Friday, 11 October 2013

SEBENING PERSAHABATAN AL-KAHFI

Aku cemburu dengan pemuda kahfi..

Jika sesetengah orang mengimpikan persahabatan umpama Muhammad dan Abu Bakar, Musa dan Harun ataupun Salman Al-Farisi dan Abu Darda’, lain pula dengan diriku.

Aku merindukan persahabatan seperti persahabatan pemuda kahfi. Terlalu merindukan. Kerana itu aku cemburu dengan mereka.

Berkumpulan, bergerombolan meriah mencari redha Tuhan.

Courtesy of Madmie China
Pemuda kahfi bukan sekadar sekumpulan sahabat, bahkan mereka sekumpulan sahabat yang beriman. Malah, keimanan mereka diiktiraf Tuhan. Begitu besar perbezaannya. Dari segi ruh mahupun pengertian.

“Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka.” 
(Al Kahfi, 10)

Tidak cukup dengan itu, Allah tambahkan kurniaan buat sekumpulan sahabat ini dengan petunjuk. Nikmat apakah yang lebih besar dari mendapat petunjuk daripada Tuhan?

“…dan kami tambahkan petunjuk kepada mereka” 
(Al kahfi, 10)

Sungguh beruntung pemuda kahfi. Mereka diselamatkan Tuhan dari rencamnya fitnah tatkala melihat manusia semakin tidak tentu arah. Diselimuti dengan rahmat Tuhan dalam lena yang panjang menjangkau tiga ratus tahun lamanya.

Ingin sekali aku seperti mereka. Mengasingkan diri dari dunia yang penuh mehnah dan fitnah. Namun aku terlupa bahawa perintah Tuhan untuk kami berbeza.

Mereka diperintahkan untuk bersembunyi di dalam gua.

“..maka carilah tempat berlindung ke dalam gua itu..” 
(Al Kahfi, 16)

Dan mereka dirahmati kerana mematuhi perintah itu.

“..nescaya Tuhanmu akan melimpahkan sebahagian rahmat-Nya kepadamu..” 
(Al Kahfi, 16)

Sedangkan perintah untuk diriku jelas terpateri dalam surah Az-Zariyat ayat ke lima puluh lima.

“Dan TETAPLAH memberi peringatan..” 
(Az Zariyat, 55)

Jika aku mahukan diriku dirahmati sebagaimana para pemuda kahfi itu, perintah itu harus bahkan wajib untuk aku ikuti dan patuhi. Begitulah sifirnya.

Kerana aku umat Muhammad. Di hadapanku tiada lagi Rasul untuk tersyariatnya sebuah uzlah.

Begitulah sebening persahabatan mengajar kita mentaati perintah Tuhan demi menggapai rahmat-Nya. Dan sudah tentu untuk meraih syurga-Nya.

Duhai sekumpulan sahabat, tunggu aku di syurga. Aku ingin menyertai kalian.   

No comments:

Post a Comment