Antara salah
satu nikmat hidup, dapat menikmati buah durian yang manis lagi lazattt..
Di rumah saya
ada dua biji durian. Kedua-duanya sudah merekah dan menanti masa untuk
dipelahap ke dalam perut. Akan tetapi kedua-dua biji durian ini mempunyai satu
karakter yang berbeza. Sebiji merupakan durian yang besar gedabak, dan sebiji
lagi hanyalah durian kecil lagi marhaen.
Dan ini
menimbulkan pertikaian antara saya dan adik lelaki saya. Pertikaian ini
berkisar kepada soal durian mana yang patut kami pelahap dulu. Bagi anda yang
merupakan penggemar durian, sudah tentu anda sedia maklum bahawasanya durian
yang sudah merekah ini terdedah kepada serangan semut, lalat dan beraneka macam
serangga lagi, selain berkemungkinan untuk membusuk dengan cepat. Maka hal
inilah yang menyebabkan pertikaian itu berlaku.
Saya berpendapat
adalah harus untuk kami mengerjakan durian yang besar gedabak itu terlebih
dahulu. Kerana pada saya, durian kecil lagi marhaen itu apalah sangat nilainya.
Kalau ia membusuk pun, tak lah sampai menjejaskan
ekonomi keluarga kami. So kira di sini, saya lebih mendahulukan kemaslahatan
durian yang lebih besar.
Akan tetapi adik
lelaki saya berpendirian sebaliknya.
Beliau berhujah
bahawasanya adalah wajar untuk durian kecil lagi marhaen itu dipelahap terlebih
dahulu. Pendapat beliau ini berasaskan beberapa faktor. Yang pertama ketika itu
kami baru sahaja makan tengahari. Jika kami mempelahap durian besar gedabak itu
dahulu, ada kemungkinan untuk kami give up kerana tidak mampu untuk
menghabiskan keseluruhan durian itu dek kebesaran dan kegedabakannya. Selain
itu, tiada siapa di rumah kami ketika itu yang boleh menolong kami untuk melicinkan
isi durian itu.
Di sini, kalian
dapat menyaksikan keputusan yang di ambil oleh saya dan adik lelaki saya
berbeza. Kerana NERACA PERTIMBANGAN kami juga berbeza. Pendirian akhir kami
berkenaan isu durian itu berbeza kerana jalan fikir kami sejak awal lagi telah berbeza.
Ehemm.
Alhamdulillah, saya
masih lagi belum ketandusan idea untuk terus menghidupkan blog ini sampai
terpaksa bercerita tentang durian. Haha. Sebenarnya saya melihat peristiwa
pertikaian antara saya dan adik lelaki saya ini begitu sinonim sekali dengan
apa yang berlaku di dunia Islam umumnya dan Malaysia khasnya sejak akhir-akhir ini.
Bagi kalian yang
tekun mengikuti perkembangan negara Malaysia yang aman damai lagi harmoni ini,
sudah tentu kalian sedia maklum dengan kewujudan pebagai aliran pemikiran yang
berbeza yang menghiasi atmosfera negara ini. Begitu juga dengan kemunculan
pelbagai…*uhuk…je..je..maa..ma..ah yang ada di Malaysia hari ini. Jemaah. Ye.
Jemaah. Saya salah sebut ke? Haha.
Sebenarnya penting
untuk difahami, asas kepada kepelbagaian jemaah ini adalah kerana berbezanya
jalan fikir dan corak pemikiran masing-masing walaupun secara umumnya, kesemua
jemaah ini mempunyai matlamat yang sama, iaitu Islam. Kalau dah sama cara
fikir, buang masa jela nak berbilang-bilang jemaah ni. Bukan setakat buang
masa, bahkan buang tenaga, buang duit dan buang segala-galanya.
Namun di
platform ini, saya tidak berminat untuk mengulas satu-satu jemaah yang ada.
Kerana konfem tanpa ragu-ragu lagi saya akan berlaku zalim andai saya berbuat
demikian. Kerana yang pertama, saya sudah tentu akan cenderung kepada jemaah
yang dekat dengan pemikiran saya. Yang kedua, akan ada kemungkinan untuk saya
menceritakan apa yang tidak benar dan apa yang saya tidak tahu berkenaan dengan
jemaah yang jauh dari pemikiran saya. Inilah yang selalu saya lihat dan
perhatikan pada kebanyakan artikel
ataupun blog yang konon-kononnya serba tahu tentang kepelbagaian jemaah di
Malaysia.
Yang saya nak
highlight di sini adalah tentang persoalan sikap. Sikap kita sebagai seorang
muslim. Tidak kira lah ahli jemaah ke, bukan ahli jemaah ke, ahli anti-jemaah
ke, asalkan anda seorang muslim, anda wajib baca dengan hati yang terbuka apa
yang mahu saya bebelkan di bawah ini.
Jujur saya katakan,
ada sekelumit bimbang di hati saya melihat situasi yang timbul kesan daripada
kepelbagaian jemaah di negara ini. Namun untuk menyalak seorang diri
menyalahkan kepelbagaian yang berlaku bukanlah tindakan yang bijak, bahkan
sia-sia sebenarnya. Pertamanya, kepelbagaian telahpun berlaku dan berkembang
dengan begitu pesat sekali. Keduanya, seperti yang saya beritahu di atas,
kepelbagaian ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana asasnya adalah cara
fikir yang berbeza. Susah untuk orang yang berbeza cara fikir untuk bekerja di
bawah bumbung yang sama.
Sungguh tidak
adil untuk anda membandingkan perbezaan cara fikir Umar Al Khatab dan Abu Bakar
As Siddiq dengan perbezaan cara fikir umat Islam zaman ini. Mana tidaknya, di
zaman mereka, ada Rasulullah di sisi yang menjadi hakim pada setiap
perselisihan antara mereka. Juga pada waktu itu Islam masih lagi berada di fasa
awal perkembangan. Nah. Bandingkan dengan zaman ini. Dengan keadaan umat Islam
yang saya sendiri tak tahu nak cakap macam mana, juga dengan jumlah umat Islam
yang begitu ramai. Maka ramai yang ingin bekerja dengan cara yang
tersendiri menaikkan semula Islam ke
tempat yang tertinggi dan sepatutnya. Justeru, tidak dapat tidak, kepelbagaian
ini harus berlaku.
Maka di sini, saya
lebih cenderung untuk mengatakan tompokan-tompokan kotor yang muncul dek
kepelbagaian jemaah ini sebenarnya berpunca dari sikap kita sendiri. Ya. Sikap.
Mungkin kerana ketaksuban kita kepada pemimpin dan kumpulan sendiri. Mungkin
juga kerana kegagalan kita untuk melengkapkan diri dengan akhlak yang sepatutnya
ada pada seorang muslim. Pokoknya, semuanya berpunca dari diri sendiri.
Saya pasti, anda
sendiri sudah mual dan terasa ingin muntah selebat-lebatnya melihat
pertelingkahan yang berlaku antara jemaah-jemaah yang ada berkenaan dengan
satu-satu isu yang mereka tidak sepakati. Kan? Jujur. Saya sendiri tergaru-garu
kepala menyaksikan suasana seperti itu. Entah mengapa. Kita sering bertelagah dengan
pendirian akhir kita berkenaan dengan sesuatu isu. Tetapi, kita gagal untuk
mamahami jalan fikir masing-masing yang menatijahkan kepada pendirian akhir
itu.
Justeru, apa
yang terjadi, kita saling bertikam lidah, balas-membalas kenyataan,
sindir-menyindir dan lebih buruk lagi perkara ini berlaku di mukabuku yang
sudah tentu mengundang lebih banyak fitnah dan perpecahan. Langsung tiada usaha
untuk kita saling bertentang mata, berdebat di pentas realiti, mengutarakan
hujah dengan penuh teratur dan beradab, dan mendengar hujah dari pihak yang
tidak bersetuju dengan kita.
Saya ingin
menghamburkan selori pujian kepada pihak yang berusaha menghidupkan budaya
debat, dialog dan yang sama waktu dengannya meskipun perkara ini masih lagi
belum mainstream di bumi Malaysia yang bertuah ini. Kerana, inilah satu-satunya
cara untuk kita memahami kenapa adanya manusia yang berbeza pandangan dengan
kita. Dan cara ini jauh lebih berfaedah dan bermanfaat dari budaya
sindir-menyindir, umpat-mengumpat yang bersepah di mukabuku pada hari ini. Dan
sungguh menyedihkan, budaya sindir-menyindir ini kebanyakannya dipelopori oleh
tokoh dan kepala jemaah-jemaah itu sendiri. Kalau dah kepala macam tu, what to
expect from their followers?
Benar. Para
sahabat juga berseteru ketika fitnah besar melanda dunia Islam pasca pembunuhan
Khalifah Uthman Ibn Affan.Ok. Mungkin perkataan berseteru itu berat bagi anda.
Tapi realitinya para sahabat ketika itu juga berbeza pandangan. Namun jauh di
sudut hati mereka yang paling dalam, ruang itu penuh dengan rasa cinta dan
kasih sesama mereka. Bahkan Ali R.A mengharapkan agar dirinya dan Talhah R.A
termasuk dalam firman Allah dalam surah Al Hijr ayat ke 47 selepas mengetahui
sahabatnya itu terbunuh dalam perang jamal. Peperangan sesama muslimin! Ya.
Para sahabat juga bergaduh. Namun di hati mereka penuh dengan rasa cinta.
Mereka kasih-mengasihi antara satu sama lain.
“Dan kami
lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sedang mereka
berasa bersaudara duduk berhadapan di atas dipan-dipan.”
(Al Hijr : 47)
Saya bimbang.
Bimbang jika rasa kasih dan cinta ini sudah tiada lagi di hati kita. Saya
bimbang jika budaya-budaya yang tidak sihat itu tetap diteruskan, bukan sahaja
kita akan terus tidak senada, bahkan boleh jadi, boleh jadi kita akan saling
membenci. Hilang sudah perasaan kasih sesama saudara, yang ada hanyalah benci,
meluat, menyampah dan sebagainya.
Saya juga
mengharapkan penyatuan. Saya juga mengimpikan persepakatan. Tetapi saya juga
bersikap realistik. Saya memahami realiti yang menyebabkan kepelbagaian yang
berlaku. Justeru, bodohlah saya jika saya menyeru untuk menanggalkan semua jenama
yang ada dan bersatu di bawah nama Islam.
Tetapi tidak bodoh untuk saya
menyeru diri saya dan kalian semua, untuk kita bersikap matang. Lapang-lapangkanlah dada kita. Berbezalah dengan penuh adab dan bersaudara. Berakhlaklah
dengan akhlak yang sepatutnya ada pada seorang muslim. Sudah-sudahlah dengan sindir-menyindir apatah lagi fitnah-mengfitnah antara satu sama lain. Tak ke mana semua tu.
Sebab pada
akhirnya, kita semua mengimpikan impian yang sama.
Ingin
menjejakkan kaki ke syurga Allah nan indah..
Justeru..terserahlah...

Salam.
ReplyDeleteSangat setuju dengan pendapat Encik Musab. Perkara ni juga ditekankan oleh Prof. Tariq Ramadan, dia kata 'no such thing as islams, but there's one islam but many diverse interpretations', maksud interpretation disitu adalah perbezaan pendapat yang memang ada sejak zaman salafussoleh lagi.
Perkara ni betul-betul menyedihkan, especially bila ada sindrom boikot memboikot within jemaah tu sendiri kat sesetengah tempat di Malaysia.
Baru tahu tentang ni semasa satu rombongan adik-adik sejemaah datang ziarah kat tempat saya beberapa hari yg lepas.
Selama ni saya fikir sindrom boikot memboikot ni terjadi bila ada perselisihan diantara dua jemaah yang berbeza, tak sangka pula ia boleh terjadi bila ada persilisihan didalam satu jemaah yang sama.
Hmm... kalau nak tegur susah juga, sebab bukan berada ditempat tu, cuma dapat doakan je lah supaya takde lagi isu boikot memboikot ni terjadi.