Tuesday, 17 December 2013

Is it hurt?


“Doctor..is it hurt..?

Kanak-kanak perempuan itu bersuara perlahan. Seolah-olah menagih sebuah simpati. Haidhar memandangnya dengan pandangan yang sayu. Perlahan-lahan, dia mengukir senyuman.

“There’s nothing to worry dear..I’m just checking on you…”

Haidhar membalas lembut. Cuba menenangkan. Tangan kirinya mengusap ubun-ubun budak perempuan berusia tujuh tahun itu. Dia terlalu kecil untuk menanggung sebuah penderitaan.

“Doctor..is it hurt..?

Anak kecil itu bertanya lagi. Semakin sayu. Dari riak wajahnya, seperti dia benar-benar mengharapkan sebuah jawapan. Barangkali untuk menenangkan hati sendiri.  

“What is it sayang..?

Haidhar melabuhkan punggungnya di birai katil. Wajah kecil mulus itu ditatapnya dalam-dalam. Wajah suci murni itu, wajah insan yang tidak berdosa meski secubit cuma.

“Death…is it hurt..?”   

Pertanyaan itu menyentak sanubari Haidhar. Hatinya rasa dipukul. Serentak dengan itu, bebola matanya mula menampakkan kaca-kaca jernih. Tanpa disedarinya, titisan-titisan jernih itu jatuh dari hujung matanya. Dengan pantas disekanya air mata itu dengan jari-jemarinya.

“Dhiya, inshaAllah you are going to live. You can go to school. You can play with your friends. You can eat a lot of foods. Trust me. You are going to live a good and long life sayang..”

Entah mengapa hatinya berkobar-kobar memberikan harapan kepada Dhiya. Sedangkan dia sendiri tidak mampu memberikan jawapan yang pasti. Sungguh dia menyedari ajal dan maut bukan di tangannya. Tapi entah. Mungkin hatinya sudah mula menyayangi pesakit kanak-kanak yang sudah sebulan lamanya di bawah seliaannya itu.

**********

Di kafe hospital pada suatu petang…

“Haidhar, are you sure for not conducting the operation..?”

Mustakim memulakan bicara. Wajah sahabatnya itu ditatap sedalam-dalamnya. Haidhar seorang doktor yang professional. Namun kali ini seakan-akan dia hilang keyakinan diri. Haidhar seolah-olah sedang dikuasai emosi sendiri.    

“It’s not that I don’t want..but I can’t…I can’t Mus…”

Haidhar meraut wajahnya dengan kedua-dua belah tapak tangannya. Fikirannya kusut dan serabut. Dia sendiri tidak pasti apa yang patut dilakukannya. Otaknya tepu dan kini dia benar-benar buntu..

“The chance is 50-50…”

“Aku takut aku gagal….”

Akhirnya dia meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

Mustakim menghela nafas panjang tatkala mendengar luahan sahabatnya itu. Dan dia sengaja membiarkan suasana sunyi untuk beberapa ketika, membiarkan Haidhar tenggelam dalam dilemanya. Lalu perlahan-lahan dia menyusun kata..

“Haidhar..you know the procedure right..?”

“Kita jalankan pembedahan tu ikut prosedur..”

“Hasilnya kita serahkan pada Allah…”

Mustakim cuba mengembalikan nilai-nilai rasional ke dalam diri Haidhar. Dia berharap cara itu dapat mengembalikan semula keyakinan diri Haidhar. Mengembalikan Haidhar ke dalam dirinya semula.

“You don’t understand Mus…”

“The situation now is completely different…”

“I don’t know…”

“Aku nak dia terus hidup..nak sangat…”

Haidhar semakin tenggelam dalam emosi sendiri. Kenangannya bersama Dhiya menerjah satu per satu ke dalam kotak ingatannya. Terlalu banyak kenangan manis antara dirinya dan kanak-kanak perempuan itu walaupun baru sebulan bersama. Dan selama sebulan itu, fikirannya, tenaganya dan fokusnya hanya tertumpu kepada Dhiya.

“Sampai kau tak yakin dengan ketentuan Allah..?” suara Mustakim sedkit meninggi.

Haidhar tersentak. Perlahan-lahan dia mengangkat wajahnya.

“Mus..kau ganti aku..?”

“Kau conduct operation tu untuk aku..?”

Mustakim menghirup kopi panasnya seteguk demi seteguk. Anak matanya memanah bebola mata Haidhar. Perlahan-lahan Haidhar menundukkan pandangannya.

“Hmm..”

**********

“Haidhar, I am sorry but we have tried our best. Now inshaAllah, she is in the heaven. Waiting for us. And waiting for YOU to join her. Be strong..please..”

Sender : Dr. Mustakim

Haidhar terduduk sebaik sahaja membaca pesanan ringkas itu. Air matanya mengalir deras. Dia menangis semahu-mahunya. Perasaannya bercampur baur antara sedih dan terkilan. Sedih kerana hayat kanak-kanak itu terlalu pendek. Terkilan kerana dia tiada kekuatan untuk menunjukkan wajahnya buat kali yang terakhir untuk ditatap oleh Dhiya.

“Dhiya…”

“Ya Allah…”

-End-

Kematian, tazkirah yang paling baik untuk jiwa-jiwa yang kelemasan. Beruntunglah bagi manusia yang jiwa-jiwanya terus hidup dengan kematian insan di sekeliling mereka. Sehinggalah kematian menjemput mereka, lalu kematian mereka menghidupkan jiwa-jiwa insan lain yang sedang kelemasan. 

Saturday, 14 December 2013

Mak Cik [2]


Solat subuh pagi itu diimamkan oleh Ammar di Penjara Besar Trilampon. Ammar seorang hafiz Al Quran. Juga seorang Jurutera. Tapi dia memilih meninggalkan kemasyhuran dunia demi perjuangan memburu syurga. Tak semua orang mampu melakukan seperti apa yang telah Ammar lakukan. Sebab itu Ammar istimewa di hati aku.

Aku dengan Ammar sebaya. Kami rapat sejak kecil. Tidur sebantal. Makan sepinggan. Minum secawan. Rapat sangat. Dia sahabat aku dunia akhirat.

Aku kagum dengan karakter Ammar. Persis karakter ayahnya. Tegas tapi lembut. Keras tapi waras. Bijak tapi merendah. Pemimpin tapi boleh dipimpin.

Jika kemenangan berpihak kepada jutaan rakyat Trilampon, sudah tentu akan ku angkat Ammar menjadi Presiden Trilampon yang baru. Presiden termuda dalam sejarah Trilampon. Namun aku pasti. Ammar akan menolak. Aku cukup pasti..    

Pagi itu kami disumbat ke dalam trak tentera untuk dibawa ke mahkamah. Kami juga diarahkan untuk memakai baju banduan berwarna oren sambil tangan bergari di belakang. Seolah-olah kami adalah penjenayah besar. Sedangkan jenayah kami hanya satu, menentang kezaliman!

Aku melihat Ammar. Raut wajahnya tenang..

Ini sekaligus mengingatkan aku kepada Mak Cik. Mak Cik juga tenang orangnya.

Aku teringat momen-momen itu..

Ketika Presiden Ahmed Surani sudahpun hilang nilai-nilai kemanusiaan…

Ketika para peserta perhimpunan aman ditembak bagaikan beruk-beruk di hutan…

Ketika darah-darah berkesimbah seolah-olah hujan merah turun dari langit..

Ketika mayat-mayat bergelimpangan seperti baru dilanda badai tsunami..

Ketika insan-insan yang sudah dirundung putus asa mengungkapkan…

“Mari kita pulang ke rumah…”

“Kita sudah kalah..”

“Kita undur dulu..bina semula kekuatan..”

Mak Cik bersuara lantang bak seekor singa yang mengaum garang..

“Perjuangan belum selesai!”

Serentak dengan itu Mak Cik membacakan ayat ke dua ratus, surah Ali Imran..

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung”

Ternyata keberanian Mak Cik menjadi aspirasi buat kami. Lantas obor perjuangan dinyalakan kembali. Semangat yang mulanya terpadam membara semula  bahkan berapi. Kami memilih kekal di situ. Biar dunia menyaksikan kezaliman Presiden Ahmed Surani yang bagi aku bukan lagi seorang manusia. Biar generasi akan datang melihat perjuangan kami.  

Namun perjuangan ini ada harganya.

Keberanian yang terserlah perlu dibayar dengan harga yang mahal..

Penjara ini harga yang kami bayar..

Mak Cik juga perlu membayar harga yang mahal untuk kelantangannya..


Friday, 13 December 2013

Special Day


Dua puluh tahun…

Hari ini aku menjangkau usia dua puluh tahun. Dua dekad kehidupan ini telah diselusuri. Terima kasih Tuhan atas segala jutaan nikmat yang aku sendiri terkadang lupa untuk mensyukurinya. Bukan terkadang bahkan selalu. Lalu Engkau turunkan ujian seberkas kapas, peringatan buat aku yang sering terlupa.

Dan sepanjang dua puluh tahun ini, aku masih tetap aku..

Langkahan kaki masih belum teguh. Tunas masih belum tumbuh. Akar masih tidak kukuh. Terlampau jauh untuk dibandingkan dengan pemuda hebat yang pernah bernafas di atas bumi ini. Bahkan tak terjangkau dek panahan mata.

Jika Al Fateh berjaya membuka Kota Constantinople pada usia dua puluhan..

Jika Hassan Al Banna mengasaskan Ikhwanul Muslimin pada usia dua puluh tiga tahun…

Jika Usamah bin Zaid dilantik menjadi panglima perang ketika berusia belasan tahun..

Jika Mus’ab bin Umair menjadi duta Islam di Madinah pada usia dua puluhan..

Aku pula di usia dua puluh tahun.. 

Hanyalah seorang abid yang curang dan khalifah yang berdosa.

Masih lagi mengengsot di atas jalan cinta para pejuang di saat yang lain sudah mula berlari.

Masih lagi berperang dengan perasaan sendiri tatkala yang lain sudah menemukan identiti diri.

Malu. Sungguh malu. Berangan mahu mendirikan khalifah. Bercita-cita menjadi murabbi sejati. Tetapi diri sendiri gagal ditakluki. Baru dihembus ujian sepoi-sepoi bahasa, sudah terumbang-ambing. Baru dicubit seinci cuma, sudah terjelupuk jatuh.

Pahit ditelan. Namun itulah hakikatnya. Bukan salah siapa-siapa. Salah diri sendiri.

Aku takut. Takut andai ruh dipanggil pulang pada saat tiada amal yang boleh dipersembahkan. Jika adapun hanya seciput cuma. Itupun hangus terbakar dek riya’ ujub dan sum’ah. Lalu apakah mahar yang mampu ku bayar untuk membeli syurga nan mahal?

Namun ada falsafah yang aku junjung dalam hidup..

Hidup ini suatu kembara, bukan destinasi. Ramai orang menyangka apabila mereka telah sampai ke satu titik kesempurnaan dalam hidup, itulah destinasi mereka. Sebenarnya tidak. Kita tidak akan pernah menemukan destinasi dalam hidup ini. Kerana hidup ini sebuah perjalanan. Perjalanan kita menuju ke satu destinasi yang abadi di sana. Cuma dalam perjalanan itu, ramai yang tersesat, ramai yang tersalah jalan.

Aku berharap aku bukan dalam kalangan mereka yang tersalah jalan. Apatah lagi dalam kalangan mereka yang tersesat. Sepertimana harapan aku dalam tujuh belas kali doa yang aku panjatkan dalam solat yang lima kali itu.

“Tunjukilah aku jalan yang lurus…”

Juga yang menjadi harapanku..

Moga sisa hidup yang mendatang akan terisi dengan amalan..

Moga sejarah hitam di hari-hari yang semalam dapat terus dilupakan..

Kerana impian semalam adalah kenyataan hari ini. Impian hari ini adalah kenyataan hari esok.

Kepada kalian, aku pohon untuk titipkan doa buat langkahku seterusnya. Sehingga khusnul khatimah. Sehingga aku benar-benar menemui Dia dalam keadan redha dan diredhai-Nya.

Encik Musab
13/12/13

Wednesday, 11 December 2013

DIA AL-AKH YANG BENAR #2


Semasa di kolej..

“Haa..kau tengah type apa tu?”

Begitu riang nada suaranya. Dan kini aku merindukan. Rindu kepada akh yang benar.

“Mana ada type apa-apa…”

Aku cuba berdalih. Entah apa yang aku nak selindungkan sangat, aku sendiri tak pasti.

“Eleh..kau tulis blog kan? Aku nak baca!”

Akh ini memang ceria orangnya. Ataupun aku lebih suka menggelarnya akh yang manja. Tidak! Bukan manja yang tidak tahan mehnah dakwah. Tetapi sifatnya manja. Dan kami semua menyenanginya. Kami semua mencintainya. Cinta seorang akh.

Suatu hari dia meluahkan rasa kepada diriku..

“Kau rasa patut ke aku ubah perwatakan aku?”

Aku sedikit terkesima. Pada aku dia adalah qudwah di dalam barisan kami.

“Eh. Kenapa pulak? Aku rasa kau ok je…”

Dia perlahan-lahan menundukkan kepalanya..

“Aku takut aku jadi fitnah pada dakwah ni…”

“Aku takut adik-adik jauhkan diri daripada aku..”

Subhanallah. Ma sha Allah. 

Untuk pengetahuan kalian, perbualan di atas berlangsung usai solat zohor. Pada saat warga kolej kami sedang di asak kesibukan duniawi. Berkejaran ke sana-sini. Dan akh ini masih lagi punyai waktu untuk memikirkan urusan dakwahnya. Tidak syak lagi dia adalah al-akh yang benar.

Dalam diam aku mengaguminya. Dalam senyap aku mencintainya. Dan kini aku merindukannya.

Dan sungguh aku katakan bahawa al-akh ini adalah qudwah dalam barisan kami. Namun dia masih lagi menaruh bimbang terhadap prestasi dakwahnya. Jauh berbeza dengan diriku.

Kerana dirinya adalah al-akh yang benar.

Baru-baru ini, aku dan beberapa ikhwah yang lain pergi menziarahinya di bumi kelahirannya, bumi lima pendekar bersaudara.

Di situ aku dapat menyaksikan kehidupannya bersama keluarganya yang tercinta. Dan sungguh aku kagum. Dan aku cemburu. Begini kisahnya. Keluarga akh ini membuka bisnes kantin di sebuah sekolah memandu. Dan akh ini menghabiskan masa cutinya dengan berbakti kepada orang tuanya. Menolong sedaya yang termampu di kantin itu.

Dan kedua ibu bapanya menyantuni kami dengan baik sekali. Bahkan layanan yang terbaik. Kerana al-akh ini telah menunjukkan contoh bahawa tarbiah telah meresap dalam jiwanya. Akhlak yang baik pasti mencairkan hati kedua orang tua. Pasti..  

Kenapa aku kagum? Kerana aku juga mahu menjadi seperti itu. Menjadi anak yang taat. Meringankan beban orang tua. Dan bukankah sepatutnya orang yang telah di tarbiah itu bermanfaat kepada manusia sekelilingnya?

Dan akh ini berjaya membuktikannya.

Kerana dia seorang al-akh yang benar.

Begitulah kisah seorang al-akh. Yang aku coretkan di sini. Agar kita bisa mengambil pelajaran. Agar kita boleh mencontohi. Kerana dalam meniti di atas jalan dakwah, sungguh kita menagih contoh.

Contoh dari seorang al-akh yang benar

Tuesday, 10 December 2013

Piala Dunia 2014


Baru-baru ini berlangsung sebuah temasya yang gilang-gemilang buat semua pencinta sukan bola sepak seluruh dunia. Jika anda merupakan penggemar bola sepak yang sejati, sudah tentu anda boleh mengagak apa yang sedang saya maksudkan ini.

Dahulu saya juga PERNAH menjadi pencinta sukan bola sepak. Iaitu sejak di sekolah rendah sehinggalah ketika fasa awal berada dalam sistem tarbiah. Yang ni bukan minat main bola kat padang tu ye. Kalau yang tu, sampai sekarang, inshaAllah saya minat lagi. Tapi minat kat sini macam sanggup stay up sampai subuh semata-mata nak tengok bola, status mukabuku memanjang pasal bola dan gambar profil mukabuku pun gambar player bola kegemaran. Minat yang macam tu.  

Dan kerana itu, boleh dikatakan agak banyak jugaklah page-page bola yang saya like di mukabuku. Dan sehingga ke hari ini, melalui page-page itulah saya mengetahui perkembangan dunia bola sepak terkini. Termasuk temasya yang saya katakan di atas tadi.

Kalau ada yang tak tahu, temasya itu dikenali sebagai undian kumpulan Piala Dunia 2014.

Di platform ini saya merasakan tidak perlu untuk saya menganalisa keputusan undian tersebut kerana jika saya berbuat demikian, mungkin anda boleh mempertimbangkan untuk unfollow blog ini ataupun memaksa saya untuk terjun ke sungai yang berdekatan.

Namun saya merasakan ada beberapa perkara yang agak menarik untuk kita renung-renungkan dan ambil pelajaran. Terutamanya kepada mereka yang mengaku diri sebagai agen penyebaran dakwah ataupun lebih mesra disapa sebagai para du’at.

Untuk pengetahuan kalian, Piala Dunia 2014 dijangka membuka tirainya pada bulan Jun tahun hadapan. Secara matematiknya, enam bulan daripada sekarang. Enam bulan ni bolehlah dikatakan agak lama jugak sebenarnya. Kalau tak percaya, cuba tanya orang yang lagi enam bulan nak kahwin. So many things can be done in six months. So many things can happen.

Arakian di timeline mukabuku saya sudahpun dibanjiri dengan ulasan-ulasan mengenai kejohanan itu. Lelaki dan perempuan tidak ketinggalan menzahirkan harapan mereka kepada pasukan kegemaran masing-masing. Yang page-page bola tu tak payah cakap lah. Dah tu memang tugas rasmi mereka.

Di kaca televisyen juga tidak kurang hebatnya. Bahkan jauh lebih hebat promosinya. Iklan-iklan berkenaan dengan kejohanan empat tahun sekali itu mula ditayangkan. Maklumlah, kejohanan paling berprestij dalam sukan bola sepak kot. Tak kan nak promot biasa-biasa je.

Lantas, apa kaitannya semua ini dengan para du’at?

Saya membayangkan terlalu banyak perkaitannya sebenarnya.

Tugas para du’at adalah menjadi promoter kepada Islam. Kalau dah namanya promoter, haruslah mempromote produk yang kita mahu tawarkan kepada pelanggan dengan begitu bersungguh-sungguh sekali. Maka dalam konteks ini, produknya adalah Islam. Pelanggannya pula ialah muslim yang belum berasa izzah dengan Islam dan juga ofkoslah orang bukan Islam.

Di sini cuba kita bandingkan..

Adakah kita sudah mempromosikan Islam sehebat para promoter World Cup 2014 mempromosikan kejohanan tersebut? Kalau nak tahu hebat tak hebat lah mereka mempromosikan piala keagungan bola sepak itu, pergilah try usha page rasmi mukabuku penganjur kejohanan itu. Boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja status, gambar dan post yang diupdate. Itu baru di mukabuku, belum lagi tengok di televisyen, sidang-sidang akhbar dan banyak lagi.

Pokoknya mereka all-out dengan promosi mereka.

Nah. Tanya diri kita sendiri. Adakah kita sudah all out mempromosikan Islam kepada roommate, classmate, jiran tetangga, cikgu-cikgi dan even ahli keluarga kita sendiri? Jika belum, di manakah silapnya? Yang itu kena tanya diri masing-masing. Kadang-kadang kita sendiri tahu sama ada kita dah cukup izzah atau belum dengan agama yang kita anuti ini.

Status-status mukabuku kita adakah berkisar dalam konteks ingin mempromosikan Islam ataupun hanya sekadar berbaur peribadi? Begitu juga dengan twitter, instagram dan segala tok nenek medium sosial yang ada. Adakah kita sudahpun menjadi “excellent promoter” kepada Islam?

Kadang-kadang kita sering menggunakan alasan tidak cukup ilmu untuk melepaskan diri daripada tugas mempromosikan Islam ini. Sekarang saya nak bagitahu yang alasan tu sebenarnya tak valid dan takde cop halal JAKIM. Nak tahu kenapa? Anda cuba beritahu saya waktu awal-awal Rasulullah menyebarkan Islam, apa je ilmu yang Rasulullah sampaikan? Begitu juga dengan Abu Bakar As- Siddiq. Setelah keislamannya, beliau berjaya mengislamkan sepuluh sahabat yang lain. Ilmu apa yang beliau sampaikan? Waktu tu syariat solat pun belum turun lagi.

Sebab itulah kena faham yang dakwah ini bukan secara totalnya berpusat pada penyebaran ilmu. Yang sebenarnya, dakwah ialah kita mengajak orang kepada Allah. Mengajak manusia untuk menjadikan Islam sebagai cara hidup. Memberitahu manusia bahawasanya hanya Allah yang layak disembah. Itulah dakwah. Orang yang tak cukup ilmu pun boleh buat.

Kemudian ada yang beralasan tidak mahu menyeru kerana bimbang tidak beramal dengan apa yang telah diseru. Saya faham kondisi itu. Bahkan saya juga berhadapan dengan masalah yang serupa ketika mula-mula menulis di blog ini. Namun saya menjadikan hadis Rasulullah ini sebagai azimat dan penguat semangat setiap kali diserang dengan alasan tersebut.

Dari Anas bin Malik r.a dia berkata, kami bertanya: 

"Ya Rasulullah, kami tidak mengamalkan semua kebaikan dan kami tidak akan mencegah kemungkaran sebelum kami meninggalkan semua kemungkaran." 

Maka Nabi S.A.W bersabda: 

"Tidak, bahkan serulah kepada kebaikan meskipun kalian belum mengamalkan semuanya,dan cegahlah dari kemungkaran,meskipun kalian belum meninggalkan semuanya."

(Hadis riwayat Thabrani)


Maka mari mulakan dakwah ini. Mari mulakan tugas promoter kepada Islam ini. Biarpun dengan sekecil-kecil perkara seperti menghapdet status di mukabuku, in sha Allah, ada nilainya di sisi Allah.

Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang ia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya, dan sesungguhnya Kami tetap menulisnya.

(Anbiya' : 94)

Shall we?

Sunday, 8 December 2013

Erat Persaudaraan


Huluran salam berhias senyuman
Pertemuan mengeratkan perhubungan
Saling bermesra kukuhkan ikatan
Persaudaraan di dalam keredhaan-Nya

Irama nan syahdu kita dendangkan
Berkias ungkapan penuh makna
Menyatukan kita dalam ritma
Santun kata beralas budi bicara

Di dalam lagu kita dipertemukan
Di dalam restu-Nya kita bergandingan tangan
Meneruskan cita-cita kehidupan
Dalam suasana kedamaian

Berjauh, berpisah, berjarak menyusuri fitrah
Merindu, menanti, mengharap, mendamba dalam gundah
Air yang mengalir dicincang tiada putusnya
Biduk lalu kiambang bertaut semula

Berpesan-pesan sesama saudara
Meneruskan seruan Rasul junjungan
Saling berdoa memohon rahmat-Nya
Bertemu tak jemu, berpisah tidak gelisah

**********
Ukhuwah fillah yang terjalin adalah antara catatan paling manis dalam hidup seorang abid dan khalifah di atas jalan cinta para pejuang ini. Kenangan-kenangan yang tercipta, seolah-seolah menjadi azimat di hari muka. Menyembuhkan bila terluka. Menguatkan di saat lemah.

Terima kasih ikhwah. Terima kasih..

Setiap seorang daripada kalian adalah murabbi untuk diriku. Mencorakkan warna dalam hidupku. Menghadirkan rasa dalam diriku. Segalanya dengan izin dari-Nya. Banyak yang aku pelajari daripada kalian yang sekaligus membantu aku berjalan perlahan-perlahan di atas jalan ini.

Alhamdulillah. Terima kasih Allah atas nikmat ini…

p/s : Alhamdulillah. Berpeluang bertemu semula dengan para ikhwah yang sekian lama tidak ketemu. Walaupun tempoh pertemuan seakan-akan terlalu singkat, namun cukup untuk mengubat kerinduan dalam hati ini. Cewah. Dan terlalu banyak pengalaman-pengalaman baru yang akan saya kenang sampai bila-bila. Nikmat di jalan ini. Allahu..

Wednesday, 4 December 2013

Rasa Cinta Yang Hilang

Antara salah satu nikmat hidup, dapat menikmati buah durian yang manis lagi lazattt..

Di rumah saya ada dua biji durian. Kedua-duanya sudah merekah dan menanti masa untuk dipelahap ke dalam perut. Akan tetapi kedua-dua biji durian ini mempunyai satu karakter yang berbeza. Sebiji merupakan durian yang besar gedabak, dan sebiji lagi hanyalah durian kecil lagi marhaen.

Dan ini menimbulkan pertikaian antara saya dan adik lelaki saya. Pertikaian ini berkisar kepada soal durian mana yang patut kami pelahap dulu. Bagi anda yang merupakan penggemar durian, sudah tentu anda sedia maklum bahawasanya durian yang sudah merekah ini terdedah kepada serangan semut, lalat dan beraneka macam serangga lagi, selain berkemungkinan untuk membusuk dengan cepat. Maka hal inilah yang menyebabkan pertikaian itu berlaku.

Saya berpendapat adalah harus untuk kami mengerjakan durian yang besar gedabak itu terlebih dahulu. Kerana pada saya, durian kecil lagi marhaen itu apalah sangat nilainya. Kalau ia membusuk pun,  tak lah sampai menjejaskan ekonomi keluarga kami. So kira di sini, saya lebih mendahulukan kemaslahatan durian yang lebih besar.  

Akan tetapi adik lelaki saya berpendirian sebaliknya.

Beliau berhujah bahawasanya adalah wajar untuk durian kecil lagi marhaen itu dipelahap terlebih dahulu. Pendapat beliau ini berasaskan beberapa faktor. Yang pertama ketika itu kami baru sahaja makan tengahari. Jika kami mempelahap durian besar gedabak itu dahulu, ada kemungkinan untuk kami give up kerana tidak mampu untuk menghabiskan keseluruhan durian itu dek kebesaran dan kegedabakannya. Selain itu, tiada siapa di rumah kami ketika itu yang boleh menolong kami untuk melicinkan isi durian itu.

Di sini, kalian dapat menyaksikan keputusan yang di ambil oleh saya dan adik lelaki saya berbeza. Kerana NERACA PERTIMBANGAN kami juga berbeza. Pendirian akhir kami berkenaan isu durian itu berbeza kerana jalan fikir kami sejak awal lagi telah berbeza.

Ehemm.

Alhamdulillah, saya masih lagi belum ketandusan idea untuk terus menghidupkan blog ini sampai terpaksa bercerita tentang durian. Haha. Sebenarnya saya melihat peristiwa pertikaian antara saya dan adik lelaki saya ini begitu sinonim sekali dengan apa yang berlaku di dunia Islam umumnya dan Malaysia khasnya sejak akhir-akhir ini.

Bagi kalian yang tekun mengikuti perkembangan negara Malaysia yang aman damai lagi harmoni ini, sudah tentu kalian sedia maklum dengan kewujudan pebagai aliran pemikiran yang berbeza yang menghiasi atmosfera negara ini. Begitu juga dengan kemunculan pelbagai…*uhuk…je..je..maa..ma..ah yang ada di Malaysia hari ini. Jemaah. Ye. Jemaah. Saya salah sebut ke? Haha.

Sebenarnya penting untuk difahami, asas kepada kepelbagaian jemaah ini adalah kerana berbezanya jalan fikir dan corak pemikiran masing-masing walaupun secara umumnya, kesemua jemaah ini mempunyai matlamat yang sama, iaitu Islam. Kalau dah sama cara fikir, buang masa jela nak berbilang-bilang jemaah ni. Bukan setakat buang masa, bahkan buang tenaga, buang duit dan buang segala-galanya.

Namun di platform ini, saya tidak berminat untuk mengulas satu-satu jemaah yang ada. Kerana konfem tanpa ragu-ragu lagi saya akan berlaku zalim andai saya berbuat demikian. Kerana yang pertama, saya sudah tentu akan cenderung kepada jemaah yang dekat dengan pemikiran saya. Yang kedua, akan ada kemungkinan untuk saya menceritakan apa yang tidak benar dan apa yang saya tidak tahu berkenaan dengan jemaah yang jauh dari pemikiran saya. Inilah yang selalu saya lihat dan perhatikan  pada kebanyakan artikel ataupun blog yang konon-kononnya serba tahu tentang kepelbagaian jemaah di Malaysia.

Yang saya nak highlight di sini adalah tentang persoalan sikap. Sikap kita sebagai seorang muslim. Tidak kira lah ahli jemaah ke, bukan ahli jemaah ke, ahli anti-jemaah ke, asalkan anda seorang muslim, anda wajib baca dengan hati yang terbuka apa yang mahu saya bebelkan di bawah ini.

Jujur saya katakan, ada sekelumit bimbang di hati saya melihat situasi yang timbul kesan daripada kepelbagaian jemaah di negara ini. Namun untuk menyalak seorang diri menyalahkan kepelbagaian yang berlaku bukanlah tindakan yang bijak, bahkan sia-sia sebenarnya. Pertamanya, kepelbagaian telahpun berlaku dan berkembang dengan begitu pesat sekali. Keduanya, seperti yang saya beritahu di atas, kepelbagaian ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana asasnya adalah cara fikir yang berbeza. Susah untuk orang yang berbeza cara fikir untuk bekerja di bawah bumbung yang sama.

Sungguh tidak adil untuk anda membandingkan perbezaan cara fikir Umar Al Khatab dan Abu Bakar As Siddiq dengan perbezaan cara fikir umat Islam zaman ini. Mana tidaknya, di zaman mereka, ada Rasulullah di sisi yang menjadi hakim pada setiap perselisihan antara mereka. Juga pada waktu itu Islam masih lagi berada di fasa awal perkembangan. Nah. Bandingkan dengan zaman ini. Dengan keadaan umat Islam yang saya sendiri tak tahu nak cakap macam mana, juga dengan jumlah umat Islam yang begitu ramai. Maka ramai yang ingin bekerja dengan cara yang tersendiri  menaikkan semula Islam ke tempat yang tertinggi dan sepatutnya. Justeru, tidak dapat tidak, kepelbagaian ini harus berlaku.

Maka di sini, saya lebih cenderung untuk mengatakan tompokan-tompokan kotor yang muncul dek kepelbagaian jemaah ini sebenarnya berpunca dari sikap kita sendiri. Ya. Sikap. Mungkin kerana ketaksuban kita kepada pemimpin dan kumpulan sendiri. Mungkin juga kerana kegagalan kita untuk melengkapkan diri dengan akhlak yang sepatutnya ada pada seorang muslim. Pokoknya, semuanya berpunca dari diri sendiri.

Saya pasti, anda sendiri sudah mual dan terasa ingin muntah selebat-lebatnya melihat pertelingkahan yang berlaku antara jemaah-jemaah yang ada berkenaan dengan satu-satu isu yang mereka tidak sepakati. Kan? Jujur. Saya sendiri tergaru-garu kepala menyaksikan suasana seperti itu. Entah mengapa. Kita sering bertelagah dengan pendirian akhir kita berkenaan dengan sesuatu isu. Tetapi, kita gagal untuk mamahami jalan fikir masing-masing yang menatijahkan kepada pendirian akhir itu.  

Justeru, apa yang terjadi, kita saling bertikam lidah, balas-membalas kenyataan, sindir-menyindir dan lebih buruk lagi perkara ini berlaku di mukabuku yang sudah tentu mengundang lebih banyak fitnah dan perpecahan. Langsung tiada usaha untuk kita saling bertentang mata, berdebat di pentas realiti, mengutarakan hujah dengan penuh teratur dan beradab, dan mendengar hujah dari pihak yang tidak bersetuju dengan kita.

Saya ingin menghamburkan selori pujian kepada pihak yang berusaha menghidupkan budaya debat, dialog dan yang sama waktu dengannya meskipun perkara ini masih lagi belum mainstream di bumi Malaysia yang bertuah ini. Kerana, inilah satu-satunya cara untuk kita memahami kenapa adanya manusia yang berbeza pandangan dengan kita. Dan cara ini jauh lebih berfaedah dan bermanfaat dari budaya sindir-menyindir, umpat-mengumpat yang bersepah di mukabuku pada hari ini. Dan sungguh menyedihkan, budaya sindir-menyindir ini kebanyakannya dipelopori oleh tokoh dan kepala jemaah-jemaah itu sendiri. Kalau dah kepala macam tu, what to expect from their followers?

Benar. Para sahabat juga berseteru ketika fitnah besar melanda dunia Islam pasca pembunuhan Khalifah Uthman Ibn Affan.Ok. Mungkin perkataan berseteru itu berat bagi anda. Tapi realitinya para sahabat ketika itu juga berbeza pandangan. Namun jauh di sudut hati mereka yang paling dalam, ruang itu penuh dengan rasa cinta dan kasih sesama mereka. Bahkan Ali R.A mengharapkan agar dirinya dan Talhah R.A termasuk dalam firman Allah dalam surah Al Hijr ayat ke 47 selepas mengetahui sahabatnya itu terbunuh dalam perang jamal. Peperangan sesama muslimin! Ya. Para sahabat juga bergaduh. Namun di hati mereka penuh dengan rasa cinta. Mereka kasih-mengasihi antara satu sama lain.

“Dan kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sedang mereka berasa bersaudara duduk berhadapan di atas dipan-dipan.”
(Al Hijr : 47)

Saya bimbang. Bimbang jika rasa kasih dan cinta ini sudah tiada lagi di hati kita. Saya bimbang jika budaya-budaya yang tidak sihat itu tetap diteruskan, bukan sahaja kita akan terus tidak senada, bahkan boleh jadi, boleh jadi kita akan saling membenci. Hilang sudah perasaan kasih sesama saudara, yang ada hanyalah benci, meluat, menyampah dan sebagainya.  

Saya juga mengharapkan penyatuan. Saya juga mengimpikan persepakatan. Tetapi saya juga bersikap realistik. Saya memahami realiti yang menyebabkan kepelbagaian yang berlaku. Justeru, bodohlah saya jika saya menyeru untuk menanggalkan semua jenama yang ada dan bersatu di bawah nama Islam.

Tetapi tidak bodoh untuk saya menyeru diri saya dan kalian semua, untuk kita bersikap matang. Lapang-lapangkanlah dada kita. Berbezalah dengan penuh adab dan bersaudara. Berakhlaklah dengan akhlak yang sepatutnya ada pada seorang muslim. Sudah-sudahlah dengan sindir-menyindir apatah lagi fitnah-mengfitnah antara satu sama lain. Tak ke mana semua tu.

Sebab pada akhirnya, kita semua mengimpikan impian yang sama.

Ingin menjejakkan kaki ke syurga Allah nan indah..

Justeru..terserahlah...