Alhamdulillah. Diberi kekuatan oleh Allah untuk kembali menyambung siri penulisan Syahadatul Haq ini. Jujur saya katakan, untuk menulis sesuatu yang seserius ini, ia bukan sesuatu yang mudah. Banyak yang perlu dipertimbangkan sebelum menulis.
Mungkin ada yang
tertanya-tanya, kenapa saya mengambil keputusan untuk set mode serius dalam
penulisan ini. Jujur…jujur saya cakap. Sebolehnya saya juga mahu menyantaikan
penulisan ini. Namun ada sebab kenapa saya lebih cenderung untuk memacakkan
bendera keseriusan sebagai panji kepada siri penulisan Syahadatul Haq ini.
Yang pertamanya,
sememangnya agenda Syahdatul Haq adalah sesuatu yang serius. Definisinya
serius. Pelaksanaannya juga serius. Pengabaiannya juga mengakibatkan sesuatu
yang serius. Kesemuanya serius.
Yang keduanya, ini
adalah inisiatif saya untuk menggali lebih dalam lagi khazanah risalah
Syahadatul Haq melangkaui apa yang telah disampaikan oleh murabbi saya.
Justeru, boleh jadi..boleh jadi
penilaian dan konklusi yang saya ambil tersilap. Maka dengan meletakkan
mode serius untuk tulisan ini, saya berharap ada orang yang jauh lebih pakar
yang membacanya. Justeru, memungkinkan untuk berlakunya diskusi dan
perbincangan dari dimensi yang berbeza. Itulah harapan saya.
Sebab itulah
pada siri yang pertama lagi saya telah meminta jasa baik anda semua untuk
menyebarkan tulisan ini sejauh yang anda boleh. Lebih jauh tersebar, lebih
ramai yang membaca, lebih ramai yang akan menilai, lebih ramai yang boleh
membetulkan jika ada tersilap di mana-mana.
In sha Allah.
Baiklah.
Pada siri yang
lepas (klik sini), anda telahpun diberitahu bahawasanya kita yakni umat Islam adalah umat
pertengahan. Tugas umat pertengahan ini adalah untuk menjadi SAKSI ke atas umat
manusia. Kenapa dia jadi pertengahan? Jom refer balik surah Al Baqarah ayat ke
143.
“Dan demikian
pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) ‘umat pertengahan’, agar kamu
menjadi SAKSI atas manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi SAKSI atas kamu.”
(Al Baqarah :
143)
Secara flowchart
nya, ayat di atas boleh difahami sebagai berikut..
Rasulullah à Umat Islam (Kita) à Umat Manusia
Maka nampak tak
di sini kenapa kita diangkat menjadi umat pertengahan? Kita berada di antara
Rasulullah dan umat manusia seluruhnya. Sebelum kita pergi lebih jauh, suka
untuk saya mengingatkan kembali, Al Quran ini sesuai untuk setiap waktu dan
zaman. Bukan bermakna umat Islam yang dimaksudkan pada ayat di atas hanya
tertakluk kepada umat Islam yang hidup di zaman Rasulullah sahaja. Bahkan ia adalah
umat Islam secara umumnya, zaman-berzaman, sehingga hari kiamat.
Persoalannya di
sini. Apakah tugas seorang SAKSI?
Mari kita
analisa. Dalam ayat di atas, jelas dapat dilihat bahawasanya Rasulullah telah
diangkat untuk menjadi saksi ke atas kita. Manakala kita pula diangkat untuk
menjadi saksi ke atas seluruh umat manusia. Secara mudahnya saya dapat
menyimpulkan, tugas yang diamanahkan kepada kita adalah sama dengan tugas yang
telah diletakkan di atas bahu Rasulullah.
Penting untuk
difahami bahawasanya Rasulullah tidak diutuskan di atas muka bumi untuk menjadi
duta pakaian. Bukan juga untuk menjadi pakar nutrisi yang mempromosikan makanan
sihat. Bahkan Rasulullah diutus oleh Allah kepada umat manusia untuk
menyebarkan risalah yang besar. Risalah kebenaran yang mengeluarkan manusia
daripada kegelapan kepada cahaya.
Itulah dia
deenul Islam.
Maka sewajarnya
setelah Rasulullah wafat, para sahabat meneruskan perjuangan menyebarkan Islam.
Kerana kefahaman mereka akan tugas ini. Justeru amanah yang sama tergalas di
bahu kita. Maka sewajibnya kita menyempurnakan amanah ini meskipun dibatasi
dengan kekurangan-kekurangan yang beribu bahkan berjuta.
Untuk tidak
dilihat sebagai seorang yang terlalu cepat terjun ke dalam konklusi, saya juga
telah mengambil inisiatif merujuk tafsir kepada ayat ini. Juga agar tidak mahu
dituduh sebagai memanipulasikan tafsir Al Quran, saya memilih untuk menampal
bulat-bulat ayat yang digunakan oleh Sayyid Qutb dalam Tafsir Fi Zilalil
Quran..
“Dengan demikian
umat Islam menjadi saksi atas manusia kerana mereka sebagai pemegang hukum yang
adil di antara mereka. Sementara mereka menjadi saksi atas manusia maka Rasul
menjadi saksi atas umat Islam untuk menetapkan timbangan-timbangan dan tata
nilainya. Serta menentukan hukum atas amalan-amalan dan tradisi mereka, menimbang
apapun yang bersumber dari mereka, dan menyampaikan kata putus mengenai semua
itu. Maka dibatasilah tugas umat Islam ini, supaya mereka mengetahui dan
merasakan kebesarannya. Dengan demikian mereka mendapatkan penghormatan yang
sebenarnya dan mendapatkan kebahagiaan yang memang layak diperolehnya.”
(Fi Zilalil
Quran, Sayyid Qutb)
Maka di sini
sudah jelas dan terpateri. Kita harus mendakwahi umat manusia sebagaimana yang
telah dilakukan oleh Rasulullah. Cara Rasulullah berdakwah ini boleh dihurai dengan
panjang lebar, tetapi saya tidak mahu menyentuh tentang hal itu di sini. Apa
yang saya mahu tekankan di sini adalah tentang kewajipan kita untuk menyambung
tugas Rasulullah, yakni menyeru manusia kembali menyembah Allah dan hidup
dibawah petunjuk Al Quran yang meluhur, memberkati dan membersihkan usia
seseorang.
Kerana kita
adalah SAKSI kepada keesaan Allah dan kerasulan Muhammad sepertimana yang kita
seru dalam syahadah yang disebut sembilan kali sehari itu. Kita adalah SAKSI
kepada kebenaran deenul Islam.
Kita adalah umat
pertengahan yang wajib menjalankan tugas seorang SAKSI.
Persoalan di
sini. Mengapa umat pertengahan?
Saya akan huraikan dalam siri penulisan Syahadatul Haq yang seterusnya.
Saya akan huraikan dalam siri penulisan Syahadatul Haq yang seterusnya.

No comments:
Post a Comment