Wednesday, 20 November 2013

Syahadatul Haq #1 : Sebuah Pengenalan

Sahaja aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan sahaja aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.

Mengikut percaturan matematik saya, sekurang-kurangnya sembilan kali kita mengungkapkan kalimah ini dalam sehari bagi yang lengkap solat fardu lima waktunya. Bagi yang tak lengkap, silalah bertaubat sebelum ajal mendekat. Pesanan penaja hari ini.

Sembilan kali..

Sembilan kali ye. Banyak tu. Itu belum lagi termasuk yang istiqamah melaksanakan solat sunat rawatib, solat sunat taubat dan beraneka jenis solat-solat sunat yang ada di pasaran ibadah. Tidak ketinggalan juga solat sunat istikharah bila nak kawen. Banyak..Banyak kali kita lafazkan kalimah syahadah ini.

Dulu masa saya sekolah pun ada seorang ustaz yang ingatkan kami untuk selalu bersyahadah pada setiap kali free-time. Habis study, bersyahadah. Lepas main bola petang-petang, bersyahadah. Nak verify iman katanya. Betullah tu. Pointnya kat sini, baaanyak yang terlalu kita bersyahadah dalam sehari. Boleh jadi seratus, boleh jadi seribu bahkan berjuta. Ok. Hiperbola sedikit di situ.

Arakian…

Apakah pengertian sebenar syahadah yang kita ungkapkan itu? Adakah ianya hanya sekadar alat untuk verify iman? Ataupun hanya sekadar pra-syarat untuk mendapatkan cop “sah” solat?

Sekian lama persoalan-persoalan ini dibiarkan tanpa jawapan. Maka hari ini, saya memaksa diri saya untuk merungkai fakta demi fakta, dengan niat untuk menghentikan sebarang polemik lantas menatijahkan sebuah kefahaman berasaskan syahadah yang hakiki.

Demi redha Allah..

Hamboi ayat..

Begini ceritanya. Setelah muncul dengan siri penulisan Kembara Tarbiah, kini saya mengembangkan lagi sayap penulisan blog ini dengan meng’initiate’kan siri penulisan Syahadatul Haq. Siri penulisan Syahadatul Haq ini bolehlah dikatakan sebagai sambungan dan rentetan daripada siri penulisan Kembara Tarbiah sebelum ini.   

Bagi anda yang tidak berkesempatan untuk mengikuti Kembara Tarbiah dek kesibukan study ke, kerja ke, jahit baju ke, pihak penaja sangat menggalakkan anda untuk membaca dahulu siri-siri penulisan Kembara Tarbiah secara berturutan sebelum anda mengikuti siri penulisan Syahadatul Haq ini. Kesemua link untuk siri-siri penulisan Kembara Tarbiah sudahpun selamat ditampal dibahagian kanan blog ini.  

Sebenarnya saya pun pening juga memikirkan bagaimana nak memulakan siri penulisan Syahadatul Haq ini. Fikir-punya fikir, maka saya pun berijtihdad, adalah molek dan anggun sekali jika saya memulakan dengan pembedahan kalimah syahadah.

Maka mari kita membedah kalimah agung ini bahagian demi bahagian..

Saya membahagikan kalimah syahadah kepada dua bahagian..

Bahagian pertama ialah kesaksian bahawasanya Allah itu Tuhan yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, dan bahawasanya hanya Dia sahaja yang layak disembah.

Bahagian kedua pula kesaksian bahawasanya Muhammad itu adalah utusan Allah, diutuskan oleh-Nya untuk menyebarkan Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam.

Baiklah.. 

Jadi apa korelasinya antara kedua-dua pembahagian syahadah dengan kehidupan kita?

Relax sebentar dengan teh kurang manis..

Ok sambung balik..

Begini. Kalimah syahadah terdiri daripada kedua-dua kesaksian ini. Tidak boleh beriman dengan salah satu sahaja bahkan wajib untuk kita mengimani kedua-duanya.

Percaya kepada Allah tetapi tidak Rasulullah menyebabkan kita akan tersesak nafas lantas tenggelam dalam lautan kehidupan. Percaya kepada Rasulullah tetapi tidak Allah itu berat nanang yang tersangat.

Dalam kesaksian yang pertama, kita mengimani keesaan Allah. Perhatikan. Di sini kaedah penafian dan kemudiannya penetapan digunakan.

La ilaaha (TIADA sembahan) : Penafian. Menafikan adanya sembahan.

Illallah (SELAIN Allah) : Penetapan. Menetapkan bahawasanya HANYA Allah yang layak                                                          disembah.

Justeru, saat melafazkan kesaksian yang pertama ini, kita sudahpun seharusnya membersihkan hati dan perlakuan kita daripada sebarang unsur-unsur syirik dan mempersekutukan Allah.

Dalam kesaksian yang kedua pula, ianya mengandungi elemen perakuan. Ala-ala akuan bersumpah gitu. Kita memperakui bahawasanya Muhammad S.A.W adalah utusan Allah.

Kesaksian yang kedua ini bersangkut paut dengan kesaksian yang pertama. Justeru, pada saat kita memperakui keesaan Allah, dan memperakui kerasulan Muhammad S.A.W, lantas sewajarnya bahkan sewajibnya kita mengikuti apa yang diajari Muhammad S.A.W tanpa menambah apatah lagi mengurangkan walau sedikitpun.

Justeru,  dapat disimpulkan…

Syahadah yang pertama lawan kepada SYIRIK (mempersekutukan Allah)

Syahadah yang kedua lawan kepada BIDAAH (tokok tambah dalam agama)

Inilah dia makna disebalik kalimah syahadah yang kita ungkapkan sekurang-kurangnya sembilan kali sehari semalam itu. Lantas selepas ini sewajarnya kita menghayati serta memahami tuntutan di sebalik syahadah ini.

Untuk siri penulisan yang pertama ini, dapat saya simpulkan tuntutan yang menjadi prioriti di sini adalah untuk kita memperkasakan akidah kita dalam mentauhidkan Allah. Kemudian untuk check semula amalan-amalan kita sama ada ianya disandarkan kepada Rasulullah atau hanya sekadar tokok tambah yang diwarisi secara turun-temurun.

Begitulah tuntutan syahadah.

Sebenarnya ada banyak lagi tuntutan di sebalik syahadah yang begitu mudah dihafaz dan dituturkan ini. Justeru, pastikan anda tidak ketinggalan untuk mengikuti siri penulisan Syahadatul Haq ini. Jangan lupa ajak sekali jiran-jiran berdekatan.

Sehingga bertemu lagi. Moga Allah redha..

No comments:

Post a Comment