Tuesday, 23 July 2013

USAI TARAWIH YANG HENING


Usai tahiyyat akhir, Jat mengusap muka dengan kedua tapak tangan. Seperti biasa, pakcik bilal akan melaungkan kalimah-kalimah yang biasa dilaungkan setiap kali dua rakaat solat tarawih. Jat dan jemaah lain menyambutnya ala kadar. Tidak bersemangat seperti awal-awal ramadhan. 

Jat memandang ke arah ayahnya yang duduk di hujung sebelan kanan saff yang pertama. Ayahnya memberi isyarat untuk pulang. Sudah lapan rakaat rupanya. Terasa cepat pula tarawih malam ini. Jat perlahan-lahan bangun untuk keluar dari saf.

“Nak pergi mana? Buat dua puluh jom”

Kim menarik tangan Jat. Jat terduduk kembali.

“Aku kena ikut ayah aku la Kim, kalau tak aku nak balik camne”

“Aku hantar”

“Serius? Jap aku nego dengan ayah aku dulu”

Setelah selesai proses negosiasi yang mengambil masa kira-kira sepuluh saat itu, Jat masuk kembali ke dalam ruangan solat. Tapi tempatnya telah diambil oleh orang lain. Jat pantas menuju ke saff yang kosong, sempat juga dia berdiri beberapa saat selepas takbir sebelum imam rukuk.

Habis solat witir, Jat melihat Kim beredar keluar dari masjid. Jat memilih untuk stay kejap dalam masjid, ikut sikit-sikit imam berwirid. Kalau hari-hari biasa, selalunya dia buat kerja sendiri dekat belakang masjid selepas tok imam beri salam.

Selesai proses berselawat dan bersalaman dengan para jemaah, Jat keluar dari masjid menuju ke kereta Kim. Kereta Viva. Kim bersandar di bahagian depan kereta itu, menunggu Jat.

“Lama kau tunggu Kim?”

“Tak la, aku pergi tandas jap tadi”

“Oh..aku ingat kau tunggu aku dari tadi”

“Jat, lepak-lepak jom, lama tak jumpa kau”

“Jom, aku on je”

Kereta Viva milik Kim terus menderu laju meninggalkan masjid. Gaya pemanduan orang muda yang ditonjolkan oleh Kim menerujakan Jat. Sedikit sebanyak menghiburkan hatinya. Falsafah biar lambat asal selamat sudah selamat dikebumikan.

“Jat, untung kau dah nak fly, nanti bagitau la aku, boleh aku ikut hantar kau sekali”

“Aku tak lepas Kim”

“Tak lepas maksud kau?”

“Tak lepas tu tak fly la..haha”

“Tapi bukan kau power ke dulu Jat?”

“Tu dulu Kim, sekarang kau lagi power”

Kim pandang Jat, seakan-akan tak percaya, nasib baik jalan raya lurus, kalau tidak dah lama kereta mereka terbabas. Jat pula khusyuk menatap skrin henponnya. Melayan twitter.

Kereta Viva Kim membelok ke kanan, berhenti di tepi jalan, di hadapan jalan itu ada kedai makan. Jat pun tak berapa kenal pemilik kedai itu, tetapi masa bercuti panjang lepas SPM dulu selalu juga dia ke situ, lepak-lepak sambil tengok bola.

“Teh Ais”

“Sama dengan dia”

“Tak makan?”

“Takpe la..kenyang lagi”

Kim keluarkan sebatang rokok dari kotak winston warna merah, berkepul-kepul asap memenuhi ruang udara tatkala rokok itu dibakar. Jat masih lagi dengan henponnya. Suasana sunyi seketika.

“Kau smoke lagi ke Kim, tak terasa nak stop?”

“Aku dah try Jat, susah, kau pun tahu kan”

“Cuba lagi Kim, Allah tengok usaha tu”

Jat menghirup Teh Ais yang baru dihidangkan oleh pelayan kedai, Kim pun begitu.

“Kau tu sibuk dengan henpon, kau layan lagi ke Jat perempuan tu?”  

“Lama dah Kim aku lost contact dengan dia..ni layan twitter”

…………………………………

Tulis sebuah karangan ringkas merangkumi aspek pemikiran pengarang, nilai-nilai murni serta pengajaran yang berkaitan dengan petikan di atas. Anda sangat digalakkan menyertakan sekali rujukan yang diambil daripada petikan dalam karangan anda. Karangan hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

Syafiq membaca arahan ringkas di kertas soalan Bahasa Melayu itu. Dia menekan punat pen biru yang sedang dipegangnya dan bersedia untuk membuat draft jawapan di atas sekeping kertas kotor yang disediakan. 

2 comments: