Wednesday, 4 December 2013

Rasa Cinta Yang Hilang

Antara salah satu nikmat hidup, dapat menikmati buah durian yang manis lagi lazattt..

Di rumah saya ada dua biji durian. Kedua-duanya sudah merekah dan menanti masa untuk dipelahap ke dalam perut. Akan tetapi kedua-dua biji durian ini mempunyai satu karakter yang berbeza. Sebiji merupakan durian yang besar gedabak, dan sebiji lagi hanyalah durian kecil lagi marhaen.

Dan ini menimbulkan pertikaian antara saya dan adik lelaki saya. Pertikaian ini berkisar kepada soal durian mana yang patut kami pelahap dulu. Bagi anda yang merupakan penggemar durian, sudah tentu anda sedia maklum bahawasanya durian yang sudah merekah ini terdedah kepada serangan semut, lalat dan beraneka macam serangga lagi, selain berkemungkinan untuk membusuk dengan cepat. Maka hal inilah yang menyebabkan pertikaian itu berlaku.

Saya berpendapat adalah harus untuk kami mengerjakan durian yang besar gedabak itu terlebih dahulu. Kerana pada saya, durian kecil lagi marhaen itu apalah sangat nilainya. Kalau ia membusuk pun,  tak lah sampai menjejaskan ekonomi keluarga kami. So kira di sini, saya lebih mendahulukan kemaslahatan durian yang lebih besar.  

Akan tetapi adik lelaki saya berpendirian sebaliknya.

Beliau berhujah bahawasanya adalah wajar untuk durian kecil lagi marhaen itu dipelahap terlebih dahulu. Pendapat beliau ini berasaskan beberapa faktor. Yang pertama ketika itu kami baru sahaja makan tengahari. Jika kami mempelahap durian besar gedabak itu dahulu, ada kemungkinan untuk kami give up kerana tidak mampu untuk menghabiskan keseluruhan durian itu dek kebesaran dan kegedabakannya. Selain itu, tiada siapa di rumah kami ketika itu yang boleh menolong kami untuk melicinkan isi durian itu.

Di sini, kalian dapat menyaksikan keputusan yang di ambil oleh saya dan adik lelaki saya berbeza. Kerana NERACA PERTIMBANGAN kami juga berbeza. Pendirian akhir kami berkenaan isu durian itu berbeza kerana jalan fikir kami sejak awal lagi telah berbeza.

Ehemm.

Alhamdulillah, saya masih lagi belum ketandusan idea untuk terus menghidupkan blog ini sampai terpaksa bercerita tentang durian. Haha. Sebenarnya saya melihat peristiwa pertikaian antara saya dan adik lelaki saya ini begitu sinonim sekali dengan apa yang berlaku di dunia Islam umumnya dan Malaysia khasnya sejak akhir-akhir ini.

Bagi kalian yang tekun mengikuti perkembangan negara Malaysia yang aman damai lagi harmoni ini, sudah tentu kalian sedia maklum dengan kewujudan pebagai aliran pemikiran yang berbeza yang menghiasi atmosfera negara ini. Begitu juga dengan kemunculan pelbagai…*uhuk…je..je..maa..ma..ah yang ada di Malaysia hari ini. Jemaah. Ye. Jemaah. Saya salah sebut ke? Haha.

Sebenarnya penting untuk difahami, asas kepada kepelbagaian jemaah ini adalah kerana berbezanya jalan fikir dan corak pemikiran masing-masing walaupun secara umumnya, kesemua jemaah ini mempunyai matlamat yang sama, iaitu Islam. Kalau dah sama cara fikir, buang masa jela nak berbilang-bilang jemaah ni. Bukan setakat buang masa, bahkan buang tenaga, buang duit dan buang segala-galanya.

Namun di platform ini, saya tidak berminat untuk mengulas satu-satu jemaah yang ada. Kerana konfem tanpa ragu-ragu lagi saya akan berlaku zalim andai saya berbuat demikian. Kerana yang pertama, saya sudah tentu akan cenderung kepada jemaah yang dekat dengan pemikiran saya. Yang kedua, akan ada kemungkinan untuk saya menceritakan apa yang tidak benar dan apa yang saya tidak tahu berkenaan dengan jemaah yang jauh dari pemikiran saya. Inilah yang selalu saya lihat dan perhatikan  pada kebanyakan artikel ataupun blog yang konon-kononnya serba tahu tentang kepelbagaian jemaah di Malaysia.

Yang saya nak highlight di sini adalah tentang persoalan sikap. Sikap kita sebagai seorang muslim. Tidak kira lah ahli jemaah ke, bukan ahli jemaah ke, ahli anti-jemaah ke, asalkan anda seorang muslim, anda wajib baca dengan hati yang terbuka apa yang mahu saya bebelkan di bawah ini.

Jujur saya katakan, ada sekelumit bimbang di hati saya melihat situasi yang timbul kesan daripada kepelbagaian jemaah di negara ini. Namun untuk menyalak seorang diri menyalahkan kepelbagaian yang berlaku bukanlah tindakan yang bijak, bahkan sia-sia sebenarnya. Pertamanya, kepelbagaian telahpun berlaku dan berkembang dengan begitu pesat sekali. Keduanya, seperti yang saya beritahu di atas, kepelbagaian ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana asasnya adalah cara fikir yang berbeza. Susah untuk orang yang berbeza cara fikir untuk bekerja di bawah bumbung yang sama.

Sungguh tidak adil untuk anda membandingkan perbezaan cara fikir Umar Al Khatab dan Abu Bakar As Siddiq dengan perbezaan cara fikir umat Islam zaman ini. Mana tidaknya, di zaman mereka, ada Rasulullah di sisi yang menjadi hakim pada setiap perselisihan antara mereka. Juga pada waktu itu Islam masih lagi berada di fasa awal perkembangan. Nah. Bandingkan dengan zaman ini. Dengan keadaan umat Islam yang saya sendiri tak tahu nak cakap macam mana, juga dengan jumlah umat Islam yang begitu ramai. Maka ramai yang ingin bekerja dengan cara yang tersendiri  menaikkan semula Islam ke tempat yang tertinggi dan sepatutnya. Justeru, tidak dapat tidak, kepelbagaian ini harus berlaku.

Maka di sini, saya lebih cenderung untuk mengatakan tompokan-tompokan kotor yang muncul dek kepelbagaian jemaah ini sebenarnya berpunca dari sikap kita sendiri. Ya. Sikap. Mungkin kerana ketaksuban kita kepada pemimpin dan kumpulan sendiri. Mungkin juga kerana kegagalan kita untuk melengkapkan diri dengan akhlak yang sepatutnya ada pada seorang muslim. Pokoknya, semuanya berpunca dari diri sendiri.

Saya pasti, anda sendiri sudah mual dan terasa ingin muntah selebat-lebatnya melihat pertelingkahan yang berlaku antara jemaah-jemaah yang ada berkenaan dengan satu-satu isu yang mereka tidak sepakati. Kan? Jujur. Saya sendiri tergaru-garu kepala menyaksikan suasana seperti itu. Entah mengapa. Kita sering bertelagah dengan pendirian akhir kita berkenaan dengan sesuatu isu. Tetapi, kita gagal untuk mamahami jalan fikir masing-masing yang menatijahkan kepada pendirian akhir itu.  

Justeru, apa yang terjadi, kita saling bertikam lidah, balas-membalas kenyataan, sindir-menyindir dan lebih buruk lagi perkara ini berlaku di mukabuku yang sudah tentu mengundang lebih banyak fitnah dan perpecahan. Langsung tiada usaha untuk kita saling bertentang mata, berdebat di pentas realiti, mengutarakan hujah dengan penuh teratur dan beradab, dan mendengar hujah dari pihak yang tidak bersetuju dengan kita.

Saya ingin menghamburkan selori pujian kepada pihak yang berusaha menghidupkan budaya debat, dialog dan yang sama waktu dengannya meskipun perkara ini masih lagi belum mainstream di bumi Malaysia yang bertuah ini. Kerana, inilah satu-satunya cara untuk kita memahami kenapa adanya manusia yang berbeza pandangan dengan kita. Dan cara ini jauh lebih berfaedah dan bermanfaat dari budaya sindir-menyindir, umpat-mengumpat yang bersepah di mukabuku pada hari ini. Dan sungguh menyedihkan, budaya sindir-menyindir ini kebanyakannya dipelopori oleh tokoh dan kepala jemaah-jemaah itu sendiri. Kalau dah kepala macam tu, what to expect from their followers?

Benar. Para sahabat juga berseteru ketika fitnah besar melanda dunia Islam pasca pembunuhan Khalifah Uthman Ibn Affan.Ok. Mungkin perkataan berseteru itu berat bagi anda. Tapi realitinya para sahabat ketika itu juga berbeza pandangan. Namun jauh di sudut hati mereka yang paling dalam, ruang itu penuh dengan rasa cinta dan kasih sesama mereka. Bahkan Ali R.A mengharapkan agar dirinya dan Talhah R.A termasuk dalam firman Allah dalam surah Al Hijr ayat ke 47 selepas mengetahui sahabatnya itu terbunuh dalam perang jamal. Peperangan sesama muslimin! Ya. Para sahabat juga bergaduh. Namun di hati mereka penuh dengan rasa cinta. Mereka kasih-mengasihi antara satu sama lain.

“Dan kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sedang mereka berasa bersaudara duduk berhadapan di atas dipan-dipan.”
(Al Hijr : 47)

Saya bimbang. Bimbang jika rasa kasih dan cinta ini sudah tiada lagi di hati kita. Saya bimbang jika budaya-budaya yang tidak sihat itu tetap diteruskan, bukan sahaja kita akan terus tidak senada, bahkan boleh jadi, boleh jadi kita akan saling membenci. Hilang sudah perasaan kasih sesama saudara, yang ada hanyalah benci, meluat, menyampah dan sebagainya.  

Saya juga mengharapkan penyatuan. Saya juga mengimpikan persepakatan. Tetapi saya juga bersikap realistik. Saya memahami realiti yang menyebabkan kepelbagaian yang berlaku. Justeru, bodohlah saya jika saya menyeru untuk menanggalkan semua jenama yang ada dan bersatu di bawah nama Islam.

Tetapi tidak bodoh untuk saya menyeru diri saya dan kalian semua, untuk kita bersikap matang. Lapang-lapangkanlah dada kita. Berbezalah dengan penuh adab dan bersaudara. Berakhlaklah dengan akhlak yang sepatutnya ada pada seorang muslim. Sudah-sudahlah dengan sindir-menyindir apatah lagi fitnah-mengfitnah antara satu sama lain. Tak ke mana semua tu.

Sebab pada akhirnya, kita semua mengimpikan impian yang sama.

Ingin menjejakkan kaki ke syurga Allah nan indah..

Justeru..terserahlah...


1 comment:

  1. Salam.
    Sangat setuju dengan pendapat Encik Musab. Perkara ni juga ditekankan oleh Prof. Tariq Ramadan, dia kata 'no such thing as islams, but there's one islam but many diverse interpretations', maksud interpretation disitu adalah perbezaan pendapat yang memang ada sejak zaman salafussoleh lagi.

    Perkara ni betul-betul menyedihkan, especially bila ada sindrom boikot memboikot within jemaah tu sendiri kat sesetengah tempat di Malaysia.

    Baru tahu tentang ni semasa satu rombongan adik-adik sejemaah datang ziarah kat tempat saya beberapa hari yg lepas.

    Selama ni saya fikir sindrom boikot memboikot ni terjadi bila ada perselisihan diantara dua jemaah yang berbeza, tak sangka pula ia boleh terjadi bila ada persilisihan didalam satu jemaah yang sama.

    Hmm... kalau nak tegur susah juga, sebab bukan berada ditempat tu, cuma dapat doakan je lah supaya takde lagi isu boikot memboikot ni terjadi.

    ReplyDelete