Sunday, 7 July 2013

TRAVELOG JALAN CINTA PARA PEJUANG II


Hidup dibawah bayangan Al Quran adalah suatu kenikmatan yang tidak dapat diketahui melainkan hanya oleh mereka yang mengecapinya sahaja. Ia adalah suatu kenikmatan yang meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang.

Aku telah hidup dibawah bayangan Al Quran dan di sana aku melihat jahiliah berkecamuk di muka bumi dan aku melihat cita-cita penduduk-penduduk dunia ini amat kerdil dan kecil, aku melihat pemuja-pemuja jahiliah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak, sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan kanak-kanak dan keteloran lidah kanak-kanak. Aku merasa kaget dan hairan mengapa manusia jadi begini, mengapa mereka jatuh ke dalam lumpur yang kotor dan penuh penyakit ini? Mengapa mereka tidak mendengar seruan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Besar, iaitu seruan yang dapat meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang.

Manakah syaitan yang jahat yang telah memimpin umat manusia ke neraka ini?

Alangkah ruginya manusia!

-Fi Zilalil Quran, Sayyid Qutb-

Post kali ini adalah curhat. Namun saya memberi amaran kepada anda yang membaca supaya tidak menangis, kerana saya sendiri tidak menangis membacanya, curhat yang agak fail, herher.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah, result IB sudahpun diterima, dan Allah mentakdirkan untuk saya menjaga agama-Nya dan meneruskan kelangsungan dakwah ini di bumi Malaysia. Harap anda faham maksud tersirat disebaliknya kerana sebarang permintaan untuk penerangan lanjut tidak akan dilayan.

Jika saya katakan saya tidak bersedih, dibimbangi fenomena taksub kepada penulis blog ini akan membuak-buak dengan mendadaknya, maka saya katakan saya agak bersedih juga sebenarnya. Perkara ini telah memberi saya tamparan yang agak kuat juga, namun inilah yang saya katakan betapa ajaibnya tarbiah. Di saat ada sahabat yang menangis bergolek-golek hingga ke kampung sebelah, ada yang sudah berkurung diri dalam bilik hingga tiga purnama lamanya, ada yang mengambil keputusan untuk terjun ke Sungai Lui, Alhamdulillah, saya di sini masih mampu bersabar dan redha menerima ketentuan Allah. Tidak, bukan untuk menunjuk-nunjuk apatah lagi riak. Namun saya yakin inilah kesan tarbiah yang haraki, di mana kita mampu meyakini perancangan Allah tidak pernah silap dan perancangan Allah itulah yang terbaik buat diri kita dan seluruhnya.

Hampir dua dekad kehidupan ini diselusuri, Alhamdulillah, Allah memberi peluang kepada saya untuk  merasai berbagai-bagai erti dalam hidup ini. Saya pernah merasa untuk berada di kedudukan yang tinggi sewaktu zaman kegemilangan pasca SPM dahulu, zaman di mana masa depan seakan-akan begitu cerah, di saat orang lain buntu memikirkan layakkah diri mereka untuk ke tempat tertentu, saya pula memikirkan layakkah tempat-tempat tersebut buat diri saya. Dan kali ini Allah beri peluang kepada saya untuk sekali-sekala turun ke bawah untuk belajar mendepani tekanan. Mungkin saya sahaja yang redha dan bersedia untuk move forward, tetapi bagaimana dengan ibu ayah, saudara-mara, sepupu-sepapat, jiran tetangga, orang kampung dan menteri-menteri kabinet?

Tetapi saya yakin, inilah mehnah yang Allah turunkan, dan pada saat ini, koreksi diri, muhasabah dan akhirnya redha, itulah yang terpenting sekali. Walaupun terdapat pelbagai kemungkinan yang menanti, seperti perubahan polisi, rayuan dan kemungkinan untuk twinning dan sebagainya, namun entah mengapa hati saya kuat dan tetap untuk terus berada di Malaysia. Saya rasa saya ada dua sebab untuk menjelaskan hal ini.

Yang pertama, saya masih ingat lagi saya pernah melontarkan satu persoalan kepada murabbi saya jika tidak silap. Persoalan yang berbunyi lebih kurang,

“Akhi, kenapa tarbiah dekat IPT tempatan tidak selaju seperti tarbiah di kolper dan oversea?”

Dan Allah telah menjawab persoalan ini dengan jawapan yang cukup cantik. Allah mahu saya menjalankan apa yang telah saya katakan. Jika saya mahu tarbiah di IPT tempatan kencang seperti mana tarbiah di kolper dan oversea, maka saya lah yang perlu menggerakkannya. Dan Allah memilih saya. Jadi kenapa harus bersedih?

Dan keduanya, saya meyakini bahawa masih banyak lagi kerja-kerja terbengkalai yang saya perlu lakukan di Malaysia. Bukan bererti sebaik sahaja habis pengajian di Kolej Maha Busy, maka saya pun terkinja-kinja dan terlompat-lompat tanda tugas dakwah di Kolej Maha Busy sudahpun diselesaikan dengan jayanya. Kerja-kerja terbengkalai ini terlalu banyak, malah melangkaui skop dakwah itu sendiri. Hubungan suam-suam kuku dengan ibu ayah, sanak saudara, sahabat-handai, rakan taulan dan sebagainya perlu diperbaiki, jika mahu diceritakan tentang tugas-tugas terbengkalai ini, alamatnya sampai raya tahun depan la tak habis lagi.

Dan akhir sekali, sungguh saya merasai Allah benar-benar mahu saya merasakan kemanisan tarbiah itu sendiri. Seperti mana para Rasul merasai manisnya dakwah dan tarbiah pada saat mereka diuji, dikeji bahkan dibunuh, seperti mana para mujahid seperti Imam Al Banna, Sayyid Qutb dan yang seangkatan dengan mereka merasakan betapa jalan dakwah dan tarbiah ini begitu manis pada saat mereka dikurung, didera dan digantung, begitulah saya merasakan tarbiah ini sungguh manis pada saat ujian seberat sayap nyamuk ini Allah timpakan atas saya.

“Ahh..surga..masih jauh..terlalu jauh..”

Moga Allah redha saya dan juga kalian. Satu sahaja yang saya pinta kepada kalian, titipkan doa buat langkah saya selepas ini sehingga saya benar-benar menjejakkan kaki ke dalam syurga. Moga Allah kekalkan nikmat terbesar yang Dia kurniakan buat diri saya, nikmat berada di atas jalan cinta para pejuang.

5 comments:

  1. Qiamat tak lagi, kita belum mati..Teruskan sahaja lah.

    Ayuh akhi! Jangan sampai langkahan ini terhenti.. :D

    ReplyDelete
  2. Semoga terus tsabat walau apa pun yang berlaku :)

    ReplyDelete
  3. enonimus : in sha Allah, akhi. Bersyukur dapat tarbiah. Kita dapat sesuatu yg lebih besar. Dah tahu apa nak buat kat dunia (Y)

    NIFA : in sha Allah, the same du'a for you. Moga terus melanglang di jalan cinta para pejuang.

    ReplyDelete
  4. teruskan perjuangan anta. Allah akan sentiasa disisi sentiasa iA

    ReplyDelete
  5. beruntungla disemenanjung masih ramai juga yg mampu bergerak..sabah lg hebat(lawan bg hebat,saja buat hebt semga satu hari nt) dakwah d ipt..masyaAllah..semoga Allah redha..

    ReplyDelete