Tuesday, 30 July 2013

SUJUD PEMBEBASAN

Hari demi hari dilalui, semakin banyak hari, semakin panjang perjalanan. Banyak peristiwa suka-duka sudah ditempuhi. Kadang-kadang terjatuh, cuba bangun kembali, kemudian terjatuh lagi. Lumrah. Semakin lama berjalan, semakin penat, semakin lelah, semakin letih. Terkadang terfikir juga ingin berhenti di sini, tetapi mahu ke mana? Memandang jauh ke hadapan, tiada tanda-tanda perjalanan akan berakhir, ingin berpatah balik titik mula pula sudah tidak lagi kelihatan.

Keinginan itu datang dan pergi. Sesekali ia datang menderu, menerobos, memusnahkan kesemua hadangan yang membentangi. Pada ketika yang lain, hanya sepi mengisi ruang-ruang kosong antara impian dan realiti. Inisiatif sudah mula luntur. Slogan-slogan yang dicanang-canang dahulu tidak lagi membangkitkan semangat ini.   

Maka curhat menjadi pilihan hati


Orang kata ujian itu lumrah kehidupan. Saya setuju. Sesekali kita akan berhadapan dengan momen-momen kejatuhan yang menyakitkan. Hampir sesak nafas kita dibuatnya. Hampir juga berpinar-pinar bebola mata. Mungkin exaggerate bagi sesetengah orang, namun tidak bagi sesetengah yang lain. Saya sendiri tidak pasti saya di golongan yang mana.

Orang kata lagi, ketenangan itu satu kembara, bukan destinasi. Saya setuju. Kita tidak akan mampu mendapatkan ketenangan selagi mana kita statik di situ. Bergerak. Itu kata kuncinya. Ketenangan. Adakah ia satu entiti atau sifat? Tidak pasti. Yang pasti ia adalah sebuah anugerah yang semua orang berjuang mendapatkannya. Hanya yang mampu melihat dunia dengan kaca mata yang luhur berhasil memperolehnya.

Kemudian kata mereka lagi, tiada pandangan mata yang luhur melainkan jika kita sudah bergelumang dengan Al Quran. Sekali lagi saya setuju. Orang-orang yang bersatu hati mereka dengan Al Quran, darjat mereka diangkat tinggi oleh Allah. Mereka mampu melihat dunia ini dengan pandangan yang holistik. Seolah-olah mereka berada di satu tempat yang tinggi dan melihat segala apa yang berlaku dari atas. Hebat. Kurnia Allah.

Jujur. Saya masih belum sampai ke tahap itu. Bahkan jauh lagi. Hampir setiap masa, wujud drama dalam diri. Drama dengan family, drama dengan rakan-rakan. Drama macam mana tu? Susah nak jelaskan di sini. Mungkinlah tidak seteruk bahana kefuturan. Tapi drama tetap wujud di situ.

Jawapan skema sudah terbentang didepan mata. Kurangnya mujahadah, kurang juga koreksi diri, kurang muhasabah sendiri. Penat menyeru di alam nyata, bersambung pula di dunia maya, tetapi terlupa untuk menyeru diri sendiri. Aneh. Bahkan pelik. Bagaimana boleh terjadi seperti itu? Bukankah telinga yang menyeru itu lebih dekat daripada telinga yang diseru? Namun begitulah yang terjadi.

Maka tidak hairanlah andai diri sendiri kerap jatuh. Baru diasak dengan angin lintang barat daya sudah terumbang-ambing. Entah bagaimana nanti bila diserang dari segenap penjuru oleh panah-panah beracun bahkan peluru-peluru besi? Pondasi masih tidak utuh. Langkah kaki masih tidak teguh. Asas yang kuat, itu kod rahsianya.

Namun bila difikirkan semula, inilah lumrah orang-orang yang memilih jalan yang dagang itu. Sekuat dan seteguh mana pun langkahan kaki, pasti akan diuji, bahkan lebih berat lagi. Kerana di saat Tuhan berfirman,

“Dan bersabarlah engkau bersama orang-orang yang menyeru Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata..”
Al Kahfi : 28

Bukankan perkataan bersabarlah itu terlalu dekat dengan ujian? Maka tidak hairanlah jika memang selalu diuji, kerana kita memang disuruh untuk bersabar. Bersabar, bersabar dan terus bersabar. Sehingga tiba saat dan waktu kita pergi menemui Tuhan dengan syahadah yang benar.

Tetapi isunya di sini bagaimana untuk terus bersabar dan terus menapak di jalan yang panjang ini?

Sujud pembebasan. Ya. Itulah jalannya.

Selagi mana tidak melakukan sujud pembebasan, selagi itulah ujian yang menimpa terasa menyakitkan dan terasa melemahkan. Walhal orang-orang yang sudah melakukan sujud pembebasan, ujian itu dirasakan sebagai medium untuk Allah mencabut rasa cinta kepada dunia dalam hati mereka, membuat mereka lebih tajarud.

Tetapi awas. Sujud pembebasan ini tidak sesekali sama dengan tiga puluh empat kali sujud yang wajib itu. Akan tetapi kesemua tiga puluh empat kali sujud yang wajib itu boleh menjadi sujud pembebasan jika dilakukan dengan ikhlas dan luhur.

Wahai diri..

Merendahlah..

Bersujudlah..

No comments:

Post a Comment