Friday, 8 November 2013

Kembara Tarbiah #6 : Ini Rahsia Besar

Apa cita-cita kita? Bagaimana kita membayangkan perjalanan hidup kita?

Saya pasti jika ditanya soalan ini kepada kita semua, rata-rata akan menjawab dengan jawapan template yang sama. Jawapan yang telahpun dijawab oleh bapa, atuk, moyang, puyuh dan seterusnya dari keturunan kita ke atas. Jawapan yang sama dari genarasi berganti generasi kecuali bagi mereka yang faham dengan hati.

Mula-mula masuk tadika, lepas tu sekolah rendah, sekolah menengah dan seterusnya universiti. Peluang bergelar pelajar universiti pula sudah tentu tidak dilepaskan untuk mencari jodoh. Sambil menyelam minum air kata orang. Kemudian setelah graduate , bermulalah pengembaraan kita di dunia pekerjaan, pengembaraan mengumpul harta kekayaan. Bila ekonomi dah stabil, inilah momen yang paling perfect untuk berkeluarga. Setelah itu, kehidupan diteruskan sehinggalah pencen, tua, sakit dan akhirnya mati.

Mungkin berbeza sedikit bagi sesetengah orang. Tapi rata-ratanya sama..

Hidup seperti robot. Sia-sia yang terlalu
Dan percayakah anda, template inilah yang akan digunakan oleh anak cucu cicit kita sekiranya mereka tidak diberitahu tentang rahsia besar yang saya mahu sampaikan di post ini. Rahsia apa tu? Aha..saspen seketika.

Pernah tak terdetik di fikiran kalian persoalan mengapa Allah ciptakan kita di atas muka bumi?

Pernah tak sepanjang kalian hidup atas muka bumi ini, kalian persoalkan kepada diri masing-masing, untuk apa kehidupan aku ini?

Jika pernah, inilah detik yang terbaik untuk mendapatkan jawapan.

Jika tidak pernah, inilah masa paling perfect untuk koreksi diri.

Kerana kita tidak mahu termasuk dalam golongan yang diancam oleh Allah dalam ayat di bawah ini..

“Dan sungguh, akan kami isi neraka Jahanam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki HATI, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah)..”
(Al A’raf : 179)

Saya justeru mahu mengkhabarkan kepada kalian satu rahsia besar. Tidak ramai yang tahu akan rahsia ini. Ada yang tahu tapi dibuat-buat tidak tahu. Ada juga yang sudah diberitahu, tapi dilupakan begitu sahaja. Sungguh sadis sekali.

Yang sebenarnya, kehidupan ini ada tujuannya. Dan tujuan bagi kehidupan ini sudahpun diberitahu dalam Al Quran semenjak sekian lama. Ya. Al Quran yang tersimpan kemas di rak-rak buku kat rumah kita. Al Quran yang selalu dibuat barang hantaran. Al Quran yang banyak digantung di dinding-dinding rumah dan masjid. Al Quran yang itu.

Mari kita kembali semula kepada Al Quran, biarkan Al Quran berinteraksi dengan hati kita, lantas memberitahu apa sebenarnya tujuan kehidupan kita yang tidak selama mana ini. Biar Al Quran memberi kita suatu pencerahan. In sha Allah.

Back to Quran :)
 “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku”
(Az Zariyat : 56)

Kebanyakan orang time susah baru nak beribadah, baru nak cari Tuhan. Kalau dalam konteks student, time nak exam baru nak pulun beribadah, pulun berdoa. Ni saya cerita dalam kerangka ibadah khusus. Biasa orang buat macam ni. Time ditimpa ujian, baru nak kembali pada Tuhan. Sedangkan beribadah ataupun menjadi seorang abid (hamba) itu adalah bidang pengkhususan kita. Tujuan hidup kita.

Kalau ibadah khusus kita pun ibarat hidup segan mati tak mahu, saya rasa tak perlulah cerita bab ibadah umum. Mungkin sudah tiada lagi ibadah umum buat kita. Yela, solat kita pun entah ke mana, relevankah kita mendakwa main bola tu ibadah?

Sedangkan beribadah yang kedengarannya seperti cliché itupun sering dilupakan oleh manusia, apatah lagi tujuan hidup yang lagi satu ini. Percayalah, saya sendiri ternganga mulut saat kali pertama diberitahu tentangnya. Justeru saya juga mahu kalian yang baru kali pertama tahu pasal ni ternganga juga macam saya. Haha.

Soalnya, apa dia tujuan hidup yang satu lagi tu?

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Aku ingin menjadikan khalifah di muka bumi’…”
(Al Baqarah : 30)

Eh, kita ni khalifah rupanya. Ni bukan saya suka suki cakap ye. Allah yang mention dalam ayat di atas. So nak tak nak, suka tak suka, benci tak benci, kita kena terima hakikat bahawasanya kita ni seorang KHALIFAH. Bunyi khalifah tu pun dah gempak, semestinya tugasnya pun kena gempak jugak.

Justeru apa tugas seorang khalifah bumi?

Sebelum itu sila jangan salah faham. Khalifah di sini bukan bermaksud seorang raja yang memerintah dari atas singgahsana, memakai tengkolok sambil keris tersisip di sisi. Bukan dan tidak sama sekali. Lantas, apakah maksudnya?

Khalifah ni maksudnya pentadbir. Dalam konteks ini, khalifah bertanggungjawab mentadbir dan memakmurkan muka bumi. Secara umumnya. Dan di sini ingin saya mengingatkan kalian, bumi ini tidak akan makmur dengan hanya terbinanya bangunan-bangunan pencakar langit, lahirnya cendekiawan-cendekiawan ulung, terciptanya gajet-gajet canggih. Tidak sekadar itu.

Bumi ini hanya akan makmur tatkala Islam sudahpun berada di tempat yang sepatutnya iaitu yang tertinggi dan termulia. Hingga keindahan Islam itu dapat dirasai hatta oleh mereka yang tinggal di ceruk gua. Hanya ketika itu kita boleh katakan bumi ini sudah makmur.

Itulah tugas khalifah. Itulah tugas kita.

Sekarang bagaimana? Terasa seperti sudah mendapat pencerahan?

Tapi itu baru anda seorang…

Sedangkan ibu kita yang sedang menggaul kari di dapur masih lagi belum didedahkan dengan rahsia besar ini. Begitu juga dengan sang ayah yang sedang membaca surat khabar metro di ruang tamu, dia juga masih belum mengerti akan rahsia besar ini.

Maka dengan ini, saya ingin berfatwa. Cewah.

Wajib bagi anda untuk mendedahkan rahsia besar ini kepada sesiapa sahaja yang anda temui kecuali mereka yang telah berada di dalam kubur. Rakan di office, mak cik cleaner di toilet, baby comel di buaian, atuk di kampung dan…(the list goes on)…

Kerna ini memang sepatutnya bukan satu rahsia. Hah.

1 comment:

  1. So secara konklusinya manusia diciptakan dengan dua tujuan..

    1) Menjadi abid (hamba)
    2) Menjadi khalifah

    In sha Allah, next post, kita akan pergi dgn lebih mendalam pasal abid dan khalifah ni. So, saty tuned people :)

    Nak tanya apa-apa, boleh tanya kat sini..

    ReplyDelete