![]() |
Hari demi hari
berlalu. Detik demi detik terus bergerak. Rambut semakin bertambah panjang. Ada
yang melentik dihujung. Ada juga yang tegak memanjang. Kuku kaki dan kuku tangan
turut tidak terkecuali. Bulu kening saya tidak pasti tentang proses
tumbesarannya. Begitu juga dengan rumput-rumput di belakang rumah. Hari-hari
yang lepas meriah dengan pesta kehijauan tanda kaya dengan klorofil. Hari
berlalu pantas dengan level pencemaran udara turun naik dengan cantik sekali,
maka rumput-rumput itu menguning, mengecil dan akhirnya pergi meninggalkan
kita.
Sekali baca
macam merepek. Dua kali baca rasa nak hempas laptop kat dinding. Tiga kali baca
baru nampak. Sebenarnya ada ibrah yang boleh dicedok dari intro di atas. Hidup
kita pun seperti itu. Hari demi hari berlalu, setiap kali kita bangun pagi
sebenarnya kita semakin menghampiri mati. Umur kita makin berkurang sehari ke
sehari. Sama ada kita sedar ataupun tidak. Insaf seketika.
Setiap yang bernyawa
akan merasakan mati. Kemudian hanya kepada kami kamu akan dikembalikan.
Al Ankabut : 57
Sebenarnya apa
yang saya mahu tulis kali ini mungkin tidaklah semata-mata tentang kematian.
Mungkin adalah sedikit kaitannya. Sipi-sipi bahasa canggihnya. Apa yang saya
mahu tuliskan kali ini lebih kepada perjalanan hidup kita. The journey of life.
Cewah. Cakap omputeh gitu. Ya benar kematian akan menjemput kita. Namun kita
tidak diajar untuk duduk menunggu maut. Tak pernah saya temui dalam Al Quran
atau Sunnah Rasul kita disuruh duduk-duduk minum kopi tarik sambil menyedut
udara tercemar dan menunggu malaikat Izrail mencabut nyawa kita. Tak pernah.
Kalau anda pernah menemuinya, mohon dibawa ke hadapan untuk didebat dan
dipanjang-panjangkan. Aiceh. Skema sangat bunyinya.
Tetapi itulah.
Selagi mana kita
hidup, selagi itulah hidup perlu diteruskan. Mencari sesuap nasi untuk anak
bini di rumah, menebas pokok-pokok semalu di tepi rumah, membersihkan
longkang-longkang yang tersumbat, memberi anak-anak ayam makan dan pelbagai
aktivitas-aktivitas sama ada di atas talian mahupun di bawah talian yang perlu
kita lakukan. Ok. Contoh yang agak tidak terbawi diketengahkan. Tapi, tak
tarbawi pun, sekurang-kurangnya lagi berfaedah la kan dari main candy crush.
Uhuk. Kof3.
Kelihatan
semakin sukar untuk masuk ke point yang sebenarnya. Simpang semakin
bersimpang-siur. Mungkin kesan daripada pencemaran bunyi yang semakin bertapak
kukuh di industri pencemaran dunia. Percubaan untuk merepek tampak gagal di
situ. Maka, izinkan saya untuk terus masuk ke dalam point yang sebenarnya. Krik
krik krik.
Bila kita
membandingkan kehidupan dengan sebuah perjalanan, saya kira semua orang akan
membayangkan sebuah jalan raya bertar yang panjang dan berbengkang-bengkok.
Kemudian ada plaza tol, ada lubang-lubang, ada gajah dan badak sumbu melintas, perlu
diketengahkan juga rumput-rumput hijau ditepian jalan. Pokok pangkalnya
kehidupan adalah medan untuk diuji.
Dan sepanjang
melalui jalan kehidupan ini, kita tidak boleh tidak akan berasa risau. Kerisauan
yang pelbagai disebabkan oleh pelbagai sebab. Bermula di peringkat tadika, kita
mulai risau jika tidak melihat kelibat ibu dan ayah menunggu dihadapan kelas
untuk menjemput kita pulang. Saya kira ini fenomena biasa untuk kanak-kanak
ribena zaman saya. Kemudian dah besar sikit kita akan risau dengan
perkara-perkara yang lebih besar. Risau dengan keputusan exam UPSR contohnya.
Tapi saya rasa contoh ini agak tidak valid sebab saya seperti tidak ambil
peduli dengan UPSR saya. Saya tidak tahu pula bagaimana dengan anda.
Oleh sebab untuk
validify argument ini, maka jom kita ambil contoh yang lebih kritikal sedikit.
SPM contohnya. Saya kira semua dari kita punyai perasaan bimbang sewaktu
menunggu result SPM. Jika tidak banyak, sekelumit. Kan? Maklumlah,
konon-kononnya SPM itulah yang akan menentukan masa depan kita. Hancur SPM maka hancurlah impian hendak masuk meminang
anak Tok Mudim di kampung kita.
Berlalu fasa
belajar, dihidangkan pula dengan kerisauan di fasa kerjaya. Bagi yang tiada
jaminan kerjaya diwaktu belajar, berpusu-pusu memburu jawatan-jawatan baik di sektor
kerajaan mahupun di sektor pembangkang. Risau. Bimbang. Cemas. Bagi yang sudah
punyai kerjaya juga tidak terkecuali. Tarikan-tarikan dunia semakin menguat.
Anak dirumah perlu disusukan. Isteri semakin lama semakin bertambah berat
badan. Eh. Maka mahu tidak mahu terpaksa dirisaukan juga perihal kerjaya
mereka. Berfikir di lubuk manakah pendapatan boleh dijana dengan cemerlang.
Fenomena
kerisauan ini seakan-akan tiada titik noktahnya. Tidak memilih mangsa.
Orang-orang yang bujang risau memikirkan perihal jodoh. Yang perempuan
ternanti-nanti pinangan dari teruna idaman. Bimbang si teruna berubah hati.
Yang lelaki pula risau memikirkan ayat-ayat power nak dibawa menghadap bakal
pak mertua. Tersalah cakap nanti bimbang kecewa tiga purnama. Begitulah.
Kerisauan di mana-mana.
Terkadang saya
memikirkan, perlukah akan kerisauan ini? Adakah ia fitrah? Atau tarikan dunia
semata-mata? Bukan manusiakah jika kita tidak punyai sekelumit bimbang? Dan
saya menemukan jawapan kepada semua perosalan-persoalan ini di dalam kitab Al
Quran. Ya. Kitab Al Quran. Kitab yang tersimpan di almari sejak tujuh generasi.
Kitab yang kadang-kadang hanya dijadikan barang hantaran perkahwinan. Kitab
yang selalunya dikeluarkan ketikan majlis-majlis khatam Quran.
“Janganlah kamu
bersikap lemah dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang
yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman”
Ali Imran : 139
“Iaitu
orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata innalillahi wainna
ilaihi rajiun (sesungguhnya kami milik Allah, dan kepada-Nya lah kami
dikembalikan)
Al Baqarah : 156
“…cukuplah Allah
menjadi penolong kami, dan Dia sebaik-baik Penolong”
Ali Imran : 173
“..jangan
bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita”
At Taubah : 40
“Ingatlah,
wali-wali Allah itu tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih
hati”
Yunus : 62
“Iaitu orang-orang
yang beriman dan sentiasa bertakwa. Bagi mereka berita gembia di dunia dan di
akhirat. Tidak ada perubahan bagi janji-janji Allah. Demikian itulah kemenangan
yang agung”
Yunus : 63-64
Semoga Allah
mengurniakan kepada kita basirah untuk memahami ayat-ayat-Nya. Semoga Allah
membimbing kita agar tidak asyik kepada dunia lantas melupakan detik kita
dipanggil pulang.

No comments:
Post a Comment