Monday, 18 November 2013

Yang Bernama Ghuraba'

Rasulullah S.A.W bersabda..

“Islam itu bermula dalam keadaan asing (ghareeb) dan akan kembali asing sebagaimana permulaannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing (ghuraba’)”
(Sahih Muslim)

Hadis ini begitu famous sekali dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia hari ini. Di majlis-majlis ceramah, di kaca-kaca telebisen, di konti-konti radio, di pejabat-pejabat kerajaan, dan di mana-mana sahaja, kerap kali hadis ini diperdengarkan. Namun sejauh manakah ruh hadis ini mendapat tempat dalam carta paling popular di dalam hati kita yang mendengarnya? Itu persoalannya..

Di platform ini, saya tidak berniat untuk mengadakan sesi syarah hadis. Bahkan saya sendiri bukan orang yang layak. Sementelahan, di sini bukanlah tempat yang tsiqah lagi terpercaya untuk anda mengkaji hadis ini secara lebih mendalam. 

Tetapi di hari yang berbahagia ini, saya sekadar ingin membuat satu lontaran muhasabah, sejauh mana kita sudah menjadi ghuraba’ (yang terasing) dalam dunia serba canggih tetapi penuh dengan rencam fitnah yang menggila pada hari ini?

Ok. Sangatt skema..


Jika di flashback semula semasa fasa-fasa awal dakwah oleh Rasulullah dan sahabat, perkataan ghuraba’ ini tersangatlah sesuai untuk dikalungkan kepada Rasulullah dan orang-orang yang mengikuti baginda ketika itu. Mereka semua dipandang dengan pandangan yang pelik dan kerepek oleh orang-orang quraisy.

Dengan menyembah Tuhan yang tak dapat dilihat, membaca ayat-ayat yang tak pernah didengar sebelumnya, beribadah dengan ibadah yang tak pernah dibuat orang-orang disitu, sebutkan apa sahaja, semuanya menjurus kepada satu perkataan yang sama. PELIK.

Sedikit demi sedikit, Islam mula berkembang pesat. Dengan jerih perih dan keringat Rasulullah dan sahabat menyeru, Islam yang pada mulanya pelik dan asing ini mula menjadi ikutan kebanyakan masyarakat di jazirah arab lantas akhirnya menjadi sebuah empayar yang menjadi rujukan dunia semasa zaman Abbasiyah.

Ketika itu, diceritakan bahawa wanita-wanita di eropah cemburu melihat kemuliaan yang diterima oleh wanita-wanita Islam. Tradisi pemakaian jubah oleh masyarakat Islam turut menjadi ikutan masyarakat bukan Islam. Waduh, sampai begitu sekali dong. Islam bukan lagi sesuatu yang pelik pada waktu itu.

Namun, krisis demi krisis, kejatuhan empayar demi empayar hinggalah pada akhirnya Khilafah Turki Uthmaniyyah selamat digulingkan tanggal 1924 telah mengubah landskap dan sudut pandang kepada Islam pada hari ini. Virus-virus hedonisme disuntik kepada setiap bayi-bayi yang baru lahir, lantas terhasillah generasi demi generasi yang bermanhajkan hedonisme.

Itu belum dikira lagi dengan kemunculan aliran-aliran yang terpesong daripada Islam yang sebenar, aktiviti-aktiviti bidaah yang berleluasa, pemikiran-pemikiran sekularisme, liberalisme dan pelbagai lagi “isme” yang bermaharajalela dalam kalangan masyarakat muslim.

Lantas..

Mereka yang istiqamah menyusur di jalan Rasulullah dan para sahabat menjadi terasing..

Mereka yang tsabat menjunjung sunnah Rasulullah menjadi terasing..

Mereka yang khusyuk menyembah Allah dalam erti kata yang sebenar menjadi terasing..

Baru sahaja bertudung labuh, berbaju longgar, sudah dicop khemah bergerak..

Baru sahaja main bola pakai seluar panjang, sudah dipandang macam tak pandai main bola..

Itu baru dilihat dari segi etika pemakaian, sesuatu yang bolehlah dikatakan kecil dan penuh dengan khilaf. Itu tidak mengapalah.

Sekarang mari kita lihat pula insan-insan yang istiqamah menjunjung sunnah terbesar yang diwarisi daripada Rasulullah S.A.W. Itulah dia sunnah menyeru seluruh umat jagat untuk kembali mentaati Allah dan Rasul serta hidup berlandaskan wahyu Al-Quran yang meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang.

Manusia-manusia seperti ini lagilah terserlah keghuraba’annya. Orang lain dapat gaji hujung bulan pergi enjoy dengan famili, dia pergi infak untuk dakwah. Orang lain bila cuti hujung tahun pergi melancong sakan dengan anak bini, dia sibuk mengisi program-program dakwah, membina manusia. Pelik. Terasing. Tak dibuat dek kebanyakan orang.

Tetapi menjadi ghuraba’ itu bukan pilihan. Bahkan ia adalah kemestian. Ia bukan sekadar sebuah tanggungjawab sosial, justeru sebuah amanah daripada Allah. Kerana ghuraba’ bukan sahaja tugas seorang ABID, bahkan ia merangkumi tugas seorang KHALIFAH.

Kerana itulah keuntungan yang ditawarkan kepada sang ghuraba’ bukan calang-calang keuntungan. Ketika Rasulullah menjanjikan keuntungan melalui sabdanya, ia bukan bererti kita dijanjikan kereta Subaru Impreza. Ia bukan bererti kita dijamin dengan pemilikan hartanah yang berekar-ekar, rumah yang bercantum-cantuman serta wanita cantik nan perawan. Bukan dan bukan..

Tetapi Rasulullah hanya menjanjikan syurga nan mewah kepada sang ghuraba’. Terasing mereka didunia, bergembira mereka di syurga. Takpelah tak dapat main lego dengan anak kat dunia, kat syurga nanti mainlah puas-puas. It’s ok tak sempat nak melancong dengan bini kat dunia, kat syurga nanti berjalanlah sepuas hati.

Kerana menjadi ghuraba’ itu tidak mudah. Hidup tidak seperti norma kebanyakan..

“Jika engkau kamu mengikuti kebanyakan orang di bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah.”
(Al An’am : 116)

Keseorangan, dipandang pelik, bahkan boleh jadi suatu hari akan dibenci. Itulah makanan kehidupan bagi insan yang bergelar ghuraba’. Itulah yang pernah dilalui oleh sang Rasul dengan jerih, payah, peluh, keringat bahkan darah. Iman di hati dan sabar menjadi pemujuk diri. Takpe, Allah kan ada..

“Maka larilah kepada Allah(fafirru ilallah)..”
(Az Zariyat : 50)

Dan…aku..aku..aku di sini..masih lagi statik..andainya aku yang bernama ghuraba’..

Ya Allah..masukkanlah aku ke dalam golongan yang sedikit..

No comments:

Post a Comment