelah dia memilih untuk berada di atas jalan yang yang dagang ini.

Segalanya sudah berbeza

Namun bagaimana anakmu mampu mengawal kemudi bahtera untuk terus belayar mengejar sesuatu yang telah dijanjikan pemilik kita semua, andai masih lagi dihambat keinginan dan keterujaan mereka yang mahu anakmu ini mengejar pencapaian-pencapaian sementara itu. Harus bagaimana diluahkan hasrat hati ini untuk kalian mengerti. Dan saya kini dilemma. Saya butuh sokongan kalian. Tetapi bukan sekadar pada urusan-urusan duniawi ini.

Dan seperti biasa, ayat Al Quran dan sirah Rasul menjadi pelembut rasa

“Dan bersabarlah engkau bersama orang-orang yang menyeru Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata…

Al Kahfi : 28

“Dan janganlah kamu berasa lemah dan jangan pula bersedih hati sebab kamu paling tinggi darjatnya jika kamu orang beriman”

Ali Imran : 139

Ketika Rasulullah berdakwah di Thaif, lihatlah bagaimana hebat Rasulullah diuji, dakwah ditolak mentah-mentah, bahkan baginda dicemuh dan dikasari tanpa belas kasihan. Kaki baginda pecah-pecah dan kasut baginda dipenuhi darah. Hingga malaikat mendatangi baginda meminta izin ingin menghempap penduduk Thaif dengan bukit. Namun baginda menolak bahkan berdoa agar dari tulang sulbi penduduk-penduduk Thaif itu akan lahir generasi-generasi yang taat pada Allah dan Rasul.

Subhanallah, kekasih Allah diperlaku sebegitu rupa dan dia mampu bersabar. Dan aku mengeluh disebabkan ujian seberat sayap nyamuk ini? Sungguh, surga itu masih jauh. Terlalu jauh.

Lihat pula kisah Musa, tidak perlu diceritakan ujian yang ditimpakan keatas baginda, tetapi lihatlah apa kata Rasulullah saat Rasulullah diuji,

“Semoga Allah menyayangi saudaraku Musa, sungguh dia dicubai lebih menyakitkan dari ini”

Wahai ibu dan ayah, anakmu ini mungkin mengecewakanmu dari satu sisi yang lain, tapi di sisi yang lebih besar, anakmu ini sedang mempersiapkan diri untuk menjadi pembelamu di mahsyar nanti.