Thursday, 27 March 2014

Akhi. Fokus Akhi!

Macam panjang. Macam jela. Tapi bermanfaat kot. Kot.. -_-

Moga Allah redha..

**************


“Nta buat apa tu akhi..?”

Aman  mengajukan pertanyaan sambil melabuhkan punggungnya ke birai katil. Bersebelahan dengan kedudukan Syamim.

“Tengah settlekan report ni akhi, sikit je lagi..”

Syamim menjawab perlahan, mendatar.

Harus diketengahkan, bunyi putaran kipas syiling menjadi muzik latar kepada perbualan mereka malam itu.  

“Amboi akhi, report yang nta kena buat ni based on fesbuk ke cemana..?”

Zaaaaaassss!! Bidikan tepat daripada Aman tepat menuju ke ulu hati Syamim. 

Terasa bak hang!

“Errr takde la akhi. Fesbuk ni sambil-menyambil je. Hehe”

Syamim membalas dengan intonasi serba salah. Cepat-cepat diminimizekan window fesbuknya itu. Hampir setengah jam jugalah dia habiskan hanya untuk scroll newsfeed fesbuk sahaja. Sahaja! Haih.

“Akhi. Fokus akhi!”

*************

FOKUS.

Cuma lima huruf. Tetapi pemberatnya mampu menyengetkan bahu, menyakitkan tengkuk, dan melenguhkan kaki. Jujur, saya juga acap kali tertewas dengan ujian fokus ini. Sentiasa gagal. Dan percayakah anda, setakat ini, tak pernah lagi saya berjaya fokus hundred percent dengan apa jua kerja yang saya buat. Sadis lagi menyadiskan. Kan? Huh.

Namun sejak bergelumang dengan dakwah dan tarbiah, saya semakin menyedari akan peri pentingnya sifat yang bernama fokus ini. Masakan tidak, seorang da’ie itu sepatutnya menjadi seorang yang busy. Mana-mana da’ie yang merasakan diri mereka tidak busy, boleh sempat sedut tutti frutti frozen yogult sambil lepak-lepak atas tilam court mammoth, mungkin bolehlah check balik status ke”da’ie”an tu.

Pehh. Sentappppp!

Sayalah salah seorang daripada da’ie yang perasan da’ie tu. Anda macam mana? Jangan segan-segan nak mengaku. Baik sentap sekarang daripada sentap kat akhirat nanti. Betul tak?

Ok kembali kepada topik perbincangan.

Saya kira kalau di Malaysia ini, saya belum pernah lagi bertemu dengan full-timer dakwah. Maksud full-timer di sini adalah, 24 jam dalam hidup mereka berkisar kepada pembinaan rijal-rijal untuk ummah. Secara realitinya, menjadi da’ie persis Ustaz Hassan Al-Banna ataupun Ustaz KH Rahmat Abdullah. Mungkin ada, tetapi setakat yang saya pernah jumpa, belum lagi sehebat dan segaban kedua-dua orang figura tersebut.

So pointnya di sini apa?

Maksudnya di sini, kebanyakan da’ie di Malaysia termasuk saya yang perasan da’ie ini, kehidupan kita seolah-olah dijuzuk-juzukkan kepada beberapa bahagian. Kalau berdasarkan perspektif saya, hidup ini di kerat kepada dua bahagian. Satu bahagian untuk dunia, satu bahagian untuk dakwah.

Wah, bunyinya macam sekular.

Eh. Relax dulu.

Kejap. Sebelum tu izinkan saya buat disklemer awal-awal.  

Dakwah yang saya maksudkan di sini adalah dakwah yang bermetodologikan pembinaan rijal-rijal Islam. Maknanya, dakwah yang dilakukan melalui interaksi secara langsung antara seorang murabbi dengan mutarabbinya. Atau nama glamornya, tarbiah.   

Arakian, dakwah-dakwah yang lain seperti pakai minyak hatta, pakai serban, pakai baju palestin or even ceramah-ceramah umum tidak termasuk dalam konteks ini. Ya. Kesemua itu adalah dakwah yang in sha Allah ada ganjarannya di sisi Allah. Akan tetapi, seperti yang saya tulis tadi, hanya dakwah yang berorientasikan pembinaan rijal-rijal Islam sahaja yang menepati apa yang saya mahu ketengahkan dalam post ini.

Mohon terima dengan lapang dada ye. Hehe.

Jadi begitulah.

Kebanyakan da’ie di Malaysia terpaksa melalui pembelahan dunia yang boleh tahan menyakitkan ini. Bagi yang student, waktu siang banyak dihabisi di dewan-dewan kuliah yang berpendingin hawa sambil  mendengar ceramah-ceramah yang macam mustahil boleh membasahkan hati. Kemudian, petangnya ke library pula untuk menyiapkan kerja-kerja kursus yang bertimbunan macam sayur. Bagi da’ie yang bekerja pulak lagi getir cabarannya saya rasa. Dengan kerenah boss yang mengada-ngada macam baby, ditambah pula dengan bebanan kerja yang macam standard CEO, padahal kuli je, menyebabkan secara umumnya, waktu siang kita boleh dikatakan bukan untuk urusan dakwah. Justeru yang tinggal hanyalah waktu-waktu malam yang hening untuk membina manusia menjadi rijal-rijal yang berguna untuk agama ini.

Dan dari perbualan dan perbincangan saya dengan kebanyakan ikhwah, boleh dikatakan hampir kesemua dari mereka cuba untuk meletakkan kesemua kerja-kerja duniawi itu sebagai alat untuk dakwah. Seperti contoh, kerja untuk dapat gaji dan digunakan untuk dakwah. Study untuk dapat result yang cemerlang, kemudian digunakan untuk menarik manusia ke kandang tarbiah. Dan setakat ini, saya masih lagi dapat menemukan relevan kepada formula ini. In sha Allah, bergantung kepada niat masing-masing.

Namun apa yang cuba saya ketengahkan dalam post ini ialah realiti yang perlu kita hadapi bahawa masa yang kita ada untuk dakwah yang kita imani ini sangat bahkan tersangatlah terhad. Justeru, adalah tersangat dan sangat ironi andai masa-masa kita masih lagi terisi dengan aktiviti-aktiviti melagha dan membuang masa. Cuba kira ada berapa perkataan sangat dalam perenggan ni? Heh.

Mari kita renungi kata-kata lejen dari murabbi agung, Hassan Al Banna,

“Sesungguhnya kewajipan-kewajipan kita lebih banyak dari masa yang ada…”

“Bersiap dan berbuatlah, jangan menunggu datangnya esok hari, kerana bisa jadi engkau tidak bisa berbuat apa-apa pada esok hari..”

Banyak lagi kata-kata hikmat dari murabbi ummah ini berkenaan dengan budaya kerja yang sepatutnya ada pada diri setiap da’ie. Tapi jujur, dua ini pun dah boleh menyebabkan kebanjiran pada bahagian ketiak dan yang berdekatan dengannya. Fuhhhhh.

Justeru ikhwah, apa yang ditunggu lagi? Tak mahu dengar kata-kata Hassan Al Banna?

Ketahuilah, sejak zaman berzaman Al Quran telah menukilkan..

“Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras untuk urusan yang lain..”
(94:7)

Setelah itu wahai ikhwah, bertawakkallah kepada Allah..

“Dan hanya kepada Tuhanmu engkau berharap..”
(94:8)

Tuesday, 18 March 2014

One Message Received

Ahli zuhud yang baru di dalam zuhudnya lari dari makhluk. Tetapi ahli zuhud yang sempurna zuhudnya tidak lari dari manusia, bahkan mencari-cari mereka kerana dia telah mengenali Allah S.W.T. Sesiapa yang mengenali Allah tidak akan lari dari sesuatu dan dia tidak takut kepada sesiapapun kecuali Allah.
                            
Siapa yang telah sempurna mengenal Allah S.W.T, ia akan menjadi penunjuk manusia kepada-Nya. Dia menjadi jala untuk menangkap manusia dari lautan dunia. Dia diberi kekuatan hingga mampu mengalahkan iblis dan tenteranya. Dia merampas manusia dari genggaman syaitan-syaitan itu.

-Muntalaq (Bab 5), Ahli Ibadat Yang Bermain-main-


Pada suatu malam yang cemerlang, saya telah berkesempatan untuk menghadiri sebuah talk ataupun dalam bahasa klasiknya, ceramah di sebuah bandar minyak di Malaysia yang sejahtera ini. Sebenarnya talk itu adalah anjuran Islamic Society Club kepada sebuah universiti yang terdapat di bandar tersebut, yang ditakdirkan oleh Allah menjadi universiti tempat saya menuntut ilmu.

Bagaimanapun, disebabkan jumlah muslim di universiti itu boleh dibilang dengan jari, maka pihak penganjur pun membuka penyertaan kepada penduduk muslim di sekitar bandar tersebut.

Melihatkan kepada tajuk ceramah yang menggoda, iaitu “Gen Y vs Gen Sahabah”, selain daripada speaker yang dijemput juga agak berwibawa dan terkenal, dan perlu dinyatakan juga, individu-individu yang mempelawa saya ke talk tersebut sopan-santun orangnya dan in sha Allah calon suami soleh, maka saya pun pergilah ke ceramah itu bersama beberapa orang teman yang lain.

Ok, tak nak tulis intro panjang-panjang, sebab saya rasa apa yang saya nak membebel kat bawah nanti pun agak panjang jugak. Dan, in sha Allah, apa yang bakal saya nukilkan dibawah ini adalah sipi-sipi kaitannya dengan petikan daripada buku Muntalaq di atas. Kalau tak nampak juga kaitannya, boleh tinggalkan persoalan di ruangan komentar.

Oh ye, isi-isi tulisan ini sebenarnya saya sedut daripada ceramah itu.

Alhamdulillah, a very beneficial talk I can say. 

Ok. Bismillah…

Dalam kehidupan seharian seorang akh, dan ukht juga, adalah menjadi suatu kemestian untuk menyampaikan mesej tentang Islam dengan apa cara sekalipun, sama ada secara terang-terangan seperti tazkirah dan ceramah, ataupun secara halus seperti ketika tengah bersembang pasal bola, ataupun secara indirectly seperti menunjukkan contoh tauladan yang baik.

Ini penting kerana, dakwah yang mahu kita jalankan bukan terhad ketika sesi liqa’ mingguan sahaja, bahkan dakwah itu perlu terpancar dari segenap perlakuan dan perkataan kita seharian. Bunyinya seperti berat kan? Bukan seperti lagi, dah memang berat pun. Saya nak tulis ni pun takut takut juga sebenarnya. Takut tak teramal. Tapi kita cuba-cuba lah ye, in sha Allah, moga Allah bantu..

Dan yang paling penting antara yang terpenting adalah, benda ini perlu dilakukan secara istiqamah. Inilah yang menjadi cabaran paling getir buat para du’at Islam. Kita perlu konsisten dalam menyebarkan mesej dakwah ini. Tak boleh bermusim, tak boleh ikut mood.

Maka nak dijadikan cerita, salah seorang peserta ceramah bertanya kepada ustaz..

“Ya Ustaz, bagaimana mahu istiqamah dalam menyebarkan kebaikan?”

Saya tertarik dengan jawapan ustaz ini. Jawapan yang agak rare dan jarang-jarang boleh ditemui..

Ustaz ini menjawab..

“Ingat mati!”

Fuh. Semudah itu kan? Omongnya nampak mudah, praktikalnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tetapi saya berjaya menemukan relevan untuk jawapan ini. Logiknya mudah, kita semua mahukan pengakhiran yang baik kan?. Semua nak masuk syurga. Dan kita semua tak nak mati saat iman kita tengah down, ataupun lebih parah lagi, mati dalam keadaan futur dari jalan dakwah, na’uzubillah. Oleh itu, dengan mengingati mati, kita mampu recharge semula iman kita sebenarnya. Ataupun sekurang-kurangnya, elemen muhasabah mampu diterbitkan tatkala kita mengingati mati.

Cuba bayangkan, saat kita futur untuk buat kerja-kerja dakwah, saat kita malas untuk hadir ke program-program tarbiah, saat itu juga Allah tarik nyawa kita. Bagaimana pengakhiran kita waktu itu? Di mana destinasi kita setelah itu? Mungkin, mungkin pada pandangan mata orang lain, kelihatannya kita mati sebagai seorang akh atau ukht yang telah bersaksi dengan syahadahnya. Akan tetapi, Allah tahu, Allah tahu kondisi sebenar iman kita waktu itu. Allah tahu yang kita pada waktu itu tengah rasa malas, tengah futur, tengah down. Dan kita taknak kondisi seperti itu menjadi penutup kepada perjuangan yang telah kita selusuri ini.


 Ya benar, rasa nak futur itu fitrah, yakni sesuatu yang kita tak boleh nak elak. Kerana kita bukan geng malaikat yang statik iman mereka. Kita hanyalah geng-geng manusia jalanan yang dikutip entah dari mana, lalu ditarbiah oleh para murabbi yang ikhlas, lalu dengan izin Allah, menjadilah kita seperti kita yang hari ini. Justeru skrin hidup kita dihiasi dengan graf iman yang kadang-kala menurun hingga hampir-hampir mencecah bumi, kadang-kala pula memuncak tinggi hingga hampir menyentuh langit di atas sana.

Namun ada sesuatu yang membezakan antara mukmin yang benar dengan yang lain..

Sikap kita tatkala roda iman itu mula berputar ke bawah.,

Adakah kita berusaha dengan daya kekuatan yang bersisa untuk melawan putaran itu?

Ataupun kita hanya diam sekadar terpana?

Ataupun lebih teruk lagi adakah kita bahagia dengan putaran seperti itu? Na’uzubillah.

Justeru ikhwah dan akhawat sekalian…

Mohonlah kepada Tuhan pemilik hati agar ditetapkan hati kita di atas jalan dakwah dan tarbiah ini. Kerana kefuturan itu bukan satu pilihan. Bahkan cukup jika saya katakan, hanya satu sahaja pilihan yang ada, iaitu istiqamah di atas jalan ini.

“Dan barangsiapa mencari agama selain Islam, dia tidak akan diterima, dan di akhirat, dia termasuk orang yang rugi”
(Ali Imran, 85)

Kerana Islam ini tidak akan lengkap tanpa dakwah dan tarbiah.

Monday, 17 March 2014

Ikhwah, Thank You!


Over the years, many things have happened
But in all these things that happen
I was never really with them

We trekked on harsh grounds
But I wasn't the one to carry the load
I was the load that all has to carry

We sailed treacherous waters
But I was neither crew nor captain
I was the cargo, safely stored in the belly

We drove for hours to our destination
But I wasn't the car driver
I was the safe passenger, sleeping soundly

Yet

In times like these
In moments like these
In situations like these

They

They were still smiling
They were still happy
They were still willing
They were still forgiving
They were still by my side

But I'm not all too blind to see
That behind some smile
Some really had enough of me
That behind some laughter
Some really were fed up
I know it all too well, for sure,
And it befalls on me to say :
Thank you all, ya ikhwati fillah!!
You have helped me a lot..
Thank you all, but I'm sorry..
I cannot offer you any gifts..
But only pray to Ilahi..
That Jannatul-Firdaus and syahid is yours....
In sha Allah....
************
I do not own this very beautiful poem, nevertheless, its words and points strike my heart. May Allah bless the writer with His Blessings in the dunya wal akhirah. Ameen :)

Thursday, 13 March 2014

Bersabarlah akhi..

“I’m regret to inform you that you have to repeat this presentation!”

Ringkas tapi tegas. Begitulah kata-kata yang terbit dari mulut Madam R, guru kami. So keputusannya, saya bersama ahli kumpulan yang lain (dua orang je sebenarnya) perlu mengulang semula presentation untuk subjek (mari kita gelar subjek ini sebagai subjek T). Atau dalam erti kata lain, kami gagal dalam presentation itu.

Inilah antara catitan lembaran kisah silam saya semasa di kolej dahulu. Cewah.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat kita ditarbiah :)
Sudah menjadi tradisi di kolej itu, barangsiapa yang dikehendaki untuk repeat presentation untuk subjek T, mereka akan menjalani kehidupan like in hell (not literally) pada minggu-minggu berikutnya. Mana tidaknya, tajuk presentation yang baru perlu dicari, manakala proses untuk menyiapkan draft presentation yang complete memakan masa dua ke tiga minggu bahkan hampir sebulan. Itu belum dikira lagi dengan tugasan-tugasan untuk subjek yang lain dan juga tidak boleh dilupakan, tugas untuk STUDY. Justeru, mereka perlu bersiap-sedia untuk menjalani transformasi daripada manusia kepada zombie.

Dan saya lah antara mereka itu. Sobs.

Arakian, saya tidak berminat untuk menceritakan kronologi peristiwa ini, kerana hakikatnya, ujian-ujian seperti ini hanya seberat kaki semut. Hanya sekadar itu. Masih lagi jauh untuk menandingi level ujian yang digalas oleh para anbiya dan syuhada.

Namun ada sebaris catitan yang mahu saya tarik keluar dari kisah ini, lalu diceritakan kepada kalian semua, terutamanya ikhwah dan akhawat yang dikasihi kerana Allah. Moga ada hikmah yang dapat dikutip hendaknya. Ok, skema.

Setelah Madam R meninggalkan kelas kami, saya pun mengemas bahan-bahan presentation dan kembali ke tempat duduk, sambil menunggu guru subjek yang berikutnya untuk masuk. Dipendekkan cerita, sesampainya saya ke tempat duduk, seorang rakan sekelas yang berada tidak jauh dari kedudukan saya mengatakan sesuatu kepada saya.

“Musab, lepas ni kau tak payah la keluar-keluar lagi bila weekend..”

“Fokus je kat assignment kau, study kau, tolonglah…”

Kurang lebih, begitulah. Pedas dan tajam. Menusuk ke hati saya.

Saya tahu apa yang dia maksudkan dengan “keluar bila weekend”. Dan saya rasa kalian juga tahu. Oh, saya terus terang sahajalah di sini. Daurah. Yes, he’s talking about daurah.


Dan sememangnya pada waktu-waktu getir seperti itu, iman turun naik seperti sine graph lagaknya. Tarikan iman dan tarikan duniawi bertarung tanpa henti, yang akhirnya memenatkan diri sendiri. Dan ada juga beberapa ikhwah yang ghaib begitu sahaja daripada usrah dan daurah. Semuanya gara-gara serangan peluru berpandu daripada dunia akademik itu.

Dan tidak saya nafikan, saya juga turut teruji dengan godaan itu. Terasa daurah yang perlu dihadiri membebankan. Terasa usrah yang terlalu lama seperti terlalu tidak perlu. Namun, segala puji bagi Allah, dengan kasih sayang dan rahmat-Nya, saya masih dipilih-Nya untuk terus meniti di atas jalan mujahadah pada momen-momen itu.

Namun ada satu perkara yang saya kesali…

Adik-adik binaan saya. Entahlah. Saya merasakan yang saya terlalu menzalimi mereka. Terlalu banyak hak-hak yang gagal ditunaikan. Hmm. Allahu. Moga Allah ampunkan dosa-dosa saya..

“…sejak aku tiba di lembah air mata ini, bahkan tak bisa ku katakan siapa diriku.”

-Umar Al Khayyam-

Sebentar!

Justeru kenapa saya menulis tentang ini?

Pada waktu-waktu ini, pada masa-masa ini, saya terfikir, apakah adik-adik yang mewarisi dakwah dan tarbiah di kolej sekarang sedang mengalami persis apa yang saya alami waktu itu?

Jika tidak, maka menderu lajulah wahai adik-adikku..

Jika ya, bersabarlah, bermuhasabahlah, dan bermujahadahlah..  

Jujur, amat perit rasanya di hati pabila kita menjadi fitnah kepada dakwah yang ingin di bawa. Meskipun, itu bukan kemahuan diri sendiri. Meskipun, kita cuba menyedapkan hati dengan cuba menganggap kesemua yang berlaku adalah mehnah yang perlu dihadapi di atas jalan ini. Namun hakikat tetap sebuah hakikat. Hanya kita dan insan-insan yang memahami sahaja yang akan memandang melalui kanta mehnah. Sedangkan kesemua yang lain cuma memandang dengan kanta fitnah.

Justeru..

Mahu tidak mahu, kesemua persespsi negatif itu hanya mampu dibalas dengan senyuman..

Meski senyuman itu kelat seperti kelatnya pisang muda..

Namun jangan sesekali lupa untuk bermuhasabah. Sungguh kita hanya manusia biasa. Boleh jadi ujian yang diturunkan sebagai peringatan buat diri kita yang masih lagi bermain-main dengan dakwah. Boleh jadi juga Allah ingin menegur kita dek jahiliah dalam diri yang masih bersisa.  

Oleh itu, tanya balik diri sendiri wahai adik-adikku…

Adakah kita sudah benar-benar all out untuk dakwah dan tarbiah?

Adakah kita sudah berusaha tahap maksima untuk “nyah”kan jahiliah jauh-jauh dari kehidupan kita?

Kerana pertolongan Allah hanya untuk mereka yang benar-benar layak untuk menerimanya. Justeru, letak tangan di dada, dan bermuhasabahlah dengan hati yang paling dalam...

“Layakkah aku?”

Dan akhir sekali, bermujahadahlah..

Sesungguhnya, tiada dakwah dan tarbiah tanpa mujahadah. Pimpin diri sendiri untuk kembali kepada Allah dan cubalah untuk hayati ayat-ayat-Nya dengan hati nurani yang paling dalam. Di situ, dengan izin-Nya, kalian akan temui jawapan kepada kesedihan dan keresahan yang melanda. Di situ kalian akan temui kekuatan untuk bangkit dan kembali berlari. Meski sengal-sengal lutut dan lebam-lebam paha masih belum hilang sepenuhnya.

Dan yang paling penting, tanya kepada hati masing-masing…

“Kenapa aku meniti di atas jalan dakwah dan tarbiah???”

Kerana tanpa kefahaman, semangat kalian akan pudar dan mengewap pabila dibakar dengan api mehnah. Lantas, jadilah kalian mereka-mereka yang tertapis. Na’uzubillah..

Justeru, bertahanlah wahai tentera Allah!!

Letih tubuh di dalam perjalanan
Saat hujan dan panas merasuki badan
Namun jiwa harus tetap bertahan
Kerna perjalanan masih panjang

Friday, 7 March 2014

Travelog Jalan Cinta Para Pejuang IV

Ia lumpuh di usia remajanya. Tapi mimpinya tak ikut lumpuh. Mimpi itu tetap menyala, bahkan kian berkobar. Duhai kekuatan apakah itu? Yang ada pada guru lumpuh itu? Itulah kekuatan jiwa. Begitu kukuhnya ia sehingga jasad yang rapuh itu bagaikan matahari, bersinar meledakkan. Bertahun-tahun dia dipenjara Israel sehingga manusiapun bertanya apakah bahayanya orang tua lumpuh ini?

Perkenalkan, namanya Sheikh Ahmad Yassin.


Bismillah..

Alhamdulillah. Sudah hampir dua minggu saya berada di tempat yang baru, suasana yang baru dan segalanya seakan-akan baru. Berada berjauhan, bahkan berseorangan daripada para ikhwah tercinta, yang suatu ketika dahulu kami pernah bersama-sama mengutip cinta dari langit lalu menebarkannya di bumi, kini terpisah oleh pelbagai jenis laut dan lautan.

Jujur, saya sendiri tidak pasti atas dasar apakah saya memilih untuk berada di tempat ini. Sama ada ia betul-betul kerana dakwah dan tarbiah ataupun sekadar dipengaruhi oleh keinginan dunia dan nafsu semata. Namun saya kira persoalan tentang itu tidak lagi relevan pada momen ini. Kerana saya sudahpun berada di tempat ini, ataupun lebih dramatik lagi, saya telahpun menjadi sebahagian daripada tempat ini.

Justeru, walau apapun kondisinya, betapa sulitpun situasinya, tanggungjawab syahadatul haq tetap, bahkan wajib untuk saya junjung. Dan itu yang sepatutnya tersemat dalam diri setiap individu yang merasakan dirinya pejuang di atas jalan cinta yang sumpah panjang ini. Kerana futur bukan satu pilihan, terutamanya bagi yang bercita-cita untuk mati di atas jalan dakwah.

Masih ingatkah kalian…

“Al Mautu fi sabilillah, asma’ amanina!”

Begitulah cita-cita yang tersemat sedari awal berada di atas jalan dakwah dan tarbiah..

Namun perjalanan masih panjang. Bahkan saya sendiri tidak tahu apa yang menanti saya di masa hadapan. Cabaran, dugaan, mehnah serta tribulasi pasti datang menyinggah. Persoalannya apakah saya bersedia untuk diuji dengan ujian yang lebih berat dari sebelum ini? Kerana itulah hakikat jalan dakwah.

Sifirnya mudah…

Barangsiapa yang merasakan jalan dakwah ini  jalan yang indah ditaburi bunga dan haruman, ketahuilah dia sedang bermimpi.

Oleh  itu, saya butuh doa kalian. Agar saya terus kuat dan dapat menguatkan orang lain. Agar saya dapat terus melangkah tanpa perlu berhenti kelelahan. Kerana setiap saat yang diperuntukkan untuk berehat hakikatnya telah memberi kelebihan besar kepada jahiliah.

Kerana realitinya, jahiliah bekerja tanpa henti, sedangkan du’at banyak pula rehatnya.

Aduhai….

Namun jujur saya katakan, setelah berbulan-bulan lamanya saya sekadar statik di titik yang sama, agak sulit untuk saya menemukan kembali kekuatan untuk mengactivatekan kembali gas turbo yang sekian lama terperap dalam diri. Itupun kalau layak digelar gas turbo..

Namun sirah Rasul kekal menjadi tauladan zaman berzaman..

Masih ingatkah kalian mengapa ar-Rasul yang mulia digelar al-Amin oleh penduduk Makkah?

Mari kita imbas kembali sirah Rasul tercinta..


Lima tahun sebelum kebangkitan Rasulullah S.A.W, banjir besar melanda Makkah dan airnya yang mengalir deras menuju ke Kaabah. Justeru, ia hampir merobohkan bangunan Kaabah itu. Disebabkan itu, orang Quraisy terpaksa memperbaharui bangunannya.

Pada awalnya mereka takut-takut untuk merobohkannya, gentar sekiranya tertimpa bala. Namun al-Walid bin al-Mughirah al-Mukhzumi dengan selambanya memulakan ketukan. Setelah melihat al-Walid tidak terkena sebarang bala, barulah orang-orang lain berani bertindak merobohkannya.

Setelah itu mereka memulakan pembinaan Kaabah.

Diringkaskan cerita, setelah bangunan selesai disiapkan ke peringkat “Hajar al-Aswad”, mereka terjadi berselisih antara satu sama lain. Perselisihannya berpokokkan siapa yang berhak mendapat keistimewaan untuk mengangkat dan meletakkan “Hajar al-Aswad” itu kembali ke tempatnya. Begitu epik dan dramatiknya perbalahan ini sehinggakan ianya berlanjutan sehingga ke malam ke empat atau ke lima, bahkan hampir-hampir membawa kepada pertumpahan darah.

Akhirnya, muncul seorang yang bernama Abu Umayyah bin al-Mughirah al-Makhzumi mengemukakan cadangan kepada mereka iaitu, barangsiapa menjadi orang yang pertama memasuki ke dalam masjid, melalui pintu besar, maka orang itu lah yang akan menjadi hakim.

Maka perancangan Allah berjalan mengikut apa yang diaturkan..

Ditakdirkan, Muhammad bin Abdullah menjadi orang pertama memasuki masjid melalui pintu itu.

Maka para quraisy lalu berteriak..

“Itu pun al-Amin!! Kami bersetuju dengan penyelesaian Muhammad!!”

Kemudian mereka justeru menceritakan apa yang terjadi kepada Rasulullah S.A.W…

Dengan penuh kebijaksanaan, baginda meminta sehelai kain, lalu diletakkannya Hajar al-Aswad ke atas hamparan kain tersebut. Lalu baginda meminta setiap taiko kabilah memegang hujung kain, seterusnya meminta mereka mengangkatnya sehingga sampai ke tempatnya. Setibanya di situ, baginda sendiri yang meletakkan dengan tangan baginda ke tempat asalnya.

Maka kesemua kabilah berpuas hati dengan penyelesaian yang diilhamkan oleh manusia bernama Muhammad bin Abdullah itu..

Bila membaca kisah ini, saya jadi terharu..

Cuba kalian fikir-fikirkan, bagaimana insan bernama Muhammad bin Abdullah ini berhasil memperoleh kepercayaan kaum Quraisy, lalu mereka semua bersetuju menerima penyelesaian yang dibawa oleh baginda.

Saya tidak fikir cadangan melantik orang yang pertama memasuki masjid sebagai hakim akan dipersetujui oleh mereka andainya orang yang pertama terjadi memasuki masjid pada hari tersebut adalah individu yang gampang sifatnya, perogol tegar ataupun perompak terkenal.

Bahkan saya pasti lagi percaya, reaksi pertama pihak Quraisy  setelah terlihat Rasulullah sebagai yang pertama di masjid pada hari itu dek kerana keperibadian mulia yang dimiliki oleh baginda sebelum itu lagi. Itulah yang dinamakan qudwah…

Peristiwa ini menjadi panduan yang justeru berguna buat para du’at hari ini..

“Qudwah qabla Dakwah” (Tauladan yang baik sebelum menyeru)

Inilah azimat yang perlu saya tanamkan sedalam-dalamnya dalam hati sebaik sahaja saya menjejakkan kaki ke tempat ini. Inilah blueprint yang perlu di”install”kan dalam memori saya sebaik sahaja saya mengangkat panji perjuangan di sini.

Namun, setelah dua minggu berlalu, saya masih lagi berjuang untuk menjaga qudwah diri. Terkadang terbabas juga solat subuh. Terkadang terketawa macam orang terkena histeria. Terkadang terlupa basuh pinggan sendiri lepas makan sampai kena tegur dengan housemate. Benarlah, menjaga qudwah tidak semudah mengorek telinga..

Namun apa yang penting…

Ikhlas dan istiqamah. Disertai dengan doa…

Saya sesekali tak akan berputus asa..

Moga Allah redha. Dari dunia sampai akhirat..

Tuesday, 21 January 2014

Ruh vs System


Saya kira bagi kalian yang tekun mengikuti perkembangan semasa tanah air kita yang masih aman ini, pasti kalian sedia maklum dengan beberapa isu hangat yang dibangkitkan di portal-portal berita utama termasuk fesbuk. Antara yang mencuri perhatian adalah isu seorang guru muslimah yang diminta membuka tudungnya sekiranya ingin mengajar di sebuah sekolah jenis kebangsaan cina. Kemudian tidak ketinggalan juga isu kangkung the series yang membanjiri laman fesbuk untuk beberapa hari lamanya.

Dan seperti yang dijangka, respons yang pelbagai dipertontonkan oleh rakyat Malaysia terhadap isu-isu yang dibangkitkan itu. Kalau yang kes tudung tu, ada yang melenting tak tentu pasal, kemain sibuk tanya mana tindakan PAS, mana UMNO. Kat mana diri sendiri tak nak tanya ke bang? Kalau betul nak membela muslimah tu, bukan setakat pongpang kat fesbuk je. Lagi satu, gaya cakap macam nak isytihar perang je dengan not-yet muslim tu. Dah jumpa ke bang orang tu, dakwah kat dia, terang pasal Islam sebagai rahmatan lil a’lamin kat dia. Dah buat? Haih. Eh, tiba-tiba emosi pulak. Kemudian, yang isu kangkung tu pulak, memang layak untuk memenangi anugerah lawak antarabangsa kalau ada. Dengan lagu parodinya, memang berurat-urat perut saya menahan gelak.

Namun di platform ini, saya nak melontarkan sepotong dua nasihat. Ada benarnya juga bila ada pihak yang mendakwa bahawa umat Islam di Malaysia kini ibarat sudah hilang prioritinya. Buktinya antara dua isu yang disebut di atas, ternyata isu kangkung yang lebih menjadi perhatian. Saya tak katakan kita patut ketepikan isu bebanan yang ditanggung rakyat lantas memfokuskan hanya pada isu akidah, tapi saya melihat dengan meng’viral’kan benda kangkung ni, ia tak akan dapat menyelesaikan isu sebenar, yakni isu pembaziran dalam pengurusan negara, isu ketirisan dan beberapa isu yang lain. Yang pasti, dah berapa banyak dosa kering kita dapat dek isu kangkung ni. Tak percaya? Cuba tengok page-page politik yang sembang pasal kangkung ni, kemudian cuba listkan kata-kata carutan dan makian yang kalian jumpa.

Sebenarnya saya tak nak ulas panjang-panjang perihal kangkung dan tudung ini. Kerana ada satu lagi isu yang menjentik pandangan mata saya. Iaitu isu sepasang suami isteri yang dipenjarakan di Sweden kerana merotan anaknya yang tidak bersolat.

“Haaaa? What the fish?? Celaka orang kafir!! Merotan anak tu suruhan nabi kot..”

Heh. Rilex dulu. Ini la masalah orang kita. Mudah sangat melenting. Mungkin sudah sampai masanya untuk kita serius mempelajari erti sabar dan rasional seperti yang diajari dalam Al Quran. Saya serius ni. Kepada para murabbi dan murabbiah, sila tekankan dua sifat ini dalam usrah masing-masing. Begitu juga dengan para asatizah, dalam ceramah atau kelas yang kalian anjurkan, mohon sentuh tentang dua sifat ini.  

Berbalik kepada topik sebenar..

Saya merasakan isu ini mungkinlah tidak se”glamour” isu kangkung ataupun isu tudung lantaran ianya berlaku nun jauh di Sweden sana. Dan post saya kali ini bukanlah nak mengulas panjang berkenaan isu ini seperti siapa benar dan siapa salah ataupun apa tindakan susulan yang sepatutnya dilakukan. Kerana jujurnya saya sendiri masih lagi kelabu-kelabu asap dengan isu ini, masih lagi tidak jelas dengan hujung pangkalnya. Oleh itu, tindakan mengulas dalam keadaan seperti ini hanya mengundang untuk berlaku zalim kepada pihak-pihak yang terlibat.

Justeru hari ini saya hanya memilih untuk menulis secara umum..

Yakni satu lagi kefahaman yang saya impikan untuk difahami oleh semua orang…

Begini kisahnya...

Murabbi saya pernah berpesan..

“Enta bila dah ada anak nanti, didik anak enta untuk faham ruh dahulu, baru sistem..”

Justeru, soal mendidik anak. Antara ruh dan sistem..


Secara mudahnya, ruh ini bererti kefahaman kita terhadap sesuatu perkara itu. Contohnya kenapa kita perlu melakukan sesuatu itu? Apa keistimewaan dan keuntungan yang kita peroleh bila kita melakukannya? Dan apa kerugian yang terpaksa ditanggung sekiranya kita culas melaksanakannya? Itulah fungsi ruh. Membina asas kefahaman dalam diri kita supaya sesuatu yang kita laksanakan itu tidak menjadi sekadar ritual dan kebiasaan.

Sedangkan sistem pula bererti tatacara ataupun bagaimana kita melakukan sesuatu itu. Sebagai contoh, syarat-syarat pelaksanaannya, larangan-larangan dalam proses untuk melaksanakannya dan juga panduan pelaksanaannya itu sendiri. Fungsi sistem ini pula supaya kita dapat melaksanakan sesuatu itu dengan sempurna dan betul.

Untuk lebih realistik lagi, mari kita ambil solat sebagai case-study..

Saya kira ramai ibu bapa yang terlalu gelojoh dalam mengajar anak untuk bersolat. Maksud terlalu gelojoh di sini ialah mereka hanya menumpukan kepada aspek sistem pelaksanaan solat itu sahaja. Bagi mereka, cukup sekadar anak mereka tahu bersolat. Untuk aspek penghayatan ruh solat, anak itu sekadar diberitahu bahawa meninggalkan solat itu satu perbuatan yang berdosa.

Maka, apabila aspek penghayatan ruh solat tidak dititikberatkan, tidak boleh untuk kita menyalahkan anak itu pabila mereka meninggalkan solat, apatah lagi merotannya. Kerana mereka sendiri tidak tahu kenapa mereka harus bersolat. Yang mereka tahu, mereka akan mendapat dosa sekiranya tidak bersolat. Hanya sekadar itu..

Yang sepatutnya ibu bapa lakukan adalah memahamkan dahulu anak mereka tentang ruh solat itu sendiri. Terangkan kepada anak itu kenapa mereka wajib bersolat. Beritahu anak itu apa sebenarnya yang sedang mereka lakukan ketika bersolat. Terangkan sehabis-habis dan sebaik-baiknya. Bilang sama itu anak yang mereka sedang menyembah Allah Rabbul Jalil dalam solat mereka. Kalau anak itu belum mengenal Allah, kenalkan mereka dengan Allah Tuhan semesta alam. Bisikkan kepada anak itu bahawa solat adalah momen percintaan seorang hamba dengan Tuhannya.

Nak lagi cun, kaitkan solat itu dengan Al Quran. Supaya jiwa anak-anak dekat dengan Al Quran..

Beritahu mereka tentang ayat ke 45 dalam surah Al Baqarah yang bermaksud..

“Dan mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Dan itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk”
(Al Baqarah, 45)

Juga khabarkan kepada anak itu ayat ke 153 surah Al Baqarah..

“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar”
(Al Baqarah, 153)

Ruh wahai saudaraku. Itulah pentingnya ruh. Kerana ruh itulah yang mencorakkan kefahaman kita. Dan dengan kefahaman itu, kita akan melaksanakan sesuatu itu walau apa pun kondisinya. Meskipun dalam penat. Walaupun dalam malas. Kerana adanya kefahaman.

Tapi..

Macam terlalu berat je untuk kanak-kanak faham aspek penghayatan solat ni..

Heh. Saya pernah jumpa di laman sosial seorang kanak-kanak berusia 10 tahun menulis tentang politik dalam blognya. Politik bhaii. Ya, mungkinlah kanak-kanak seperti itu sangat rare dan jarang boleh ditemui. Dan saya tidaklah bermaksud supaya semuanya perlu diberitahu hanya dalam satu sesi.

Mungkin boleh diterangkan sedikit demi sedikit kepada anak itu tentang ruh solat yang mereka laksanakan. Contohnya lepas solat zohor, beritahu sedikit. Lepas solat asar, beritahu sedikit lagi. Lepas solat maghrib, beritahu lagi sikit-sikit. Macam tu la. Yang penting istiqamah dan konsisten dalam mendidik.

Untuk kaedah merotan pula, saya akui, merotan dibenarkan dalam Islam asalkan mematuhi tatacaranya. Namun saya lebih cenderung untuk berpendapat merotan adalah langkah yang paling terakhir dalam mendidik anak. Bukan yang pertama, bukan yang kedua dan bukan yang ketiga. Tapi yang terakhir. Kenapa? In sha Allah, saya akan terangkan dalam post yang seterusnya..

Namun yang penting disini, buat kalian yang dah punyai anak, ataupun on the way untuk dapat anak, ataupun yang still berangan nak ada anak, didiklah anak-anak kalian untuk memahami ruh sesuatu itu terlebih dahulu. Kemudian barulah diajar tentang sistem pelaksanaannya. Ataupun nak ajar serentak pun boleh juga sebenarnya. Yang penting, aspek ruh dan penghayatan itu perlu dititikberatkan.

Ini bukan teraplikasi untuk solat sahaja, bahkan ibadah yang lain juga..

Justeru, mari kita amalkan *tapi saya kena kahwin dulu. Heh

Friday, 17 January 2014

Death Stories


We never know when we are going to die…

Bagaimana rasanya kematian itu..

Gambaran kehidupan setelah mati itu…

Kita tak pernah tahu dan rasa..

Namun hari ini, izinkan saya untuk menceritakan tentang kematian tiga individu yang saya kenali, yang seusia dengan saya. Mereka meninggal dunia tanpa sempat untuk merasai kehidupan di univeristi, tanpa sempat untuk merasai nikmat bergelar seorang suami, bahkan salah seorang dari mereka tidak pernah pun merasai suasana dewan peperiksaan PMR.

People always say…

You need to think about marriage, because you will be going through it someday..

But I feel that we need to think about death even more…

Kerana kematian itu sebenarnya dekat dengan kita. Bahkan terlalu dekat..

Semoga kisah yang saya nukilkan ini, sedikit sebanyak menyedarkan kita, yang suatu hari nanti, akan tiba detiknya di mana kita akan dipanggil pulang…

Kisah yang pertama adalah kisah kawan saya. Kawan baik sebenarnya. Kami sudah mengenali antara satu sama lain semenjak di bangku sekolah rendah. Lebih tepat lagi semenjak darjah tiga. Namun ketika darjah lima, ayah telah meminta saya untuk berpindah ke sekolah yang lain. Saya dimaklumkan yang kawan saya itu pun akan berpindah juga. Tetapi bukan di sekolah yang sama dengan saya. Maka berakhirlah kisah persahabatan kami di situ. Maklumlah waktu itu saya tak dibenarkan untuk memiliki telefon bimbit. Fesbuk pun tak wujud lagi.

Namun ditakdirkan Allah, kami bertemu lagi disekolah menengah. Dan lebih menggembirakan, kami ditakdirkan untuk sekelas. Dan semenjak itu, persahabatan kami bertambah erat. Wah, macam drama kat Tv pulak.Tapi serius, saya rasa itulah kali pertama saya ada seorang kawan baik. Sebab saya ni jenis yang kawan je dengan semua orang. Kalau di sekolah dulu, agak jaranglah saya berjalan berdua. Biasanya berkumpulan.   

Tapi dengan kawan saya yang ini, saya rasa selesa. Selalu lepak kat tandas sama-sama. Pergi kantin sama-sama. Banyak benda yang kami buat bersama-sama. Namun semua ini tidak kekal lama. Semasa di tingkatan dua, sekolah telah melaksanakan sistem streming, di mana para pelajar akan dikelaskan mengikut result peperiksaan akhir tahun tingkatan satu. Rasis sungguh. Huh. Ditakdirkan Allah, saya ditempatkan di kelas yang pertama manakala dia di kelas yang ketiga.

Dan disebabkan jarak kelas yang jauh, maka jaranglah kami dapat bersua. Dan saya rasa memang menjadi budaya di mana-mana sekolah pun, yang kita akan rapat dengan classmates sendiri berbanding dengan rakan-rakan yang lain. Kami pun menjadi renggang. Dan perkara ini berlanjutan sehinggalah ke cuti pertengahan tahun tingkatan dua. Ketika itulah peristiwa itu terjadi.

Ketika sedang berseronok menghabiskan cuti dirumah, saya mendapat perkhabaran bahawa kawan saya ini terkorban dalam satu kemalangan motorsikal. Saya tak begitu ingat tentang details kemalangan itu, bagaimana ia boleh berlaku, sebab terlalu banyak riwayat yang menceritakan tentangnya. Tapi yang pasti, dia terbunuh dalam kemalangan itu disebabkan kecederaan yang agak teruk di kepala.

Dan peristiwa itu memberi kesan kepada saya.

Sedih? Sudah tentu. He is one of my best friend since forever..

Kita tutup kisah tentang sahabat saya ini. Dan doakan semoga rohnya dicucuri rahmat.

How much I miss you. Sobs.

Kisah yang kedua ini pula adalah kisah keluarga saya. Sepupu saya to be exact. Seorang lelaki. Seusia dengan saya. Namun dipanggil Tuhan ketika berusia 17 tahun. Ye. Semasa di tingkatan lima. Sama seperti sahabat saya yang saya ceritakan tadi, sepupu saya ini turut terkorban dalam kemalangan motorsikal. Dia terbabit dalam kemalangan itu ketika dalam perjalanan untuk pulang dari sekolah.

Dan disebabkan peristiwa itu, mak begitu yakin sekali untuk tidak membenarkan saya menunggang motorsikal lagi. Kerana untuk rekod, saya juga pernah terbabit dengan kemalangan motorsikal semasa tingkatan empat. Walaupun tidaklah seteruk mana, namun itu sudah cukup untuk ayah menjual motorsikal itu. Heh, and believe me when I say I have not ride a motorcycle for a very long long time.

Berbalik kepada kisah sepupu saya..

Jujur dia antara individu yang rapat dengan saya terutama ketika kami di zaman kanak-kanak ribena. Setiap kali pulang ke kampung, kami akan bermain bersama-sama. Biasanya kami akan bermain bola di laman rumah sambil berkaki ayam tanpa mengira waktu. Pagi, petang, malam even tengah malam. Selalunya kami akan mengajak sepupu-sepupu yang lain untuk bermain sekali. Dan jika mereka tak nak, kami akan bermain berdua. Dia sepak bola, manakala saya akan jadi goalkeeper. Kemudian, saya pula sepak bola, dia jadi goalkeeper. Ohh. How much I miss those times..

Namun ketika sudah menginjak ke zaman remaja, kami lebih kepada buat hal sendiri-sendiri. Terutama ketika sudahpun masuk ke tingkatan empat. Lagi pula ketika itu saya dah pun terjebak dengan aktiviti tak bermoral konon-konon nak ada pasangan hidup. Kofff. Maka henset adalah kawan baik saya setiap kali pulang ke kampung. Bukan lagi sepupu saya tu. Teruk betul. Haih..

Dan kematian dia begitu mengejutkan saya. Beberapa hari setelah peristiwa tersebut berlaku, saya ada menghubungi makcik saya melalui fesbuk. Cuba menenangkan dia, tetapi kadang saya merasakan seolah makcik saya itu pula yang menenangkan saya. Dan saya masih ingat lagi ketika makcik saya itu mengucapkan tahniah kepada saya atas keputusan SPM yang saya peroleh, saya dapat rasakan perasaannya. Kerana anaknya juga sepatutnya memperoleh keputusan SPM hari itu. You know, it is hard to let go.

Kisah ketiga ini mungkin tidaklah sepanjang kisah yang pertama dan kedua tadi. Kerana saya tidaklah mengenali dengan begitu rapat individu ketiga ini. Dia adalah schoolmate saya. Namun kami tidak pernah sekelas. Tidak pernah melepak bersama-sama. Bahkan bercakap dalam erti kata yang sebenar pun jarang. Mungkin adalah dua tiga perkara yang menjadi persamaan antara kami. Contohnya, kami sama-sama menganggotai pasukan bola sepak sekolah.

Dan sama seperti dua kisah di atas, rakan saya ini turut meninggal dunia kerana kemalangan motorsikal. Untuk menceritakannya secara detail pun saya tidak tahu. Kerana banyak juga khilaf tentang kronologi kemalangan itu.

Hmmmmm…

Maka inilah tiga kisah yang saya coretkan malam ini…

Ramai orang mengatakan tentang kematian yang menghidupkan. But the fact is people die everyday. Dan sepatutnya kematian itu sudah cukup untuk menjadi tazkirah buat kita. Walaupun hanya kematian seorang makcik penjual karipap tepi jalan. Dan berapa ramai orang yang dulunya hidup dengan kematian figura-figura hebat seperti Ahmad Ammar ataupun Iman Shafiq, tapi hari ini sudah kembali ke takuk lama?

You know yourself better..   

After  almost 15 days without any updates, suddenly I come with death stories. Why?  

Because of this..

“Sesungguhnya hati manusia itu berkarat seperti berkaratnya besi. Sahabat-sahabat bertanya, apakah penggilapnya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab, membaca Al Quran dan MENGINGATI MATI
(HR : Al Baihaqi)

To tell you the truth, it is hard to write nowadays. At least for now. At this moment..

But, I will return..