![]() |
| Hidupkan malam-malam Ramadhan |
Malam ini
sungguh luar biasa. Suasana terasa begitu indah. Bintang-bintang berkelipan
penuh cemerlang. Unggas-unggas malam mula pulang ke kampung untuk menyambut
ramadhan bersama keluarga masing-masing. Begitu juga dengan berudu-berudu di
parit, nyamuk-nyamuk di celah-celah pokok getah, semuanya bergembira meraikan
kehadiran ramadhan. Jika diikutkan hati, mahu sahaja saya memanjangkan lagi
intro ini, untuk menggambarkan keindahan malam pertama ramadhan ini. Namun,
cukuplah dulu sampai sini.
Saya kira pada
malam yang cukup indah ini, adalah teramat rugi andai saya tidak mengambil ruh
dan kesyahduan malam ini untuk menghadirkan sebuah tulisan yang boleh menjadi
tatapan untuk hari-hari yang mendatang. Sekurang-kurangnya untuk diri saya
sendiri. Sekurang-kurangnya untuk membakar semula hati yang baranya kian hari
kian suram. Aiceh, sastera gitu.
Malam ini malam
pertama buat ramadhan. Malam yang dibuka indah dengan solat isya’ dan tarawikh
berjemaah di masjid. Ditakdirkan Allah, saya berpeluang untuk solat tarawikh
berjemaah di salah sebuah masjid di Bandar Maharani ini. Sesampai di masjid, terasa
malu dengan diri sendiri bila melihat atuk-atuk, pakcik-pakcik, abang-abang,
bahkan adik-adik berpakaian indah ke masjid. Ada yang berpakaian jubbah ala-ala
Ulama’ Al Azhar, ada yang berbaju melayu dengan kain pelikat, ada yang berbaju
melayu full. Saya pula boleh dikatakan agak sempoi dan setail dengan baju
t-shirt palestin dan seluar tracksuit. Ah, takpe la. Yang penting sah dan
bersih untuk solat kan.
Selesai sahaja
bilal melaungkan iqamah, saya pantas menyelusup masuk di celah-celah Jemaah yang
ada. Akhirnya berhasil juga saya untuk mendapatkan tempat yang agak strategik,
hanya seorang pakcik yang memisahkan saya dari bilal yang duduk di belakang
imam. Sewaktu saya berdiri di atas saff, ruang untuk imam itu masih lagi kosong.
Niat di hati, ingin sekali ke situ dan menjadi imam dengan penuh setail dan
bergaya sekali. Tapi, takpe lah. Mungkin lain kali.
Ramadhan.
Apa ada pada
Ramadhan? Nak flashback semula kehidupan saya sebelum ini, saya sendiri kurang
pasti pada ramadhan yang manakah saya benar-benar menghayati ibadah puasa
sebagai seorang da’ie. Selalunya pada awal ramadhan, semangat yang ada
membuak-buak mengalahkan membuak-buaknya kari yang direbus, namun pada akhirnya
hanyut juga. Hanyut dengan juadah berbuka yang menggiurkan. Pada fasa-fasa
akhir ramadhan, hanyut dengan keghairahan menyambut hari raya. Begitulah yang
berlaku.
Namun apalah
yang boleh dikenang dari hari-hari yang lepas.
Syukur. Itulah
yang sepatutnya kita ungkapkan tatkala Allah sampaikan lagi kita ke ramadhan
tahun ini. Bukan kebetulan. Bukan saja-saja. Ada sesuatu yang Allah nak kita
cari dalam ramadhan kali ini. Siapa tahu, ramadhan kali ini menemukan kita
dengan hidayah Allah yang mengetuk pintu hati. Siapa tahu ramadhan kali ini
menemukan kita dengan hikmah atas ujian yang pernah Allah timpakan atas kita
suatu ketika dulu. Siapa tahu ramadhan kali ini menjadi turning point untuk
kita lebih menghayati Islam, lebih mencintai Allah dan Rasul melebihi
segalanya. Siapa tahu?
“Ada dua
kegembiraan bagi orang yang berpuasa, kegembiraan saat berbuka dan kegembiraan
tatkala bertemu dengan Allah”
HR : Bukhari dan
Muslim
“Barangsiapa
yang berpuasa kerana keimanan dan semata-mata mengharap pahala, niscaya
diampuni dosanya yang telah lalu”
HR : Bukhari dan
Muslim
Ramadhan. Ia
bukan sekadar bulan. Bahkan ia adalah moment yang sangat special yang tidak
seharusnya dipersiakan begitu sahaja. Siapa boleh menjamin kita akan bertemu
ramadhan tahun hadapan? Siapa boleh menjamin kita sempat menghabisi ramadhan
kali ini. Allahu Allah.
Begitulah dan
begitulah.
Kata dan nasihat
semudah dilontar. Yang bermujahadah adalah hati sendiri. Tak mahu tewas lagi?
Tak mahu kalah lagi? Tak mahu ramadhan kali ini tanpa makna? Tak mahu ramadhan
berlalu begitu sahaja? Maka bermujahadahlah.
“Dan orang-orang
yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka
jalan-jalan Kami. Dan sungguh Allah beserta orang-orang yang berbuat baik”
(29 : 69)
Pada saat kelekatu-kelakatu
hitam sedang girang bermain di bawah sinaran lampu pendarflour yang setia
menjalankan tujuan hidupnya, tulisan ini sudahpun tamat. Moga Allah mengiranya
sebagai antara amal-amal saya. Moga ramadhan kali ini menjadi ramadhan yang
paling manis dalam catatan hidup seorang abid dan khalifah seperti kita. Saya,
anda dan mereka.

No comments:
Post a Comment