Wednesday, 23 October 2013

Al Fateh : Antara Dua Darjat : Episod 3

(...)
Hari itu kelasnya tamat awal iaitu kira-kira dalam pukul 1.30 tengah hari. Azyulail tidak melepaskan peluang ini untuk melepak di Perpustakaan Galeri Ilmu, Universiti Malaysia Aman Damai, tempat yang boleh dianggap rumahnya yang kedua. Dia juga menggunakan kesempatan ini untuk berbincang dengan teman-teman rapatnya berkenaan dengan assignment terbarunya yang kini telahpun mengambil tempat paling utama dalam hatinya. Maklumlah, pelajar cemerlang, gemilang dan terbilang.

“Eh Sibir, yang aku mintak tolong semalam tu camne? Ada jumpa?”

Azyulail melabuhkan punggungnya betul-betul di sebelah Sibir yang sedang khusyuk membaca surat khabar Utusan Kebangkitan Rakyat di penjuru Perpustakaan Galeri Ilmu itu. Sibir merupakan rakan sekuliahnya di Fakulti Sejarah dan Ketamadunan di universiti tersebut.

“Ada tu ada..tapi..tak banyak mana la..” Sibir menjawab. Ringkas. Bersahaja.

Azyulail mencebikkan bibirnya. Pantang benar dia jika rakan-rakannya tidak serius dalam menjalankan tugas yang diberikan. Sebenarnya tugasan untuk mengkaji tentang sejarah Sultan Muhammad Al Fateh itu merupakan tugasan berkumpulan. Dan Azyulail telah memilih Sibir, Meon dan Asyrafuddin menjadi rakan sekumpulannya.  

“Haish..k..kau tunjuk dulu dekat aku, lepas tu kita fikir camne nak topup information tu..”

“Jom..aku letak laptop dekat hujung sana..”

Sibir meletakkan kembali surat khabar Utusan Kebangkitan Rakyat di rak yang disediakan lantas berlalu pergi bersama Azyulail. Bersepah-sepah kesan-kesan kedut terpapar di bahagian belakang t-shirt yang dipakainya dek terlalu lama duduk di atas sofa, leka membaca surat khabar Utusan Kebangkitan Rakyat, akhbar yang kaya dengan artikel-artikel pencetus aspirasi rakyat jelata di negara Malaysia yang masih aman ini.

……………………

“Okay..berdasarkan kajian aku..tak banyak sumber primer tentang Al Fateh yang boleh kita rujuk”

“Contohnya sumber dari Greek oleh George Phrantzes yang menyaksikan sendiri kejadian kejatuhan Kota Konstantinopel”

“Lepas tu, ada juga sumber Slavonic, misalnya sejarawan Serbia bernama Michael Constantinovic of Ostrovica yang membuat catatan secara kesaksian kerana beliau hidup pada waktu tersebut”

“Kemudian, kita ada sumber Venetian oleh Nicolo Barbaro yang datang ke Konstantinopel untuk belajar ilmu perubatan di hari-hari kejatuhan Konstantinopel”

Sibir mengambil nafas sejenak sambil menyusun kertas-kertas di hadapannya. Azyulail pula masih lagi tenang mendengar. Serius.

“Untuk sumber-sumber dari Turki pula, apa yang aku boleh cakap, ianya tak begitu kukuh dari segi kualiti dokumentasi”

“Tapi masalahya sekarang, sumber-sumber primer tadi tu kebanyakannya belum diterjemah ke dalam Bahasa Melayu”

“Aku tak pasti sama ada kita boleh dapatkan dalam versi Bahasa Inggeris yang telah didokumentasikan dengan baik dari mana-mana kedai di Malaysia ni..”

Azyulail menghela nafas yang panjang mendengar penerangan Sibir yang sumpah panjang itu. Dia menggaru-garu bahagian tepi kanan kepalanya yang tidak gatal. Beberapa kelimumur putih jatuh terawang-awang dari kepalanya lalu mendarat ke bumi.

“Arghh!! Stress aku macam ni…”

“Kalau kita ambil je sumber-sumber sekunder atau tertier yang dah ada kat Malaysia macam mana?”

Azyulail mengutarakan pandangannya. Cuba untuk merungkai kemelut di fikirannya.

“Boleh aje nak buat macam tu..tapi…..”

“Tapi….?”

“Tapi nanti kita rugi markah untuk aspek kesahihan sumber….”   

“Haih…”

Azyulail mengeluh. Kemudian secara spontannya dia mengeliatkan badannya. Ahhh. Lega. Terasa urat-urat di badannya lurus kembali. Dia memandang jam di pergelangan tangannya. Pemberian ibu tercinta yang telah pergi dua tahun lalu.

“Eh..dah pukul 3.30 petang ni..kau dah sembahyang zohor..”

“Belum…”

“Aku pun belum..jom lah solat dulu..kot kot boleh dapat idea nanti..”

“Orite..jom!!”

………………………

“Alhamdulillah….”

Terpacul kalimah itu dari mulut Muadz Al-Masri sebaik sahaja dia sedar dari tidurnya. Perlahan-lahan dia bangun dari pembaringannya. Kelopak matanya masih lagi belum terbuka sepenuhnya. Dia kemamaian.

“Subhanallah….”

Muadz Al-Masri meraut wajahnya perlahan-lahan menggunakan kedua-dua belah tapak tangannya. Menghilangkan kemamaian. Dipandangnya sekeliling kawasan khemah pelarian itu. Kelihatan beberapa pemuda Gaza sedang khusyuk menyembah Allah, mengadukan perihal mereka kepada Tuhan yang menguasai alam.

“Allahu Akbar….”

Dia lantas bangun, berdiri tegak dan mengeliatkan badannya. Perlahan-lahan dia menuju ke kawasan baldi menyimpan air di tepian kawasan khemah pelarian itu. Sejuk. Dia menggigil.

Lalu dia mencedok air di baldi itu dengan menggunakan botol air yang telah dibelah dua. Kesejukan masih lagi dirasakannya. Dengan berhati-hati, Muadz Al-Masri berwudhuk, sambil mengharapkan agar dosa-dosanya keluar melalui celah-celah jarinya.

……………Bersambung……………….

Jujur. Agak sukar untuk menulis cerpen ini. Saya tidak pasti bagaimana penilaian anda yang membacanya. Namun satu sahaja yang saya pinta untuk kalian doakan, agar usaha ini diredhai Allah.

Nantikan sambungannya. In sha Allah.


2 comments:

  1. Salam. Selepas baca sedutan ketiga ni, baru faham kaitan tajuk cerpen dengan isi, dan perbezaan antara dua watak utama. Alhamdulillah, ianya sgt interesting. Teruskan usaha anta.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam

      Alhamdulillah and Jazakillah kheir.

      Mohon doakan agar diberi kekuatan dan moga Allah redha. In sha Allah

      Delete