Dua puluh tahun…
Hari ini aku
menjangkau usia dua puluh tahun. Dua dekad kehidupan ini telah diselusuri.
Terima kasih Tuhan atas segala jutaan nikmat yang aku sendiri terkadang lupa
untuk mensyukurinya. Bukan terkadang bahkan selalu. Lalu Engkau turunkan ujian
seberkas kapas, peringatan buat aku yang sering terlupa.
Dan sepanjang
dua puluh tahun ini, aku masih tetap aku..
Langkahan kaki
masih belum teguh. Tunas masih belum tumbuh. Akar masih tidak kukuh. Terlampau
jauh untuk dibandingkan dengan pemuda hebat yang pernah bernafas di atas bumi
ini. Bahkan tak terjangkau dek panahan mata.
Jika Al Fateh berjaya
membuka Kota Constantinople pada usia dua puluhan..
Jika Hassan Al Banna mengasaskan Ikhwanul Muslimin pada usia dua puluh tiga tahun…
Jika Usamah bin
Zaid dilantik menjadi panglima perang ketika berusia belasan tahun..
Jika Mus’ab bin
Umair menjadi duta Islam di Madinah pada usia dua puluhan..
Aku pula di usia
dua puluh tahun..
Hanyalah seorang abid yang curang dan khalifah yang berdosa.
Masih lagi
mengengsot di atas jalan cinta para pejuang di saat yang lain sudah mula
berlari.
Masih lagi berperang
dengan perasaan sendiri tatkala yang lain sudah menemukan identiti diri.
Malu. Sungguh
malu. Berangan mahu mendirikan khalifah. Bercita-cita menjadi murabbi sejati.
Tetapi diri sendiri gagal ditakluki. Baru dihembus ujian sepoi-sepoi bahasa,
sudah terumbang-ambing. Baru dicubit seinci cuma, sudah terjelupuk jatuh.
Pahit ditelan.
Namun itulah hakikatnya. Bukan salah siapa-siapa. Salah diri sendiri.
Aku takut. Takut
andai ruh dipanggil pulang pada saat tiada amal yang boleh dipersembahkan. Jika
adapun hanya seciput cuma. Itupun hangus terbakar dek riya’ ujub dan sum’ah. Lalu
apakah mahar yang mampu ku bayar untuk membeli syurga nan mahal?
Namun ada falsafah
yang aku junjung dalam hidup..
Hidup ini suatu
kembara, bukan destinasi. Ramai orang menyangka apabila mereka telah sampai ke
satu titik kesempurnaan dalam hidup, itulah destinasi mereka. Sebenarnya tidak.
Kita tidak akan pernah menemukan destinasi dalam hidup ini. Kerana hidup ini sebuah
perjalanan. Perjalanan kita menuju ke satu destinasi yang abadi di sana. Cuma
dalam perjalanan itu, ramai yang tersesat, ramai yang tersalah jalan.
Aku berharap aku
bukan dalam kalangan mereka yang tersalah jalan. Apatah lagi dalam kalangan
mereka yang tersesat. Sepertimana harapan aku dalam tujuh belas kali doa yang
aku panjatkan dalam solat yang lima kali itu.
“Tunjukilah aku
jalan yang lurus…”
Juga yang
menjadi harapanku..
Moga sisa hidup
yang mendatang akan terisi dengan amalan..
Moga sejarah
hitam di hari-hari yang semalam dapat terus dilupakan..
Kerana impian
semalam adalah kenyataan hari ini. Impian hari ini adalah kenyataan hari esok.
Kepada kalian,
aku pohon untuk titipkan doa buat langkahku seterusnya. Sehingga khusnul
khatimah. Sehingga aku benar-benar menemui Dia dalam keadan redha dan
diredhai-Nya.
Encik Musab
13/12/13

No comments:
Post a Comment