Ia lumpuh di
usia remajanya. Tapi mimpinya tak ikut lumpuh. Mimpi itu tetap menyala, bahkan
kian berkobar. Duhai kekuatan apakah itu? Yang ada pada guru lumpuh itu? Itulah
kekuatan jiwa. Begitu kukuhnya ia sehingga jasad yang rapuh itu bagaikan
matahari, bersinar meledakkan. Bertahun-tahun dia dipenjara Israel sehingga
manusiapun bertanya apakah bahayanya orang tua lumpuh ini?
Perkenalkan,
namanya Sheikh Ahmad Yassin.
Bismillah..
Alhamdulillah. Sudah
hampir dua minggu saya berada di tempat yang baru, suasana yang baru dan
segalanya seakan-akan baru. Berada berjauhan, bahkan berseorangan daripada para
ikhwah tercinta, yang suatu ketika dahulu kami pernah bersama-sama mengutip
cinta dari langit lalu menebarkannya di bumi, kini terpisah oleh pelbagai jenis
laut dan lautan.
Jujur, saya
sendiri tidak pasti atas dasar apakah saya memilih untuk berada di tempat ini.
Sama ada ia betul-betul kerana dakwah dan tarbiah ataupun sekadar dipengaruhi
oleh keinginan dunia dan nafsu semata. Namun saya kira persoalan tentang itu
tidak lagi relevan pada momen ini. Kerana saya sudahpun berada di tempat ini,
ataupun lebih dramatik lagi, saya telahpun menjadi sebahagian daripada tempat
ini.
Justeru, walau
apapun kondisinya, betapa sulitpun situasinya, tanggungjawab syahadatul haq
tetap, bahkan wajib untuk saya junjung. Dan itu yang sepatutnya tersemat dalam
diri setiap individu yang merasakan dirinya pejuang di atas jalan cinta yang
sumpah panjang ini. Kerana futur bukan satu pilihan, terutamanya bagi yang
bercita-cita untuk mati di atas jalan dakwah.
Masih ingatkah
kalian…
“Al Mautu fi
sabilillah, asma’ amanina!”
Begitulah
cita-cita yang tersemat sedari awal berada di atas jalan dakwah dan tarbiah..
Namun perjalanan
masih panjang. Bahkan saya sendiri tidak tahu apa yang menanti saya di masa
hadapan. Cabaran, dugaan, mehnah serta tribulasi pasti datang menyinggah.
Persoalannya apakah saya bersedia untuk diuji dengan ujian yang lebih berat
dari sebelum ini? Kerana itulah hakikat jalan dakwah.
Sifirnya mudah…
Barangsiapa yang
merasakan jalan dakwah ini jalan yang indah
ditaburi bunga dan haruman, ketahuilah dia sedang bermimpi.
Oleh itu, saya butuh doa kalian. Agar saya terus
kuat dan dapat menguatkan orang lain. Agar saya dapat terus melangkah tanpa
perlu berhenti kelelahan. Kerana setiap saat yang diperuntukkan untuk berehat
hakikatnya telah memberi kelebihan besar kepada jahiliah.
Kerana realitinya,
jahiliah bekerja tanpa henti, sedangkan du’at banyak pula rehatnya.
Aduhai….
Namun jujur saya
katakan, setelah berbulan-bulan lamanya saya sekadar statik di titik yang sama,
agak sulit untuk saya menemukan kembali kekuatan untuk mengactivatekan kembali
gas turbo yang sekian lama terperap dalam diri. Itupun kalau layak digelar gas
turbo..
Namun sirah
Rasul kekal menjadi tauladan zaman berzaman..
Masih ingatkah
kalian mengapa ar-Rasul yang mulia digelar al-Amin oleh penduduk Makkah?
Mari kita imbas
kembali sirah Rasul tercinta..
Lima tahun
sebelum kebangkitan Rasulullah S.A.W, banjir besar melanda Makkah dan airnya
yang mengalir deras menuju ke Kaabah. Justeru, ia hampir merobohkan bangunan
Kaabah itu. Disebabkan itu, orang Quraisy terpaksa memperbaharui bangunannya.
Pada awalnya
mereka takut-takut untuk merobohkannya, gentar sekiranya tertimpa bala. Namun
al-Walid bin al-Mughirah al-Mukhzumi dengan selambanya memulakan ketukan. Setelah
melihat al-Walid tidak terkena sebarang bala, barulah orang-orang lain berani
bertindak merobohkannya.
Setelah itu
mereka memulakan pembinaan Kaabah.
Diringkaskan
cerita, setelah bangunan selesai disiapkan ke peringkat “Hajar al-Aswad”,
mereka terjadi berselisih antara satu sama lain. Perselisihannya berpokokkan
siapa yang berhak mendapat keistimewaan untuk mengangkat dan meletakkan “Hajar
al-Aswad” itu kembali ke tempatnya. Begitu epik dan dramatiknya perbalahan ini
sehinggakan ianya berlanjutan sehingga ke malam ke empat atau ke lima, bahkan
hampir-hampir membawa kepada pertumpahan darah.
Akhirnya, muncul
seorang yang bernama Abu Umayyah bin al-Mughirah al-Makhzumi mengemukakan
cadangan kepada mereka iaitu, barangsiapa menjadi orang yang pertama memasuki
ke dalam masjid, melalui pintu besar, maka orang itu lah yang akan menjadi
hakim.
Maka perancangan
Allah berjalan mengikut apa yang diaturkan..
Ditakdirkan,
Muhammad bin Abdullah menjadi orang pertama memasuki masjid melalui pintu itu.
Maka para
quraisy lalu berteriak..
“Itu pun
al-Amin!! Kami bersetuju dengan penyelesaian Muhammad!!”
Kemudian mereka
justeru menceritakan apa yang terjadi kepada Rasulullah S.A.W…
Dengan penuh
kebijaksanaan, baginda meminta sehelai kain, lalu diletakkannya Hajar al-Aswad
ke atas hamparan kain tersebut. Lalu baginda meminta setiap taiko kabilah
memegang hujung kain, seterusnya meminta mereka mengangkatnya sehingga sampai
ke tempatnya. Setibanya di situ, baginda sendiri yang meletakkan dengan tangan
baginda ke tempat asalnya.
Maka kesemua
kabilah berpuas hati dengan penyelesaian yang diilhamkan oleh manusia bernama
Muhammad bin Abdullah itu..
Bila membaca
kisah ini, saya jadi terharu..
Cuba kalian
fikir-fikirkan, bagaimana insan bernama Muhammad bin Abdullah ini berhasil
memperoleh kepercayaan kaum Quraisy, lalu mereka semua bersetuju menerima
penyelesaian yang dibawa oleh baginda.
Saya tidak fikir
cadangan melantik orang yang pertama memasuki masjid sebagai hakim akan
dipersetujui oleh mereka andainya orang yang pertama terjadi memasuki masjid
pada hari tersebut adalah individu yang gampang sifatnya, perogol tegar ataupun
perompak terkenal.
Bahkan saya
pasti lagi percaya, reaksi pertama pihak Quraisy setelah terlihat Rasulullah sebagai yang
pertama di masjid pada hari itu dek kerana keperibadian mulia yang dimiliki
oleh baginda sebelum itu lagi. Itulah yang dinamakan qudwah…
Peristiwa ini
menjadi panduan yang justeru berguna buat para du’at hari ini..
“Qudwah qabla
Dakwah” (Tauladan yang baik sebelum menyeru)
Inilah azimat
yang perlu saya tanamkan sedalam-dalamnya dalam hati sebaik sahaja saya menjejakkan
kaki ke tempat ini. Inilah blueprint yang perlu di”install”kan dalam memori
saya sebaik sahaja saya mengangkat panji perjuangan di sini.
Namun, setelah
dua minggu berlalu, saya masih lagi berjuang untuk menjaga qudwah diri. Terkadang
terbabas juga solat subuh. Terkadang terketawa macam orang terkena histeria.
Terkadang terlupa basuh pinggan sendiri lepas makan sampai kena tegur dengan
housemate. Benarlah, menjaga qudwah tidak semudah mengorek telinga..
Namun apa yang
penting…
Ikhlas dan
istiqamah. Disertai dengan doa…
Saya sesekali
tak akan berputus asa..
Moga Allah
redha. Dari dunia sampai akhirat..