Bismillah. Moga
Allah redha..
Alhamdulillah,
pada post yang lepas, kita telahpun selamat membedah kalimah syahadah untuk
menyedut ruh di sebalik kalimah agung itu. Yang mahir dihafaz. Yang mahir
dituturkan.
Namun..
Seperti yang
saya katakan sebelum ini, kalimah syahadah ini bukan sekadar kalimah hafazan
mahupun kalimah tuturan, bahkan ia mempunyai tuntutan yang sewajibnya dilaksanakan.
Dalam post
sebelum ini (klik sini deh), saya kira kita seharusnya sudahpun memahami bahawasanya ada dua
tuntutan yang paling asas untuk dilaksanakan bagi setiap penutur dan penghafaz
kalimah syahadah :-
1) Memastikan
akidah bersih daripada sebarang unsur-unsur syirik
2) Memastikan
kehidupan benar-benar dijalani berasaskan ajaran Muhammad S.A.W
Itu yang paling
asas. Kini, dalam post kali ini, saya ingin membawa kalian melangkah ke dimensi
yang lebih jauh lagi, namun masih lagi dalam kerangka untuk mengenalpasti dan
seterusnya melaksanakan tuntutan syahadah yang selalu kita ungkapkan itu.
Dalam kalimah
syahadah, kita melafazkan kalimah, “Asyhadu..” yang bererti “Sahaja aku naik
saksi..” ataupun “Sahaja aku bersaksi..”
Maka secara
automatiknya kita adalah seorang SAKSI. Eh. Boleh faham ke?
![]() |
| Adakah sama seperti saksi di mahkamah? |
Takpe. Teruskan
dulu..
Sebenarnya,
perlantikan kita sebagai seorang SAKSI ini sudahpun terpahat kukuh dalam Al
Quran. Kalau tak percaya, cuba bukak Al Quran, surah Al Baqarah, ayat ke
seratus empat puluh tiga, muka surat dua puluh dua..
“Dan demikian
pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) ‘umat pertengahan’, agar kamu
menjadi SAKSI atas manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi SAKSI atas kamu.”
“Kami tidak menjadikan
kiblat yang (dahulu) kamu (berkiblat) kepadanya melainkan agar Kami mengetahui
siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang
berbalik ke belakang.”
“Sungguh,
(pemindahan kiblat) itu sangat berat, kecuali bagi orang yang telah diberi
petunjuk oleh Allah. Dan Allah tidak akan menyiakan imanmu.”
“Sungguh, Allah
Maha Pengasih, Maha Penyayang kepada manusia.”
(Al Baqarah : 143)
Sebelum itu,
izinkan saya untuk menceritakan sedikit sebanyak tentang latar belakang ayat
ini, sedikit sebanyak apa yang telah saya baca dan perhalusi berkenaan tafsir
ayat ini.
Secara
ringkasnya, ayat di atas berkisar tentang perihal penukaran arah kiblat
daripada Baitul Maqdis kepada Kaabah di Mekah kira-kira enam belas atau tujuh
belas bulan selepas ketibaan Rasulullah S.A.W ke Madinah.
Sebenarnya,
sebelum hijrah Rasulullah ke Madinah, kaum Muslimin sememangnya menghadap ke arah
kaabah tika mana diwajibkan solat ke atas mereka. Namun, sesampainya di
Madinah, atas perintah daripada Allah yang disampaikan kepada Rasulullah,
mereka menghadap pula ke Baitul Maqdis.
Kemudian, datang
pula ayat ke seratus empat puluh empat surah Al Baqarah yang memerintahkan umat
Islam memalingkan muka ke arah Masjidil Haram (Kaabah), sekaligus menasakhkan
perintah sebelum itu. Begitulah kronologinya.
Isu yang paling
popular berkenaan arah kiblat kaum muslimin ini adalah propaganda yang
dilancarkan oleh orang-orang yahudi di Madinah. Orang yahudi berbangga tatkala
umat Islam menghadap ke arah Baitul Maqdis yang merupakan kiblat utama mereka,
justeru mendabik dada mengatakan agama yahudi lah agama yang benar.
Kekusutan ini
ditambah lagi dengan sebahagian dari umat Islam yang berasal dari tanah arab
yang masih lagi diselaputi oleh adat jahiliah dan mengagungkan masjidil haram.
Mereka berharap agar masjidil haram itulah kiblat untuk umat Islam. Justeru,
saat mendengar propaganda yahudi itu, menambah lagi kekusutan mereka.
Arakian, setelah
turunnya ayat ke 144 yang memerintahkan umat Islam menghadap Masjidil Haram,
orang yahudi meneruskan lagi propaganda mereka. Kali ini lebih hebat lagi.
Mereka menuduh solat umat Islam sepanjang-panjang mereka menghadap Baitul
Maqdis tidak berpahala. Aduh! Ini parah! Kalau saya ada masa tu,
mungkin..mungkin iman saya juga akan tergoyang.
Namun Al Quran
telah menjawab dengan begitu cantik sekali tohmahan kaum yahudi ini. Arakian
saya tidak mahu menghuraikan lebih lanjut tentang benda ni, kerana fokus kita
sekarang adalah ayat ke 143 di atas.
Kita adalah SAKSI ke atas umat manusia.
Justeru apa
perkaitan menjadi SAKSI dengan penukaran arah kiblat?
Ceritanya
begini..
Orang-orang arab
ketika itu sangat mengagumi Masjidil Haram. Anda boleh cari dan baca sendiri
sejarahnya. Namun, kekaguman ini berasas kepada sisa-sisa jahiliah. Mereka
seolah-olah terjangkit penyakit memuliakan kaum sendiri.
Dan Islam datang
umpama hero untuk memusnahkan sisa-sisa jahiliah yang bertunjangkan kepada
fanatisme kaum, asobiah dan yang sama waktu dengannya lantas membawa manusia
untuk hanya memuliakan dan mengagungkan Allah.
Justeru, arahan
untuk menghadap Baitul Maqdis buat setempoh waktu semasa di Madinah, dapat
difahami untuk mencabut akar kebanggaan dan fanatisme terhadap Masjidil Haram. Bahawa
kononnya Masjidil Haram tempat istimewa buat bangsa arab. Ianya sebuah proses
pendidikan buat kaum muslimin ketika itu untuk bebas sepenuhnya daripada sisa-sisa jahiliah perkauman yang
pernah membelenggu mereka sebelum Islam.
Dan dapat
difahami juga, arahan untuk menghadap Baitul Maqdis dijadikan indikator untuk
check siapa yang benar-benar mengikuti Rasulullah kerana redha pada Islam
ataupun ada agenda-agenda lain.
Dan ternyata
arahan untuk menghadap Baitul Maqdis dirasakan terlalu berat untuk dihadam dan
difahami oleh umat Islam yang hatinya masih terselaput jahiliah perkauman
kecuali bagi mereka yang telah diberi petunjuk oleh Allah.
Dan tersangat-sangat
penting buat anda, saya, pakcik, makcik untuk memahami, bahawasanya Kaabah yang
dibina oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail itu sememangnya adalah warisan untuk
umat Islam. Di kaabah itu tempat nabi Ibrahim berdoa agar keturunannya
dijadikan sebagai nabi.
Maka logiklah di
sini tatkala arahan baru untuk menghadap ke Masjidil Haram, kerana ia
sememangnya warisan untuk umat Islam. Namun setelah sisa-sisa jahiliah fantisme
kaum dibersihkan terlebih dahulu.
Proses
pendidikan ini tidak lain dan tidak bukan untuk mempersiapkan umat Islam
sebagai umat pertengahan yang menjadi SAKSI ke atas umat manusia kerana tugas
menjadi SAKSI ke atas umat manusia ini bukan sesuatu yang mudah.
Persoalannya di
sini..
Mengapa SAKSI?
Apa tugas
seorang SAKSI?
Apa perkaitan
umat pertengahan dan SAKSI?
Saya simpan dulu
jawapan-jawapan untuk semua persoalan di atas dalam siri penulisan Syahadatul
Haq yang seterusnya. Jadi, pastikan anda terus mengikuti siri penulisan ini
dengan istiqamah. Yang paling penting di sini, faham dulu betul-betul apa yang
telah saya bebelkan di atas.
Setakat di sini dulu. Alhamdulillah. Semoga Allah redha.
Setakat di sini dulu. Alhamdulillah. Semoga Allah redha.


No comments:
Post a Comment