Saturday, 5 October 2013

SEBUAH GARIS MASA

Post pertama setelah blog berubah wajah. Cewah.

Dan saya kira teramatlah wajar saya memulakan apa yang bakal saya coretkan dibawah dengan lafaz Alhamdulillah. Bunyinya macam skema. Skema pun skema lah.

Ok sebenarnya ceritanya macam ni.

Alhamdulillah, setelah penantian selama beberapa purnama, melalui fasa-fasa yang agak sukar, akhirnya saya berjaya mendapatkan tawaran daripada sebuah universiti yang namanya terpaksa dirahsiakan. Dan untuk pergi ke sana, saya perlu menggunakan kapal terbang, jika tidak saya perlu berenang merentasi laut. Ok, cukup sekadar itu.

Courtesy of LangitIlahi
Yang akan saya highlight di sini adalah keadaan saya sebelum menerima tawaran itu. Saya tak boleh menipu diri sendiri bahawa terdapat sekelumit bimbang dan cemas yang membelenggu hati saya. Bimbang akan masa depan saya. Resah memikirkan ke mana akan saya tuju selepas ini. Begitulah dan begitulah. Eh jap. Bukan ke orang-orang yang beriman itu hatinya tenang dengan mengingati Allah? Ouch.

Resah, bimbang, gelisah, cemas, risau dan yang sama waktu dengannya.

Ya. Saya tidak menafikan bahawa perasaan-perasaan seperti ini tidak dapat dipisahkan dengan diri seorang manusia. Apatah lagi manusia yang penuh dengan kekurangan. Bahkan ia juga berlaku ke atas diri saya. Involuntarily.

Saya ingin mengajak diri saya sendiri dan anda semua untuk berhenti sejenak, pandang ke dalam hati, koreksi diri. Pinjamkan sejenak sahaja dari masamu. Mana tahu pinjaman ini berguna buat dirimu di hari muka.

Risau pasal masa depan itu normal untuk manusia biasa. Saya setuju. Cuma kali ini saya mahu anda mengimaginasikan hidup ini umpama sebuah garis masa. Sebuah garis masa yang memaparkan perjalanan hidup kita. Bermula sejak kita keluar dari rahim ibu, masuk tadika, terjatuh sewaktu kali pertama menunggang basikal, dapat result SPM dan seterusnya.

Cuba kita fikirkan sedalam-dalamnya.

Kita hanya risau kepada perkara-perkara yang dekat dari kita di atas garis masa itu. Mula-mula risau nak masuk universiti mana. Setelah itu resah memikirkan tentang pekerjaan setelah tamat pengajian dari universiti, gelisah memikirkan hendak kahwin dengan siapa and the list goes on. Cuba kita perhatikan, kerisauan kita hanya sekadar berpusat kepada perkara-perkara yang materialistik, yang sepatutnya tidak signifikan kepada seseorang yang telah meletakkan setinggi-tinggi kepercayaan kepada Allah.

Dalam erti kata yang lain, kita tidak berpandangan jauh dalam memandang garis masa kehidupan kita. Jika sekalipun ada pemuda-pemudi yang sudahpun berasa risau tentang univeristi mana cucu-cicit mereka akan pergi, saya berani mengatakan mereka masih belum cukup berpandangan jauh lagi.

Mengapa?

Kerana kita masih lagi gagal untuk memandang sesuatu yang jauh tetapi dekat sebenarnya dengan kita. Itulah dia kehidupan setelah mati. Mengapa ia sesuatu yang jauh dari kita? Kerana kita tak mampu memandangnya dengan menggunakan mata kasar apatah lagi menggapainya dengan tangan. Mengapa pula ia sebenarnya dekat dengan kita? Kerana maut bila-bila masa boleh menjemput kita.

Yet, the fact yang kematian sentiasa memburu kita langsung tidak merisaukan kita untuk memikirkan kehidupan kita setelah mati. Bagaimana nasib kita di sana? Apakah kesudahan kita? Di syurga atau di neraka?  Semua itu sama sekali tidak merisaukan kita. Seolah-olah kita akan hidup selama-lamanya.

"Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”. (As Sajadah : 12)

“Atau berkata semasa ia melihat azab: ` Kalaulah aku dapat kembali ke dunia, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan” (Az Zumar : 58)

Ini antara ayat Al Quran yang menceritakan tentang penyesalan manusia yang sewaktu di dunia mereka tidak beriman dengan janji-janji Allah. Dan setelah mereka menyaksikan akan kebenaran ayat-ayat Allah dengan menggunakan mata kepala mereka sendiri, barulah mereka menyesal dan merayu untuk kembali semula ke dunia.

Post ini tdak bermaksud sama sekali untuk menyeru kalian menjadi ahli ibadah yang melupakan terus dunia ini. Tidak bermaksud untuk mengajak seorang suami dan ayah meninggalkan terus isteri dan anak-anaknya untuk beribadah di masjid. Tidak juga bermaksud untuk menghasut pelajar-pelajar universiti meninggalkan terus bidang pengajian kalian lantas menjadi ahli masjid sepenuh masa.

Tidak. Sama sekali tidak.

Namun pengajaran terpenting di sini ialah mengingati mati dan melakukan persediaan ke arahnya. Itulah ciri orang-orang yang bijaksana.

Maka di mana kita?

No comments:

Post a Comment