![]() |
Ridha Allah tak
terletak pada sulit atau mudahnya
Berat atau
ringannya, bahagia atau deritanya
Senyum atau
lukanya, tawa atau tangisnya
Ridha Allah
terletak pada
Apakah kita
mentaati-Nya dalam menghadapi semua itu
Apakah kita
berjalan dengan menjaga perintah dan larang-Nya
Dalam semua
keadaan dan ikhtiar yang kita lakukan
Maka selama di
situ engkau berjalan
Bersemangatlah
kawan!
-Salim A Fillah-
Beberapa hari
yang lalu, saya mendengar video ceramah Dr. MAZA. Keindahan bayu pagi yang nyaman
diselang-seli dengan bunyi motosikal dan kereta yang lalu lalang menyebabkan
saya jatuh cinta dengan tokoh agama ini. Antara isi ceramah beliau yang masih saya
ingati ialah stigma masyarakat kita pada hari ini yang menganggap amalan pergi haji ke Mekah adalah untuk mencari Tuhan. Saya kira jikalau benar Tuhan itu
hanya boleh ditemui di Mekah, maka kasihanlah sama orang-orang fakir dan miskin
yang tidak berpeluang langsung untuk ke Mekah. Dan kesan daripada stigma ini
adalah ada dalam kalangan masyarakat kita yang ketagih untuk ke Mekah. Baginya
hanya Mekah sahaja yang boleh memberinya ketenangan. Sudahnya. Seolah-olah
Mekah pula yang disembah. Sedangkan amalan haji itu dikerjakan kerana ianya
jalan untuk mendapatkan keberkatan dan sebagai salah satu ibadah. Walhal, untuk
mencari Tuhan, tidak perlu pun jauh merantau hingga ke Mekah.
Sebab apa? Sebab
Allah S.W.T itu lebih dekat dengan kita dari urat leher kita. Malah di saat
kita menadah tangan dan menyebut “Ya Rabb..”, hati kita sudahpun terhubung
dengan Allah. Saidina Ali pernah ditanya jauh mana langit dan bumi? Beliau
menjawab, sedekat doa yang mustajab. Hanya kalimah “subhanallah..” mampu saya
tuturkan tatkala mendengar jawapan dari Saidina Ali ini. Begitu dekat Allah dengan
kita, namun kita yang selalu memilih untuk menjauh. Maka, jom kita insaf secara
berjemaah. Meriah gitu. Lagi-lagi bulan ramadhan ni kan?
The longest
intro so far -_-
Namun saya yakin apa yang bakal saya tulis dibawah ini ada kaitannya dengan intro di atas. Jika tidak bulat, sipi-sipi. In Sha Allah.
Bila kita
mendengar atau bercakap tentang ujian, apa benda first yang kita fikir?
Tarbiah? Musibah? Nikmat? Atau apa? Bagi saya, saya memegang prinsip ujian itu
tarbiah dari Allah. I know it sounds so cliché. Tapi yang benar akan sentiasa
kedengaran cliché. Yeke? Entahlah. Tapi yang pasti ujian itu memang tarbiah
dari Allah. Tapi ia bergantung juga dari sisi mana kita menanggapi ujian itu.
Kalau baru diuji sekali dah terjun ke Lautan Antartika, maka tak ke mana la
proses tarbiah tu.
Apakah manusia
mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan “Kami telah
beriman” dan mereka tidak diuji?”
Al Ankabut : 2
Saya kira yang sepatutnya
paling terkesan dengan ayat ini tentulah para du’at, orang yang bercita-cita
mengembalikan Islam ke tempat yang tertinggi. Ini kerana para du’at sepatutnya
memandang ayat ini dengan perspektif dakwah yang pastinya cukup-cukup berbeza
dengan pandangan orang biasa. Frasa “amanna” atau “telah beriman” itu difahami bukan
sekadar solat lima waktu, puasa bulan ramadhan atau ibadah-ibadah lain. Bahkan
frasa “amanna” itu juga merangkumi tugas khalifah, bererti menyampaikan risalah
Allah ke seluruh pelosok bumi. Ataupun sekurang-kurangnya di lokaliti
masing-masing. Dan Allah menyambung lagi di ayat yang seterusnya.
“Dan sungguh
kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui
orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta”
Al Ankabut : 3
Ayat ini
sekaligus membuktikan bahawasanya para du’at, orang-orang yang mengaku membawa
risalah Allah ini pasti akan diuji. Tiada keraguan lagi. Tujuannya untuk
menguji, siapa yang benar dan siapa yang dusta. Dalam erti yang lain, betulkah
kita du’at yang sebenar-benarnya atau hanya berdakwah tika waktu senang? Bila
tiba ujian dan kesusahan, kita tinggalkan medan-medan dakwah. Terus lari dari
usrah. Muka tak nampak lagi di daurah.
Dan saya kira
orang-orang yang paling banyak dan paling berat diuji adalah para du’at itu
sendiri. Buktinya? Lihat sahaja sirah Rasulullah. Baginda pernah dicerca,
dimaki dan dikeji. Pernah juga disakiti, didarahi bahkan ada percubaan untuk
membunuh baginda. Lihat pula para mujahid. Ada yang mengakhiri hayat mereka di
tali gantung. Ada yang ditangkap, dikurung dan diseksa. Kerana apa? Hanya
kerana mereka mahu mengangkat tinggi kalimah Allah, membantai taghut dan jahiliah
dengan sepenuh kekuatan yang ada pada mereka. Mungkin dalam kalangan para
pembaca blog ini, saya meyakini kita sebenarnya berada dalam satu level yang
sama. Jauh lagi untuk kita meletakkan diri kita setaraf dengan para Rasul dan
para mujahid zaman berzaman. Mendengar ujian yang ditimpakan ke atas mereka
sahaja kita sudah berasa terlalu extreme. Terasa lemah. Terasa tidak mampu.
“Allah tidak
membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”
Al Baqarah : 286
Dengan level
keimanan kita yang entah level ke berapa, saya kira memang sesuailah Allah uji
kita dengan ujian seberat sayap nyamuk, ujian-ujian keduniaan. Bagi para du’at
yang bergelar student, selalu diuji dengan keputusan exam yang tak
memberangsangkan. Kadang-kadang boleh menjadi fitnah sehingga hilang qudwah di
mata mad’u dan mutarabbi mereka. Bertambah kritikal, ibu bapa dan guru
menyalahkan aktivitas-aktivitas dakwah seperti usrah dan daurah sebagai punca
kemerosotan prestasi study. Maka dengan penuh kesakitan, kita tekan butang
berhenti, bayar caj tambang dan keluar, lantas jadilah diri kita golongan yang
tertapis.
Begitu juga
dengan para du’at yang sudah bekerja. Ada yang diuji dengan kerenah majikan dan
rakan sekerja yang seperti platypus di malam hari. Ada juga yang diuji dengan
gaji yang tidak setimpal dengan beban kerja yang mereka tanggung, lantas
menyebabkan gerak kerja dakwah terbantut. Bagi yang sudah berbaitul muslim, ada
yang terfitnah dek perlakuan anak sendiri yang tidak menggambarkan ciri-ciri
anak aktivis dakwah. Lantas ditohmah tidak pandai mendidik anak. Sedangkan iman
itu sifatnya tidak dapat diwarisi.
Begitulah antara
ujian-ujian yang popular di medan dakwah.
Dengan level
ujian seperti ini yang ditimpakan ke atas kita, seolah-olah Allah ingin
menyedarkan kita bahawa masih jauh lagi untuk kita mendabik dada selaku pembawa
risalah agung-Nya, masih jauh lagi untuk kita berdiri sama tinggi dengan para
Rasul yang pernah diutuskan-Nya.
Walaubagaimanapun
ikhwah dan akhawat sekalian,
Hakikatnya dunia
ini memang tempat kita diuji. Ujian yang berbeza-beza. Lepas satu, satu lagi
akan menyusul. Dan akan ada yang menanti.
“Aku tidak
bimbang apa-apa musibah yang terkena kepadaku kerana aku telah membina satu
kaedah bahawa dunia sebagai tempat sedih, ujian dan kejahatan. Antara hukumnya
ialah aku perlu berdepan dengan apa-apa yang aku benci. Kalupun datang
kesenangan, ia merupakan kurniaan Allah S.W.T tetapi yang asalnya adalah yang
pertama”
-Al-Junaid
al-Baghdadi-
Kerana tujuan
kita adalah syurga, untuk bertemu dengan Kekasih teragung, menatap wajah Kekasih
yang tercinta, maka bersabarlah.
"Dan Allah membuat perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, isteri Firaun ketika dia berkata, "Ya Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu di syurga..."
At Tahrim : 11

No comments:
Post a Comment